Friday, September 24, 2010

TANGKAPAN ISA TERHADAP PEMIMPIN ABIM – SATU REFLEKSI PERJUANGAN

SIRI 3: INTEROGASI BERMULA

Ketika masuk ke bilik interogasi, barulah gari dan cermin mata hitam saya dibuka. Ingin ditegaskan di sini bahawa cermin mata hitam yang dipakai telah dicat dengan warna hitam. Apa pun tak nampak. Masuk saja ke bilik tersebut, tercegat 3 orang pegawai yang tidak langsung memperkenalkan diri mereka. Mereka bertiga duduk di belakang meja panjang, dan saya disuruh duduk di kerusi plastik jauh dari meja. Bilik tersebut sangat dingin kerana penghawa dingin dipasang dengan kuat.

Ketua Interogasi, saya mengenalinya kerana dialah yang menangkap saya di Sekretariat ABIM, Taman Sri Rampai. Beberapa hari kemudian baru saya tahu namanya, Deputy Superintendent Police (DSP) Shukri. Saya pasti dia orang Kelantan kerana loghatnya pekat. Seorang lagi di kirinya, berpangkat Assistant Superintendent Police (ASP) saya agak berpendidikan jurusan Undang-Undang dan sebelah kanannya berpangkat Chief Inspector. Namanya sampai ke sudah saya tak tahu.

Sepanjang siri interogasi berjalan, masing-masing menjalankan peranan yang berbeza. Seorang berlagak sangat garang dan melayan saya sebagai penjenayah, seorang lagi selalu membuat provokasi, dan ketuanya sentiasa bersikap lembut dan berdiplomasi. Saya agak strategi ini adalah untuk menggelirukan OKT.

Sesi interogasi berjalan tidak mengikut masa. Kadang-kadang tengah malam, tiba-tiba dipanggil. Pasukan yang membuat interogasi juga kadang-kadang berbeza. Pernah sekali salah seorang daripadanya saya kenal sungguh kerana pernah bertemu ketika demonstrasi di Dataran Merdeka pada 20 September yang lalu. Wajah dan perwatakannya macam orang ABIM. Dia sentiasa mengikuti saya ke mana jua saya pergi, bertindak seolah-olah salah seorang penyokong Reformasi ketika demonstrasi sampai ke kemuncaknya di Dataran Merdeka.

Ketika bertemu di bilik interogasi, saya terkejut bertemunya. Dia hanya senyum lebar. ‘Tugas saya mengekori Cik Azam ketika itu’, katanya selamba. Namanya Cif Inspektor Amran.

Bab Polis Cawangan Khas mengekori suspek memang menarik. Saya teringat waktu pagi 21 September, sebelum penangkapan dibuat, saya lihat beberapa orang lelaki yang tidak dikenali datang ke kaunter pejabat. Saya sempat bertanya salah seorang darinya, ‘Dari mana Sheikh?’ Lantas dijawabnya, ‘Dari ABIM Pahang’. Saya pun terus berlalu tanpa terlintas bahawa mereka itu Special Branch. Mungkin mereka ini ahli baru yang nak mendaftar. Begitulah sangkaan baik saya ketika itu.

Hari pertama, sesi berjalan lancar kerana mereka ingin tahu apa yang saya buat sejak Anwar dipecat pada 2 September sehinggalah tertangkap pada 21 September 1998. Mereka hanya mencatat apa yang saya sebut dengan sekali sekala membuat provokasi agar saya mendedahkan segala-galanya. Mereka ingin tahu siapa-siapa yang terlibat dalam perancangan dan strategi Reformasi.

Sebelum bermula, ketika saya baru masuk bilik interogasi, pegawai berpangkat ASP menunjukkan ‘garang’nya. Dia minta saya berdiri di sepanjang interogasi berlangsung. DSP Shukri cepat membantah dan menegaskan agar saya harus dilayan dengan penuh hormat. Beliau minta saya duduk di kerusi. ASP tersebut terpaksa akur dengan protes. Sikapnya terhadap saya amat negatif dan meyakitkan hati. Soalan-soalannya terhadap saya semasa interogasi penuh dengan tuduhan-tuduhan sinis seolah-olah saya adalah seorang penjenayah yang terlibat di dalam aksi subversif yang mengancam keselamatan negara. DSP Shukri pula pandai mengambil hati saya dengan soalan-soalan yang penuh berhemah dan beradab.

