Tuesday, December 30, 2008

MAAL HIJRAH 1430

Tika umat Palestin dibunuh sewenangnya
Rejim Zionis Israel yang punya angkara
Kita menyambut tahun Hijrah untuk kesekian kalinya
Bertekad untuk melakukan perubahan bermakna

Hakikatnya, kita masih di dalam selimut
Ya, selimut keselesaan dunia
Apakah kita benar-benar telah berhijrah?
Pernahkah kita mengorbankan yang terbaik dan tersayang demi suatu perjuangan tercinta?

50 tahun, umat Palestin menanti bantuan saudaranya
Ya, saudara seIslam
Di manakah mereka saudara seIslam itu?

Umat Islam di Malaysia pula sedang menggila berebut kuasa
Kuasa yang ada semakin hilang dek sengketa
Lagaknya beraja di mata, bersultan di hati
Biar menang sorak, kampung tergadai

Aduhai saudara ku,
Kali ini biarlah kita berhijrah
Sebenar-benar hijrah

Hai yang masih berselimut,
Bangunlah...
Cabaran terlalu banyak di hadapan kita
Anda hanya ada dua pilihan
Berkorban ala Qabil
Anda pembunuh suatu perjuangan
Berkorban ala Habil
Anda mungkin mati, tapi perjuangan anda kekal abadi
Pilihlah...

Selamat Menyambut Tahun Hijrah 1430



[+/-] Baca selanjutnya...

Tuesday, December 23, 2008

MAKAM DIROBOH DAN DIBANGUNKAN SEMULA (SIRI 2)

16. Buku nukilan Ana Faqir ini adalah bersumberkan kitab Arab bertajuk Haza Maulidu Tuhfatul Abrar Fi Manaqib Ahlu Pulau Besar yang ditulis oleh Sheikh Muhyidin ibn Abi Bakar al-Safi cetakan Majidiah, Madras, India pada tahun 1957. Ana Faqir menjumpainya pada tahun 1993 ketika membersihkan Makam Sheikh Ismail yang telah dirobohkan oleh Kerajaan Melaka pada 1991ketika Abdul Rahim Thamby Chik menjadi Ketua Menteri atas alasan membanteras amalan khurafat.

17. Usaha ke arah memulihkan semula Pulau Besar sebagai Pusat Pengembangan Islam dimulai oleh Ketua Menteri selepas itu, Mohd Zin Abdul Ghani pada 1996. Bangunan yang kita lihat hari ini siap pada tahun 2000 dengan ingatan keras dari Majlis Agama Islam Melaka supaya setiap amalan khurafat diharamkan sama sekali di Makam tersebut. Amaran ini dinyatakan di beberapa papan kenyataan di Jeti Umbai dan juga di pintu masuk Makam tersebut. Namun rasanya penguatkuasaan harus diberi perhatian kerana kedapatan juga segelintir pengunjung yang masih meneruskan amalan-amalan yang tidak sepatutnya. Kehadiran pengunjung bukan Islam ke makam tersebut untuk tujuan tertentu juga harus diberi perhatian. Namun demikian, sebarang tindakan penguatkuasaan, haruslah berhikmah.

HOTEL SIAP, BISNES TAK MENJADI, PENGUSAHA BERTUKAR GANTI

18. Terdapat dua kompleks Hotel yang bertaraf 4/5 bintang yang telah siap dan beroperasi beberapa tahun. Malangnya bisnes tak menjadi sehingga bertukar pengusaha beberapa kali. Begitulah yang dimaklumkan kepada saya oleh orang yang kerap ke Pulau Besar. Bila ditanyakan mengapa? Jawapannya sama. Pulau Besar bukan untuk tujuan bisnes perhotelan apalagi yang melanggar syariat seperti penjualan arak dan pergaulan bebas tanpa batas lelaki dan perempuan.

19. Banyak kejadian aneh terjadi sebaik saja berlaku sebarang pelanggaran terhadap Hukum Allah ta’ala. Malah kejadian Empangan Durian Tunggal kering kontang mendadak pada tahun 1991, tidak berapa selepas Makam Sheikh Ismail dirobohkan, dikaitkan dengan ‘karamah’ sebagai peringatan kepada Kerajaan Melaka akan ketidakwajaran tindakan tersebut.


KEMBALIKAN SAJA PULAU BESAR SEBAGAI PUSAT DAKWAH SERANTAU

20. Setelah melawat sekitar Pulau Besar, saya dapat merasakan ketenangan, aman dan damai. Bunyi burung berkicauan, hembusan angin laut yang nyaman dan rimbunan pokok yang meneduhkan. Semuanya ini saya rasakan betapa sesuainya Pulau Besar untuk dikembalikan kepada peranan asalnya, untuk menjadi Pusat Dakwah Serantau. Pelajar-pelajar dari Rantau Alam Melayu seperti Indonesia, Thailand, Kemboja, Filipina, Brunei, Singapura boleh dididik di sini sebagai para pendakwah yang mempunyai ketrampilan ilmu Dakwah untuk Abad mendatang.

21.Hotel yang ada boleh diubahsuai untuk dijadikan Pusat tersebut. Malah kursus-kursus jangka pendek yang berkaitan boleh ditawarkan kepada orang awam. Malah Pulau Besar boleh dijadikan spiritual retreat bagi sesiapa yang mencari ketenangan jiwa dan fikiran.

22. Namun demikian, ianya harus mempunyai perancangan yang rapi dan komitmen yang tinggi. Banyak yang perlu dilakukan. Paling minimal, sebuah masjid yang setanding dengan Masjid Selat harus dibina dengan mengambil kira jumlah jemaah yang ingin iktikaf di situ. Masjid yang ada tidak sesuai. Tanda arah dan penerangan mengenai setiap tempat bersejarah harus ada dalam pelbagai bahasa. Ini mengambil kira ramai juga pengunjung bukan Islam yang datang. Paling kurang maklumat mengenai Islam boleh di paparkan sebagai usaha dakwah.

23. Kawasan perkhemahan harus lebih tersusun dengan kemudahan-kemudahan asas disediakan. Gerai-gerai juga harus ditambah. Jualan-jualan di gerai harus yang bersesuaian dengan konsep Pulau Besar yang berorientasikan ‘Spiritual Tourism’ atau ‘Spiritual Retreat’.
24. Pemandu pelancong yang memahami sejarah Pulau Besar dan menghayati ajaran Islam serta menguasai pelbagai bahasa sangat diperlukan. Tukang doa yang ada di Makam tersebut harus digantikan dengan pemandu pelancong yang Islami ini yang boleh menerangkan sekali akan peranan sebenar Sheikh Ismail di dalam perkembangan Islam.

25. Gerai makan Wakaf atau percuma adalah ciri yang unik yang harus dipertahankan. Namun, kemudahan asas dan kebersihan harus diberi perhatian utama.


Saya yakin sekiranya hal-hal ini diberi perhatian wajar dengan kesungguhan yang tinggi, penonjolan warisan Islam di Melaka akan menjadi lebih signifikan. Allahu A’lam

[+/-] Baca selanjutnya...

Monday, December 22, 2008

MISTERI PULAU BESAR, MELAKA TERJAWAB! (SIRI 1)

Pernah kah anda ke Pulau Besar, Melaka? Pertanyaan ini saya kemukakan kepada beberapa orang sahabat. Jawapan yang terima amat berbagai. Ramai yang tak pernah melawat membuat kenyataan yang negatif. Antara jawapan yang popular ialah Pulau yang ‘keras’ dengan makhluk halus. Pulau yang mempunyai makam orang alim yang dijadikan tempat amalan khurafat dan tahyul. Pulau tempat masyarakat India Muslim menunaikan nazar. Macam-macam jawapan yang begitu negatif dan malah kadang-kadang membuatkan hilang minat untuk ke sana. Saya terhimbau untuk melawat Pulau Besar setelah melawat Pameran Misteri Pulau Besar yang dianjurkan oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) baru-baru ini. Saya semakin terangsang untuk ke sana setelah membaca buku Misteri Pulau Besar hasil nukilan Ana Faqir yang dijual di Pameran tersebut. Dua minggu kemudian, akhirnya dapat juga saya melawat Pulau Besar dengan tujuan utama untuk melihat sendiri akan sejauh mana kebenaran pelbagai persepsi terhadap Pulau tersebut.

BEBERAPA MAKLUMAT PENTING SEBELUM MELAWAT

Berikut adalah beberapa maklumat yang dipaparkan di dalam buku ‘Menyingkap Misteri Pulau Besar’ untuk panduan sesiapa yang berminat untuk melawat Pulau Besar. Membaca buku ini banyak membantu untuk memahami signifikan Pulau Besar di dalam perkembangan dakwah di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Lazimnya, bila membaca sejarah Kesultanan Melayu Melaka, amat jarang ditemui akan peranan ulama secara khusus dibincangkan seperti peranan Sheikh Hamzah Fansuri, Sheikh Abdul Rauf Singkel, Sheikh Shamsuddin Sumatrani, Sheikh Nuruddin ar-Raniri di Acheh, Sheikh Daud Fatani di Patani, Sheikh Yusuf al-Makassari di Sulawesi. Setakat yang masyhur ialah pengislaman Parameswara oleh Sheikh Abdul Aziz yang mana namanya diabadikan di sebuah jalan utama di Kota Melaka. Namun selain daripada itu amat jarang diketahui.

SIAPA SULTAN AL-ARIFFIN SHEIKH ABDUL ISMAIL?

1. Nama sebenar beliau ialah Ismail bin Abdul Qadir. Gelar tambahan ‘Sultan al-Ariffin Sheikh’ adalah penghormatan yang diberikan kepada beliau oleh muridnya di dalam tradisi Sufi. Beliau adalah Sheikh Tariqah Qadiriyyah, Naqsyabandiyyah, Shattariyyah dan Jistiyyah.

2. Sheikh Ismail dilahirkan pada 17 Rabiul Awwal 867H/1463M di Baghdad dan meninggal dunia di Pulau Besar, Melaka pada 17 Rabiul Awwal 925H/1520M ketika berumur 58 tahun.

