Friday, October 15, 2010

TANGKAPAN ISA TERHADAP PEMIMPIN ABIM – SATU REFLEKSI PERJUANGAN

SIRI 4: Gerakan Reformasi - Dilema Presiden ABIM!

Ana baru dari rumah Anwar!, ramai yang hadir. Laungan Reformasi dah mula bergema. ABIM tak nak sambut ke?’ Begitulah nada talipon dari seorang ahli yang baru pulang mengikuti ceramah Anwar mengenai sebab sebenar beliau dipecat. Katanya, jumlah yang hadir menjangkau ribuan orang dari pelbagai lapisan masyarakat, berbagai bangsa dan keturunan.

Sejak Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998, beliau telah berpindah semula ke rumahnya di Setiamurni, Bukit Damansara. Di sanalah beliau memulakan ceramah setiap malam menerangkan isu-isu yang berkaitan dengan pemecatannya dan penyalahgunaan kuasa dalam kerajaan.

Sebagai Presiden ABIM yang baru diamanahkan tanggungjawab ini setahun yang lalu, sudah tentu peristiwa besar ini menuntut sesuatu tindakan yang juga besar. Pemecatan seorang Timbalan Perdana, mantan Presiden ABIM atas tuduhan meliwat adalah amat mengejutkan dan amat payah untuk diterima oleh sesiapapun.

Siapa yang tidak kenal Anwar Ibrahim? Semangat kental beliau memperjuangkan Islam sejak tahun penubuhan ABIM dan memimpin PKPIM sudah menyejarah. Bila berbicara mengenai sejarah ABIM, Anwar Ibrahimlah yang menjadi paksinya. Inilah hakikatnya. Sebagai Presiden ABIM yang setahun jagung, sudah tentu peristiwa ini amat berat untuk menghadapinya.

Apakah tindakan yang paling wajar yang perlu dilakukan ABIM sebagai sebuah Gerakan Islam yang sentiasa melaungkan perjuangan kebenaran dan keadilan? Apakah ahli ABIM yang kebanyakannya bekerja dengan kerajaan akan mampu menghadapi risiko sekiranya ABIM kembali lantang sebagaimana di awal tahun penubuhannya? Bagaimanakah nanti sekiranya ABIM diharamkan? Inilah beberapa persoalan yang menjadi dilema saya sebagai Presiden ketika itu.

Sementara itu sudah terbentuk tiga pandangan di kalangan ahli tentang bagaimana sebaiknya pendirian ABIM. Masing-masing menyatakan pendirian masing-masing secara langsung dan juga tidak langsung kepada saya. Ada yang sudah komited dengan pendirian masing-masing dan begitu emosional mempertahankannya.

Pendirian pertama adalah seperti mana dalam perbualan talipon tadi, iaitu ABIM harus ‘seize the moment’ dalam erti kata tampil segera memimpin gerakan perubahan ketika momentum perubahan sudah bermula. Mood rakyat inginkan perubahan kepemimpinan negara. Isu 3K iaitu Korupsi, Kolusi dan Kroni yang menyebabkan kejatuhan Rejim Suharto di Indonesia pada Jun 1998 sedikit sebanyak mempengaruhi rakyat di Malaysia. Akibat terlalu lama memerintah, sensitiviti Sang Pemimpin terhadap rakyat terbanyak semakin pudar. Begitulah yang terjadi pada Presiden Suharto. Rakyat bangkit mencetuskan Gerakan Reformasi yang akhirnya menjatuhkan Rejim yang selama ini dianggap kebal dan berkuasa. Dr.Mahathir pula yang menjadi Perdana Menteri Malaysia sejak Julai 1981 telah 17 tahun memerintah. Isu-isu antara keduanya hampir sama.