Bila mengingatkan episod ini semula, terasa pula mereka ini seolah-olah berlakon, agar saya terus memberi kerjasama dengan memberi maklumat-maklumat penting dengan sukarela.

Sebelum ditangkap, selalu juga saya mendengar cerita akan siri penyiksaan yang dilakukan polis terhadap OKT untuk mendapatkan pengakuan bersalah dan maklumat penting. Cerita seperti duduk atas bonggol ais, disebat dengan hos getah, disuruh berbogel di bilik berhawa dingin yang dipasang kuat dan bermacam lagi kisah yang menggerunkan. Malah selepas keluar penjara, cerita yang saya terima dari rakan–rakan OKT juga bermacam-macam. Saya bersyukur kerana cerita-cerita gerun apalagi yang mengaibkan tidak berlaku pada saya. Alhamdulillah. Cuma tidak dinafikan tekanan mental akibat siri interogasi yang intensif tanpa mengira masa memang dideritai. Penderaan fizikal memang tidak berlaku.

Memasuki hari kedua, ketiga dan seterusnya, sesi interogasi menjadi bertambah payah dan intensif. Banyak maklumat yang saya beri pada hari pertama dipersoalkan kesahihannya oleh SB. Mereka telah membandingkan maklumat saya dengan Ustaz Mokhtar, Halim dan Saharuddin. Awak jangan cuba menipu Zam! ‘tengking ASP garang tersebut. ‘Kawan awak cakap lain, awak cakap lain!’Jangan buang masa kami’, begitulah bentaknya. Saya tergamam seketika! Masing-masing kami tak tahu maklumat mana yang telah didedahkan… Tingkap sel penjara masing-masing pun dah ditutup selalu. Amat payah untuk berkomunikasi di waktu senggang yang semakin sedikit.

Salah satu taktik SB untuk memujuk OKT supaya bekerjasama dengan mereka ialah dengan memberi tawaran kemudahan asas peribadi. Pendekatan ‘carrot and stick’ sentiasa digunakan. Sekiranya OKT memberi kerjasama yang baik, beberapa keistimewaan akan diberi. Pengawal yang mengiringi saya antara sel penjara dan bilik interogasi sentiasa membisikkan ke telinga saya, ‘Cik Azam, mintalah bantal, selipar, sejadah dan al-Quran pada SB tu!‘Dia akan bagi punya’ katanya lagi. ‘Ada OKT dah dapat semuanya, relaks saja dia’, tambahnya untuk meyakinkan saya.

Esoknya bila pulang dari bilik interogasi, saya terkejut kerana di atas tempat tidur terletak senashkah al-Quran, dan selipar. Saya bingung kerana saya tak pernah membuat sebarang permohonan pun. Namun jauh di sudut hati, bersyukur yang amat kerana al-Quran sudah berada di tangan. Bolehlah menelaah ayat-ayat suci bagi menambah kekuatan spiritual bagi menghadapi ujian berat ini. Terfikir juga di benak saya, apakah saya sudah dianggap memberi kerjasama yang baik untuk mendapatkan keperluan asas ini? Entah lah, saya jadi bingung.

Begitu juga ketika sesi interogasi menjadi tegang, terutama bila saya mempertahankan diri saya dari tuduhan liar berunsur provokatif, tiba-tiba DSP Shukri memberhentikan sesi. Dia tanya saya nak makan apa? Lantas saya berkata dengan nada menduga,’Kalau ada Koey teow baik juga Tuan!’ ‘Minum? ‘tanyanya balik, ‘Teh tarik’ jawab saya pantas. Lantas beliau mengarahkan Cif Inspektor untuk membelinya di Restoran berdekatan. Saya ingat dia ingin mempermainkan saya. Tapi memang benar, dia laksanakan apa yang saya minta. Hati saya bukan main seronok bila ‘melahap’ koey teow panas dan teh tarik panas. Dah lama tak dapat makan sedap macam ni. Makanan lazim di penjara dah tak larat nak makan.

Sambil makan, pihak SB sentiasa mengambil peluang untuk mendapatkan maklumat tambahan dari saya.

[+/-] Baca selanjutnya...

