Thursday, July 4, 2013

PENGAJARAN: Buku “Inside the MUSLIM BROTHERHOOD, The Truth about the world’s most powerful political movement”

Pengajaran Pertama: Perjuangan Islam Menuntut Pengorbanan. Memang menjadi Sunnatullah, perjuangan untuk menegakkan Islam sebagai dasar kehidupan bernegara bakal menghadapi fitnah dan mehnah. Perjuangan ini menuntut pengorbanan yang sangat tinggi, hatta nyawa sekalipun. Youssef Nada telah menceritakan sebahagian dari pengorbanan dan pahit getir perjuangan yang dilalui oleh pendukung Ikhwan Muslimin.  Sejak Ikhwan Muslimin ditubuhkan pada tahun 1928 oleh Al-Syahid Imam Hassan al-Banna, sebagai reaksi kepada keruntuhan Khilafah Uthmaniyyah Turki pada 1924 dan era Penjajahan Barat terhadap Dunia Islam, perjuangan Ikhwan Muslimin tidak pernah ‘disambut dengan permaidani merah’. Ikhwan Muslimin merupakan gerakan kerakyatan yang sangat berpengaruh dalam menuntut kemerdekaan dari Penjajah British.  Atas nasihat Penjajah British,
kerajaan boneka pimpinan Perdana Menteri Mahmoud Fahmy Nokrashy Pasha telah mengharamkan Ikhwan Muslimin pada November 1948.  20 hari kemudiannya beliau mati dibunuh dan Ikhwan dituduh menjadi dalangnya.  Sebagai tindak balas terhadap pembunuhan tersebut, pada 12 Februari 1949, Hassan al-Banna mati syahid ditembak oleh agen Kerajaan Mesir ketika itu yang sebenarnya sebagai langkah untuk mengekang pengaruh Ikhwan dari berkembang dan menggugat kerajaan.  Kemudian akibat daripada kononnya percubaan untuk membunuh Presiden Gamal Abdel Nasser pada pada 26 Oktober 1954, lebih daripada 300,000 ahli Ikhwan telah ditangkap. Youssef Nada turut ditahan dan dipenjarakan selama 2 tahun. Ketika itu beliau baru berumur 23 tahun.  Ramai tokoh Ikhwan dipenjarakan bersamanya termasuklah Sheikh Yusuf al-Qaradawi, Sheikh Muhammad al-Ghazali dan Sayyid Qutub (yang kemudiannya mati syahid di tali gantung). Malah hampir kesemua pemimpin Ikhwan Muslimin termasuk Presiden Morsi pernah dipenjarakan.  Berkat pengorbanan mereka maka Ikhwan Muslimin akhirnya ditakdirkan menjadi peneraju utama pemerintahan Mesir pada hari ini.
As-Syahid Imam Hassan al-Banna telah mengungkapkan hal pengorbanan dengan ungkapan yang sangat cantik dan makna yang mendalam, “Kehancuran dalam membela kebenaran bererti keabadian yang hakiki. Tidak ada dakwah tanpa jihad dan tidak ada jihad tanpa pengorbanan”
Pengajaran Kedua: Berhati-hati Dengan Golongan Opportunis Dalam Gerakan. Golongan Opportunis ialah golongan yang pura-pura berjuang di dalam gerakan, tetapi sebenarnya mereka hanya mementingkan diri sendiri. Golongan seperti ini memang wujud dalam mana-mana perjuangan Islam.  Mereka pandai mencium peluang ketika berada dalam gerakan, dan sering memanfaatkan peluang tersebut untuk kepentingan peribadi. Mereka akan mendiamkan diri atau menjauhkan diri dari gerakan ketika risiko mendatang. Malah  dalam keadaan tertentu, samada kerana untuk mengejar kuasa atau membalas dendam atau memburu cita-cita peribadi, mereka sanggup menjadi musuh utama atau menjadi talibarut untuk menghancurkan gerakan.  Dalam hal ini, Ikhwan Muslimin tidak terkecuali.  Ketika gerakan menentang penjajah Inggeris sedang memuncak, Gamal Abdel Nasser dianggap sebagai ahli Ikhwan yang setia dan boleh dipercayai. Gamal Abdel Nasser telah menyertai Free Officers Movement yang diketuai oleh seorang ahli Ikhwan, Mahmoud Labib. Beliau menggantikan Labib apabila dia meninggal dunia.  Free Officers Movement yang baru diketuainya telah meminta dokongan Ikhwan Muslimin dengan berjanji bahawa beliau akan menjadikan Ikhwan sebagai rakan di dalam pembinaan negara Mesir baru yang merdeka.  Namun sebaik saja beliau berkuasa, Ikhwan Muslimin menjadi musuh utamanya yang mengakibatkan penangkapan ratusan ribu ahlinya serta ramai dari mereka yang mati akibat siksaan tidak berperikemanusiaan di dalam penjara.
