1. Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan telah mengejutkan para pemimpin dunia dan korporat apabila meninggalkan Sesi Forum mengenai Gaza di Persidangan Ekonomi Dunia di Davos pada 29 Januari 2009 dalam keadaan marah. Beliau ternyata amat tidak berpuashati dengan moderator Sesi Forum tersebut, David Ignatius, kolumnis Washington Post yang hanya memberi beliau hanya 12 minit untuk menghujjahkan pandangannya mengenai Perang Gaza, sedangkan Presiden Israel, Shimon Peres selama 25 minit. Baginya moderator ternyata berat sebelah dalam penggendalian Forum yang sangat penting tersebut. Beliau juga amat kecewa dengan tepukan gemuruh dari hadirin yang diberikan kepada Shimon Peres walaupun Rejim Haram tersebut telah membunuh 1,300 jiwa rakyat Palestin yang sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak.
2. Tindakan beliau yang keluar Majlis sebelum Sesi Forum tersebut tamat yang mana turut disertai oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki Moon dan juga Setiusaha Liga Arab, Amr Moussa selain Shimon Peres memang mengejutkan semua pihak. Tindakan drastik tersebut memang membuatkan semua orang kaget kerana Sidang Davos lazimnya berjalan dalam suasana serius dan hambar dengan ucapan-ucapan rhetorik dan pemanis kata.
ERDOGAN – PEMIMPIN ISLAM YANG DINANTIKAN?
3. Umum mengetahui bahawa Turki adalah antara negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik yang sangat intim dengan Israel selain Mesir dan Jordan. Tindakan Erdogan mengkritik Israel di hadapan Presidennya sendiri adalah suatu tindakan berani. Ianya menjadi lebih signifikan kerana aksi tersebut dilihat oleh pemimpin dunia, korporat dan media antarabangsa. Ketika dunia Islam terpingga-pingga mencari jalan keluar kepada serangan biadap Rejim Israel, dan Dunia Arab yang lesu dan tak boleh diharap, aksi marah Erdogan tersebut pastinya membangkitkan semangat umat Islam seluruh dunia.
4. Memang umat Islam amat menantikan seorang pemimpin yang berkaliber untuk membawa keluar dunia Islam dari kemelut dalaman yang melanda. Tindakan berani Erdogan telah menangkap imaginasi umat umpama kilat. Sebaik saja beliau mendarat di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, beliau disambut oleh ribuan rakyat Turki yang menyokong tindakannya itu sebagai kemenangan moral dan penyuntik semangat untuk membela keadilan sejagat. Beliau telah ditabal sebagai Pemimpin Dunia Islam oleh rakyat Turki. Rakyat Palestin pastinya menganggap Erdogan sebagai Salahuddin al-Ayubi abad ini. Malah rakyat Arab pula akan berasa malu dengan pemimpin mereka yang sentiasa dalam keadaan ketakutan, dan menjadikan Erdogan sebagai pemimpin mereka.
6. Perkembangan ini sememangnya amat menarik kerana selama ini, Turki sebelum Erdogan sentiasa dilihat sebagai pro-Barat dan pro-Israel. Setelah aksi berani Erdogan di Davos ini, pastinya hubungan Turki dan Israel akan diuji ketahanannya. Apakah akan berlaku perubahan dasar luar Turki terhadap Israel? Bagaimana reaksi Amerika Syarikat di bawah Presiden Obama? Bagaimana pula reaksi Kesatuan Eropah yang sedang cuba memainkan peranan aktif di Timur Tengah? Kita lihatlah nanti bagaimana perkembangan ini bakal merubah sosio-politik dunia. Pastinya dunia Islam yang semacam ketandusan pemimpin yang berkaliber, menantikan saat-saat ini. Apakah Turki bakal kembali berperanan sebagai Pemimpin Dunia Islam sebagaimana Zaman Khalifah Uthmaniyyah dahulu. Sama-sama kita nantikan.