Thursday, September 23, 2010

TANGKAPAN ISA TERHADAP PEMIMPIN ABIM – SATU REFLEKSI PERJUANGAN

SIRI 2: BERTEMU RAKAN ABIM DI BLOK PENJARA YANG SAMA

Setelah berehat beberapa ketika, saya terdengar orang membaca Al-Quran di sel sebelah. Mendayu-dayu bunyinya. Tapi suara tu biasa saya dengar. Setelah agak lama mendengar, barulah saya cam. Itu suara Cikgu Halim. Sekarang tahulah di sebelah saya, sel Cikgu Halim.

Sekitar jam 6.30 petang, pengawal menghantar bungkusan makan malam beserta teh ‘o’ melalui tingkap kecil. Alhamdulillah, perut pun dah lapar, elok sangatlah tu… kata di hati. Makanan di penjara, baik makan malam atau tengahari lazimnya ikan rebus masak kari atau ikan goreng, sayur tauge atau kobis. Minum pagi dua keping roti disapu dengan kaya. Itulah makanan penjara. Sedap tak sedap, bila dah lapar, makan aje la… Nak tambah, memang tak ada peluang. Lauk daging, jauh sekali.

Mandi di penjara memang mencabar. Terpaksa mencangkung dalam tandas yang juga bilik mandi pakai gayung. Bagi yang biasa mandi dengan air-panas, memang menyiksakan. Air paipnya sejuk yang amat, terutama di waktu pagi. Tuala ‘Good Morning’ langsung tak membantu untuk mengeringkan badan. Terlalu kecil dan tujuannya hanya untuk menggelap peluh, bukan untuk mandi.

Usai mandi, terus menunaikan solat Maghrib. Nasib baik penjara ini berdekatan dengan Masjid, boleh juga mendengar azan dilaungkan. Rupanya solat ketika susah dan apalagi berada di dalam penjara, memang senang khusyu’. Tenang penuh syahdu, mengharap hanya kepada Yang Esa. Tiada apa yang hendak dikejar. Begitulah resam manusia yang sentiasa lalai dan leka. Doa pun bukan main panjang.

Tak lama kemudian, tiba-tiba terdengar bunyi pintu blok penjara dibuka. Ahhh…tentu ada tahanan baru masuk.. detak hati berkata. Kemudian, muncul wajah Kamaruddin Jaffar di tingkap kecil sel saya. ‘Assalamualaikum’ ucapnya. Saya terkejut dan beristighfar panjang. ‘Astagfirullah! Anta pun kena Sheikh?’ Tergamam seketika. Dalam benak berkata, 'pemimpin ABIM yang dah masuk UMNO pun kena tangkap!’. Gawat ni….

Kami tak dapat menyambung perbualan kerana pengawal penjara terus membawa Kamaruddin Jaffar ke selnya, sebelah sel Halim Ismail. Kamaruddin Jaffar (sekarang Dato’) pernah menjadi bos saya semasa bekerja di Institut Kajian Dasar. Beliau adalah mantan Setiausaha Agung ABIM, mantan Setiusaha Agung PAS dan pernah menjadi Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri Tun Ghaffar Baba. Sekarang beliau adalah ahli Parlimen PAS di Tumpat.

Setengah jam kemudian, sekali lagi pintu besi berdentam. Siapa la pulak kali ni?. Terdengar bunyi orang berjalan menuju ke arah sel saya. Pintu kecil dibuka, dan muncul pula muka Zambry Kadir (Sekarang Dato’ Seri Zambry Kadir, Menteri Besar Perak). ‘Apa khabar Sheikh?‘ katanya kepada saya. ‘Baik! ‘jawab saya dengan perasaan lagi terkejut. Kami memandang antara satu sama lain. Lidah kelu tak terkata. Tak tahu apa nak cakap. Masing-masing memandang penuh makna, cuba memahami apa hikmah sebenarnya disebalik penangkapan ini. Zambry terus dibawa ke selnya pula. Saya jangka pasti sebelah sel Kamaruddin Jaffar.

Saya mulai resah dan bimbang. Apakah semua pemimpin ABIM baik yang masih memimpin atau yang dah bersama Anwar dalam UMNO, semuanya ditangkap? Kalau begitu, nampaknya Dr. Mahathir nak melakukan pembersihan besar-besaran terhadap pemimpin ABIM di mana jua mereka berada. Apakah ABIM akan di haramkan? Persoalan-persoalan ini bermain di kepala. Bimbang, resah, mengharap, sedih. Perasaan ini bermain-main di hati. Di mana Ustaz Siddiq, Ustaz Muhammad Nur Manuty, Cikgu Sidek Baba, Redzuan Othman dan Exco ABIM yang lain. Kena tangkapkah mereka? Persoalan yang tak terjawab. Saya hanya mampu berdoa agar semuanya selamat. Lantas mengambil wudhu’ dan menunaikan solat Isya’ dengan penuh khusyu’ dan tawadhu’.