Suatu hal yang menarik ketika Presiden Morsi telah disahkan menjadi Presiden Mesir pada 24 Jun 2012, begitu ramai sekali bermunculan ‘ahli Ikhwan’ yang menawarkan diri untuk menjawat jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. Mereka ini mungkin pernah menyertai Ikhwan suatu masa dulu, tetapi akibat tekanan yang kuat dari pihak Kerajaan Mesir, mereka telah menjauhkan diri dari Ikhwan atau telah mengisytiharkan dirinya  keluar dari Ikhwan. Ahli-ahli Ikhwan yang istiqamah dalam perjuangan kehairanan kerana mereka ini tidak kelihatan ketika Ikhwan Muslimin menghadapi mehnah dan fitnah perjuangan. Golongan opportunis begini sebenarnya sentiasa menimbulkan masalah kepada perjuangan Islam. Komitmen mereka hanyalah untuk kepentingan peribadi. Sekiranya Presiden Morsi memilih mereka untuk menjawat jawatan penting dalam Kerajaan akan timbul persoalan, apakah mereka akan tetap setia dengan beliau sekiranya iklim politik berubah arah?
Pengajaran Ketiga: Hijrah sebagai strategi perjuangan jangka panjang.  Perintah Hijrah dari Mekah ke Madinah oleh Allah ta’ala kepada Rasulullah s.a.w. bukanlah suatu langkah lari dari perjuangan, tetapi ianya adalah langkah strategik perjuangan jangka panjang. Seringkali para pejuang Islam terpaksa membuat keputusan strategik  jangka panjang bila berhadapan dengan suasana ruang dakwah semakin sempit di negara sendiri.
Begitulah dilema yang perlu dihadapi oleh Youssef Nada. Apabila beliau dibebaskan dari penjaradan merana selama 2 tahun di dalamnya, beliau menyambung pelajarannya yang tergendala di Alexandria University di bidang pertanian.  Setelah tamat pengajian, beliau telah membantu menguruskan syarikat tenusu milik ayahnya yang ketika itu memasarkan satu pertiga dari pasaran susu segar di Iskandariah. Ketika itu beliau telahpun berumur 28 tahun. Namun demikian, sebagai seorang bekas banduan dan masih merupakan ahli Ikhwan Muslimin, kehidupannya sentiasa di dalam pengawasan polis dan bila-bila masa boleh ditangkap semula. Walaupun bebas dari penjara, tetapi kehidupannya sentiasa tertekan kerana sentiasa diawasi. 
Justeru itu, beliau mengambil keputusan untuk berhijrah dari Mesir dengan tujuan untuk membantu Ikhwan Muslimin dari luar. Memandangkan kepakaran beliau adalah dalam bidang bisnes, beliau bertekad membantu kegiatan dakwah Ikhwan hasil dari keuntungan perniagaannya.
Berbekalkan nawaitu yang suci, beliau telah berhijrah ke Vienna, Austria pada tahun 1960. Sejak itu, beliau tidak lagi memandang ke belakang, malah terus memajukan perniagaannya sebagai International Trader yang disegani oleh banyak pihak.  Pada tahun 1968, ketika berumur 38 tahun dan masih bujang, beliau telah bergelar sebagai The King of Cement in the Mediterranean – Raja Simen Mediterranean dengan memiliki 38 buah kapal dagang dan memiliki US$45 juta nilaian besi keluli untuk bahan binaan di negara persekitaran Mediterranean.
Strategi berhijrah dari Mesir bagi mengelakkan diri dari terus dianiaya oleh pemerintah Mesir turut diikuti oleh ramai lagi pemimpin Ikhwan Muslimin yang bertebaran ke negara Arab lain dan diseluruh Eropah dan juga Amerika Syarikat.  Antaranya termasuklah Sheikh Yusuf Qaradawi yang berhijrah ke Qatar, Said Ramadan (ayah Tariq Ramadan, tokoh pemikir Islam mutakhir) ke Switzerland, Kamal Helbawi ke United Kingdom, Mahmoud Abu Saud (tokoh Ekonomi Islam) dan menantunya, Dr.Ahmed el-Kadi ke Amerika Syarikat.  Kesan semerta dari strategi hijrah ini ialah berkembangnya manhaj harakah Islamiyyah model Ikhwan Muslimin ke seluruh dunia. 
Pengajaran Keempat : Gerakan Islam harus menumpu soal Dakwah dan Tarbiyyah dan tidak terlibat terlibat  dengan perniagaan.  Biar ahli secara individu yang terlibat.  Ketika Youssef Nada memohon keizinan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, ketika itu Hassan al-Hudaybi, untuk berhijrah ke luar negara, beliau telah diberikan amanah untuk mencari dana untuk dakwah Ikhwan melalui perniagaan.  Ini  disebabkan beliau mewaris bakat perniagaan beliau mengalir dari ayahnya, seorang usahawan tenusu di Iskandariah.
Amanah Mursyidul Am ini dipegang hingga sekarang. Setiap keuntungan dari bisnes disalurkan untuk memperhebat aktiviti dakwah Ikhwan di Mesir dan juga di serata dunia.  Beliau telah memilih Vienna, Austria sebagai tapak untuk memulakan perniagaannya sebagai ‘international trader’ atau pedagang antarabangsa. Kemudian pada tahun 1969, beliau berpindah ke Lugano, Switzerland  dan tinggal di sana hingga sekarang.  Dari Lugano, beliau telah membuka pejabat dagangnya di Indianapolis di Amerika Syarikat, Glasgow di Scotland, Riyadh di Arab Saudi, Liechtenstein dan Lagos di Nigeria.  Beliau terlibat di dalam perniagaan impot/ekspot bahan binaan seperti simen, besi keluli, dan bahan komoditi seperti gandum, minyak masak, barli dan baja.
