Tuesday, September 29, 2009

MENGENANG DATO RAHIM BAKAR (Feb.7 ,1943 – Sept.24,2009)

TERKEJUT

Terkejut di buatnya apabila dimaklumkan bahawa Dato Rahim Bakar telah kembali ke rahmatuLlah pada 24 September yang lalu ketika menunggu saat untuk berbuka puasa sunat enam Syawal di rumahnya di Jalan U Thant.

Dalam kesibukan berziarah di Utara, dari Perlis sampai ke Perak bertemu dengan keluarga sebelah isteri, langsung tak sempat menatap akhbar atau menonton television. Hanya dah sampai Kuala Lumpur, ketika acara Ziarah Hari Raya WADAH, baru berita itu sampai kepada saya. Terkejut, memang terkejut kerana Dato Rahim terlibat secara langsung dalam dua program besar dengan ABIM ketika saya menjadi Presiden ABIM dulu. Melalui dua program ini, saya mengenali beliau secara dekat dan memahami cara kerjanya dan cara fikirnya.

BERSAMA MENGANJUR SYARAHAN PERDANA

Program pertama ialah ketika bersama menganjurkan Syarahan Perdana mengenai Palestin dan Kemanusiaan anjuran Dewan Bahasa & Pustaka dan ABIM pada 8 Mei 2002. Program ini yang mempertemukan Dr.Mahathir dan Ustaz Fadzil Noor adalah suatu peristiwa penting dalam sejarah politik Negara kita. Ianya mendapat liputan secara langsung oleh RTM.

Beberapa bulan sebelumnya, saya bertemu dengan Dato Rahim, ketika itu adalah Pengerusi Dewan Bahasa & Pustaka untuk mengajak Dewan turut sama menganjurkan program ini yang tujuan utamanya ialah untuk membuka jalan bagi dialog dan Muzakarah antara UMNO dan PAS. Suhu politik ketika itu sangat panas, dan saya memikirkan perlu ada sesuatu usaha yang mempunyai impak yang besar bagi memulakan usaha perpaduan orang Melayu. Saya nyatakan pandangan dan hasrat ini kepada beliau.

Impak yang besar perlu melibatkan Presdiden UMNO dan Presiden PAS. Saya nyatakan bahawa saya telah sempat bertemu dengan Dr.Mahathir dan Ustaz Fadzil Noor berbincang mengenai hal ini, dan nampaknya tiada halangan besar dari kedua pihak. Cuma ABIM perlukan sebuah Badan Kerajaan untuk menjadi penganjur bersama bagi memastikan kejayaan program sebesar ini.

Apa yang membanggakan saya ialah respon beliau yang sangat positif dan begitu bersemangat sekali dengan ide ini. Beliau lantas bersetuju tanpa tangguh-tangguh lagi. Memang beliau adalah seorang yang ‘action-oriented’ dan seorang yang tidak takut denga risiko apabila sudah membuat keputusan.

Dalam masa yang relatif singkat, kami bertungkus lumus mengatur strategi bagi menjayakan program yang julung kali diadakan seumpama ini. Kami ke Alor Setar bertemu Ustaz Fadzil Noor, ke PutraJaya bertemu Pak Lah, ketika itu Timbalan Perdana Menteri bagi memastikan setiap perancangan dapat diatur dengan teliti. Dato Rahim menggerakkan seluruh jentera DBP bagi tujuan murni ini.

Alhamdulillah, Majlis Syarahan tersebut berjalan lancar dan mendapat liputan semua akhbar utama dengan kehadiran hampir kesemua pemimpin utama UMNO dan PAS. Saya begitu terharu kerana dapat merasakan ‘mood’ pada malam itu sangat positif kearah perpaduan bangsa. Saya dan Dato Rahim merupakan orang yang paling gembira pada malam itu. Kami saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan senyum yang melebar. Kami bersyukur kerana semuanya berjalan lancar sebagaimana yang dirancang.

PROGRAM ANAK YATIM BANDA ACEH DAN SIGLI

Program yang kedua bersama beliau ialah ketika Tsunami melanda Aceh pada Disember 2004, Dato ketika itu merupakan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan telah bersetuju untuk bekerjasama dengan ABIM bagi membantu dua Dayah (Kalau di Tanah Jawa di panggil Pesantren,di Tanah Melayu di panggil Pondok) anak yatim iaitu satu di Lampeuh Beut, Banda Aceh dan satu lagi di Sigli, hampir dua jam perjalanan dari Banda Aceh. PPZ bersetuju membantu dengan dana berjumlah RM1.2 juta untuk membaiki bangunan, membayar gaji guru dan makan minum para pelajar. Dato Rahim sendiri pergi ke Aceh untuk melihat suasana sebenar pelajar di kedua Dayah tersebut. Kita harus ingat bahawa ketika beliau di sana, Aceh masih lagi belum pulih sepenuhnya dengan serba-serbi kekurangan.

Memang beliau amat teliti tentang penggunaan dana. Beliau sentiasa mengingatkan bahawa dana ini adalah amanah umat yang mesti digunakan dengan penuh bertanggungjawab, telus dan beramanah.

Saya banyak belajar darinya mengenai amanah dan tanggungjawab. Beliau banyak mengkritik para pemimpin yang korup tanpa berselindung dan takut-takut atau bimbang ada orang akan menyampaikan pandangan atau kritikannya.

PEJUANG BANGSA DAN BAHASA

Pengalaman bersamanya walaupun tidak lama, tetapi cukup untuk saya katakan bahawa beliau seorang pemimpin berjiwa rakyat dalam ertikata yang sebenarnya. Beliau seorang yang tegas dan tidak takut untuk mempertahankan kebenaran hatta terpaksa menentang perintah Sultan yang pada pandangannya merugikan kepentingan rakyat. Beliau sanggup menanggung risiko kerana pendiriannya. Sejarah politiknya sebagai Menteri Besar hanya bertahan selama 3 tahun 4 bulan kerana enggan menurut perintah Sultan untuk menambah konsesi balak yang mana kuotanya telah digunapakai seluruhnya.

Walaupun beliau hanya sempat memerintah sebagai Menteri Besar dari Julai 19, 1978 sehingga Nov.7,1981, pemerintahannya tetap dikenang oleh rakyat.

Sebagai pejuang bahasa, beliau adalah antara yang menentang keras pelaksanaan Pengajaran Pelajaran Sains danMatematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang di ilhamkan oleh Dr.Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri. Akibatnya, jawatan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka tidak disambung lagi.

Begitu juga ketika beliau menjadi Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, beliau telah berjaya mengubah caragaya pengurusan PPZ kepada pengurusan korporat. Beliau agak agresif didalam meningkatkan prestasi PPZ sehingga menjadi agensi pungutan Zakat yang paling banyak membuat kutipan zakat di seluruh Negara. Model PPZ telah menjadi ikutan oleh negeri lain.

Apa yang pasti, kalau demi agama, bangsa dan Negara, beliau tidak akan teragak-agak untuk bertindak walau terpaksa menanggung risiko apa jua sekalipun. Itulah yang saya dapat hasil dari pengalaman singkat dengan beliau. AL FATIHAH semoga rohnya sentiasa berada dikalangan kekasih Allah ta’ala jua.




[+/-] Baca selanjutnya...