3. Beliau adalah cicit kepada Sultan al-Awliyaa Sheikh Abdul Qadir Jilani (470H/1077M – 561H/1166M). Sheikh Abdul Qadir adalah keturunan ke 14 dari RasuluLlah s.a.w. Maka Sheikh Ismail adalah keturunan ke 18 dari RasuluLlah s.a.w.

4. Sheikh Ismail beserta gurunya Sheikh Yusuf Siddiq dan abangnya Sheikh Ibrahim beserta 13 orang yang lain dari Baghdad sampai ke Pulau Besar pada 1495M. Mereka adalah peneroka yang pertama yang membuka Pulau Besar untuk dijadikan pusat perkembangan dakwah di Alam Melayu. Kemudiannya beberapa lagi para pendakwah datang dari Syria, Yaman dan Semenanjung Arab sehingga jumlahnya seramai 43 orang yang menghidupkan Pulau Besar sebagai Pusat Perkembangan Dakwah Alam Melayu.

5. Menariknya, kesemua 43 pendakwah ini (ada yang mengatakan kesemuanya wali Allah belaka) meninggal di Pulau Besar. Cuma makam yang telah dikenal pasti hanyalah 4 makam iaitu Makam Sheikh Ismail, Sheikh Yusuf, Sheikh Ibrahim dan Sarah (anak Sheikh Yusuf yang berkahwin dengan Sheikh Ibrahim).


6. Sheikh Ismail dikatakan mempunyai 3 orang anak, seorang lelaki, dua perempuan. Malangnya maklumat mengenai mereka belum diketahui setakat ini.

7. Sejarah kedatangan Sheikh Yusuf dan rombongan ke Pulau Besar amatlah menarik untuk difahami.Ketika beliau berumur 7 tahun, bapanya telah bermimpi agar pergi menziarahi Makam RasuluLlah s.a.w. Ketika di Makam RasuluLlah s.a.w., mereka telah diarahkan oleh Baginda agar pergi melakukan dakwah ke Alam Melayu. Adapun bagaimana komunikasi ini berlaku, samada melalui mimpi atau ilham tak usah kita polemikkan di sini.

8. Kemudian, apabila Sheikh Ismail sudah dewasa iaitu sekitar awal 30an, kali ini beliau sendiri bermimpi untuk segera ke Makam RasuluLlah di Madinah. Ketika menziarahi Makam Baginda, Sheikh Ismail mendapat arahan serupa untuk segera berdakwah ke Alam Melayu.(Kisah terperinci sila baca Buku ini).

9. Sheikh Ismail dan rombongan seramai 16 orang pertama kali sampai di Pulau Besar pada tahun 1495M ketika berumur 32 tahun. Mereka segera menjadikan Pulau tersebut sebagai Markas Dakwah dan Tarbiah.

10. Ketika kehadiran mereka di Pulau Besar, Kesultanan Melayu Melaka ketika itu diperintah oleh Sultan Mahmud Syah (1488 – 1528M), Sultan yang terakhir sebelum Melaka jatuh ketangan penjajah Portugis pada 1511.

SUNAN BONANG DAN SUNAN GIRI BERGURU DI PULAU BESAR

11. Dikatakan juga dua orang Wali Songo atau dalam Bahasa Melayu Wali Sembilan yang terkenal dengan penyebaran Islam di Pulau Jawa, iaitu Sunan Bonang dan Sunan Giri pernah datang untuk berguru di Pulau Besar dengan Sheikh Ismail yang juga di kenali sebagai Wali Lanang. Berkat ilmu yang dipelajari, kedua mereka pulang ke Pulau Jawa, lantas membuka pesantren atau pondok bagi tujuan penyebaran Islam di Pulau Jawa yang masih dikuasai oleh Kerajaan Majapahit yang menganut agama Hindu/Buddha.

12. Hasil dakwah yang gigih dari Wali Songo ini, maka pada tahun 1517, Kerajaan Majapahit tumbang dan digantikan dengan Kerajaan Islam Demak yang menjadi pemangkin kepada penyebaran Islam ke seluruh Kepulauan Indonesia. Berdasarkan maklumat ini, bolehlah dikatakan bahawa Pulau Besar mempunyai saham di dalam penyebaran Islam ke seluruh Alam Melayu sebagaimana yang diamanahkan kepada Sheikh Ismail.

13. Kejatuhan Melaka ditangan Portugis pada tahun 1511 terubat dengan tertegaknya Kerajaan Islam Demak yang diasaskan oleh Wali Songo pada 1517.

SHEIKH ISMAIL MENINGGAL DUNIA

14. Sheikh Ismail kembali ke RahmatuLlah pada tahun 1520 ketika berumur 58 tahun setelah mengabdikan diri dengan amanah dakwah yang dipesan oleh RasuluLlah s.a.w. melalui ilham atau mimpi selama 25 tahun di Pulau Besar. Makamnya adalah testimoni akan pengabdian yang mutlak kepada Allah ta’ala di dalam melaksanakan amanah dakwah yang sangat dituntut oleh ajaran Islam.

15. Cuma yang membuatkan saya sedikit terkilan ialah setakat ini belum ditemui akan titisan ilmu yang beliau wariskan di dalam bentuk buku untuk dikaji dan didalami oleh para pendakwah masa kini. Kita harus memahami juga berbanding dengan Hamzah Fansuri, Abdul Rauf Singkel,Nuruddin ar-Raniri di Acheh, mereka hidup ketika Kerajaan Islam telah tertegak yang memungkinkan buku dapat ditulis dan diterbitkan. Sedangkan Sheikh Ismail datang ke Melaka, ketika Kerajaan Melaka menghadapi krisis dalaman yang parah kesan dari hukuman bunuh terhadap Bendahara Melaka yang berkaliber oleh Sultan Mahmud Syah kerana termakan fitnah. Akibatnya, Melaka jatuh.

[+/-] Baca selanjutnya...

Tuesday, December 16, 2008

DR.HISHAM TALIB – PENDAKWAH YANG TAK PERNAH DUDUK DIAM!

15 Disember 2008.
Sebentar tadi saya benar-benar terkejut dengan kehadiran seorang yang cukup berjasa kepada perkembangan Islam di seluruh dunia ke pejabat saya. Tanpa sebarang makluman, tiba –tiba Dr.Hisham Talib muncul. Sebagaimana biasa, beliau yang sentiasa tersenyum dan amat jarang marah, terus memeluk erat sambil bertanya khabar. Ya! Lebih lima belas tahun tak berjumpa. Beliau diiringi oleh Shahran Kasim yang pernah berkerja di International Institute of Islamic Thought di Virginia, Amerika Syarikat.

Dr.Hisham adalah serangkai tiga orang pendakwah yang cukup banyak pengalaman melakukan kegiatan dakwah di seluruh dunia. Mereka ialah Dr.Ahmad Totonji, Dr.Jamal Barzinji, dan Dr.Hisham Talib sendiri. Ketiga-tiga mereka samada kebetulan atau tidak, saya tak pasti, adalah dari Iraq yang berhijrah ke Amerika Syarikat untuk belajar sehingga ke peringkat PhD. Mereka aktif di dalam aktiviti dakwah sejak di universiti lagi. Mereka menubuhkan Muslim Students Association United States and Canada (MSA), kemudian menubuhkan International Islamic Federation of Student Organization (IIFSO), kemudian World Assembly of Muslim Youth (WAMY), kemudian International Institute of Islamic Thoughts (IIIT), Islamic Society of North America (ISNA) dan beberapa lagi persatuan Islam yang tak sempat saya ikuti.

Ketika saya belajar di Amerika Syarikat, dari tahun 1983 sehingga 1986, saya terlibat di dalam aktiviti MSA dan juga ISNA. Di sanalah saya mendapat pendedahan kerja dakwah antarabangsa.
Melalui persatuan-persatuan inilah, mereka telah mempelopori kegiatan dakwah antarabangsa sehinggalah pada tahun 2001, selepas serangan September 11, mereka telah menghadapi tekanan dari kerajaan Amerika Syarikat kerana dituduh terlibat mendalangi para teroris antarabangsa. Pejabat-pejabat mereka digelidah, mereka disoal siasat, kewangan mereka dibeku sehingga siasatan selesai, perjalanan mereka ke luar negara dicurigai dan bermacam-macam tekanan psikologi yang mereka hadapi.

Namun setelah tujuh tahun berlalu, ketiga-tiga mereka Alhamdulillah selamat dan keadaan mulai kembali normal. Kehadiran Dr.Hisham sebentar tadi walaupun hanya sepuluh minit, benar-benar menggembirakan saya. Saya katakan kepadanya, Your visit today Sheikh, is a great gift from Allah
Beliau hanya tersenyum sebagaimana biasa.

[+/-] Baca selanjutnya...

Monday, December 15, 2008

ANDA SUAMI ISTERI SANGGUP BERDAKWAH KE PULAU CHRISTMAS DAN PULAU COCOS?

Saya sedang mencari sepasang suami isteri yang dah bersara yang sanggup meninggalkan keselesaan hidup untuk berdakwah sekurang-kurangnya selama 6 bulan di Pulau Christmas. Ahli WADAH amatlah dialu-alukan.

Ini adalah hasil perbincangan dengan Imam Masjid At-Taqwa, Imam Abdul Ghaffar Ismail yang berkunjung ke pejabat Future Global Network baru-baru ini. Pulau Christmas seluas 155 kilometer per segi adalah sebuah pulau milik Australia walaupun ianya terletak lebih hampir dengan Pulau Jawa. Penduduknya kecil iaitu berjumlah hanya 1,500 orang penduduk yang mana 65% berbangsa Cina, 20% berbangsa Melayu dan 15% berbangsa Australia.
Kebanyakkan orang Melayu di sana berasal dari Melaka. Terdapat 20 keluarga Melayu di sana yang amat memerlukan bimbingan agama, baik di segi fardhu ain, al-Quran dan lain-lain. Setakat ini ada juga Jamaah Tabligh yang singgah untuk menyemarakkan semangat beragama. Ada juga guru agama dari Indonesia yang dijemput untuk mengajar. Malah GPTD telah beberapa kali menghantar misi dakwah ke sana khusus untuk memenangi hati golongan muda agar tetap mengakar dengan ajaran Islam. Pengaruh budaya Barat memang begitu kuat lebih-lebih lagi ianya adalah sebahagian daripada Australia.