Malam itu saya cuba melupakan seketika apa yang berlaku dengan melelapkan mata dengan berbantalkan lengan sahaja. Lampu terus menyala menganggu mata yang keletihan. Namun, hasrat tersebut tak kesampaian. Nyamuk menghurung saya tanpa belas kasihan. Saya cuba berselimut seluruh badan, tapi hanya beberapa minit. Panas…. Ya, dalam sel tersebut, mana ada kipas angin. Bila panas, selimut dibuka, nyamuk menggigit. Bila berselubung, panas pula… Begitulah sepanjang malam. Sekejap berselimut, kemudian buka, lepas tu berselimut balik sampai ke siang. Waktu siang pula, labah-labah, semut, lipas, cicak berkeliaran.

Keesokan harinya, saya perasan sel bertentangan dan sebelahnya dah ada orang. Bila pengawal menghantar sarapan pagi melalui tingkap kecil, dia tidak menutupnya kembali. Saya menjengah ke sel bertentangan. Rupanya Saharuddin Badaruddin di situ. Beliaulah yang begitu semangat melaungkan Reforrrmasiiii…. ketika Forum Menanggani Gejala Fitnah anjuran ABIM, PKPIM, JIM dan ASASI pada 6 September 1998 di Pusat Latihan ABIM yang lalu. ‘Macamana anta? Ok?’ ‘Aku tak apa-apa’ jawabnya.

Sebelah aku Ustaz Mokhtar Redzuan! ‘maklumnya kepada saya. Saya lantas berkata dengan sedikit menjerit, ‘ Assalamualaikum Ustaz Mokhtar, anta sihat ke?’ Tanpa diduga dia menunjukkan mukanya di pintu kecil selnya sambil berkata dengan wajah hiba, ‘Ana ok, Sheikh, tapi risaukan anak ana. Dia ada penyakit ‘down syndrome’. Kesian isteri ana nak jaga dia. Ana pun tak berapa sihat.’ Saya cuba menyabarkan Ustaz Mokhtar. Hati saya mulai berasa kesal kerana melibatkan Ustaz Mokhtar dalam Forum yang lalu sebagai Pengerusi Majlis. Andaian saya sekiranya Ustaz Mokhtar tidak dilibatkan, mungkin beliau tidak di penjarakan. Namun itu semua hanya andaian. Namun saya lihat beliau tabah dan redha menghadapi sa’atul usrah (saat getir) ini, Alhamdulillah.

Sekitar jam 10 pagi, saya dibawa pengawal keluar dari sel ke bilik interogasi. Tangan digari dulu, kemudian baru dibawa keluar. Ketika melalui sel hadapan sekali berdekatan pintu keluar Blok Penjara, sempat saya bertanyakan pengawal, 'siapa dalam sel itu?’ Dia lantas menjawab, Kamaruddin Md. Nor!’ Saya bungkam. Kamaruddin Md. Nor adalah pengasas ABIM, orang kanannya Anwar, bos saya ketika bekerja dengan World Assembly of Muslim Youth (WAMY) pada tahun 1987/88. Beliau menyertai UMNO tak lama selepas Anwar masuk UMNO pada tahun 1982. Saya menjengah ke dalam selnya. Beliau sedang tidur di atas simen kepenatan. Tak tergamak membangunkannya, lantas saya berlalu dengan tangan bergari dan bercermin mata hitam (gelap) meraba-raba dengan dipimpin pengawal ke bilik interogasi.

[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, September 22, 2010

TANGKAPAN ISA TERHADAP PEMIMPIN ABIM – SATU REFLEKSI PERJUANGAN


21 SEPTEMBER 1998

SIRI 1

Hari ini genap 12 tahun saya dan teman-teman ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau lebih dikenali sebagai ISA. Kami dituduh mencetuskan huru-hara dan mengganggu ketenteraman awam. Akta ISA ini membolehkan pihak polis menahan sesiapa saja dan ditahan maksima selama 60 hari tanpa dibicara, semata-mata kerana disyaki terlibat dalam kegiatan yang dianggap subversif.

