Monday, February 11, 2008

Doa kami untuk Dato' Sheikh Azmi

Saya dan Sdr Abdul Halim Ismail telah menziarahi Dato' Sheikh Azmi di Wad CCU Institut Jantung Negara jam 1.00 tengahari tadi. Beliau berada dalam keadaan sedar dan menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan kami walaupun tidak dapat bercakap kerana beliau menggunakan mesin bantuan pernafasan. Pastinya kami sangat terkilan kerana tidak dapat berbicara dengan Pak Sheikh dan kami yakin beliau lagi terkilan kerana walaupun sedar tetapi tidak dapat berbicara. Beliau hanya menggunakan isyarat jari telunjuk (umpama ketika orang mengucap kalimah syahadah). Kami tidak mengerti apa maksudnya dan beliau pun nampak kesal kerana kami tidak memahami. Sdr Abdul Halim membacakan doa agar beliau segera sembuh dan diberi kekuatan oleh Allah s.w.t untuk menghadapi ujian ini. Kemudiannya kami mohon izin untuk pulang bila beliau kelihatan kepenatan dan bersalaman sebelum meninggalkan wad tersebut.

Dalam perjalanan pulang ke pejabat kami menghimbau pada tahun 1999, ketika itu saya sebagai Presiden ABIM dan Sdr Halim sebagai Naib Presiden, kami berkunjung ke pejabatnya yang baru di Kuala Lumpur kerana mengucapkan tahniah di atas pelantikan beliau sebagai YAA Ketua Hakim Sharie Wilayah Persekutuan dan Labuan setelah lima tahun menjadi Mufti Pulau Pinang. Kami makan nasi bungkus di pejabatnya dan kami tidak menjangka beberapa bulan selepasnya beliau meletakkan jawatan untuk bertanding dalam pilihanraya umum 1999 atas tiket Parti KeADILan. Pengorbanan beliau sangatlah tinggi dan beliau terus berjuang dalam Parti KeADILan sebagai Naib Presiden sehinggalah beliau uzur akibat penyakit kencing manis yang agak kronik. Rasanya tidak ramai di kalangan kita yang mampu meninggalkan jawatan yang menjanjikan kesenangan dan keselesaan hidup demi perjuangan tercinta. Pak Sheikh adalah di kalangan yang tidak ramai itu.

Saya terharu dan berdoa agar mampu menjejaki kegigihan dan kesabaran beliau dalam perjuangan dakwah. Saya sarankan agar seluruh warga jamaah dalam WADAH, ABIM dan PKPIM serta siapa juga yang mengenali beliau untuk menunaikan solat hajat agar Allah Taala memberi kekuatan dan kesabaran kepada beliau.

[+/-] Baca selanjutnya...