Saya tahu ramai ahli WADAH yang dah bersara yang banyak masanya menjaga cucu selain daripada menghadiri usrah dan kelas pengajian di masjid-masjid. Ramai yang pernah menjadi guru, pensyarah dan pegawai kerajaan. Gaji pencen sudah memadai untuk menampung hidup ke akhir hayat. Ada yang hidup agak selesa kerana anak-anak tak pernah lupa memberikan wang saku untuk belanja atau duit minyak untuk berjalan. Dari segi kewangan, mereka tidak menghadapi masalah.


Kepada mereka, saya ingin sarankan agar menyahut cabaran ini. Tiga bulan di Pulau Christmas dan tiga bulan lagi di Pulau Cocos (buat masa ini ahli GPTD, Muhammad Suhail Ahmad sedang melaksanakan tugas dakwah selama dua bulan di Pulau ini. Ikuti catatan pengalaman beliau dalam sahalfikri.blogspot.com)

Namun demikian sebagaimana biasa, akan ada yang sinis dengan usaha dakwah sebegini. Akan ada nanti yang mengatakan dakwah dalam negara banyak yang tak terbuat, nak ke luar negara pula. Sama alasan saperti mana setiap kali Global Peace Mission melancarkan dana untuk membantu umat yang tertindas atau umat yang memerlukan bantuan di luar negara. Mereka yang sinis ini selalunya tak banyak berbuat apa-apa pun. Kerja nya hanya menimbulkan keraguan dengan kata-kata negatif dan sinis.

Masyarakat di kedua-dua pulau ini dah begitu lama memohon kepada kita untuk menghantarkan para pendakwah,kalau boleh biarlah suami isteri, supaya kaum wanita juga dapat menafaat langsung dari usaha ini. Banyak isu-isu yang melibatkan masalah wanita tidak dapat ditangani dengan baik oleh para pendakwah yang pernah di hantar setakat ini.

Bagi sesiapa yang berminat dan bersemangat serta sanggup menyahut seruan berkorban sempena Bulan Haji ini, silalah hubungi saya dengan e-mail azamra_miba@yahoo.com.

[+/-] Baca selanjutnya...

Friday, December 12, 2008

PENGORBANAN AHLI GEREJA MORMON SANGAT TINGGI! CEMBURU DI BUATNYA!

Hari Khamis lalu, 4 Disember 2008, saya dikunjungi oleh tetamu luar biasa dari Amerika Syarikat. Luar biasa kerana saya kerap dikunjungi oleh umat Islam dari seluruh dunia. Tapi kali ini pemimpin Gereja Mormon atau lebih tepat The Church of JESUS CHRIST of Latter-Day Saints yang berpusat di Salt Lake City, Utah, Amerika Syarikat.
Bila saya dimaklumkan bahawa wakil Gereja Mormon ingin membuat kunjungan dan berkenalan dengan tujuan untuk menjalin hubungan kerjasama kemanusiaan, perkara yang menerpa ke ingatan saya ialah penyanyi The Osmond Brothers yang terkenal di tahun 70an. Selain daripada itu Gereja Mormon terkenal dengan isu kontroversi poligami di kalangan penganut agama Keristian.

Saya dikunjungi oleh Dr.Lowell K.Anderson, isterinya Judith Anderson dan wakilnya di Indonesia, S.Soeryo Poetranto.

Saya mengambil kesempatan menerangkan mengenai kerja-kerja yang dibuat oleh Future Global Network (FGN) khususnya bagi membantu pendidikan anak-anak pelarian Rohingya dan juga masyarakat Bangsa Moro di Selatan Filipina. Di celah-celah perbincangan saya ambil kesempatan untuk tahu sendiri mengenai falsafah perjuangan Gereja Mormon dari Dr.Lowell. Ini peluang terbaik bagi saya, kerana selama ini hanya mendengar cerita dari akhbar sahaja.

ANTARA GEREJA TERKAYA DI DUNIA

Mengikut Time Magazine terbitan 1997, The Church of JESUS CHRIST of the Latter-Day Saints is one of the world’s wealthiest churches per capita mainly from 10% of member’s income and fast offerings.’

Salah satu kekuatan Gereja Mormon ialah kekuatan kewangan hasil sumbangan 10% dari gaji ahlinya yang sudah menjangkau 13 juta orang diseluruh dunia. Bayangkan sekiranya setiap orang membayar RM10 seorang sebulan, jumlahnya sudah mencapai RM130 juta sebulan. Kemudian setiap ahli pula diwajibkan berpuasa pada hari Ahad sebulan sekali dan wang makan dan minum yang dijimatkan itu dimasukkan ke dalam Tabung Kebajikan Seluruh Dunia. Oleh kerana itulah Gereja Mormon atau lebih popular dengan singkatan LDS (Latter-Day Saints) mampu untuk membiayai projek kebajikan berjumlah 3,974 di seluruh dunia. Tahun sudah saja, 2007, LDS menghulur bantuan berjumlah USD104.9 juta.

LDS mempunyai 347 pusat di seluruh dunia yang membiayai 53,000 petugas sepenuh masa dan 3552 petugas untuk projek-projek khas. Pada bulan Jun 2007, LDS telah meraikan petugas sepenuh masa atau missionary yang ke 1,000,000 sejak penubuhannya pada tahun 1830.

PENGORBANAN YANG TINGGI BUKAN ALA KADAR

Salah satu sebab yang menjadikan LDS menjadi Gereja yang paling pesat berkembang berbanding Katholik dan Protestan ialah semangat pengorbanan yang tinggi yang ditanamkan terutama dikalangan remaja.

Setiap ahli yang sudah berumur 19 tahun akan diwajibkan untuk berkhidmat untuk LDS selama 2 tahun dimana jua yang dikehendaki diseluruh dunia. Bagi ahli wanita pula sesudah berumur 21 tahun,belum berumahtangga, tetapi untuk selama 18 bulan. Bagi suami isteri yang dah bersara pula digalakkan berkhidmat diantara 3 bulan ke 3 tahun. Kesemua mereka dikehendaki membiayai sendiri kos perjalanan dan sara hidup kecuali yang benar-benar tak mampu atau yang bertugas sepenuh masa sebagai missionary.

Dr.Lowell dan isterinya masuk kategori misionari bersara yang ditugaskan untuk memantau Hal Ehwal Awam peringkat Asia yang berpejabat di Singapura. Dr.Lowell adalah seorang doktor dibidang Oral and Maxillofacial Surgery.

MORMON BUKAN KATHOLIK MAUPUN PROTESTAN

LDS menganggap ajaran Katholik dan Protestan tidak benar-benar mengikuti ajaran Keristian yang sebenar. Lantas mereka tidak mahu di kaitkan dengan kedua ajaran tersebut. Begitu juga sebaliknya, kedua-dua Gereja Katholik dan Protestan tidak menganggap LDS sebagai sebahagian dari ajaran Keristian yang benar.

MEMENTINGKAN KEUTUHAN KELUARGA, HARAMKAN ARAK, JUDI DAN ZINA

LDS amat menekankan keutuhan keluarga. Malah modul pengukuhan keluarga LDS telah digunapakai dengan jayanya diseluruh dunia, termasuk di Indonesia. Setiap ahli diharamkan dari minum arak, berjudi dan berzina. Oleh kerana nilai-nilai ini begitu kuat diamalkan, maka LDS telah banyak menarik minat di kalangan mereka yang menghadapi masalah rumahtangga dan juga krisis moral dan akhlak yang begitu berleluasa diseluruh dunia.

PENGAJARAN KEPADA GERAKAN DAKWAH

Bila saya menilai apa yang dibuat oleh LDS, timbul perasaan cemburu didalam hati saya. Betapa tingginya nilai pengorbanan mereka terhadap perjuangan mereka sehingga LDS sekarang menjadi sebuah gerakan yang paling pesat berkembang. Apalagi dengan dana yang begitu banyak hasil dari komitmen ahli-ahlinya diseluruh dunia.

Saya menghimbau akan usaha yang saya buat semasa menjadi pimpinan ABIM dulu. Saya perkenalkan skim 5S iaitu Sumbangan Seribu Ringgit Sahaja Seorang Setahun yang mana setiap bulan Ramadan, setiap ahli diwajibkan menyumbang hanya RM 1000 setahun bersamaan dengan RM 83.33 sebulan atau RM2.89 sehari. Andaian saya sekiranya 40,000 ahli dapat menyumbang hanya sekali setahun dibulan Ramadan yang penuh berkat yang pahalanya berlipat kali ganda, maka ABIM akan mempunyai dana operasi berjumlah RM40 juta setahun. Atau sekiranya 5,000 ahli pun, ABIM sudah mempunyai dana RM5 juta setahun. Banyak tu…. ! Kerja dakwah akan lebih hebat daripada yang ada pada hari ini.

Namun realitinya, saya gagal. Ya! Gagal. Kerana apa? Semangat korban yang semakin merosot. Ada di kalangan ahli yang hanya mementingkan diri sendiri. Berbangga menjadi ahli,tapi nak berkorban wang, tenaga, masa terlalu berkira. Mereka hanya datang menolong bila semua kerja peribadi, kerjaya dan keluarga dah beres, barulah nak membantu. Kerja peribadi, kerjaya dan keluarga langsung tak boleh dikorbankan. Hanya sisa–sisa masa, wang dan tenaga untuk dakwah. Contohnya, kehadiran usrah yang hanya seminggu sekali bergantung kalau tiada urusan keluarga atau kerjaya. Kalau ada sikit saja urusan keluarga atau kerjaya kehadiran usrah akan dikorbankan. Macamana dakwah nak berkembang! Dalam bahasa Inggeris, maaf ya, if you give peanuts, you get monkey.

