Tuesday, June 24, 2008

Wasiat Walid – Jadilah Insan yang Ummatik

Minggu lalu 20-22 Jun, saya mengendalikan satu program untuk para Nuqaba’ Kolej MARA Banting (KMB). Kolej ini menempatkan pelajar lepasan SPM yang mendapat keputusan terbaik untuk persiapan belajar di luar negara. Pelajar terpilih akan dipersiapkan dengan latihan akademik serta psikologi selama 2 tahun sebelum berlepas ke luar negara.
Apa yang menarik di KMB ialah di samping penekanan kepada kecemerlangan akademik, penekanan aspek agama juga tidak diabaikan. KMB telah melaksanakan sistem usrah sebagai kaedah menambah kesedaran agama di kalangan pelajar. Beberapa pelajar akan dipilih untuk menjadi Naqib dan Naqibah bagi mengetuai atau menyelaras usrah-usrah ini.

Beberapa bulan sebelum ini Ustaz Sulor Tohiron, Pegawai Agama KMB menghubungi saya untuk mengendalikan kursus kepada para Nuqaba supaya sistem usrah dapat berjalan dengan berkesan dan dapat melahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan tinggi akal budinya.

Tanpa berfikir panjang, saya jawab setuju. Bagi saya sejak terlibat di dalam usrah se awal 1978 (30 tahun yang lalu) ketika baru masuk sebagai pelajar Diploma Pentadbiran Awam Institut Teknologi MARA (ketika itu), hidup saya berubah 360 darjah. Dari seorang pelajar yang sangat pasif, rendah diri, pendiam dan pemalu, melalui latihan usrah, saya telah berubah sehingga menjadi Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar pada tahun 1980/81. Sejak itu saya tidak pernah menoleh ke belakang. Ketika menyambung pelajaran di Amerika Syarikat, saya menjadi Presiden ABIM Amerika Utara di samping Amir MISG Indiana State University. Balik ke Malaysia, dipilih menjadi Exco ABIM Pusat sehinggalah menjadi Presiden ABIM ke-5 selama 8 tahun dari tahun 1997 – 2005. Teman sekolah di St John Institution (1973-1977), ramai yang terkejut, hairan melihat perubahan terhadap diri saya.

Melalui usrah, saya mengerti tentang amanah dakwah yang diwajibkan kepada setiap umat Islam. Dakwah bukan kerja khusus para ustaz dan ustazah atau alim ulama. Dakwah adalah perintah Allah Ta`ala kepada setiap umat Islam. Cuba fahami surah Ali Imran 3:110 yang bermaksud “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maaruf , dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah” Ayat ini berbicara mengenai khayra ummah yang dikaitkan dengan syarat melaksanakan amar ma`ruf nahi mungkar. Faktor motivasi dan pendorongnya ialah beriman kepada Allah Ta`ala seutuhnya.

Kembali kepada kursus para Nuqaba tadi, saya telah diberi gelaran “Walid” oleh mereka. Sejak terlibat di dalam melaksanakan amanah dakwah selama 30 tahun, setiap kali kursus dakwah yang saya kendalikan, berbagai gelaran yang diberikan peserta kepada saya. Saya mengatakan saya bukan ustaz, kerana tidak pernah mengikuti pendidikan agama secara formal. Saya terdedah kepada Islam melalui kaedah pendidikan tidak formal iaitu usrah. Pendidikan sepanjang hayat.

Namun demikian, ramai yang selesa memanggil saya ustaz, ada juga Sheikh, Maulana, Hoja dan macam-macam lagi.

Walid! Inilah gelaran yang tak pernah saya terima. Lazimnya Walid adalah panggilan bapa oleh anak terutama dari keturunan Arab Melayu. Wah! Terkedu saya kerana buat pertama kali baru terasa dah tua. 21 Jun, adalah hari lahir saya yang ke 48 tahun. Waktu mengendalikan sesi ceramah, saya merahsiakannya. Dah tua! Malu pula nak meraikan hari lahir. Esoknya pula, ketika acara penutup program, para fasilitatior membuat kejutan dengan membeli kek untuk meraikan peserta, Faizah yang menyambut hari ulang tahun kelahiran ke 19, pada 22 Jun. Rahsia saya terbuka apabila Wan Azizah pegawai saya di Future Global Network memaklumkan hari lahir saya adalah semalam. Peserta kursus menjadi riuh dan beramai-ramai menyanyikan lagu selamat hari lahir secara spontan. Walid dan anak buahnya memotong kek dalam suasana terharu dan gembira. Di dalam kursus selama tiga hari dua malam tersebut, dengan dibantu oleh enam orang fasilitator, saya menggunakan kaedah “Master Trainer” yang mana saya melibatkan peserta secara interaktif dan intensif. Saya bergerak dari meja ke meja bertanya soalan, menguji kefahaman, dan mengusik mana-mana peserta yang leka dan mengantuk. Saya gunakan lagu-lagu ketuhanan oleh kumpulan Nasyid, Rock dan Rap untuk membantu ingatan para peserta mengenai perkara penting di dalam sesi saya. Saya ulang-ulang Tesbihat iaitu Asma Ul Husna yang popular di Turki untuk memantapkan kefahaman tauhid, serta untuk menambahkan rasa cinta kepada Allah Ta`ala . Kaedah ini memang memenatkan kerana menggunakan tenaga, fikiran yang maksimum. Lebih memenatkan lagi, kerana saya bila berceramah sentiasa dengan nada yang tinggi dan bersemangat.

Namun demikian, walaupun penat, tetapi berbaloi. Saya puas dan gembira bila melihatkan wajah-wajah peserta di akhir kursus begitu ceria, gembira seolah-olah mereka mendapat suatu ilham atau ilmu yang sangat berharga. Nampak semangat mereka berkobar-kobar untuk menjadi Naqib dan Naqibah yang cemerlang.


Kepada anak-anak seramai 61 orang (60 bakal doktor, 1 bakal jurutera) Walid ingin berpesan. Walid ingin berwasiat.

Jadilah insan yang ummatik
Ikutilah jejak Al Rasul
Patuhilah syarat Al Falah

Jangan hanya mementingkan diri
Jangan bakhil ilmu dan kasih sayang
Sayangilah untuk disayangi
Redhailah untuk diredhai
Syukurilah untuk dirahmati
Pasti Allah mengasihi, Wallahi.

Kepada Sdr Shaharuddin dan Cikgu Muslimin terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman peribadi mengenai usrah sebagai wahana dalam pembentukan khayra ummah.

Kepada 6 orang Fasilitator, Sdr Shakir, Helmi, Muhammad Huzaifah, Najmudin, Maria dan Norasarina, terima kasih kerana membantu menjayakan program ini.

[+/-] Baca selanjutnya...