Thursday, October 8, 2009

Konflik Dunia Islam dan Pengajarannya kepada Umat Islam

1. Sejak memasuki abad 21 yang setahun lagi genap satu dasawarsa, dunia Islam nampaknya belum lagi menunjukkan tanda-tanda untuk bangkit sebagai kuasa dunia yang disegani sebagaimana yang pernah dikecapinya dari Abad ke 7 hinggalah ke Abad 19. Malah satu demi satu Negara Islam dilanda konflik samada dengan Negara Barat atau sesama sendiri.

2. Konflik yang berlaku di dunia Islam adalah akibat faktor luaran dan dalaman. Faktor luaran adalah campurtangan kuasa luar untuk tujuan penjajahan dan penaklukan seperti yang berlaku di Afghanistan dan Iraq. Faktor dalaman pula ialah akibat kelemahan sistem pemerintahan kerajaan Islam sendiri dan kelemahan para pemimpinnya. Namun kedua faktor ini adalah saling kait mengait antara satu sama lain.

3. Selepas berlakunya peristiwa serangan September 11, 2001 ke atas Twin Towers, New York, Amerika Syarikat telah melancarkan strategi ‘Hard War’ dan ‘Soft War’ terhadap dunia Islam. ‘Hard War’ bermaksud menjajah Negara Islam melalui peperangan, sedangkan ‘Soft War’ ialah melancarkan perang secara halus seperti penjajahan fikiran dan budaya.

4. Di sini saya akan menumpukan kepada strategi ‘Soft War’ yang dilancarkan bagi melemahkan dunia Islam. Strategi ini ternyata memberi kesan yang parah kepada umat Isla
m. Al Quran secara jelas menegaskan akan permusuhan penganut Keristian dan Yahudi terhadap orang Islam sebagaimana ayat berikut:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakan lah, “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” ( Al Baqarah 2:120)

5. Namun demikian, sebarang serangan luar tidak akan mampu untuk melemahkan umat Islam. Justeru itu serangan ditumpukan untuk memecahbelahkan umat Islam disegi politik, pemikiran dan budaya. Maknanya, serangan secara halus ke batang tubuh umat dilancarkan secara besar-besaran.

6. Di segi politik, Richard Nixon, Mantan Presiden Amerika Syarikat telah membahagi dunia Islam kepada 4 blok iaitu Blok Turki, Blok Arab, Blok Melayu dan Blok Indo-Pak sebagaimana di dalam bukunya, ‘Seize the
Moment’. Katanya dengan memastikan pemimpin politik di 4 blok ini kita pastikan boneka kita, maka dunia Islam akan terus dapat dikuasai. Katanya lagi, mereka hanya perlu memastikan pemimpin politik Negara Turki adalah ‘sahabat’ bagi menguasai blok Turki, Mesir untuk kuasai Dunia Arab, Indonesia untuk kuasai Dunia Melayu dan Pakistan untuk Dunia Indo-Pak. Demokrasi hanya diizinkan selagi mana ‘boneka’ mereka yang menang. Ini lah yang berlaku kepada HAMAS di Palestin yang mana kemenangannya dinafikan walaupun menang besar dalam pentas demokrasi. Begitu juga di Algeria, Tunisia dan lain-lain.

7. Di segi pemikiran pula, mereka ‘mencipta’ intelektual boneka mereka sendiri yang ditaja dan didokong dengan dana yang banyak. Inteletual boneka inilah yang berbicara mengenai Islam sedangkan intelektual yang benar-benar berilmu dikesampingkan. Malah ada yang dituduh sebagai ekstremis sebagaimana yang berlaku kepada Sheikh Yusuf al-Qaradawi seorang ulama yang terkenal di dunia Islam.

8. Di segi budaya
pula, media massa digunakan sepenuhnya untuk menyebar faham hedonisme iaitu faham yang mengagongkan hawa nafsu. Budaya hiburan rendah dipaksakan kepada umat agar mereka leka dan lalai terhadap tanggung jawab terhadap bangsa, agama dan Negara.

9. Akibat dari strategi ‘Soft war’ ini, maka umat menjadi lemah dan berpecah belah. Pemimpin yang lemah memimpin Negara dan rakyat pula sudah hilang semangat ‘asabiyyah’ iaitu semangat kekitaan dan cinta kepada bangsa dan Negara.

10. Ibnu Khaldun (1332 – 1406), seorang sejarawan Islam terkenal mengatakan bahawa sebaik saja semangat asabiyyah sesuatu bangsa itu sudah luntur, maka akan hancurlah bangsa tersebut dikuasai oleh bangsa yang utuh semangat asabiyyahnya.