Pada tahun 1974, untuk memperkemaskan lagi bisnes impot/ekspotnya, beliau telah menubuhkan Nada International di Riyadh, Arab Saudi dengan melibatkan Dr. Hisham Al Talib, Dr. Jamal Barzinji dan Mohamed Shamma sebagai ahli lembaga pengarah. 
Kemudian pada tahun 1988, Youssef Nada mencebur diri di dalam Perbankan Islam dengan menubuhkan Bank of Taqwa di Pulau Bahamas dan At Taqwa Management Organisation (ATMO) di Lugano, Switzerland. Penglibatan beliau di dalam perbankan Islam dan operasinya di Switzerland, pusat kewangan kapitalis dunia telah membuka mata banyak pihak mengenai sistem kewangan Islam yang menjadi alternatif saingan kepada sistem kewangan konvensional. Ianya juga telah membuka mata musuh nombor satu Ikhwan Muslimin, iaitu Gerakan Zionis Antarabangsa.  Gerakan Zionis telah merencana muslihat mereka hingga akhirnya Bank of Taqwa, yang berjaya meraih keuntungan 10-13 peratus setiap tahun itu, terpaksa ditutup pada tahun 2002, atas tuduhan dan fitnah yang direkacipta oleh Zionis. Beliau dituduh menjadi pendana utama gerakan teroris antarabangsa, walaupun tuduhan itu tidak pernah dapat dibuktikan.  Youssef Nada secara peribadi kerugian US$350 juta akibat penutupan Bank of Taqwa itu.
Pengajaran penting dari pengalaman pahit ini ialah gerakan Islam seharusnya tidak terlibat di dalam perniagaan secara langsung kerana ianya membabitkan proses untung/rugi perniagaan yang boleh menjejaskan citra gerakan Islam.  Sebaliknya ahli-ahli perlu digalakkan untuk terlibat. Dengan demikian sebarang risiko yang terjadi tidak akan menjejaskan gerakan.  Sekiranya Bank of Taqwa itu milik Ikhwan Muslimin kerugian US$350 juta, tentunya ia bakal mencetuskan krisis di dalam Ikhwan.  Oleh kerana bank tersebut milik individu, maka kerugiannya adalah kerugian individu tersebut tanpa membabitkan Ikhwan.
Apa yang penting ialah nilai-nilai infaq dan sadaqah harus menyebati didalam diri setiap ahli gerakan agar mereka menjadi penyumbang utama kepada setiap kegiatan dakwah yang dianjurkan.
Pengajaran Kelima :  Wala’ kepada Jamaah, Qiyadah dan Sirriyah al- TanzimSejak menyertai Ikhwan Muslimin pada 1948, ketika berumur 17 tahun, prinsip yang dipegang oleh Youssef Nada sehingga hari ini ialah memberi wala’ kepada perjuangan Ikhwan Muslimin, para pemimpin khususnya Mursyidul ’Am  serta menjaga kerahsiaan organisasi.  Prinsip yang menjadi pegangan semua ahli ini membolehkan Ikhwan bertahan selama lebih 80 tahun walaupun menghadapi penindasan yang kejam dari pemerintah Mesir.
Setelah perniagaannya stabil dan berkembang luas, beliau mulai menggorak langkah untuk melebarkan usaha dakwah secara global.  Amanah Hassan al-Hudaybi supaya dia membantu Ikhwan dengan keuntungan bisnesnya masih kekal dalam ingatannya.  Pada tahun 1977, beliau telah menjemput beberapa tokoh pemikir Islam sedunia ke rumahnya, Villa Nada, Campione untuk berbincang mengenai usaha dakwah peringkat global.  Jemputan Youssef Nada  ke rumahnya yang baru siap dibina itu adalah agak istimewa kerana beliau baru saja melangsungkan perkahwinan dengan Amal Chichakli, anak seorang tokoh ternama di Syria.  Beliau berumur 46 tahun ketika itu.
Di antara tokoh yang hadir pada pertemuan tersebut ialah Sheikh Yusuf al-Qaradawi, Dr. Ismail Faruqi, Dr. Mahmoud Abu Saud, Mohamed al-Mubarak, Khurshid Ahmad, Ahmad al-Asal, Dr. Abdelhamid Abu Sulayman, Dr. Hisham al-Talib dan  Dr.Jamal Barzinji.  Pertemuan tersebut bersetuju untuk menyebarkan kesedaran Islam secara global dan berusaha ke arah perpaduan sesama umat Islam.  Pada tahun 1981, International Institute of Islamic Thought (IIIT) telah ditubuhkan di Virginia, Amerika Syarikat. Dr. Hisham al-Talib, Dr. Jamal Barzinji dan Dr. Abdelhamid Abu Sulayman telah dilantik menjadi peneraju utamanya. 
Sejak 1977, Youssef Nada bertindak sebagai ’Menteri Luar’ bagi Ikhwan Muslimin dan Tanzim ‘Alamiy (Ikhwan Muslimin peringkat global yang berperanan bagi memupuk perpaduan sesama Gerakan Islam di peringkat antarabangsa).  Selepas kejatuhan Rejim Shah Iran akibat tercetusnya Revolusi Iran, beliau telah menganjurkan pertemuan solidariti umat Islam dengan Pemimpin Revolusi, Ayatullah Khomeini di Tehran pada 1979. Pemimpin Gerakan Islam dari Indonesia, Malaysia, Pakistan, Mesir, Jordan, Arab Saudi, Iraq dan Turki telah hadir di dalam pertemuan bagi meraikan kemenangan tersebut serta untuk merapatkan jurang perbezaan antara Sunni dan Syiah. Malaysia diwakili oleh Presiden ABIM ketika itu, Anwar Ibrahim.