Menariknya, bila memberi komen mengenai perjuangan ABIM, mereka yang paling banyak bersuara seolah-olah mereka lah yang bertungkus lumus selama ini. Yang benar-benar berkorban, jarang yang bercakap kerana tahu terlalu banyak kerja yang nak dibuat.

Saya memaparkan dengan agak terperinci mengenai LDS kerana apa yang mereka buat tidak jauh dari apa yang kita lakukan. Mereka nampaknya begitu berjaya setakat ini, kita pula sampai sekarang masih merintih kerana tak cukup wang untuk membuat kerja dakwah. Di mana silapnya? Tepuk dada, tanyalah selera. Hari raya korban kita rayakan setiap tahun. Apa pengajaran yang kita dapat? Kenyang dengan masakan daging lembu? Atau semangat pengorbanan Habil, Nabi Ibrahim, Nabi Muhammad s.a.w. yang kita cuba contohi.

Selamat Aidil Adha, selamat berkorban untuk Allah, RasulNya,UmatNya.

[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, December 10, 2008

PERNAHKAH ANDA MENGORBANKAN YANG TERBAIK UNTUK PERJUANGAN UMMAH SETAKAT INI?

Setiap kali merayakan Hari Raya Eidul Adha, pernahkah anda bertanya atau bermuhasabah, apakah aku pernah memberikan yang terbaik untuk perjuangan umat ini? Kalau sekadar setiap tahun anda berkorban sebanyak RM350 untuk satu bahagian korban seekor lembu, apakah itu yang terbaik? Atau seekor lembu mungkin harganya RM2200 seekor, apakah itu yang terbaik yang boleh anda lakukan?

Atau, pernahkah anda bergolok bergadai demi perjuangan umat tercinta? Umpamanya anda mempunyai dua buah rumah, kemudian anda menjual sebuah dan hasil jualannya diberikan kepada perjuangan umat seperti untuk membeli sebuah Sekretariat WADAH yang masih menyewa di sebuah premis yang ala kadar! Sanggup kah anda melakukannya demi sebuah perjuangan yang tercinta? Anda masih ada sebuah rumah lagi. Belumlah lagi bergolok bergadai sebagaimana para sahabat Rasullullah dahulu!

Atau anda baru bersara, anak-anak dah besar dan menjalani kehidupan sendiri. Anda telah memasuki fasa kehidupan kalau mengikut ilmu sosioloji fasa ‘empty nest’ yang mana hanya tinggal anda berdua suami isteri di rumah. Anda suami isteri mempunyai masa yang lapang. Aktiviti harian anda suami isteri berlegar dengan solat berjamaah di masjid dan mengikuti usrah dua minggu sekali dan menghadiri kelas pengajian di masjid-masjid. Sanggupkah anda mengorbankan wang, masa dan tenaga untuk berdakwah selama satu tahun suami isteri di Kemboja, Pulau Krismas dan Pulau Cocos di Australia untuk meningkatkan kualiti keIslaman umat Islam di sana? Kesemua kos untuk berdakwah anda tanggung sendiri! Sanggupkah anda berkorban dalam erti sebenar-benar korban? Tiada elaun untuk anda!

KORBAN QABIL ATAU HABIL? (Rujuk Kisahnya dalam al-Maaidah 5:27-32)
Pengorbanan hanya dinilai Allah s.w.t. berdasarkan komitmen kita mengorbankan segala yang dikatakan dunia demi meraih cinta Allah s.w.t. Anda punya dua model untuk berkorban; pertama Korban si Habil, kedua Korban si Qabil. Inilah korban yang pertama didalam sejarah kemanusiaan kerana kedua mereka adalah anak-anak Nabi Adam alaihissalam.

Habil seorang pengembala kambing dan ketika diminta berkorban bagi mengatasi krisis perebutan isteri antara Habil dan Qabil, maka Allah s.w.t. telah memerintahkan agar mereka berkorban, dan siapa yang diterima korbannya akan dapat mengahwini Iqlima. Habil tanpa tangguh mencari kambing yang paling gemuk dan paling cantik dan paling disayangi untuk dikorbankan.

Sedangkan abangnya, Qabil seorang petani mencari hasil pertanian secara ala kadar untuk dikorbankan. Dia tidak berusaha mencari hasil pertanian yang terbaik sebagaimana Habil.
Akhirnya bila pengorbanan masing-masing dipersembahkan kepada Allah s.w.t., kita pun tahu apa keputusannya. Hanya yang terbaik yang diterima oleh Allah s.w.t.! Pengorbanan Habil diterima, sedangkan Qabil ditolak.

PENGORBANAN ALA KADAR AKAN MENJADI PEMBUNUH PERJUANGAN!

Apa terjadi apabila pengorbanan ala kadar Qabil tertolak? Timbul perasaan tidak puas hati, cemburu,dengki dan khianat berakhir dengan pembunuhan pertama didalam sejarah kemanuasiaan . Qabil sanggup membunuh adiknya, Habil lantaran pengorbanan ala kadarnya ditolak oleh Allah s.w.t.

Begitu jugalah yang akan berlaku di dalam mana-mana perjuangan umat dan gerakan Islam. Perjuangan umat selalunya gagal kerana para pendukungnya selalu mementingkan diri sendiri daripada mementingkan umat. Mereka hanya sanggup berkorban mengikut kualiti Qabil sahaja! Berkorban secara ala kadar, tiada komitmen, sambil lewa! Kerjaya sentiasa diutamakan, bisnes tidak boleh tinggal walau sebentar, bagi yang berjawatan tinggi terlalu takut mengambil risiko untuk kepentingan dakwah. Kalau diminta berderma untuk Jamaah, terlalu banyak soal dan pandai memberi alasan yang Syar’ie. Timbulkan keraguan dengan mengatakan pengurusan dana tak telus dan berbagai-bagai lagi alasan yang remeh temeh. Akhirnya, dana tak pernah mencukupi untuk kerja dakwah. Apabila kerja dakwah tak mencapai matlamat, dia juga yang paling lantang mengkritik sehingga membunuh semangat dan komitmen orang lain. Pendukung jenis inilah yang dikatakan pembunuh perjuangan umat dan dakwah.

Anda bagaimana? Dah pernah memberi yang terbaik untuk Islam? Kalau belum, jangan bimbang, anda masih belum terlambat. Jangan berlengah! Ayuh kita berkorban masa, tenaga, wang yang terbaik untuk Islam. Allah s.w.t. pasti akan membalasnya dengan terbaik juga.

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai,pada tiap-tiap tangkai seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnianya) lagi Maha Mengetahui.” ( al-Baqarah 2 : 261)
SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA EID AL ADHA 1429H


[+/-] Baca selanjutnya...

Friday, November 28, 2008

MELAKA – KOTA WARISAN DUNIA ATAU WARISAN PENJAJAH PORTUGIS/BELANDA ?

Ahad yang lepas, 23 November saya berkesempatan ke Kota Melaka yang baru semalam di tabalkan sebagai Bandaraya Warisan Dunia bersama dengan Georgetown. Sempat saya melihat upacara warna-warni penuh dengan tradisi sejarah bangsa dan negara di layar TV. Sungguh gembira para pembesar negara di atas pengiktirafan tersebut . Ini bermakna Melaka dan Georgetown akan menjadi satu lagi tarikan pelancong ke negara kita. Penyenaraian ini bermakna Melaka dan Georgetown telah menyertai 24 buah lagi kotaraya dunia yang telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan dunia.

Esoknya oleh kerana masih hangat bahang kegembiraan kerana Melaka sudah menjadi Kota Warisan Dunia, maka saya membuat keputusan untuk berjalan kaki disekitar Kota Melaka untuk merasai apa yang dimaksudkan dengan Warisan Dunia ini. Pastinya bila ke Melaka, dua bangunan yang begitu menonjol dan sentiasa ditonjolkan iaitu Kota A Famosa (warisan penjajah Portugis) dan Bangunan Stadhuys abad 17 (warisan penjajah Belanda). Warisan Empayar Melayu Melaka di mana ya?

Oh ya, ada replika Istana Sultan Melaka di sebelah Kota A Famosa. Selain itu? Oh ya, Dataran Pahlawan yang dipenuhi dengan kedai-kedai moden menjual barangan jenama terkenal antarabangsa. Jenama Melayu? Oh ada Batik Arfah! Jenama Malaysia? Emmmmm…. Ada ke Jenama Malaysia? Yang pasti banyak gerai yang menjual T-shirt bermotifkan Melaka terutama di depan replika Kapal Flor De La Mar (warisan Portugis lagi).

Kemudian saya menelusuri Sungai Melaka dengan bot penumpang atau River Cruise. Sungainya bersih dari sampah sarap, tetapi keruh. Dapatlah melihat Perkampongan Melayu Melaka di Kampong Morten(tak boleh ke ditukar ke nama yang lebih keMelayuan?) Waktu saya masih di sekolah rendah dahulu, bila menyebut Melaka, nama yang sentiasa terpahat diingatan saya ialah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Itulah pahlawan Melayu yang hebat sehingga mengharumkan nama Melaka sebagai sebuah Empayar Islam. Kata-kata Hang Tuah,’Tak Melayu Hilang Di Dunia’ sentiasa menjadi pembakar semangat. Kata-kata Hang Jebat juga sangat mempengaruhi jiwa saya iaitu,’Raja Adil Raja disembah, Raja zalim, Raja disanggah’. Dimanakah warisan pahlawan Melayu ini ?

ZIARAH MAKAM HANG JEBAT DAN HANG KASTURI
Saya menanyakan seorang pemuda yang menjaga parkir, di mana makam Hang Jebat? Dia kebingungan.Tak pasti Bang! Saya juga bingung dengan jawapan itu. Tanda arah ke Makam Hang Jebat amat tidak mencukupi di Kota Melaka. Mungkin kerana dia seorang penderhaka agaknya! Hanya orang yang benar-benar ingin menziarahinya saja yang akan berjumpa. Rupanya makam tersebut terselit di tengah-tengah deretan kedai masyarakat Tionghua di Jalan Kuli, di seberang Sungai Melaka dari Bangunan Stadhuys. Terdapat beberapa lagi kubur di samping Makam Hang Jebat.

