Tuesday, July 26, 2011

KE ARAH MELAHIRKAN KEPIMPINAN UMMATIK DALAM KONTEKS GERAKAN KOPERASI

Tema Hari Koperasi Negara ke -10 iaitu “Transformasi Koperasi Menjana Ekonomi Rakyat” amatlah bertepatan dengan semangat koperasi itu sendiri iaitu untuk memperkasa ekonomi rakyat. Citra koperasi selama ini sebagai gerakan ekonomi rakyat kecil yang berniaga secara kecil di persekitaran luar Bandar yang serba miskin perlu dirobah. Kekuatan massa yang dimiliki oleh Gerakan Koperasi dengan terdapat 7,215 koperasi berdaftar dengan keanggotaan seramai 6.78 juta orang dan aset bernilai RM65.0 billion perlu digembleng dan ditransformasi agar ianya mampu menjadi kuasa ekonomi kerakyatan yang setanding dengan sektor korporat yang ada.

Namun demikian, pendekatan transformasi Gerakan Koperasi tidak semestinya sama dengan pendekatan sektor korporat. Gerakan Koperasi sesuai dengan semangatnya untuk membangun ekonomi kerakyatan harus bersifat “human and social centric” iaitu pendekatan yang berpaksi kepada manusia atau insan demi membangun masyarakat. Justeru itu hasrat dan matlamat Seminar ini iaitu ‘Ke Arah Pembangunan Masyarakat Mandiri’ amatlah relevan sekali.

Penekanan kepada peranan sektor usahawan sosial dalam konteks pembangunan dan transformasi Gerakan Koperasi keseluruhannya adalah suatu langkah yang kehadapan.

Di sini ingin saya utarakan konsep Kepimpinan Ummatik sebagai pemacu penting dalam proses transformasi gerakan koperasi. Kepimpinan Ummatik di sini bermaksud kepimpinan yang memperjuangkan kepentingan umat, membebaskan umat dari lingkaran kemiskinan, menjadikan umat bermaruah dan mempunyai harga diri dengan kehidupan yang bebas, merdeka dan mandiri. Kepimpinan Ummatik adalah kepimpinan yang bermanfaat buat umat sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.

عن جابر قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :

« المؤمن يألف ويؤلف ، ولا خير فيمن لا يألف ، ولا يؤلف، وخير الناس أنفعهم للناس »

yang bermaksud, “Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seseorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” (HR.Thabrani dan Daruquthni)

Konsep Ummatik bersumberkan konsep Khayra Ummah sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ

yang bermaksud, “Kamu adalah umat terbaik yang di lahirkan untuk manusia, menyuruh yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” (Ali Imran 3:110). Dalam konteks Gerakan Koperasi, al-Ma’ruf bermaksud membebaskan manusia dari jurang kemiskinan dengan melahirkan sistem dan program ekonomi yang berkeadilan dan mampan. Al-Mungkar pula adalah gejala kemiskinan tegar yang berleluasa yang mengakibatkan berlakunya kekufuran, rasuah, jenayah, penyelewengan, pemerdagangan manusia dan lain-lain.

Teras kepada Kepimpinan Ummatik adalah kekuatan spiritual atau kekuatan kerohanian atau kekuatan iman. Gejala penyelewengan yang sering berlaku di sektor korporat maupun koperasi adalah lantaran lemahnya aspek spiritual ini. Badiuzzaman Said Nursi (1877 – 1960), seorang tokoh pendakwah terkenal Turki menerangkan hakikat Iman di dalam bukunya Risalah-i-Nur kepada 4 konsep penting iaitu : 1. Konsep al-Faqr (hakikat insan yang tidak memiliki apa pun) 2. Konsep al-‘Ajzu (hakikat insan yang lemah dan tidak berdaya) 3. Konsep al- Syafaaqah (hakikat belas ihsan kerana hidayah) 4. Konsep al-Tafakkur (hakikat semua kejadian tidak sia-sia, dan tidak secara kebetulan)