Pada tahun 1979 itu juga berlakunya peristiwa tebusan rakyat Amerika Syarikat apabila sekumpulan pelajar Iran menguasai Kedutaan Amerika Syarikat di Tehran dan menahan 52 orang pekerja kedutaan sebagai tebusan selama 444 hari.  Omar Telmissany, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin telah mengarahkan Youssef Nada untuk menjadi perunding antara Kerajaan Iran dan Amerika Syarikat untuk menyelesaikan krisis tersebut secara diplomatik.  Namun demikian, misi tersebut gagal kerana Amerika Syarikat menarik diri di saat-saat akhir.
Youssef Nada tidak akan melakukan sebarang tindakan bagi mewakili Ikhwan Muslimin tanpa keizinan dari Mursyidul Am. Beliau amat menjaga prinsip sirriyah al-tanzim iaitu  kerahsiaan organisasi kerana banyak misi-misi yang beliau jalankan adalah sangat dan berbahaya.  Pada tahun 1988, beliau terlibat di dalam mengelakkan krisis antara Iran dan Arab Saudi. Pada tahun 1987, para jemaah haji dari Iran telah melakukan demonstrasi di Masjidil Haram yang mengakibatkan seramai 275 para  jemaah haji Iran, 85 warga Arab Saudi dan 42 warga dari negara terkorban.  Beliau berperanan mendamaikan kedua belah pihak dalam perundingan yang diadakan di Villa Nada, Campione. Perundingan tersebut menghasilkan formula kuota Haji dan Umrah  yang dipersetujui oleh Iran dan Arab Saudi.
Dalam Perang Iraq dan Kuwait pada tahun 1990, beliau telah bertemu Presiden Saddam Hussein di Baghdad  bagi meyakinkan beliau supaya berundur dari Kuwait sebelum Barat menyerang Iraq. Malangnya Saddam berdegil sehingga tercetusnya Perang Teluk yang berakhir dengan kematian Saddam di tali gantung.
Selama ini sering disebut mengenai Tanzim ’Alamiy sebagai penggerak utama kepada penyatuan gerakan Islam seluruh dunia. Tidak ramai yang mengetahui siapa yang berada dalam organisasi ini dan bagaimana organisasi berfungsi.  Namun setelah membaca buku ini, jelas bahawa penggerak utama dibelakangnya ialah Youssef Nada. Beliau bergerak penuh dengan kerahsiaan bagi menjayakan misi-misi penting Ikhwan Muslimin.  Malah sehingga kini, tidak ramai yang menggenali Youssef Nada, apalagi mereka yang mengenalinya secara dekat.
Pengajaran Keenam: Permusuhan Barat terhadap Islam tidak mengenal batas kemanusiaan dan undang-undang.  Boneka Barat dari kalangan anak tempatan sentiasa menjadi dalang.  KenyataanAllah ta’ala di dalam al-Quran adalah sentiasa benar.Al-Quran mengajar kita untuk sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan di dalam menjalani kehidupan dan perjuangan sebagaimana yang terdapat dalam Surah al Baqarah ayat 120, “Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu (Muhammad) selagi engkau tidak mengikut agama mereka.”
Hakikat inilah yang berlaku kepada Youssef Nada. Beliau seorang yang sangat teliti di dalam sebarang urusan perniagaan maupun urusan dakwah global.  Beliau akan mendapatkan nasihat dari peguam yang terbaik sebelum membuat sesuatu keputusan perniagaan.  Malah ketika beliau menubuhkan Bank al Taqwa di Bahamas, beliau memastikan ianya mengikut saluran undang-undang. Ini adalah kerana beliau tahu Sistem Perbankan Islam yang akan digunapakai bakal mencetus kontroversi di Barat akibat fenomena Islamophobia yang masih lagi menebal.  Begitu juga di dalam hal menyalurkan bantuan dana untuk aktiviti dakwah.  Beliau amat berhati-hati agar ianya tidak melibatkan aktiviti yang melanggar undang-undang.  Namun demikian, bila tiada bukti, maka bukti palsu akan direkacipta. Itulah yang berlaku hingga perniagaan global Youssef Nada dan Bank al Taqwa ditutup buat selama-lamanya.  Hasrat sebenar Zionis dan Barat ialah untuk melumpuhkan Ikhwan Muslimin di peringkat global dengan cara melumpuhkan bisnes Youssef Nada.  Mereka tahu bahawa Youssef Nada adalah penggerak utama kepada gerakan Ikhwan di seluruh dunia khususnya di Eropah dan Amerika Syarikat.
Serangan terhadap beliau bermula pada 11 November 1997, apabila seorang wartawan pro Zionis, Guido Olimpio menuduh beliau sebagai penyumbang dana berjumlah US$70 juta kepada HAMAS di Palestin dan juga aktiviti teroris menentang Barat di dalam akhbar Corriere della Sera, Switzerland. Serangan ini disusuli pula pada tahun yang sama oleh Richard Labeviere dari Television Suisse Romande  menerbitkan satu dokumentari yang menuduh Youssef Nada sebagai agen Nazi ketika Perang Dunia Kedua.  Pada tahun 2002, Kevin Coogan menulis sebuah buku yang kandungannya juga menuduh Youssef Nada sebagai agen Nazi pada tahun 1930, suatu tuduhan yang palsu dan berniat jahat kerana Youssef Nada lahir pada tahun 1931. 
Umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’,  Youssef Nada dikaitkan  pula dengan aktiviti pengganas.  Kali ini dalangnya ialah Presiden Hosni Mubarak. Pada Disember 1997  seramai 62 pelancong asing kebanyakannya warga Switzerland telah mati dibunuh oleh pengganas di pusat tarikan pelancong Deir al-Bahir, Luxor, Mesir.  Pendakwa Raya Persekutuan Switzerland, Carla Del Ponte telah membuat siasatan di Mesir dan kerajaan Mubarak telah membuat tuduhan liar dan fitnah  bahawa Youssef Nada terlibat di dalam pembunuhan tersebut.
Sejak  serangan media yang sangat terancang terhadap Youssef Nada, imej beliau sebagai seorang tokoh perniagaan yang disegani mulai luntur dan Bank al Taqwa mulai berhadapan dengan masalah pendeposit yang sudah kehilangan kepercayaan terhadap beliau.  Pada tahun 1998, sejumlah US$100 juta telah dikeluarkan oleh pendeposit dari Bank al Taqwa dan akhirnya pada tahun 2002 ianya terpaksa di tutup buat selama-lamanya.
Peristiwa serangan World Trade Center, New York pada September 11, 2001 adalah umpama paku terakhir untuk keranda perniagaan Youssef Nada.  Presiden George Bush sebagai tindak balas terhadap serangan tersebut telah menyerang Afghanistan pada 7 October 2001.  Saperti dirancang, sebulan kemudian pada 7 November 2001, Bush telah menuduh bahawa Youssef Nada dan Bank al Taqwa terlibat sebagai pendana utama pengganas seluruh dunia dan tindakan keras akan diambil terhadapnya.  Pada hari yang sama juga, Villa Nada digeledah oleh Polis Switzerland dan Itali untuk mencari bukti-bukti bagi mensabitkan Youssef Nada sebagai dalang utama pengganas sedunia.  Pada masa yang sama juga, dalam suatu tindakan yang kelihatan sudah lama dirancang, semua dokumen Bank al Taqwa dirampas, semua kad kredit beliau dibatal, semua aset, harta dan akaun bank diseluruh dunia dibekukan dan Youssef Nada dikenakan tahanan dalam rumah sehingga siasatan selesai.
Tindakan kejam terhadap Youssef Nada adalah satu-satunya kes seumpama ini melibatkan Peguam Negara Switzerland yang bertindak atas arahan Amerika Syarikat dan turut melibatkan polis dan intelligensia dari 12 buah negara.  Siasatan yang memakan masa 8 tahun iaitu dari bulan September 2001 sehingga September 2009 berakhir dengan ketiadaan bukti mensabitkan  baliau sebarang kesalahan.  Nama Youssef Nada sebagai pengganas  telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2009.  Namun, Amerika Syarikat terus berdegil tidak mahu membersihkan nama Youssef Nada dan engkar dengan keputusan Majlis Keselamatan.  Penderitaan beliau masih berterusan sehingga kini kerana akaun bank dan aset beliau tidak boleh dicairkan.  Kedegilan Amerika Syarikat ini sebenarnya beralasan.  Seandainya Youssef Nada dibersihkan namanya dari senarai pengganas, maka segala hartanya yang dianggarkan mencecah ribuan juta matawang Amerika Syarikat akan dapat digunakan untuk membantu umat Islam khususnya di Mesir dan Tunisia.  Hal inilah yang cuba dielakkan..
Pengajaran Ketujuh:  Kemenangan itu adalah mutlak milik Allah, dan bukannya kerana kehebatan strategi dan perancangan manusia.  Peringatan ini disampaikan oleh seorang pemimpin Ikhwan Muslimin kepada ahli Jamaah ketika dijemput untuk memberikan taklimat ’Perkembangan Mutakhir Kemenangan Ikhwan Muslimin’  dalam pilihan raya Mesir.  Peranan dan tanggungjawab para pendakwah dan pejuang Islam ialah untuk berjuang bersungguh-sungguh menggunakan seluruh qudrat yang ada untuk menyampaikan mesej Islam keseluruh dunia.  Segala kesulitan dan penderitaan akibat daripadanya harus dihadapi dengan sebaik-baik sabar, fa sabrun jamil,  dan hanya kepada Allah jua kita memohon pertolongan, wallahul musta’an.  Inilah jalan kemenangan yang hakiki yang berjaya ditempuh oleh Ikhwan Muslimin sejak ditubuhkan pada tahun 1928.
Tidak ramai pejuang Islam sempat melihat hasil kejayaan perjuangannya ketika masih hidup..  As Syahid Imam Hassan al Banna, Hassan Hudaybi, Umar Telmissani, As Syahid Syed Qutb, dan ramai lagi tidak sempat untuk melihatnya.  Youssef Nada adalah antara pejuang yang dianggap bertuah dan dipilih Allah untuk menyaksikan sendiri hasil kejayaan perjuangannya.