11. Pengajaran yang penting kepada umat Islam ialah untuk membina kekuatan dalaman umat dengan ajaran Islam yang berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah Nabinya. Sebua
h Negara yang kuat amat bergantung kepada empat kekuatan sebagaimana yang dinukilkan oleh para pemimpin Andalusia yang menguasai Sepanyol selama lebih 6 abad :
‘Justice of the Great' - Keadilan pemimpin yang hebat
‘Wisdom of the Wise '– Hikmah ulama yang bijaksana
‘Valor of the Brave '- Keberanian sang pejuang
‘Prayer of the Righteous '– Doa orang yang saleh


12. Semangat asabiyyah juga harus diperkasakan. Asas semangat asabiyyah ialah keutuhan bahasa, budaya dan agama.

13. Masyarakat yang utuh ialah masyarakat yang tinggi kerohaniannya. Dalam hal ini masjid mesti menjadi penjana terpenting ke arah pembinaan tamadun khayra ummah.

14. Golongan ulama dan intelektual harus diberi tempat yang sewajarnya di dalam pemerintahan Negara agar ilmunya dapat dimanfaatkan untuk pemerintahan yang menepati konsep ‘Baldatun taybatun wa rabbun Ghafur’


Dibentangkan di Seminar Pembinaan Sakhsiah dan Penyatuan Ummah
Dewan Sekolah Agama Rakyat Bandar Springhill Lukut pada 16 Ogos 2009

[+/-] Baca selanjutnya...

Tuesday, October 6, 2009

ANEKDOT MUSAFIR

(Ruangan santai memaparkan pelbagai peristiwa yang menarik ketika bermusafir di bumi Allah ini)

PENAMPILAN PETRONAS HARUS LEBIH AGRESIF DI SUDAN!

Bulan Julai lalu saya melawat Khartoum dalam rangka mengerat silaturrahim dengan NGO-NGO di Sudan. Ini sebahagian dari kerja saya sebagai Pengerusi, Suruhanjaya Sosial, Kemanusiaan dan Solidariti, Union of NGOs of the Islamic World (UNIW) yang beribupejabat di Istanbul, Turki.

Bandar Khartoum sudah banyak berubah. Ternyata, hasil minyak Sudan telah digunakan sebaiknya untuk membangun infra struktur Sudan yang sebelum ini amat jauh ketinggalan. Baru dua tahun saya tidak ke sini, perubahan yang berlaku amat ketara sekali. Jalanraya dan bangunan baru tersergam indah. Kalau dulu, debu berterbangan sudah begitu lumrah. Tapi kali ini, keadaan sudah jauh begitu baik.

PETRONAS banyak memainkan peranan di dalam industri minyak di Sudan. Namun Negara China nampak lebih agresif di dalam menampakkan kehadirannya di Sudan. Beberapa jambatan telah dibina merentasi Sungai Nil. Begitu juga beberapa bangunan yang penting dibina sebagai hadiah daripada Kerajaan China kepada Sudan. Kesannya saya dapati, rakyat Negara China diberikan layanan begitu istimewa oleh Kerajaan Sudan.

Adapun kehadiran PETRONAS, selain bangunan ibupejabat yang tersergam indah, selainnya tidaklah begitu ketara. Apabila saya tanyakan salah seorang pegawai tinggi PETRONAS yang baru pulang beraya baru ni, katanya sumbangan PETRONAS adalah disegi pembangunan sumber manusia iaitu memberi biasiswa pendidikan kepada pelajar Sudan yang belajar di Malaysia, perpustakaan bergerak dan bantuan membaiki sekolah serta yang berkaitan dengan pendidikan.

Namun, pada fikiran saya, perlu ada juga beberapa projek fizikal yang perlu di buat untuk menampakkan kepada rakyat akan sumbangan PETRONAS kepada pembangunan Sudan. “Public Perception” kadang-kadang banyak membantu ketika berlaku krisis. Alangkah baiknya PETRONAS membuat kompleks pendidikan sebagaimana Maktab Rendah Sains MARA di beberapa lokasi strategik terutama di wilayah penggalian minyak di Selatan Sudan. Mungkin Munazzamat Dakwah atau mana-mana badan seumpamanya boleh dilibatkan. Ini hanya lontaran fikiran saja. Mungkin PETRONAS dah ada strategi jangka panjang yang saya tak tahu. Apa yang penting, rakyat Sudan nampak dan merasai akan sumbangan hasil minyak PETRONAS dikembalikan kepada mereka. Dalam hal ini Negara China nampaknya lebih ke hadapan.