Kesan dari memahami dan menghayati 4 konsep hakikat iman ini, seorang pemimpin Koperasi yang bercirikan Ummatik ini menyedari bahawa harta kekayaan hanyalah pinjaman Allah ta’ala untuk digunakan kepada mengguatkan al-Ma’ruf dan mencegah al-Mungkar. Hakikat harta sebenarnya milik Allah ta’ala. Justeru, ianya harus digunakan untuk perkara-perkara kebaikan sahaja. Sebarang bentuk pembaziran termasuk dalam hal-hal yang mungkar yang harus dihindarkan. Dia juga menyedari bahawa segala perancangan yang diusahakannya, samaada berjaya atau gagal bergantung dengan kehendak Allah ta’ala jua. Seorang pemimpin yang bercirikan Ummatik dituntut untuk berusaha sedaya yang mungkin bagi memastikan kejayaan perancangan dan usahanya, dan kemudian bertawakal kepada Allah semoga usahanya berjaya. Dia juga melaksanakan tugas-tugasnya dengan sikap positif dan perasaan kasih sayang agar sentiasa diberi hidayah di atas jalan yang benar. Dia akan memimpin ahli-ahli Koperasinya dengan semangat kasih sayang sesama insan yang mendorong semangat kerjasama antara pemimpin dan ahli. Akhirnya, dia yakin bahawa setiap perkara yang berlaku, samaada dia suka atau dia benci, hakikatnya berlaku bukan dengan sia-sia dan kebetulan. Kesemuanya dalam pengetahuan Allah ta’ala jua. Dia akan sentiasa bersikap positif dan proaktif di dalam apa jua keadaan. Dia akan bersyukur sekiranya projeknya berjaya, dan akan bersabar sekiranya banyak halangan yang terpaksa dirempuh.

Seorang pemimpin yang bercirikan Ummatik selain dari memahami dan menghayati 4 konsep hakikat Iman tadi, harus juga seorang yang kehidupannya berpaksikan solat atau solat centric. Ini bermaksud seorang pemimpin Ummatik adalah seorang yang ta’at melaksanakan solat yang yang diwajibkan kerana kejayaan hidup yang sebenar adalah kejayaan dunia dan akhirat. Laungan azan Hayya ‘alas Solah, Hayya ‘alal Falah adalah peringatan dari Allah ta’ala akan hakikat kejayaan hidup yang sebenar.

Justeru itu, kejayaan agenda ANGKASA di dalam penubuhan institusi kewangan yang dikenali sebagai Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA yang berlandaskan Syariah Islam, penubuhan Koperasi Masjid di 6600 Masjid di seluruh Negara, Infaq Lil Waqf, sebagaimana yang di ungkapkan oleh Presiden ANGKASA, Prof. Dato’ Dr.Haji Mohd Ali Baharum di dalam Persidangan Tahunan ANGKASA ke – 27 yang lalu, amat bergantung dengan kualiti kepemimpinan ANGKASA dan komitmen kepada penghayatan kepimpinan Ummatik ini. Asas kepada ketiga-tiga agenda besar ini adalah berkaitan dengan pengurusan dana yang berlandaskan Syariah. Amat pelik dan janggal rasanya sekiranya pengurus dana ini tidak mempunyai spiritual commitment yang merupakan asas kepada Kepimpinan Ummatik ini. Darjah keyakinan para Pentadbir Masjid untuk mengamanahkan dana Masjid kepada ANGKASA, begitu bergantung kepada kualiti spiritual para pengurus dana tersebut.

Secara umumnya, Gerakan Koperasi bergerak di atas 7 prinsip iaitu 1. Keanggotaan sukarela dan Terbuka 2. Kawalan Demokratik oleh anggota 3. Penglibatan ekonomi oleh anggota 4. Autonomi dan Kebebasan 5. Pendidikan,Latihan dan Maklumat 6. Kerjasama antara Koperasi 7. Mengambil berat Terhadap Masyarakat. Kertas ini akan menumpukan kepada prinsip Mengambil Berat Terhadap Masyarakat. Antara misi nasional didalam Dasar Koperasi Negara 2011-2020 ialah untuk menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif. Persoalan kemiskinan selalu dikaitkan dengan masalah ketidakseimbangan sosioekonomi masyarakat. Definisi kemiskinan yang selalu di pakai ialah kemiskinan harta benda atau miskin dari segi ekonomi kerana berpendapatan rendah. Namun amat jarang dibicarakan definisi kemiskinan yang lebih luas skopnya yang juga menjadi faktor penyumbang kepada kemiskinan tegar saperti kemiskinan ilmu dan budaya.

