1. Pemilihan Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke 44 pada 20 Januari yang lalu telah menarik minat banyak kalangan di seluruh dunia. Harapan tentunya amat tinggi untuk Amerika Syarikat memimpin dunia dengan cara yang lebih bertamadun berbanding kaedah perang yang dipelopori oleh Presiden Bush.
2. Darah campuran yang mengalir di dalam tubuhnya menyebabkan orang kulit putih, kulit hitam, orang Islam (kerana bapa dan bapa tirinya berugama Islam), Benua Afrika (bapanya berasal dari Kenya), Indonesia (bapa tirinya), kesemuanya merasa memiliki Obama. Ini tentunya telah menjadikan Obama sebagai tokoh dunia yang sangat popular pada saat ini. Dunia meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada beliau untuk keluar dari kemelut peperangan yang telah menelan jiwa yang cukup banyak.
3. Namun demikian, sebuah negara yang selama ini begitu bermaharajalela melakukan pembunuhan demi pembunuhan iaitu Israel ternyata mulai bimbang. Ini mudah untuk difahami kerana selama ini dokongan Amerika Syarikat yang tidak berbelah bagi terhadap segala tindak-tanduknya yang tidak berperikemanusian terhadap rakyat Palestin mungkin akan berubah. Pendidikan Obama yang tinggi memungkinkan beliau lebih faham dan mengerti akan keadilan sejagat.Sejarah Perjuangan Hak Asasi orang Kulit Hitam di Amerika Syarikat mungkin akan menjadikan beliau lebih mengerti akan keadilan dan hak asasi manusia. Sekiranya beliau meletakkan neraca keadilan sebagai paksi pemerintahannya, maka harapan untuk dunia ini menjadi aman adalah cerah.
4. Namun, sekiranya beliau tunduk kepada tekanan pelobi Zionis yang telah begitu lama mengakar di dalam sistem pemerintahan Amerika Syarikat, maka beliau akan menjadi seorang lagi boneka Zionis dari kalangan Presiden-Presiden sebelum ini.
5. Dunia Islam tidak harus bersikap tunggu dan lihat. Membiarkan pelobi Zionis terus menguasai Presiden Obama adalah suatu yang malang. Sistem Pemerintahan Amerika Syarikat menghalalkan sistem pelobi untuk membantu membuat keputusan negara. Sudah terlalu Zionis menguasai kaedah ini. Rasanya sudah tiba masanya pula untuk Dunia Islam menggunakan kaedah yang sama. Duit minyak yang begitu banyak harus digunakan untuk mendanai Kumpulan Pemikir (Think Tank) yang boleh mempengaruhi Dasar Luar Amerika Syarikat agar lebih adil dan saksama.