Program diatur dengan begitu padat sekali. Banyak pertemuan di buat sampai larut malam. Kedutaan Malaysia dan kawan-kawan di PETRONAS langsung tak dapat dihubungi. Begitulah layanan orang Sudan yang terkenal dengan memuliakan tetamu. Penghormatan mereka kepada Malaysia amat tinggi. Rata-ratanya pemimpin NGO yang di temui, ingin menjadikan Malaysia sebagai model pembangunan mereka.

MAKAN MALAM DI RESTORAN CANVORE

Pada malam terakhir saya di Khartoum, saya di bawa untuk makan malam di Canvore Restaurant, sebuah rangkaian restoran milik usahawan Kenya. Restoran ini terletak di pinggir Sungai Nil dan berhadapan Kompleks PETRONAS yang menempatkan ibupejabat dan kediaman pegawainya. Kompleks yang tersergam indah, apalagi jika dilihat pada waktu malam.

BENDERA DI JATUHKAN TANDA DAH KENYANG ATAU TAK MAHU HIDANGAN YANG DI SAJI

Restoran ini sangat terkenal dikalangan para pelancong asing kerana menyediakan semua jenis daging yang di panggang secara tradisional. Semua jenis daging akan di panggang, kemudian dihidangkan secara ‘course by course’ bersama dengan nasi dan sos pelbagai rasa. Sebelum hidangan disediakan, pelayan mengalu-alukan kehadiran kami dan setiap orang diberikan sebuah bendera dan set nasi serta sos pelbagai rasa. Pelayan tersebut menyatakan bahawa setiap jenis daging akan di bakar satu demi satu, dan beliau akan memaklumkan daging apa yang sedang dihidangkan. Hidangan akan diberikan satu demi satu tanpa henti sehinggalah bila pengunjung sudah kenyang. Apabila sudah kenyang, para pengunjung harus memberi isyarat berhenti dengan menjatuhkan bendera di atas meja. Bila ini dilihat oleh para pelayan, maka hidangan akan diberhentikan. Atau jika ada mana-mana hidangan daging yang tidak di sukai, para pengunjung boleh juga memberi isyarat dengan menjatuhkan bendera di meja.

Sebaik saja selesai penerangan tersebut, maka mulailah sajian pertama . Pelayan memaklumkan, ‘Our first serving is chicken, please enjoy your meal‘ Maka kami pun mulailah makan ayam yang dibakar bersama dengan sos dan nasi. Bila habis saja, sajian pertama, maka pelayan akan membawa sajian seterusnya dari daging lembu, rusa, biri-biri, unta, burung unta atau ‘ostrich’. Setiap kali bila sajian di hidangkan, pelayan akan mengingatkan, ‘if you wish to stop or do not like the serving, kindly tell us by putting down your flag! ‘

NYARIS MAKAN DAGING BUAYA !

Rombongan kami setakat ini, nampaknya tiada yang menunjukkan tanda-tanda nak berhenti. Ya, makanan daging panggang ni memang sedap dan menyelerakan. Bagi saya daging unta dan ‘ostrich’ adalah yang istimewa bagi saya pada malam tu. Kemudian, bila sajian seterusnya datang, bila pelayan memaklumkan, Please enjoy the next serving, crocodile meat’, saya hampir melompat! Terkejut! Apa? ada daging buaya? Halal ke? Itulah reaksi spontan saya ketika itu.

Sekejap itu juga saya terus menjatuhkan bendera di hadapan saya sebagai tanda tak mahu. Saya tanyakan kepada pegawai dari Sudan, Muhammad al- Fateh, boleh makan buaya ke? Dia menjawab , Mazhab kami membolehkan makan buaya. Sambil melahap daging buaya, dia mengatakan, ’it looks like chicken, but taste like fish’. Aduuuuh! loya tekak saya dibuatnya. Selera terus hilang. Bendera dah tak naik lagi !

Balik di Malaysia, saya tanyakan mengenai hal makan buaya kepada Professor Sudan yang mengajar di Universiti Islam Antarabangsa. Katanya, makan buaya tu adalah amalan terutama orang Sudan yang tinggal di Selatan Sudan. Umumnya orang Sudan dah tak makan buaya walaupun mungkin ada ulama yang menafsirkan sebaliknya.

Bila saya ceritakan pengalaman ini kepada seorang pegawai PETRONAS di Sudan yang balik beraya di Malaysia baru-baru ini, dia begitu terkejut. Katanya, `Cik Azam, kami di PETRONAS tak pergi makan di Restoran Canvore tu!'

[+/-] Baca selanjutnya...