1. Termenung dibuatnya bila membaca ruangan hiburan akhbar Sinar Harian bertarikh 1 March 2010. Tajuknya, “Hafal lirik boleh menang RM1 juta”. Begitulah tingginya nilai penggiat dunia hiburan di negara ini. Malah kalau dilihat perkembangan industri hiburan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tawaran hadiah yang cukup lumayan diberikan kepada para peserta yang ingin masuk ‘Kelab Penghibur, Penyanyi, Pelakon, Pelawak’. Program Realiti seperti Akademi Fantasia, ‘One in a Million’, Raja Lawak, adalah antara program yang merangsang generasi muda ke arah dunia hiburan yang rasanya sudah sampai ke tahap berlebihan. 2. Kita bandingkan pula dengan pengiktirafan terhadap para pendakwah, penghafal al Quran, aktivis sosial, intelektual, pelajar cemerlang? Pemenang Anugerah Perdana Maulidur Rasul 1431 H, Professor Dato’ Dr.Mahmood Zuhdi bin Abdul Majid di hadiahkan RM50,000 beserta sijil penghargaan dan plak. Sementara 5 lagi pemenang Tokoh Maulidur Rasul mendapat RM22,000 beserta sijil dan plak. Semalam pula, Perdana Menteri telah melancarkan insentif khas sebanyak RM2000 setiap bulan sepanjang hayat kepada Johan Tilawah al-Quran Antarabangsa sejak 1961. 3.Memang tidak tepat untuk dibuat perbandingan di segi ganjaran wang, kerana industri hiburan didokong oleh sektor swasta, sedangkan aktiviti kemasyarakatan dan keilmuan didokong oleh kerajaan. Motivasi seorang ilmuan adalah ilmu, bukan wang. Namun, bayangkan sekiranya seorang ilmuan diberi hadiah RM1 juta. Apakah dia akan membeli rumah berharga RM1 juta atau digunakan untuk memperkasa ilmu umat? Berapa banyak manfaat yang akan dinikmati oleh rakyat? Begitu juga kepada para pendakwah, rasanya dia akan gunakan dana tersebut untuk meningkatkan lagi kerja dakwahnya. Kalau artis pula, tak perlulah dihuraikan di sini. Bacalah dalam ruangan hiburan yang melambak di akhbar-akhbar. 3. Namun, apakah pihak swasta boleh melakukan apa juga yang mereka mahu asalkan boleh mendapat keuntungan?. Apa yang pasti budaya hedonistik semakin menular dalam masyarakat akibat terlalu banyak program hiburan berkelas rendah yang dilambakkan kepada masyarakat. Gejala sosial semakin tenat dan parah. Gejala seks bebas di kalangan remaja semakin lumrah. Kes rogol dan ragut juga sudah semacam tak terkendali lagi. Siapakah yang menanggung kos sosial dan kos menangani jenayah ini? Bukankah kerajaan? Mana dia tanggungjawab sosial pihak swasta? 4. Saya berpendirian, pihak kerajaan mesti tegas di dalam mengawal rancangan hiburan di media massa, baik media cetak,internet dan eletronik. Hiburan yang berlandas kebudayaan kebangsaan harus diutamakan. Hiburan yang menanamkan semangat patriotik,semangat perjuangan, semangat kesukarelaan harus di garap. Membiarkan pihak swasta berleluasa menaja program hiburan tanpa batas dan tanpa landasan falsafah yang mantap, hanya menguntungkan pihaknya saja, sedangkan kerajaan yang terpaksa menanggung kos sampingannya. Umpama membuat untung atas kehancuran umat. 5. Saya pernah menegur seorang penerbit muda di sebuah syarikat TV Swasta akan hal ini. Jawapannya mudah, program serius bernuansakan agama, susah mendapat penaja dan iklan. Syarikat terpaksa hidup dengan iklan. Inilah dilemma kami. 6. Rasanya Dato’ Rais Yatim kena lihat perkara ini secara mendalam.Kepada Dato’ Jamil Khir, mengapa tidak anugerah Tokoh Ma’al Hijrah dan Maulidur Rasul tahun hadapan dinaikkan ke RM1 juta supaya setanding dengan Juara Hafal Lirik? WaLlahu a’lam.
Friday, March 5, 2010
HAFAL LIRIK BOLEH MENANG RM 1 JUTA, HAFAL QURAN BAGAIMANA?
Monday, March 1, 2010
Temui Abon’go Malik Obama
1. Saya sempat menemui Malik Obama sewaktu menghadiri Sidang Dakwah Afrika di Khartoum pada 10-11 Februari yang lalu. Ketika Majlis perasmian baru bermula, tiba-tiba seorang berbangsa Afrika tinggi lampai duduk di sebelah saya. Saya bertanya, "Where are you from? I am Ahmad Azam from Malaysia.” Dia lantas menjawab,” Malik from Kenya.”