Hidup ini umpama roda.  Ada masa kita berada di atas,  ada masa kita akan berada di bawah.  Dan begitulah putaran kehidupan kita, turun naik silih berganti. Sekiranya tahun 2001 adalah tahun ujian getir buat Youssef Nada,  maka tahun 2012 adalah tahun kegembiraan buat beliau.  Pada 28 Januari 2012, Villa Nada dikunjungi oleh Perdana Menteri Tunisia yang baru, Hamadi Jebali berserta Sheikh Rached Ghannoushi.  Ratusan polis Switzerland dan Itali mengawal persekitaran Villa Nada.  Tahun 2001,  mereka datang untuk menggelidah Villa Nada,  tahun 2012 pula,  mereka datang untuk menjaga keselamatan tetamu Youssef Nada.  Begitulah hakikat kehidupan dan perjuangan.
Kemudian pada 24 June 2012,  Presiden Morsi sebaik saja selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir, menelefonYoussef Nada mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada beliau kerana apa yang berlaku di Mesir pada hari ini adalah antara sumbangan dan pengorbanan beliau,  sebagai ahli setia Ikhwan Muslimin, yang komitmennya tetap kental dengan perjuangan.
Bagi Youssef Nada, roda kehidupannya telah melalui beberapa pusingan naik dan turun.  Di awal penglibatannya di dalam Ikhwan Muslimin, beliau bergerak aktif, kemudian dipenjarakan selama dua tahun.  Ini satu pusingan naik dan turun.  Kemudian beliau berhijrah ke Eropah dan berjaya di dalam perniagaannya.  Malangnya bila Muammar Gaddafi merampas kuasa di Libya, kesemua perniagaannya di sana dirampas, lantas mengalami kerugian besar. Ini pusingan kedua naik turun beliau.  Beliau bangkit lagi dan memulakan semula perniagaannya dari Switzerland sehingga berjaya membuka Bank of Taqwa di Bahamas. Aktiviti dakwah global Ikhwan Muslimin turut berkembang. Kemudian berlaku peristiwa September 2001, dan perniagaan beliau serta aktiviti dakwah beliau terhenti sehingga 2009. Ini pusingan ketiga naik turun roda kehidupan beliau.  Pada tahun 2012, beliau menyambut kemenangan Ikhwan Muslimin memerintah Mesir, dan an Nahdhah di Tunisia.  Bagi beliau inilah pusingan terakhir  dari kehidupan  yang ditandai dengan suatu kejayaan yang sangat manis dan berharga. Inilah ketentuan Illahi buat beliau yang tidak pernah dikesalinya.  Pada tahun 2013, umur beliau sudah menjangkau 82 tahun.  Suatu kehidupan yang penuh warna-warni dalam perjuangan suci bagi merealisasi hasrat mengangkat martabat Islam: al Islam ya’lu wala yu’la ’alayh.

[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, July 3, 2013

ULASAN BUKU “Inside the MUSLIM BROTHERHOOD, The Truth about the world’s most powerful political movement”

Buku setebal 308 mukasurat ini adalah satu catatan pengalaman seorang tokoh Ikhwan Muslimin di ‘balik tabir’ yang berperanan sebagai “Menteri Luar”. Ada juga yang menggelarnya sebagai menjadi Mursyid al-‘Am ‘de facto’ Ikhwan Muslimin.  Ikhwan Muslimin musuh nombor satu dunia Barat khususnya bagi Amerika Syarikat dan Gerakan Zionis SeDunia. Youssef Nada pula dianggap sebagai pemimpin Ikhwan yang paling berkuasa dan paling berbahaya di mata mereka.  Beliau yang lahir pada 17 Mei 1931, mengambil keputusan untuk menceritakan segala pengalamannya sebagai anggota Ikhwan Muslimin secara terbuka melalui buku ini. Tulisannya bertepatan dengan kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir yang berlaku pada bulan Januari 2011.  Apakah ini suatu kebetulan? Hanya Allah ta’ala sahaja yang Maha Mengetahui. Tidak ramai para pejuang Islam yang berkesempatan melihat hasil kejayaan perjuangannya ketika hayat masih dikandung badan seperti Youssef Nada. Beliau adalah antara pejuang yang bertuah itu.

Kagum Dengan Perjuangan
Buku biografi Youssef Nada ditulis oleh Douglas Thompson, seorang penulis biografi Amerika Syarikat yang prolifik dan seorang wartawan terkenal.  Beliau telah menulis 20 buah  buku dan antara buku biografi yang pernah ditulis oleh beliau ialah mengenai pelakon filem Madonna, Clint Eastwood dan John Travolta disamping buku mengenai Mafia Amerika di Kota London. Pengalaman beliau  sebagai wartawan lebih dari 20 tahun telah digunakan sepenuhnya untuk mengkaji sejarah Ikhwan Muslimin secara objektif dengan mengutip sumber dari Barat dan Zionis di samping sumber dalaman Ikhwan sendiri. Adalah suatu yang menarik, seorang wartawan Barat sanggup menulis mengenai seorang tokoh Ikhwan Muslimin yang sangat kontroversial dan pernah dituduh oleh Presiden George Bush sebagai ‘pendana utama kumpulan teroris’.  Thompson mengaku bahawa setelah hampir 3 tahun membuat kajian mendalam mengenai Ikhwan, beliau  berusaha menulis buku ini dengan seadilnya dan objektif. Malah beliau tidak malu untuk mengaku bahawa setelah menghabiskan projek penulisan ini, beliau amat kagum dengan perjuangan keadilan dan kemanusiaan Youssef Nada. Pernyataan tulus dari seorang wartawan yang berpengalaman tentunya tidak mudah untuk dimanipulasi oleh sesiapa. Ini merupakan testimoni penting tentang kesucian perjuangan Ikhwan Muslimin dan juga Youssef Nada sendiri yang sama sekali berbeda dari apa yang digambarkan oleh Barat.