Di sini ingin ditumpukan kepada usaha yang boleh dibuat oleh Gerakan Koperasi di dalam memperkasa masyarakat dengan menangani isu kemiskinan ilmu dan kemiskinan budaya. Persoalan sosioekonomi mempunyai dua dimensi iaitu dimensi sosial dan dimensi ekonomi. Lazimnya penumpuan banyak diberikan kepada dimensi ekonomi dengan melahirkan seberapa ramai usahawan yang boleh dalam usaha untuk memperkasa ekonomi umat. Namun demikian sudah tiba masanya untuk dimensi sosial diberikan tumpuan oleh Gerakan Koperasi.

Di sinilah rasanya peranan yang boleh dimainkan oleh Usahawan Sosial bergandingan dengan Gerakan Koperasi di dalam menangani ketidakseimbangan sosioekonomi dalam masyarakat. Mengikut Prof. Dr. Samsuddin A Rahim definisi Usahawan Sosial adalah seperti berikut,” Usahawan Sosial adalah individu yang mempunyai penyelesaian inovatif atau innovative solution kepada masalah sosial yang sedang dihadapi oleh masyarakatnya. Usahawan Sosial mempunyai misi sosial. Kekayaan atau keuntungan bukan misi usahawan sosial. Disebaliknya usahawan sosial akan lebih mementingkan pencapaian dan impak sosialnya.”

Umpamanya banyak Badan Bukan Kerajaan atau Non Governmental Organisation (NGO) yang terlibat di dalam memperjuangkan sistem pendidikan Islam bersepadu dalam rangka untuk melahirkan generasi Muslim yang berilmu dan berbudaya Islam yang mana secara langsung dapat membasmi kemiskinan ilmu dan budaya tadi. NGO seumpama ini termasuk didalam kategori Usahawan Sosial yang mana matlamatnya adalah untuk menangani kemiskinan ilmu dan memupuk budaya Islam. Memang matlamatnya bukanlah keuntungan semata-mata, tetapi apabila sekolahnya berjaya melahirkan ramai pelajar yang lulus cemerlang dalam peperiksaan, keuntungan itu datang dengan sendirinya untuk kemandirian sekolah tersebut.

Begitu juga ada NGO yang terlibat didalam Gerakan Kitar Semula dan Pertanian Organik dalam rangka menjayakan Teknologi Hijau – Green Technology yang telah mendapat perhatian wajar dari pihak Kerajaan. Para petani digalakkan untuk meneroka bidang ini, dan NGO berperanan sebagai agen perubahan ke arah menjayakan Teknologi Hijau ini. Mereka yang terlibat ini adalah contoh Usahawan Sosial yang dimaksudkan.

Gerakan Koperasi boleh saja terlibat langsung di dalam misi nasional menanggani isu ketidakseimbangan sosioekonomi masyarakat dengan melaksanakan sendiri program-program sosial. Atau Gerakan Koperasi boleh juga bekerjasama dengan NGO yang terlibat didalam program Keusahawanan Sosial di dalam pakatan strategik yang memberi manfaat kepada semua pihak.

Kesimpulannya, dalam konteks menjayakan Program Pembangunan Masyarakat Mandiri, Gerakan Koperasi harus berani untuk melakukan paradigm shift atau anjakan paradigma di dalam agenda gerakannya. Perkara yang utama yang harus dilakukan ialah meningkatkan kualiti kepemimpinan Gerakan Koperasi itu sendiri. Agenda besar ANGKASA dengan penubuhan institusi kewangan berlandaskan syariah, menubuhkan Koperasi Masjid di seluruh negara umpamanya memerlukan pemimpin yang bercirikan Ummatik di setiap peringkat. Komitmen rohaninya mesti mantap. Peranan sebagai agen perubah agar berjaya mewujudkan masyarakat mandiri perlukan kerjasama yang erat antara Gerakan Koperasi dengan NGO yang terlibat didalam keusahawanan sosial. Zaman Koperasi boleh membuat segalanya sudah berlalu. Zaman sekarang ialah zaman ’networking’ iaitu membina sebanyak mungkin jaringan dan jalinan kerjasama dengan institusi yang sealiran dan NGO yang sama matlamat. Sekiranya langkah-langkah ini dapat dilaksanakan dengan komitmen yang tinggi di semua lapisan Gerakan Koperasi, rasanya matlamat misi nasional untuk menanggani ketidakseimbangan sosioekonomi tadi akan tercapai, insyaALlah.

Dibentangkan di Seminar ”Ke Arah Pembangunan Masyarakat Mandiri”

Anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad

18 Julai 2011, Kuala Lumpur International Hotel

[+/-] Baca selanjutnya...