Kemudian berjalan ke Jalan Hang Jebat atau yang lebih dipopularkan Jonker Street. Kebetulan ada pasar minggu yang dipenuhi dengan gerai-gerai menjual beraneka barangan. Sambil berjalan di sepanjang jalan tersebut, tanpa diduga saya terjumpa pula Makam Hang Kasturi di sebelah Tokong Cina. Tiada tanda arah, hanya kebetulan terjumpa. Apakah begini nasibnya pahlawan Melayu. Apakah makam ini bukan warisan Melayu yang perlu di tonjolkan?

PERIGI HANG TUAH BANYAK KHASIAT?

Begitu juga di perigi Hang Tuah. Hendak mencarinya bagi orang luar memerlukan panduan sebuah peta. Terpaksa tersesat seketika, baru sampai ke destinasi. Papan tanda arah hanya kelihatan bila kita sudah menghampiri perigi tersebut. Tiada yang menarik selain perigi dan beberapa catatan sejarah Hang Tuah. Tempat mandi juga disediakan bagi yang ingin mandi air perigi yang dikatakan tidak pernah kering itu. Ada khasiat, kata setengah orang.

MASJID SELAT LAMBANG KEISLAMAN MELAKA

Cuma yang agak melegakan sikit ialah pembinaan Masjid Selat di Pulau Melaka. Ini melambangkan peranan Islam di dalam pembinaan Empayar Melaka tersebut. Walaupun bangunan terbengkalai menyakitkan mata sebelum sampai ke Masjid tersebut, sekurang-kurangnya dengan terbinanya Masjid tersebut dengan senibina Islam moden boleh juga mengubat perasaan terkilan terhadap betapa kurangnya penonjolan sumbangan Islam di Kota Warisan Dunia ini.

MAKAM SULTAN AL-ARIFFIN SHEIKH ISMAIL R.A. DI PULAU BESAR

Saya juga merasa gembira kerana Perbadanan Muzium Melaka dengan kerjasama Muzium Koleksi Nurul A’la mengadakan satu pameran yang amat penting didalam memahami sejarah peranan ulama dan wali Allah di dalam pengembangan Islam di Melaka. Pameran ini amat penting bagi saya kerana telah menjawab persoalan yang begitu lama terpendam . Persoalan saya ialah siapakah ulama yang terkenal yang berperanan menyebarkan Islam di Melaka saperti Nuruddin ArRaniri, Abdul Rauf Singkel, Hamzah Fansuri di Acheh, Wali Songo di Kepulauan Jawa?
Saya mendapat jawapannya di dalam pameran tersebut dan di dalam buku Menyingkap Misteri Pulau Besar nukilan Ana Faqir atau Safuan bin Abu Bakar yang hadir membuat penerangan di Muzium tersebut. Mengikut buku tersebut, Sheikh Ismail adalah cicit Sheikh Abdul Qadir al-Jailani seorang tokoh Sufi ternama di zaman kerajaan Abbasiyyah. Beliau datang ke Alam Melayu dengan satu tujuan iaitu untuk menggembangkan ajaran Islam. Buku ini menarik dan mesti dibaca untuk memahami sejarah perkembangan Islam di Melaka. Ia juga akan menyingkap misteri Pulau Besar yang menjadi kontroversi amalan khurafat di makam Sheikh Ismail di Pulau Besar pada tahun 1991. Harga senashkah RM35 dijual di Muzium oleh penulis sendiri. Boleh minta otograf sekali!

Selamat melawat Melaka, Bandaraya Warisan Dunia. Jangan lupa lawat Makam Sheikh Ismail di Pulau Besar.

[+/-] Baca selanjutnya...

Thursday, November 27, 2008

BILAKAH AGAKNYA PERPOLITIKKAN NEGARA AKAN MATANG?

Apabila John McCain mengunjungi Barack Obama buat pertama kali di White House setelah bertempur hebat di gelanggang pilihanraya Presiden Amerika Syarikat yang ke 44 pada 17 November 2008 yang lalu, saya begitu kagum dengan kematangan mereka berpolitik. Berbulan-bulan lamanya mereka bertempur untuk memenangi hati pengundi, menggunakan pelbagai strategi yang pernah difikirkan, serang-menyerang mengenai pendirian politik masing-masing. Kadang-kadang terlajak menyentuh hal peribadi, ras dan agama. Akhirnya bila pengundi telah membuat keputusan, walaupun mengejutkan banyak pihak kerana terpilihnya seorang Presiden yang berdarah campuran kulit putih dan hitam, kedua mereka segera melupakan peristiwa pertarungan sengit tersebut dan boleh duduk semeja bagi membincangkan ‘What’s next for the nation’. Malah ketika wartawan menanyakan apakah McCain akan membantu pentadbiran Obama, dengan pantas beliau menjawab, ‘Sudah pasti !’

Saya termanggu-manggu sejenak bila membaca berita tersebut dan mulai merenung akan realiti yang berlaku di negara tercinta, Malaysia. Apakah mungkin Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang duduk semeja secara terbuka membincangkan masa depan negara pasca pilihanraya? Apakah mungkin Ketua Pembangkang selalu dirujuk sesuai dengan peranannya dalam konteks ‘check and balance’ di dalam sistem demokrasi?

Apakah mungkin ini semua boleh berlaku di Malaysia?

Rasanya berdasarkan sejarah setakat ini, politik Malaysia belum lagi sampai ke tahap kematangan berpolitik di Barat. Sejarahnya hingga kini, Parti Pembangkang walaupun sah di segi sistem demokrasi berParlimen, sentiasa dianggap dan diperlakukan sebagai musuh yang perlu dihancurkan di setiap kesempatan yang ada. Negeri yang dikuasai Pembangkang sentiasa dianaktirikan, dipulau dan diperlakukan apa saja bagi melemahkannya agar di dalam pilihanraya akan datang negeri tersebut dapat dirampas kembali. Sebagai tindak balas pula, Parti Pembangkang akan membangkang apa jua isu yang dibawa Parti Pemerintah kerana premisnya sama iaitu demi survival Parti, bukan survival negara atau ummah.

Saya teringat pada tahun 1993, Ketua Pembangkang New Zealand ketika itu, Helen Clark (kemudiannya beliau berjaya menjadi Perdana Menteri sehingga baru baru ini tewas dan kembali menjadi Pembangkang) telah melawat pejabat ABIM bagi membincangkan mengenai hubungan New Zealand dengan NGO-NGO di Malaysia. Apa yang menarik ialah lawatan beliau diatur oleh Kedutaan New Zealand di Malaysia dan beliau dilayan saperti Menteri Kabinet walaupun status beliau adalah Ketua Pembangkang. Lawatan beliau pula adalah untuk kepentingan negara New Zealand, bukan untuk kepentingan Parti, apalagi untuk menjatuhkan Parti Pemerintah. Saya dan Fan Yew Teng yang ketika itu menjadi Pengarah Eksekutif di Center for Peace Initiatives (CENPEACE), membuat komen, bila agaknya politik Malaysia boleh sampai ke tahap kematangan politik sedemikian rupa.

Mungkinkah bila sistem dua parti, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat menjadi realiti, baru kematangan politik akan berlaku? Mungkinkah? Emmmmmm…………

[+/-] Baca selanjutnya...

Thursday, November 20, 2008

DARUL QURAN BERPOTENSI MELAHIRKAN PENDAKWAH GLOBAL

Semalam, Selasa 18 November 2008, rombongan Yayasan Jaringan Global Masadepan(Future Global Network Foundation –FGN) telah membuat kunjungan ringkas ke Kompleks Darul Quran di Kuala Kubu Bharu. Tujuannya ialah untuk mendapat maklumat lanjut mengenai program Tahfiz yang merupakan suatu program yang semakin popular di kalangan Masyarakat Melayu di negara ini. Lawatan ini penting kerana FGN turut terlibat di dalam usaha untuk membangunkan projek Madinah al-Nur sebuah Kompleks Islam, Dakwah dan Tarbiah Serantau di Kg.Sg.Chinchin, Gombak yang masih dalam fasa perancangan dan pengumpulan dana.

Ustaz Azhari Othman, Abdul Muin Salleh dan Mohd Hanafi Yusoff telah sudi memberikan taklimat mengenai program di Darul Quran JAKIM. Di dalam taklimat telah dinyatakan bahawa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ingin melihat satu hari nanti Darul Quran menjadi sebuah Universiti Tahfiz Pertama di Asia Tenggara. Impian ini ada asasnya kerana buat masa ini Darul Quran telah mendidik pelajar-pelajar dari Kemboja,Thailand,Brunei,Singapura dan Indonesia.

Buat masa ini Darul Quran menawarkan 3 kursus iaitu Diploma Tahfiz al-Quran, Sijil Tahfiz al-Quran/UIAM dan Sijil Tinggi Tarannum al-Quran. Seramai 750 orang pelajar sedang mengikuti kursus-kursus ini.

ORIENTASI DARUL QURAN HARUS BERSIFAT GLOBAL

Saya memberikan pendapat bahawa Darul Quran berpotensi untuk melahirkan para pendakwah global yang bakal menjadikan Malaysia sebagai pusat melahirkan ulama dan pendakwah di seluruh dunia. Justeru itu selain dari menguasai ilmu asas Al-Quran,i lmu kepimpinan , pembangunan komuniti, perbandingan agama dan penguasaan Bahasa Asing adalah sangat penting. Saya berhujah bahawa dalam masa 5 – 10 tahun nanti, graduan Darul Quran akan begitu ramai. Kerajaan tidak akan mampu untuk menawarkan pekerjaan di Jabatan Agama khususnya. Begitu juga jawatan Imam di Masjid di seluruh negara akan sampai ketahap optimum. Jadi sekiranya pelajar tidak dipersiapkan untuk berperanan di peringkat global, kita bimbang para graduan nanti menganggur atau melakukan pekerjaan yang tidak bersesuaian.