‘Menteri Luar’
Saya diperkenalkan kepada Youssef Nada ketika beliau berkunjung ke Kuala Lumpur pada awal tahun 1998 oleh Anwar Ibrahim yang ketika itu masih Timbalan Perdana Menteri Malaysia.  Masa itu saya belum pun cukup setahun memegang amanah sebagai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).  Alhamdulillah perkenalan awal itu berpanjangan sampai ke hari ini. Hampir setiap tahun saya akan berkunjung ke Villa Nada di Lugano, Switzerland untuk mendapat nasihat dan bertukar pandangan serta belajar dari beliau terutama  yang berkaitan gerakan Islam dan politik antarabangsa. Kali terakhir bertemu beliau ialah pada 7 Oktober 2012. Di pertemuan inilah beliau menghadiahkan saya buku ini, yang baru sampai ke tangannya dari penerbit.
Bagi saya, buku ini patut menjadi bacaan wajib bagi setiap pendukung gerakan Islam terutama bagi yang ingin memahami susur galur perjuangan Ikhwan Muslimin. Walaupun gaya penulisan berbentuk biografi tetapi kandungannya sarat dengan catatan sejarah perjuangan Ikhwan Muslimin sejak pemerintahan rejim Gamal Abdel Nasser, Anwar Sadat, Hosni Mubarak sehinggalah Presiden Mohammad Morsi yang mencapai kemenangan dalam pilihan raya yang lalu  atas nama Parti Kebebasan dan Keadilan (Freedom and Justice Party) iaitu sebuah parti politik yang ditubuh oleh Ikhwan Muslimin.
Youssef Nada menyertai Ikhwan ketika berumur 17 tahun iaitu pada tahun 1948 dan terus setia dengan perjuangan Ikhwan sehingga hari ini. Sepanjang 65 tahun penglibatan beliau di dalam Ikhwan, beliau telah melalui pahit getir perjuangan, jatuh dan bangun dalam kehidupan. Mulai dari disumbat ke dalam penjara, kemudian berhijrah ke luar negara, menjadi ahli perdagangan antarabangsa yang tersohor, menggerakkan aktiviti dakwah peringkat global, melibatkan diri dalam perbankan Islam dengan menubuhkan Bank al-Taqwa, menjadi ‘Menteri Luar’ Ikhwan Muslimin hinggalah kepada usaha-usaha mendamaikan antara Iran dengan Saudi Arabia, Yaman dengan Saudi Arabia, Iran dan Iraq, Iran dan Amerika Syarikat serta Afghanistan dan Rusia.  Dalam rangka melaksanakan peranan sebagai ‘Menteri Luar’ ini, beliau telah menjelajah ke merata dunia, di mana saja beliau diperlukan tanpa menghiraukan keselamatan dirinya sendiri. Contohnya dalam usaha Ikhwan untuk mencari penyelesaian Perang Iran dan Iraq, ketika perang sedang memuncak, beliau sanggup mengambil risiko untuk bertemu Presiden Saddam Hussein secara bersendirian di Baghdad.  Youssef Nada mendedahkan kepada saya bahawa risiko nyawa melayang itu adalah suatu kemungkinan kerana Saddam Hussein adalah seorang pemimpin yang sangat kejam dan boleh bertindak sewenang-wenang di luar jangkaan.

Membongkar Konspirasi Barat
Terlalu banyak pengajaran yang boleh dipelajari dengan membaca buku ini. Tulisan ini sarat dengan pendedahan buat pertama kali tentang pengalaman ‘di balik tabir’ Ikhwan Muslimin dan Youssef Nada. Pemikiran beliau mengenai dunia Islam telah diungkapkan dengan jujur dan berani tanpa selindung. Kritikan beliau terhadap pemimpin Arab khususnya amat berterus terang. Begitu juga secara lantang dan tegas beliau mengkritik hipokrasi Amerika Syarikat dan dunia Barat yang bercakap mengenai demokrasi dan hak asasi bila berhadapan dengan dunia Islam.
Buku ini mencatatkan pengalaman berharga yang dilalui oleh sebuah gerakan Islam. Misalnya Youssef Nada telah memaparkan antara lain betapa strategi ‘divide and rule’ Barat telah digunakan dengan begitu berkesan untuk terus melemahkan dunia Islam.  Barat telah mencipta beberapa orang pemimpin boneka untuk melaksanakan strategi ini.  Gamal Abdel Nasser di Mesir, Shah Iran di Iran, Ibn Saud di Saudi Arabia diperalatkan semaunya oleh Barat dengan mengadu domba sesama mereka agar tiada seorang pun yang benar-benar kuat dan mampu bertindak menyatukan umat Islam.  Ikhwan Muslimin menyedari hal ini, justeru cuba dihancurkan oleh Gamal Abdel Nasser dengan tindakan pengharaman organisasinya dan pembunuhan pemimpinnya.
Selain mencipta pemimpin boneka, isu Sunni/Syiah/Wahabi juga ditonjolkan serta disemarakkan agar masa umat Islam terperangkap dalam soal remeh temeh, dan terlepas dari memberi perhatian kepada soal-soal al-tahririyyah (Pembebasan), al-tanwiriyyah (Pencerahan dan Pencerdasan) dan al-taghyiriyyah (Perubahan).