2. Ketika ucapan perasmian yang disampaikan oleh Field Marshal (Bersara) Abdul Rahman Suar Dahab yang juga Pengerusi Munazzamat Dakwah, mengalu-alukan hadirin, baru saya tahu yang duduk sebelah saya adalah antara tetamu jemputan, Abon’go Malik Obama, 52 tahun yang merupakan abang tiri Presiden Amerika Syarikat , Barack Hussein Obama, 49 tahun.
3. Menurut Malik, ayahnya mempunyai 3 orang isteri dan beliau adalah dari isteri yang pertama ‘Kezia, dan anak yang paling tua. Datuknya adalah di antara generasi awal Islam di Kenya. Beliau agak rapat dengan Presiden Barack Obama. Malah beliau menjadi ‘best man’ kepada Barack ketika perkahwinannya, dan begitu juga sebaliknya ketika beliau berkahwin, Barrack menjadi ‘best man’. Malik juga adalah antara tetamu yang hadir pada majlis Pengisytiharan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke 44.
4. Didalam Majlis tersebut, Malik diberi kesempatan untuk berucap. Saya agak teruja dengan ucapannya yang menyatakan kesyukuran yang tak terhingga kerana dipilih Allah ta’ala menjadi seorang Islam. Beliau juga bersyukur kerana adiknya, Presiden Barack Obama telah terpilih menjadi Presiden kepada sebuah negara yang paling berkuasa di dunia buat masa ini. Ini semua adalah kehendak Allah ta’ala jua. Beliau hanya mengharapkan kebaikan jua dari segala ketentuan Allah ta’ala ini. Beliau berharap hadirin semua dapat berdoa agar adiknya dapat memerintah dengan adil demi kesejahteraan dunia seluruhnya. Beliau juga amat berharap agar Sidang Dakwah ini dapat memberi perhatian kepada perkembangan Islam di Kenya.
5. Selepas Perasmian, saya tidak lagi berkesempatan bersamanya kerana sentiasa di kerumuni oleh ramai orang yang ingin bergambar dengannya. Di kesempatan lain beliau sempat berbisik dengan saya, 'since my brother becomes the President of USA, I am tired of smiling’.
6. Pertemuan saya dengan Malik telah membuatkan saya terfikir. Presiden Barack Obama mempunyai akar sejarah keturunan Islam yang agak kuat. Ayahnya seorang Islam, ayah tirinya juga seorang Islam dari Indonesia. Walaupun Media Barat cuba menggambarkan keIslaman mereka berdua hanyalah nominal, tetapi hakikatnya Presiden Obama terdedah kepada Islam sejak kecil. Beliau berdarah campuran Afrika dan Caucasian. Keluarga besar beliau di Kenya ada yang Islam, dan ada yang Keristian. Rasanya dengan kepelbagaian latarbelakang ini adalah juga suatu kekuatan yang harus dimanfaatkan ketika dunia berhadapan dengan krisis hegemoni Barat terhadap dunia Islam.
7. Umumnya, pendapat umat Islam mengenai kePresidenan Obama terbahagi kepada 3. Pertama bersikap pesimis, iaitu Obama hanyalah wajah luaran AS yang diplomatik, tetapi hakikatnya beliau hanyalah alat Zionis yang mencengkam nadi Rumah Putih. Pendapat kedua bersikap optimis, iaitu Obama, walaupun mempunyai banyak kekangan untuk melakukan sebarang perubahan, tetapi masih ada kuasa Presiden yang boleh di pakai asalkan sistem pelobi dapat digunakan oleh Dunia Islam. Kalau Zionis menggunakannya, mengapa tidak kita? Pendapat ketiga bersikap tunggu dan lihat. Obama rasmi menjadi Presiden AS ke 44 pada 20 Januari 2009. Apakah perubahan telah berlaku sebagaimana yang di janjikan? Kalau ya, kita sokong, kalau tidak, kita bangkang.
8. Saya berpendirian bahawa adalah jauh lebih baik sekiranya kita bersikap proaktif dengan kerajaan Obama sekarang. Kita telah bersikap pesimis sebelum ini, tetapi nyata sekali keadaan kita tidaklah lebih baik. Kegagalan Obama untuk melakukan perubahan seperti di Afghanistan, Iraq dan Iran adalah lantaran sistem pelobi tidak kita kuasai. Sistem inilah yang menjadi pembentuk dasar luar AS. Berapa banyak negara Islam yang memahami sistem pelobi ini untuk mempengaruhu dasar luar AS? Buku terbaik dan berterus terang yang wajib di baca untuk memahami sistem pelobi ini ialah ‘The Israel Lobby and US Foreign Policy’ ditulis oleh John J.Mearsheimer dan Stephen M.Walt. Berdasarkan buku ini, sudah timbul kegelisahan di kalangan para academia dan pembuat dasar AS akan tindakan keterlaluan pelobi Zionis dalam mempengaruhi dasar luar AS terutama terhadap dunia Islam. Mereka berpendapat, dasar luar AS harus lebih seimbang demi masa depan AS itu sendiri. Nah!, apa yang ditunggu lagi oleh Dunia Islam.
Subscribe to:
Posts (Atom)