Juga di samping itu, peranan Malaysia amatlah diperlukan di dalam isu pembangunan umat Islam serantau seperti di Kemboja, Thailand, Filipina. Alangkah baiknya sekira graduan Darul Quran yang terlatih di bidang pembangunan komuniti dapat dihantar bertugas seperti Peace Corps tajaan Amerika Syarikat yang bertujuan untuk menggembangkan faham demokrasi melalui kerja kesukarelaan. Graduan Darul Quran bukan sahaja seorang hafiz dan imam solat, tetapi juga adalah penggerak masyarakat, agen perubahan. Dengan cara ini, citra Malaysia sebagai negara Islam akan lebih menyerlah dengan peranan para pendakwah muda ini.

Malah kalau perlu, pengajian harus ditambah setahun lagi bagi melatih ilmu-ilmu kemasyarakatan, ilmu perbandingan agama dan bahasa asing, khususnya Bahasa Inggeris. Memang cadangan ini nampak radikal, tetapi saya yakin sekiranya semua pihak sanggup berganding bahu, usaha murni ini boleh dijayakan. Malah saya menawarkan pengalaman dan wilayah pengaruh yang ada di dalam Union of NGOs of the Islamic World (UNIW) yang berpusat di Turki untuk membantu merealisasikan cita-cita ini.

LAMBAKAN GRADUAN AGAMA,MENAFAATKAN UNTUK DAKWAH SERANTAU

Kemudian, saya juga prihatin terhadap isu lambakan graduan jurusan agama dalam dan luar negara yang jumlahnya semakin ramai setiap tahun. Di Universiti Al-Azhar sahaja pada setiap masa, jumlahnya sudah menjangkau 5 ribu orang. Di samping itu setiap negeri sudah menubuhkan Kolej Agama dan Maahad Tahfiz masing-masing. Ada yang menubuhkan Kolej Universiti yang nantinya akan dinaiktaraf menjadi sebuah Universiti. Sekiranya tiada perancangan strategik dibuat dari sekarang mengenai masa depan graduan agama ini, kebimbangan saya ialah akan bercambah pula masalah-masalah baru seperti ajaran sesat, kumpulan agama yang berbagai orientasi, persaingan merebut pengaruh sesama sendiri dan lain-lain .

Saya mencadangkan agar graduan agama ini diberi ilmu tambahan dalam methodologi dakwah untuk serantau. Mereka harus didedahkan dengan ilmu perbandingan agama. Kalau nak berdakwah di Thailand, ajaran Budda harus dikuasai, kalau di Filipina, ajaran Keristian pula. Di samping itu ilmu kepimpinan dan pembangunan komuniti harus diberi pendedahan.

PENGALAMAN GRUP PENGKAJI TAMADUN DUNIA (GPTD) HARUS DI KAJI

Saya yakin ide ini boleh dilaksanakan kerana ianya telah pun dilaksanakan di dalam GPTD yang telah diasaskan beberapa tahun yang lalu. Malah pada waktu ini, GPTD telah menghantar 3 misi dakwah, satu kumpulan enam orang sekarang berada di Sri Lanka, seorang di Kepulauan Cocos, Australia dan seorang sedang menguasai Bahasa Turki di Istanbul.

Bayangkan sekiranya ide ini diangkat menjadi projek sukarelawan dakwah negara yang mana misinya menggembangkan dakwah di peringkat serantau, nama Malaysia akan menjadi terkenal sebagai pusat penggembangan dakwah serantau. Para pendakwah muda bertebaran menyebarkan ilmu Islam. Akan ada yang terus bermastautin kerana berkahwin orang tempatan, akan ada nanti yang akhirnya menjadi peniaga, ada pula yang menjadi pemimpin tempatan, dan macam-macam lagi kemungkinan. Nantinya akan ujud komuniti Melayu di merata tempat sebagaimana komuniti Cina dan India yang ada di merata dunia.

Apakah saya hanya bermimpi?

[+/-] Baca selanjutnya...

Tuesday, November 18, 2008

BANGSA ROHINGYA – BANGSA TANPA NEGARA MEMOHON PENGERTIAN DAN SIMPATI

Semalam saya mengadakan satu pertemuan dengan para ulama Rohingya yang berada di Malaysia. Mereka telah menubuhkan Majlis Ulama Rohingya (MUR) yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman agama masyarakat Rohingya yang jumlahnya sekitar 15 ribu jiwa di seluruh negara.

Interaksi saya dengan masyarakat Rohingya bermula sejak mereka dipaksa meninggalkan Burma oleh Rejim Tentera pada tahun 1992. Kesalahan mereka ialah kerana agama dan cara hidup mereka berlainan dengan majoriti penduduk Burma yang beragama Buddha. Rejim Tentera Burma (sekarang telah ditukar nama kepada Myanmar) tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyat Burma. Malah menuduh mereka sebagai rakyat Bangladesh yang memasuki Burma secara haram. Mereka telah dihalau begitu saja tanpa peri kemanusiaan. Ramai yang sengaja dibunuh sebagai strategi menakutkan masyarakat tersebut supaya segera meninggalkan Burma.

Menuntut Kesabaran yang Tinggi

Ketika itu sebagai pemimpin ABIM, saya telah mengambil peranan untuk membela nasib masyarakat Rohingya dengan menyuarakan masalah yang mereka hadapi dan juga menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan kemandirian mereka di negara ini sebagai pendatang yang tidak diiktiraf sebagai pelarian. Bahasa mudahnya mereka ini adalah pendatang haram yang tidak mempunyai negara. Burma tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegaranya. Ya, tidak punya negara. Di sinilah dilemma kerajaan Malaysia. Kalau ditangkap, mahu dihantar ke mana? Sekiranya mereka mempunyai negara, mereka boleh diiktiraf sebagai pelarian yang mana haknya dijamin oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Begitulah nasib pendatang Rohingya yang terumbang-ambing sejak 1992 iaitu sudah 16 tahun. Apabila ditangkap kerana tidak mempunyai dokumen sah, akan dipenjarakan, kemudian dihantar ke Thailand. Di Thailand pula nasib serupa yang menimpa. Bagi mereka yang lari ke Bangladesh, hidup mereka juga susah walau mendapat simpati yang lebih kerana faktor sejarah. Tetapi Bangladesh adalah negara miskin yang tidak mampu untuk menganggung begitu ramai pendatang.

Akhirnya dalam keadaan yang tidak menentukan ini, masyarakat Rohingya berada dalam keadaan yang amat tertekan. Mereka tidak boleh bekerja untuk menyara diri dan keluarga, anak-anak mereka tidak boleh bersekolah. Cuba bayangkan macamana mereka boleh hidup? Itu sebab ramai yang meminta sedekah. Ada juga yang berkerja secara haram. Ramai juga majikan yang mengambil kesempatan atas kesusahan ini dengan membayar gaji yang terlalu rendah dan menindas. Lebih malang lagi, mereka sentiasa di dalam ketakutan setiap masa. Takut ditangkap polis, RELA dan Imigeresen. Kadang-kadang, bapa ditangkap, anak isteri terbiar. Berbulan-bulan lamanya dipenjara. Sementara itu, siapa yang nak menampung sara hidup keluarga tersebut? Begitulah sekelumit masalah yang dihadapi oleh masyarakat yang ini.

Atas kesedaran inilah saya mencuba untuk membantu mereka . Pertama atas dasar sesama Islam, kedua atas dasar kemanuasiaan. Namun demikian, menjaga masyarakat Rohingya ini bukanlah mudah. Perlu kesabaran yang tinggi. Oleh kerana pengalaman pahit yang mereka lalui, mereka tidak mempercayai sesiapa pun. Hatta sesama sendiri sentiasa curiga-mencurigai. Bagi yang bernasib baik, punya keluarga diluar negara yang membantu, hanya mementingkan diri sendiri. Sangat susah untuk bekerjasama. Kalau yang pandai sikit, masing-masing mahu menjadi pemimpin. Ada yang sanggup bekerja dengan siapa saja asal mendapat duit. Bagi yang dah ada ijazah, minatnya hanya satu iaitu nak bermastautin ke negara Barat saperti Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain. Soal membangun dan membela masyarakat Rohingya yang daif, soal nombor dua.

Rohingya Information Centre – berebut menjadi ketua

Saya cuba satukan mereka dengan menubuhkan Rohingya Information Centre di bawah kelolaan ABIM. Hanya bertahan selama 8 tahun. Kemudian berlaku rampasan kuasa di mana Presidennya Sawmeeullah (seorang lulusan Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang Sarjana Undang-Undang Perbandingan yang pernah bekerja dengan ABIM) dipecat ketika Hari Raya ketiga tahun 2006. Isunya kerana ada seorang pemimpin baru yang kononnya lebih baik dari Sawmeeullah. Akibatnya, RIC hidup segan mati tak mahu, kerana tidak lama selepas itu, Presiden yang baru pula menghilangkan diri setelah tembelangnya diketahui umum.

Jadi pertemuan saya dengan para Ulama Rohingya ini yang katanya berjumlah 300 orang dari 15000 pendatang adalah dalam rangka untuk meningkatkan kualiti kefahaman Islam. Mudah-mudahan masyarakat Rohingya akan lebih Islamik di dalam menghadapi apa jua ujian daripada Allah ta’ala.

[+/-] Baca selanjutnya...

Thursday, November 13, 2008

KOMEN SIKIT - Komentar terhadap isu terpilih

Bahasa Melayu dah nazak!


Tun Rahman memang saya kagumi semangat kentalnya memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Sekarang ni dah tak berapa kedengaran mengenai Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Dah jadi Bahasa Malaysia pulak. Apa nak jadi ni? Dah banyak pakar Bahasa dan intelektual yang sedar yang membantah pelaksanaan Bahasa Inggeris didalam pengajaran Sains dan Matematik. Kajian demi kajian telah membuktikan dasar ini adalah sangat salah. Ianya membunuh Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu. Korea, Jepun, China,Taiwan semuanya maju dengan Bahasa sendiri.