Kami ditahan di pejabat ABIM, ketika itu di Taman Sri Rampai, Setapak sekitar jam 12.30 tengah hari ketika sedang bermesyuarat dengan beberapa pemimpin NGO lain. Perbincangan memfokus kepada post-mortem demonstrasi besar-besaran pada 20 September di Dataran Merdeka dan juga implikasi penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan Roslan Kasim pada malam tersebut. (Sekadar untuk refleksi ingatan, demonstrasi besar-besaran bermula di Masjid Negara dan kemudiannya berarak dan berkumpul di Dataran Merdeka bagi menuntut reformasi akibat daripada pemecatan DSAI sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pemecatan beliau dilihat sebagai tindakan otokratik Dr. Mahathir dalam pemerintahan negara).

Hadir ketika itu ialah Ustaz Mokhtar Redzuan, Timbalan Presiden, Abdul Halim Ismail, Naib Presiden dan Shaharuddin Badaruddin, Setiausaha Agung. Pemimpin NGO lain yang turut hadir ialah Saari Sungib, Presiden JIM dan Mustafa Kamal Maulud, Presiden URUS.

Sedang masing-masing memberi penumpuan penuh pada perbincangan, tiba-tiba beberapa orang pegawai polis berpakaian preman telah menyerbu bilik mesyuarat dan meminta kami menunjukkan kad pengenalan. Saya tidak menjangka polis akan bertindak begitu cepat untuk menahan kami. Memang dalam beberapa hari sebelum ini telah ada desas-desus bahawa pemimpin ABIM akan ditahan di bawah ISA. Saya tidak menghiraukannya kerana yakin bahawa ABIM hanya menyatakan protes. Ternyata salah jangkaan saya.

Saya menjerit kepada polis Cawangan Khas, ‘kalau ye pun, buka lah kasut tu’. Pejabat ABIM memang mempunyai polisi tidak berkasut di dalam pejabat. Saya nampak mereka tergamam seketika, namun selepas itu tidak mempedulikan jeritan saya. Ternyata secara jelas bahawa polis hanya menghendaki pemimpin ABIM sahaja. Saya, Ustaz Mokhtar, Halim dan Shaharuddin ditangkap. Manakala Saari Sungip dan Mustafa Kamal Maulud tidak diganggu.

Keadaan pejabat menjadi agak kelam kabut. Ada staf yang lesap melarikan diri, ada pula yang menangis tergamam. Tapi ada juga yang marah dan bertindak berani melawan polis. Namun terus terdiam apabila digertak polis untuk ditangkap.

Tangkapan kami berempat berlaku dengan cukup pantas. Kecuali saya, semua telah dibawa pulang ke rumah masing-masing untuk digelidah bagi mendapatkan bukti sebelum dibawa ke balai polis. Saya tidak dibawa ke rumah kerana semua bahan yang diperlukan ada di pejabat.Saya dibawa masuk ke bilik pejabat Presiden. Seluruh bilik digelidah. Beberapa buku dirampas. Hingga sekarang buku tersebut tidak dipulangkan. Saya terkejut melihat Cif Inspektor Suhaili yang selalu berhubung dengan saya. Dia memohon maaf kerana terpaksa menjalankan tugas. Saya kata padanya,’ kalau ye pun beritahulah dulu. Saya takkan lari.’ Dia menjawab, ‘Saya pun baru tahu yang nak ditangkap tu saudara’. Saya memang marah ketika itu, kerana selama ini saya sentiasa memberi kerjasama yang baik dengan pihak polis. Bagi saya, ABIM ini badan yang sah di sisi undang-undang. Tidak ada yang perlu ditakutkan.

Lantas saya digari dan dibawa dengan kereta Wira ke Balai Polis Setapak untuk diproses penahanan saya sebelum diserahkan kepada Pihak Penjara. Sementara itu saya mohon untuk melaksanakan solat Zohor. Surau yang ditunjukkan kepada saya itu kelihatan seperti tidak diurus dengan baik. Usai solat, saya diminta menanggalkan semua pakaian untuk diperiksa jikalau ada kecederaan di mana-mana untuk dicatit. Saya protes bila seluar dalampun diminta untuk ditanggalkan. Nasib saya baik, pegawai tersebut akur. Lega sungguh rasanya. Maruah saya sebagai Presiden ABIM harus dipertahankan.