Pendirian kedua pula ialah ABIM tidak harus masuk campur dalam krisis ini. Ini adalah krisis politik dalaman UMNO yang mana ABIM tidak tahu akan sepak terajangnya. Isu Anwar Ibrahim dengan UMNO, ABIM tidak perlu campur. Lagipun takkanlah Anwar tidak mempunyai kekuatan dalam UMNO untuk memperjuangkan nasibnya. Selama 16 tahun dalam UMNO, sudah tentu Anwar tahu akan selok belok politik UMNO. Dia tidak memerlukan ABIM. Lagipun sejak 16 tahun dalam UMNO, dia semacam ingin menjarakkan diri dari ABIM untuk menggelakkan timbul sebarang fitnah. Dia pun tidak langsung melibatkan ABIM dalam sebarang percaturan politiknya. Jadi apakah wajar untuk ABIM mempertaruhkan segala kredibilitinya untuk mempertahankan Anwar. Berlaku adillah kepada ABIM. Begitulah antara hujah-hujah bagi mempertahankan pendirian agar ABIM jangan terlibat.

Adapun pendirian ketiga ialah ‘tunggu dan lihat’. ABIM jangan gopoh dalam menentukan pendiriannya. Kalau silap langkah, ABIM akan merana nanti. Saya masih ingat ada seorang ahli dengan begitu emosional memberi amaran kepada saya, ‘Kalau ABIM diharamkan nanti, ana tuntut dengan anta di Yaumul Mahsyar!’ Betapa berangnya dia bila dia mendengar ada ura-ura ABIM akan mencetuskan reformasi. Saya mengurut dada dengan banyak beristighfar. AstaghfiruLlah……. Pening kepala di buatnya. Ketiga-tiga pendirian ada alasan yang kukuh dan wajar. Apakah ijtihad politik ABIM kali ini?

Saya sebenarnya begitu bersyukur kerana mempunyai barisan Exco Kanan yang kuat dan mempunyai persefahaman yang tinggi ketika itu iaitu Ustaz Mokhtar Redzuan; Timbalan Presiden, Dr.Mohammad Redzuan Othman; Naib Presiden Antarabangsa, Abdul Halim Ismail; Naib Presiden Kebangsaan dan Saharuddin Badaruddin; Setiausaha Agung. Kami sentiasa merujuk antara satu sama lain dalam menentukan pendirian dan aksi. Walaupun masing-masing mempunyai pendirian dan pandangan tersendiri, tetapi setelah dirundingkan, kami sentiasa mendapat kata sepakat untuk bertindak.

Sebelum membuat sebarang keputusan kami sepakat untuk bertemu sendiri dengan Anwar Ibrahim bagi mendapatkan penjelasan beliau tentang segala pertuduhan terhadapnya. Bagi kami penjelasan ini amat penting bagi memutuskan tindakan yang paling wajar selepas ini.

Pada 4 September, saya bersama Halim, Redzuan dan Shaharuddin bergegas ke Setiamurni, mengharungi begitu ramai manusia yang menggerumuni rumah Anwar. Kami tiada masalah bertemu Anwar kerana ramai petugas adalah kenalan belaka dan juga ahli ABIM yang telah membuat pendirian. Mereka membantu kami bertemu Anwar. Anwar nampak begitu kepenatan. Suaranya sudah garau kerana banyak bercakap dan berceramah setiap malam di halaman rumahnya. Kak Wan, selain isteri juga seorang doktor sentiasa memastikan kesihatan Anwar terjaga. Ketika kami di situ, kelihatan beliau sedang membawa segelas air asam jawa untuk melegakan tekak Anwar. Ramai pemimpin NGO dan Pemuda UMNO sentiasa berada di rumah tersebut.

Anwar menjelaskan akan rentetan peristiwa khususnya dengan Dr.Mahathir sehingga akhirnya beliau dipecat pada 2 September. Harus diingat bahawa Dr.Mahathir membawa Anwar masuk selepas hampir setahun beliau menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981. Anwar menyertai UMNO pada 29 Mac 1982. Saham Anwar dalam membangun negara bersama Dr.Mahathir bukan sedikit. Begitu juga saham Dr.Mahathir membesarkan Anwar dalam UMNO juga tiada siapa yang boleh menafikannya. Apa yang pasti ada segelintir pemimpin UMNO yang tersisih sejak kemasukan Anwar dalam UMNO. Bagi Anwar, isu liwat adalah fitnah yang dijadikan senjata politik untuk membunuh karier politiknya oleh mereka yang tersisih selama ini. Setelah hampir setengah jam pertemuan berlalu, beberapa persoalan terjawab dan rasanya kami dah sepakat untuk menentukan pendirian ABIM dalam kes pemecatan Anwar Ibrahim.

[+/-] Baca selanjutnya...