Mempertahankan dasar ini setelah nyata membawa banyak keburukan kepada pembinaan jiwa bangsa adalah sikap yang bebal. Lebih malang lagi yang mempeloporinya ialah pemimpin UMNO sendiri yang kononnya memperjuangkan untung nasib orang Melayu. Bahasa apa lagi yang boleh dipakai untuk mereka faham. Berbagai mesej telah dihantar. Pilihanraya yang lalu juga boleh dibaca sebagai undi protes kepada dasar ini. Takkan tak faham lagi. Kalau sayangkan bangsa, bukan begini caranya. Hanya dengan menggembalikan dasar Bahasa Melayu kepada status quo yang mengikut Perlembagaan Negara saja adalah satu-satunya jalan yang mesti diambil. Tiada jalan lain. Kata Tun Rahman itu adalah gambaran pandangan dari akar umbi dan pakar serta intelektual Melayu yang faham dan sedar akan masa depan Bangsa Melayu.

Datuk Seri Hishammuddin, buatlah sesuatu yang berani dan tegas. Datuk akan sangat dihormati dan dianggap pejuang Bangsa yang sejati oleh anak cucu nanti. Saya masih mengharap buat kali terakhir..........!

Sila baca kenyataan Tun Abdul Rahman Yakub dalam Bernama.com 12 November 2008.




KUCHING, 12 Nov (Bernama) -- Tun Abdul Rahman Yakub berkata kedudukan Bahasa Malaysia (BM) akan terus terpinggir sekiranya subjek Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris (BI).
Bekas Menteri Pelajaran itu yang bertanggungjawab melaksanakan sistem pendidikan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada tahun 1970, berkata Bahasa Malaysia patut dikembalikan menjadi bahasa pengantar bagi meningkatkan peranan bahasa tersebut dalam sistem pendidikan negara.

"BM akan dipinggirkan, tak patut jika (pengajaran dalam BI) diteruskan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Wacana Ilmu: Pembangunan Pendidikan Di Sarawak pada Rabu.

Abdul Rahman berkata isu yang membabitkan pendidikan negara perlu diserahkan kepada pakar pendidikan untuk merancang sementara tugas ahli politik adalah menerima segala cadangan sebelum sesuatu dasar pendidikan diperkenal dan dilaksanakan.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak dari 1970 hingga 1981 dan Yang Dipertua Negeri Sarawak selama lima tahun bermula 1981, berkata sekiranya sesuatu keputusan berkaitan sistem pendidikan negara dibuat oleh golongan bukan benar-benar pakar dalam bidang tersebut, ia mungkin gagal mencapai objektif yang dikehendaki.

Semasa ceramahnya yang dianjurkan Institut Aminudin Baki, Abdul Rahman berkata tindakan menggunakan BI merupakan tindakan mundur ke belakang dan bukan ke depan.

"Saya tidak setuju," katanya dengan diberi tepukan gemuruh para peserta yang majoritinya merupakan golongan pendidik.

Katanya ramai golongan akademik dan profesional yang pernah mengikuti sistem pendidikan yang menggunakan BM sebagai bahasa pengantar, kini berjaya dalam bidang masing-masing.

Beliau berkata ini membuktikan BM bukan halangan untuk pelajar berjaya dalam subjek-subjek berkenaan.

"Kejayaan pelajar menguasai Sains dan Matematik bukan sahaja bergantung kepada bahasa pengantar, namun kombinasi pelbagai faktor yang hanya boleh dikesan dan dihuraikan oleh pakar pendidikan," katanya.

Turut bercakap kepada pemberita, bekas Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah berkata, kajian terperinci dan berhati-hati perlu dilakukan sebelum membuat perubahan berkaitan dasar pendidikan.

Katanya keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bukan merupakan kaedah yang sesuai dalam menilai tahap pencapaian dan penguasaan Bahasa Inggeris menerusi kedua-dua subjek tersebut, kerana soalan dalam UPSR kebanyakkannya adalah berbentuk objektif.

"Kita tidak dapat tahu atau menilai sama ada mereka memahami soalan tersebut," katanya sambil mencadangkan supaya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ibunda murid-murid pada tiga tahun pertama di Sekolah Rendah supaya murid memahami dengan mendalam konsep subjek berkenaan.

Dr Adi Badiozaman berkata aspek pembelajaran BM dan BI perlu dimantapkan di peringkat awal persekolahan supaya murid tidak mengalami masalah apabila mereka menlanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini dilaporkan sebagai berkata keputusan sama ada pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris akan diteruskan atau tidak, hanya akan dibuat selepas keputusan UPSR tahun ini dinilai.

Keputusan peperiksaan UPSR akan diumumkan Khamis (hari ini).

-- BERNAMA

[+/-] Baca selanjutnya...

Tuesday, November 11, 2008

SANTUNAN HADITH – Ruangan peringatan dari RasuluLlah s.a.w.

Manusia bermusuh kerana harta dan tahta

Dari Abdullah bin Amr Ash, RasuluLlah s.a.w. bertanya kepada para sahabat, "Jika Persia dan Romawi telah berhasil ditaklukkan untuk kalian, bagaimana keadaan kalian ketika itu?”
AbdurRahman bin Auf menjawab, "Kami akan bersikap seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.

Rasul menyanggah, Atau, tidak akan begitu! Kalian akan berlomba-lomba dan bersaing, kemudian kalian akan hasad, selanjutnya kalian akan saling membelakangi dan kemudian akan saling membenci.”
(Hadith ini sahih diriwayatkan Imam Muslim dalam kitab Sahihnya bab Zuhud dan Raqaiq (kelembutan jiwa),Hadith nombor 7616)

Huraian:

Hal begini bakal berlaku bila kekuasaan dan kekayaan berada ditangan umat Islam. Apabila perintah Allah s.w.t. mulai diabaikan ketika tahta dan harta sudah ditangan, maka 4 TA akan berlaku yang menyebabkan tahta dan harta hilang kembali. 4 TA tersebut ialah pertama, Tanafus iaitu saling berebut dan bersaing untuk mendapatkan dan tidak suka jika orang lain yang mendapatkannya. Kedua, Tahasud iaitu saling hasad, iri dan dengki. Berbagai cara akan dilakukan agar kenikmatan yang dirasai saudaranya hilang. Ketiga Tadaabur iaitu saling membelakangi, tidak bertegur sapa dan memutuskan sebarang bentuk hubungan dan komunikasi. Keempat, Tabaghudh iaitu saling membenci, kata-mengata, fitnah memfitnah. Ukhuwwah menjadi putus, permusuhan semakin marak dan mendalam.

Baru semalam di dalam satu perbincangan mengenai perjanjian untuk projek kerjasama, timbul satu isu mengenai betapa perlunya kita membuat perjanjian yang jelas hatta dengan saudara kandung sendiri bagi mengelakkan permusuhan. Kita tidak boleh mengambil sikap tak apa, sikap ambil mudah kerana mempercayai seseorang. Bila soal harta dan tahta, manusia akan cepat berubah dan kelabu mata. Malah pepatah Melayu ‘air dicincang tak akan putus’ yang menggambarkan perbalahan sesama saudara tidak akan memutuskan persaudaraan perlu dikaji semula. Persoalannya bagaimana kalau air tersebut dah dibekukan. Bukankah boleh diputus dua dengan gergaji? Maknanya selagi dua pihak boleh berlembut dan tidak membeku dengan sikap tidak mahu bertolak ansur, maka persaudaraan masih dapat diselamatkan. Kalau tidak berantakkanlah jadinya. Fikirkanlah……….!

(Sedutan dari Majalah Al-Mujtama Edisi 5, 12 Sya’ban 1429/14 Ogos 2008)

[+/-] Baca selanjutnya...

Friday, November 7, 2008

POLITIK GLOBAL

OBAMAMANIA - HARAPAN DUNIA UNTUK KEAMANAN

Kemenangan Senator Barack Hussein Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke 44 pada 20 Januari 2009 nanti telah mencetuskan fenomena OBAMAMANIA di seluruh dunia. Latarbelakang beliau yang rencam telah menyebabkan masing-masing merasakan Obama adalah sebahagian daripada mereka. Bapanya berbangsa Kenya, maka seluruh rakyat Kenya berbangga dengannya. Malah Presiden Kenya, Mwai Kibaki telah mengisytiharkan cuti umum sebagai tanda sokongan dan kegembiraan rakyat Kenya.
Bapa tiri beliau Lolo Soetoro berbangsa Indonesia dan beragama Islam, maka rakyat Indonesia dan umat Islam turut menyokongnya dengan harapan beliau akan membawa keamanan kepada dunia. Malah kami di dalam mesyuarat NGO Islam sedunia memanggil beliau Hussein bukan Obama sebagai tanda harapan agar beliau dapat menghubungkan Islam dan Barat dengan lebih beradab dan bertamadun.

Beliau adalah pemimpin kulit hitam, maka masyarakat Afro-Amerika dan seluruh Benua Afrika menyokong beliau dengan harapan beliau akan melayani Benua Afrika dengan adil dan saksama. Masyarakat Afro-Amerika begitu berbangga dengan beliau kerana akhirnya masyarakat tersebut dapat menyaksikan satu sejarah buat pertama kalinya Amerika Syarikat menerima Presidennya dari kalangan mereka. Suatu impian yang mustahil sebelum ini. Martin Luther King pasti gembira sekiranya beliau masih hidup. Tangisan Jesse Jackson yang kalah dua kali dalam cubaannya untuk menjadi Presiden, menggambarkan kegembiraan masyarakat tersebut.

Ibu beliau berkulit putih dari Kansas, maka majoriti rakyat Amerika Syarikat yang berkulit putih turut merasakan Obama adalah sebahagian daripada mereka. Beliau mengaku adalah seorang yang kuat berpegang dengan ajaran Keristian dan menganggotai Trinity United Church of Christ di Chicago selama 20 tahun. Masyarakat Keristian tidak akan merasa terancam dan lega dengan pengakuan tersebut. Namun di dalam kehangatan kempen pemilihan, Obama terpaksa menarik diri dari ahli gereja Trinity kerana beberapa kenyataan Padrinya yang dianggap boleh menjejaskan peluangnya untuk memenangi pilihanraya Presiden.