Setelah selesai urusan polis, maka barulah saya diserahkan kepada pihak penjara. Saya dibawa masuk ke dalam van dengan tangan bergari dan disuruh memakai cermin mata hitam bagi mengelakkan saya tahu ke penjara mana saya akan dibawa. Sebelum itu saya diberikan burger McDonald dan minuman sebagai ganti makan tengahari.

BURUNG DALAM SANGKAR

Setelah berpusing-pusing sekitar 40 minit, pegawai pengiring bercakap melalui walkie-talkie. Katanya,’burung dah ada dalam sangkar’. Teringat saya akan buku yang pernah saya baca mengenai nasib tahanan ISA pasal burung dalam sangkar. Agaknya itulah kod untuk memberitahu bahawa OKT – orang kena tahan sudah ditangkap serta sudahpun sampai.

Sebaik tiba di penjara, dengan tangan bergari dan bercermin mata hitam, saya dibawa masuk ke bilik menyimpan pakaian dan barangan peribadi. Saya diminta menanggalkan pakaian dan diganti dengan pakaian penjara warna biru gelap. Semua barangan peribadi seperti dompet, jam tangan, kasut dan lain-lain direkod dan disimpan. Jumlah wang dalam dompetpun dikira. Kebetulan saya menyimpan wang tunai lebih seribu ringgit pada masa tersebut bagi keperluan kontigensi.

Gambar saya berpakaian penjara kemudiannya telah diambil dari pelbagai sudut. Depan, tepi, kiri, kanan, semua difoto. Nombor penjara saya cantik, 188/98. Banyak nombor lapan, mengikut kepercayaan orang Cina, orang itu ada ‘ong’ atau ada tuah. ALlahu a’lam.

Usai urusan mengambil gambar, maka saya digari lagi dan diminta memakai cermin mata hitam. Lalu di bawa dengan berkaki ayam ke sel penjara. 10 minit berjalan dengan dipimpin oleh pegawai pengiring, maka sampailah ke sel saya. Saya diberikan selimut, tuala ‘Good Morning’, berus gigi yang tangkainya telah dipatahkan, baldi kecil dan sabun. Rupanya berus gigi memang sengaja dipatahkan untuk mengelakkan OKT dari mengasahnya untuk dijadikan senjata membunuh diri. Begitu juga tuala ‘Good Morning’ yang hanya sesuai untuk mengelap peluh, dijadikan tuala mandi bagi mengelakkan kejadian menggantung diri. Bantal? Tidak ada.

Sel penjara hanya seluas 5 kaki lebar dan 9 kaki panjang. Ada tandas dengan dinding dan pintu cukup untuk menutup orang mencangkung. Ada katil daripada batu yang disimen setinggi dua kaki,cukup untuk tidur. Tidak ada tingkap, kecuali ruang udara dan lampu ‘bulb’ yang sentiasa terpasang. Inilah tempat tinggal saya sementara melalui proses interogasi yang tidak menentu masanya. Waktu tidur juga pasti tidak menentu.

Setelah masuk sel yang kemudiannya dikunci oleh pegawai penjara barulah saya dapat merasai realiti bahawa saya telah dipenjara. Saya hanya mampu duduk termenung melihat pintu sel yang hanya mempunyai tingkap kecil muat untuk pegawai penjara meninjau dari luar , menghantar makanan dan ubat gigi. Tingkap kecil itu hanya boleh dibuka dan ditutup oleh pegawai penjara. Kalau dibuka, pasti boleh melihat OKT di sel bertentangan. Kalau ditutup, rasanya macam nak pitam. Saya kena penyakit ‘claustrophobia selama beberapa bulan selepas bebas dari tahanan. Penyakit ini ialah bila seseorang berada di dalam bilik tertutup, dia akan berpeluh dan sesak nafas. Inilah yang berlaku pada saya bila naik kapalterbang atau naik lif. Perasaan panik, berpeluh dan sesak nafas akan berlaku sehinggalah kapalterbang mendarat atau keluar dari lif. Kadang-kadang bila masuk bilik yang tiada tingkap pun, saya akan menjadi gelabah. Hanya setelah beberapa bulan barulah penyakit ini pulih sepenuhnya.

[+/-] Baca selanjutnya...