Friday, February 1, 2008

Ziarah Global - Sudan: Sumbangan Malaysia Amat Dihargai

Rata-rata pemimpin Sudan yang saya temui amat menghargai sumbangan Malaysia khususnya ketika Sudan baru menemui minyak di sekitar tahun 80an. Ketika tiada negara yang berani menolong kerana tekanan politik Amerika Syarikat, Malaysia melalui PETRONAS tampil ke hadapan membantu mengurus pengeluaran minyak bersama dengan negara China.

Sekarang ini jika melihatkan kepesatan pembangunan Khartoum, ibu negara Sudan, dengan hotel-hotel baru yang mulai tumbuh, jalanraya yang bersimpang siur, kereta yang berasak-asak, menggambarkan hasil minyak telah dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

Namun demikian, mengikut Dr Abdul Rahim Ali, Pengerusi Majlis Syura, National Congress Party, iaitu parti yang memerintah, limpahan kemewahan hasil minyak ini telah juga mempengaruhi gaya hidup rakyat Sudan. Golongan elit yang berkuasa mulai boros berbelanja dan menunjuk-nunjuk kemewahan yang dikecapi. Apa yang membimbangkan beliau ialah jurang miskin-kaya akan melebar yang mana kalau tidak dibendung boleh saja mencetuskan krisis politik yang destruktif. Sudan memang tidak mampu untuk menghadapi krisis baru, setelah melalui krisis Darfur dan Selatan Sudan.

[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, January 30, 2008

Ziarah Global - Munazzamat Dakwah Islamiyyah - pemangkin dakwah benua Afrika, pendekatan halus dan bertahap

Saya begitu tertarik dengan semangat gigih para pendakwah MDI bagi menyebarkan Islam di benua Afrika. Pendekatan halus dan bertahap yang digunapakai sangat berkesan di dalam memenangi hati penduduk yang masih mengamalkan faham animisma. Budaya tempatan tetap dipertahankan dengan sedikit pengubahsuaian agar sesuai dengan ajaran Islam. (lihat gambar tarian Afrika yang telah diberi nuansa Islam).

Bahasa Arab menjadi lingua franca dan ini memudahkan lagi penyebaran Islam dengan begitu cepat. Saya teringat hikmah dakwah Wali Songo di Alam Melayu abad ke 14 dan 15 yang menggunakan pendekatan halus dan bertahap sehingga berbondong-bondong orang masuk Islam dengan rela. Pendakwah generasi baru harus belajar dari sejarah pendakwah terdahulu yang menjadi mata-rantai perjuangan aqidah sejak Al-Rasul.

Jangan sombong mendabik dada, mengaku diri pengikut setia Sunnah Nabi, menemplak ijtihad dakwah ulama lampau, lantas menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan. Akhirnya dakwah terbengkalai, umat porak peranda, musuh Islam gelak ketawa.

[+/-] Baca selanjutnya...

Tuesday, January 29, 2008

Ziarah Global - Sudan, 14-20 Jan 2008, Mesyuarat ke-22, Majlis Pemegang Amanah, Munazzamat Dakwah, Sudan

Dilantik menjadi Ahli Pemegang Amanah, Munazzamat Dakwah Islamiyyah, Sudan

Saya amat terharu apabila menerima surat pelantikan ini dari Pengerusinya Field Marshall Abdul Rahman Suar Al Dahab Disember yang lalu.


Saya menganggap pelantikan ini adalah suatu penghargaan dan pengiktirafan kepada peranan yang telah dipelopori oleh ABIM sejak 3 dekad yang lalu. Dari seramai 60 orang tokoh ulama dan pendakwah yang dilantik dari negara Arab dan Afrika, wakil dari Malaysia dan Turki dilantik untuk melebarkan lagi peranan Munazzamat selain Afrika.

Munazzamat Dakwah Islamiyyah(MDI) adalah sebuah badan dakwah yang sangat berpengaruh di Afrika. Aktiviti utamanya ialah pendidikan, kesihatan dan dakwah. Untuk membiayai aktivitinya, ramai penderma dan Yayasan dari negara Arab dan Teluk telah menjadi pendana utama. MDI juga mempunyai sebuah syarikat bernama Dan Fodio Holding Company yang melibatkan diri dalam pelbagai jenis perniagaan.



[+/-] Baca selanjutnya...