Apa yang pasti OBAMAMANIA akan terus menjadi suatu fenomena yang menarik ketika dunia dilanda krisis peperangan, krisis kewangan dan krisis alam sekitar. Sokongan kuat terhadap beliau menggambarkan rakyat Amerika Syarikat sudah penat dan malu dengan Dasar Presiden Bush yang angkuh dan sombong. Sokongan dunia kepada beliau adalah gambaran harapan untuk kedamaian.

OBAMA DAN LOBI ZIONIS
Namun demikian didalam euphoria kegembiraan meraikan kemenangan Obama, kita tidak harus lupa kepada realiti pengaruh Lobi Zionis yang begitu mengakar didalam sistem politik dan kewangan Amerika Syarikat. Adalah terlalu naïf sekiranya kita mengandaikan dengan jawatan Presiden itu, Obama akan dapat melakukan sesuatu yang drastik terutama untuk memberi keadilan kepada isu Palestin dan keamanan dunia amnya.

Mengikut laman sawang OpenSecrets.org, Obama telah berjaya mengumpul dana untuk pemilihan Presiden berjumlah US639,174,282 yang merupakan jumlah terbesar yang pernah dikutip didalam sejarah pemilihan Presiden Amerika Syarikat. Persoalannya, dari mana dana sebesar itu yang boleh dikutip oleh seorang Senator yang baru berkhidmat selama satu penggal dan bukan pula dari kalangan pemimpin kulit putih. Walaupun persoalan ras tidak begitu lagi ditonjolkan, tetapi isu ini tetap menjadi faktor penting yang menentukan. Cuba baca respon ahli Parti Republikan bila Obama menang sebagai Presiden? Antara yang begitu ketara ialah kenyataan saperti, "Selepas empat tahun di bawah Obama, Amerika tidak akan sekali-kali membenarkan seorang sepertinya menjadi Presiden”. Ini mungkin kenyataan orang tengah marah, tetapi itulah realiti dan cabaran sebenar.

Kenyataannya, Obama mulai mendapat dokongan dari Lobi Zionis setelah beliau membuat ucapan di awal tahun 2007 di dalam Majlis American Israel Public Affairs Committee (AIPAC) sebuah pelobi Zionis yang paling berpengaruh di Amerika Syarikat. Di Majlis tersebut beliau menegaskan saperti berikut, we must preserve our total commitment to our unique defense relationship with Israel by fully funding military assistance and continuing work on the Arrow and related missile defense programs.

Kenyataannya, Obama telah melantik Rahm Israel Emanuel, sebagai White House Chief of Staff, satu jawatan terpenting dalam Pejabat Presiden. Rahm Emanuel terkenal sebagai pemimpin Amerika Syarikat yang sokongannya kepada Israel sangat mendalam .Beliaulah nanti akan menentukan halatuju Presiden dengan melantik pegawai-pegawai yang tentunya syarat utamanya mesti pro-Israel.

APAKAH SEPATUTNYA SIKAP UMAT ISLAM TERHADAP OBAMA?

Apa pun yang akan dibuat oleh Obama nanti, umat Islam seharusnya bersikap positif dan proaktif. Memang secara jujurnya umat Islam terbahagi kepada dua pola pemikiran yang sangat bertentangan.

Pertama, ialah mereka yang berpandangan bahawa sesiapa juga yang menjadi Presiden Amerika Syarikat, baik Republikan maupun Demokrat, dasar Amerika terhadap Islam tetap sama. Ini adalah kerana pelobi Zionis tidak akan membiarkan sesiapa jua yang akan merobah dasar Amerika yang pro-Israel. Presiden Carter dah mencuba, Presiden Clinton juga sama. Presiden Bush lagi parah. Kesemuanya kecundang di tangan pelobi Zionis yang begitu mencengkam politik dan ekonomi Amerika. Justeru, kita harus jangan mengharap apa-apa dari Obama.

Kedua pula berpendapat, latarbelakang Obama memungkinkan beliau akan lebih terbuka dan berlapang-dada dengan dunia Islam. Memang pelobi Zionis tidak akan berdiam diri, tetapi sekiranya dunia Islam menjauhkan diri, maka Obama akan terus menjadi lemah. Politik Amerika, bagi yang mengerti amat dipengaruhi oleh Kumpulan Pelobi. Banyak kumpulan pemikir bagi banyak kepentingan menjadi pelobi kepada isu-isu kepentingan mereka. Mengapa dunia Islam tidak menggunakan saluran yang sah ini untuk melakukan perkara yang sama. Membiarkan pelobi Zionis bermaharajalela bermakna kita sudah mengaku kalah sebelum berbuat apa-apa.

Apa pun sikap kita, Obamamania adalah suatu fenomena yang tidak patut berlalu begitu saja. Dunia Islam harus proaktif. Obama pernah terdedah dengan dunia Islam. Keluarga ayahnya berketurunan Islam. Beliau pernah belajar di Indonesia dan terdedah dengan agama Islam sejak kecil. Jadi, dunia Islam sudah ada common point untuk memulakan policy of engagement. Apa yang perlu sekarang ialah pemimpin yang mempunyai pemikiran strategik yang mampu engage Obama. Dunia Islam menantikan dengan penuh debar dan harap.

[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, November 5, 2008

Rehat minda – (Ruangan santai dan anekdot pilihan)

Makanan laut di Sulawesi paling sedap setakat ini !


Sudah menjadi kegemaran saya untuk mencuba makanan kegemaran tempatan setiap kali berkunjung ke luar negara. Antara kegemaran saya ialah makanan laut atau 'seafood’ bagi yang dah malu nak menggunakan Bahasa Melayu.

Saya dah cuba makanan laut di Belawan, Medan, Tom Yam di Thailand dan juga Restoran Tom Yam yang berlambak di Kuala Lumpur. Malah ketika Juara Tom Yam baru di buka di Kampong Bharu, saya merupakan antara pelanggan awal di tahun 1987. Ketika itu saya bekerja dengan Saudara Kamaruddin Md.Nor di pejabat WAMY,Jalan Ampang Hilir. Beliaulah yang mengajak saya untuk makan di situ. Itulah pertama kali saya merasai masakan Tom Yam. Kegemaran saya ialah masakan ikan kerapu masam manis, udang goreng tepung dan burung puyuh goreng (kalau ada)

Baru-baru ini ketika lawatan ke Makassar dan Pare-Pare, Sulawesi mengetuai Ekspedisi Pendidikan WADAH dari 18 -22 Oktober 2008, kesempatan ini memang terbaik untuk merasai makanan kegemaran tempatan orang di Sulawesi. Katanya makanan laut disini sangat terkenal. Rombongan kami di bawa ke Restoran Ratu Gurih berdekatan Pantai Losari, Makassar dan juga Restoran di Hotel Kenari Bukit Indah, Pare-Pare.

Wow! Memang lazat dan menyelerakan. Di Ratu Gurih, habis licin tidak berbaki. Ustazah Harison, isteri Ustaz Mahidin yang juga mantan Pengetua Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMAKL) yang turut serta sampai tercekik tulang ikan. Kesian saya lihat dia kerana dua hari yang berbaki beliau nampaknya tak berapa selera makan kerana tulang masih terlekat di kerongkong. Masing-masing bagi petua. Ada yang suruh telan nasi yang dah dikepal bulat, kemudian telan perlahan-lahan. Ada yang suruh baca ayat-ayat tertentu. Pastinya Ustazah dah tak berapa nak bercakap. Tahan sakit. Ustaz Mahidin nampak tenang saja walaupun ternyata bimbang.

Itulah penangan makanan laut di Sulawesi. Paling sedap setakat ini. Kalau ada yang nak cadangkan tempat lain, harap beritahu saya. Pasti nak cuba. Ini sajalah hiburan orang dakwah.......!!!

[+/-] Baca selanjutnya...

Tuesday, November 4, 2008

Kunjungan Ali Kurt, pemimpin Yayasan Hayrat, Turki

Pejabat Future Global Network selalu dikunjungi oleh pemimpin NGO dan Gerakan Islam dari seluruh dunia. Ini adalah juga kerana kapasiti saya selaku Pengerusi Suruhanjaya Sosial, Kemanusiaan dan Solidariti, Union of NGOs of the Islamic World (UNIW) yang beribu pejabat di Istanbul, Turki.

Baru-baru ini Ali Kurt yang merupakan pemimpin utama Yayasan Hayrat, Turki telah berkunjung ke Malaysia atas urusan Yayasan dan juga perniagaan. Ali adalah juga Penolong Setiausaha Agung UNIW.

Yayasan Hayrat adalah sebuah yayasan yang bergiat atas dasar Dakwah yang diasaskan oleh Ustaz Badiuzzaman Said Nursi (1876 – 1960) seorang pendakwah terkenal yang menyelamatkan aqidah umat Islam Turki dari Faham Sekularisma Kamal Ataturk (1881 – 1938). Sepanjang 84 tahun kehidupannya penuh dengan ujian berat yang dikenakan terhadapnya kerana menentang faham sekularisma yang cuba dipaksakan oleh Kamal Ataturk terhadap umat Islam Turki. Beliau dipenjarakan, dibuang daerah, diracun, diseret ke Mahkamah atas kesalahan yang direka cipta, sehingga apabila beliau meninggal dunia, jenazahnya digali dan dikuburkan di tempat yang dirahsiakan sehingga hari ini.

Di sepanjang hidup beliau yang penuh tribulasi tersebut beliau tidak pernah mengeluh. Malah beliau tetap terus berdakwah bagi menyelamatkan aqidah umatnya melalui tulisan –tulisan yang kemudian dibukukan yang berjudul Risalah-i-Nur. Buku inilah yang menjadi panduan penting bagi pengikut beliau di dalam Yayasan Hayrat.

Selepas beliau meninggal dunia, urusan kepemimpinan telah diserahkan kepada Ustaz Ahmad Husrev Altinbasak yang merupakan pengikut yang paling setia. Selepas itu Yayasan Hayrat di pimpin oleh Ustaz Said Nuri sehingga sekarang.

Kunjungan Ali Kurt serta rombongannya sangat besar ertinya kepada saya kerana umat Islam Turki nampaknya sudah semakin aktif memainkan peranan menggerakkan semula ruh al-Islam di seluruh dunia.

[+/-] Baca selanjutnya...