Bagi Youssef Nada, isu pengganas (terrorisme) dan Usama bin Laden adalah rekaan Barat yang memperalatkan beberapa anak muda yang bersemangat tetapi kurang ilmu untuk melakukan serangan bersenjata terhadap orang awam atas nama Islam.  Atas alasan memerangi pengganas, umat Islam seluruh dunia menderita sementara gerakan Islam menjadi mangsa penindasan dan pembunuhan. Afghanistan dan Iraq diserang dan ditawan. Boneka baru ditabal menjadi pemimpin negara tersebut.  Strategi pecah dan perintah diteruskan dan kali ini dengan dalang yang baru pula.
Youssef Nada dianggap sebagai musuh nombor satu Amerika Syarikat. Beliau dituduh menjadi dalang utama serta penyumbang dana yang besar kepada kegiatan pengganas. Media antarabangsa, Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu, Polis Antarabangsa, Mahkamah telah digunakan untuk menghukum beliau. Beliau dikenakan tahanan rumah selama 8 tahun serta semua harta dan akaun banknya dibekukan. Kesalahan beliau tidak pernah dapat dibuktikan,  Bank of Taqwa miliknya terpaksa ditutup pada tahun 2002 dengan kerugian berjumlah US$350 juta. 

Kekuatan dalaman
Menyentuh persoalan dalaman umat Islam, Youssef Nada dengan berani mengkritik batang tubuh umat atas dasar bermuhasabah dan Islah demi al-izzah umat Islam.  Beliau menyarankan agar wanita diberi peranan yang lebih luas termasuk bidang politik.  Bagi Youssef wanita adalah separuh dari kekuatan umat. Seandainya tugas mereka dihadkan hanya untuk melayani suami dan menjaga anak dan pergerakan mereka dibataskan oleh burqa, maka nyata bahawa sikap ini amat bertentangan dengan ajaran Islam. Kekuatan Wanita Islam wajib digerakkan. Dengan cara ini, separuh lagi kekuatan dan potensi umat yang selama ini tersimpan,  akan dapat dimanfaatkan untuk Islam.
Beliau juga berpandangan bahawa sistem monarki yang diamalkan di sebahagian besar dunia Arab adalah penyebab kepada kemunduran umat Islam. Bagi beliau sistem monarki adalah satu pengkhianatan kerana sistem ini tidak mengizinkan seluruh potensi umat digembleng bagi memajukan negara.  Sistem ini menentukan bahawa semua dasar pemerintahan dirujuk kepada elit pemerintah. Mereka memegang kuasa bukan kerana kepintaran dan meritokrasi, tetapi kerana darah keturunan.  Beliau meramalkan arus demokrasi akan melanda dunia Islam dan sistem monarki seperti yang diamalkan di Arab Saudi dan negara-negara Teluk akhirnya akan runtuh .
Beliau juga menyentuh soal kekuatan dalaman Ikhwan Muslimin yang telah membantu survival Gerakan itu.  Beliau menganggap bahawa prinsip wala’ kepada perjuangan dan qiyadah serta sirriyah al-tanzim (kerahsiaan dalam organisasi) merupakan elemen terpenting dalam Ikhwan.  Sesiapa yang gagal mematuhi arahan kepimpinan gerakan , mereka wajib dipecat dari Ikhwan.  Inilah disiplin harakiy yang wajib dipatuhi sendainya seseorang ingin menyertai Ikhwan.  Kes terbaru  berkaitan jurucakap Ikhwan Muslimin Abdel Moneim Aboul Futouh yang telah memutuskan untuk bertanding sebagai Presiden Mesir secara bersendirian dan beliau tidak pula merujuk Majlis Syura mengenai perkara tersebut. Majlis Syura kemudiannya memutuskan melarang beliau bertanding. Disebabkan keengganan mematuhi keputusan tersebut beliau telah dipecat walaupun beliau dikenal sebagai pemimpin dan jurucakap Ikhwan yang amat dihormati.  Demi kepentingan jamaah, kepatuhan kepada  keputusan Syura itu adalah wajib harakiy yang mesti dipatuhi sekalipun berlawanan dengan pendapat peribadi   Kegagalan mematuhi keputusan yang dibuat bermakna engkar kepada keputusan Syura.  Risikonya ialah sama ada digantung atau dipecat.  Disiplin harakiy inilah yang memungkinkan Ikhwan Muslimin bertahan sehingga sekarang walaupun berhadapan dengan berbagai mehnah dan fitnah. 
Apa yang penting, perjuangan Islam mesti diteruskan dalam keadaan apa sekalipun. Kemenangan itu milik Allah, dan hanya Allah yang menentukan bila akan berlaku.  Ikhwan Muslimin telah memasuki fasa baru perjuangannya, iaitu untuk menegakkan pemerintahan Islam yang berpandukan Al-Quran dan As Sunnah.  Pastinya, menanggani isu kenegaraan memerlukan kefahaman yang mendalam mengenai fiqh al dawlah, demokrasi, hak asasi dan fiqh al muwatinun (fiqh kewarganegaraan), fiqh al- awlawiyyat (keutamaan) dan lain-lain
Dalam konteks perjuangan Islam di negara ini, kita mungkin akan melalui fasa-fasa perjuangan seperti yang dilalui oleh gerakan Islam terdahulu. Tanggungjawab kita ialah untuk mempelajari pengalaman mereka supaya boleh dijadikan iktibar dan panduan.

[+/-] Baca selanjutnya...