Friday, January 30, 2009

TABIK KEPADA PM ERDOGAN!

1. Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan telah mengejutkan para pemimpin dunia dan korporat apabila meninggalkan Sesi Forum mengenai Gaza di Persidangan Ekonomi Dunia di Davos pada 29 Januari 2009 dalam keadaan marah. Beliau ternyata amat tidak berpuashati dengan moderator Sesi Forum tersebut, David Ignatius, kolumnis Washington Post yang hanya memberi beliau hanya 12 minit untuk menghujjahkan pandangannya mengenai Perang Gaza, sedangkan Presiden Israel, Shimon Peres selama 25 minit. Baginya moderator ternyata berat sebelah dalam penggendalian Forum yang sangat penting tersebut. Beliau juga amat kecewa dengan tepukan gemuruh dari hadirin yang diberikan kepada Shimon Peres walaupun Rejim Haram tersebut telah membunuh 1,300 jiwa rakyat Palestin yang sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak.

2. Tindakan beliau yang keluar Majlis sebelum Sesi Forum tersebut tamat yang mana turut disertai oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki Moon dan juga Setiusaha Liga Arab, Amr Moussa selain Shimon Peres memang mengejutkan semua pihak. Tindakan drastik tersebut memang membuatkan semua orang kaget kerana Sidang Davos lazimnya berjalan dalam suasana serius dan hambar dengan ucapan-ucapan rhetorik dan pemanis kata.

ERDOGAN – PEMIMPIN ISLAM YANG DINANTIKAN?

3. Umum mengetahui bahawa Turki adalah antara negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik yang sangat intim dengan Israel selain Mesir dan Jordan. Tindakan Erdogan mengkritik Israel di hadapan Presidennya sendiri adalah suatu tindakan berani. Ianya menjadi lebih signifikan kerana aksi tersebut dilihat oleh pemimpin dunia, korporat dan media antarabangsa. Ketika dunia Islam terpingga-pingga mencari jalan keluar kepada serangan biadap Rejim Israel, dan Dunia Arab yang lesu dan tak boleh diharap, aksi marah Erdogan tersebut pastinya membangkitkan semangat umat Islam seluruh dunia.

4. Memang umat Islam amat menantikan seorang pemimpin yang berkaliber untuk membawa keluar dunia Islam dari kemelut dalaman yang melanda. Tindakan berani Erdogan telah menangkap imaginasi umat umpama kilat. Sebaik saja beliau mendarat di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, beliau disambut oleh ribuan rakyat Turki yang menyokong tindakannya itu sebagai kemenangan moral dan penyuntik semangat untuk membela keadilan sejagat. Beliau telah ditabal sebagai Pemimpin Dunia Islam oleh rakyat Turki. Rakyat Palestin pastinya menganggap Erdogan sebagai Salahuddin al-Ayubi abad ini. Malah rakyat Arab pula akan berasa malu dengan pemimpin mereka yang sentiasa dalam keadaan ketakutan, dan menjadikan Erdogan sebagai pemimpin mereka.

5. Sebelum ini Hugo Chavez, Presiden Venezuela telah disanjung oleh rakyat Arab kerana tindakan tegasnya memutuskan hubungan diplomatik dengan Isarael. Kemudian wartawan al-Baghdadia TV, Muntadhar al-Zaidi dianggap sebagai hero baru umat Islam kerana membaling kasut kepada Presiden George Bush ketika memberi ucapan perpisahan di Baghdad baru-baru ini. Sekarang giliran Erdogan pula diangkat menjadi penyelamat kepada maruah umat Islam yang telah begitu lama tercemar. Pemimpin Arab, khususnya Hosni Mubarak, Presiden Mesir pasti dah tak relevan lagi malah ramai yang secara terang-terangan mengecap beliau sebagai pengkhianat bangsa Arab kerana kerjasamanya dengan Israel dalam Perang Gaza ini.

6. Perkembangan ini sememangnya amat menarik kerana selama ini, Turki sebelum Erdogan sentiasa dilihat sebagai pro-Barat dan pro-Israel. Setelah aksi berani Erdogan di Davos ini, pastinya hubungan Turki dan Israel akan diuji ketahanannya. Apakah akan berlaku perubahan dasar luar Turki terhadap Israel? Bagaimana reaksi Amerika Syarikat di bawah Presiden Obama? Bagaimana pula reaksi Kesatuan Eropah yang sedang cuba memainkan peranan aktif di Timur Tengah? Kita lihatlah nanti bagaimana perkembangan ini bakal merubah sosio-politik dunia. Pastinya dunia Islam yang semacam ketandusan pemimpin yang berkaliber, menantikan saat-saat ini. Apakah Turki bakal kembali berperanan sebagai Pemimpin Dunia Islam sebagaimana Zaman Khalifah Uthmaniyyah dahulu. Sama-sama kita nantikan.

5 comments:

abdullah turki said...

ALLAHU AKBAR ELHAMDULILLAH
MASYARAKAT TURKI 98% BERSETUJU DENGAN ERDOGAN MENURUT DENGAN BORANG-BORANG

Ahmad Azam said...

Abdullah,

Nasisilniz?

Rasanya memang dunia Islam sedang menantikan seorang Pemimpin untuk bangkit semula. Nampaknya Erdogan telah muncul dengan begitu meyakinkan.

Cumanya selepas ini, puak Zionis tidak akan berdiam diri. Mereka pasti akan melakukan sesuatu agar Erdogan dijatuhkan.

Saya berdoa agar rakyat Turki dan umat Islam tidak akan berdiam diri kali ini.

HERO KAMPUNG said...

Insya'Allah rakyat Turki akan bersama dengan erdogan. Beliau dan rakan-rakannya dalam kerajaan Turki telah membuktikan kemampuannya untuk mentadbir negara itu dengan baik jika dibandingkan dengan kerajaan-kerajaan berorientasikan sekular sebelum ini.

Sejarah mengatakan bahawa para pemimpin Islam yang unggul seperti Salahuddin Al-Ayyubi dan Sultan Muhamad Al-Fateh muncul kerana mendapat dukungan daripada rakyat di akar umbi, yang mendapat perhatian dan pembelaan yang sewajarnya daripada pemimpin-pemimpin mereka.

Wallahualam

Ahmad Azam said...

Saudara Mohd,

Setuju dengan pendapat saudara. Kerajaan pimpinan Erdogan telah berjaya meraih populariti yang sangat tinggi dikalangan rakyat Turki dalam sejarah Parti politik Turki. Saya amat berharap agar dokongan ini kekal berterusan walaupun Zionis merencanakan makarnya.

bahazain said...

SALAM
PENULIS YG TUA-TUA SUDAH LETIH, TAPI GAGAH JUGA TENGAH HARI PANAS MASUK KE PEJABAT POLIS.MUJUR YG MUDA-MUDA SETIA MENANTI DI LUAR PAGAR SAMPAI SATU JAM.SIANG TADI PEGAWAI TINGGI BUKIT AMAN BELANJA MAKAN J/K GAPENA , NAMPAKNYA PRIHATIN. HISHAMUDDIN PUN JAWAB KONON KITA ADA UDANG DI SEBALIK BATU. ESOK 17 FEB. DATO' HASSAN AKAN TUNGGU PM DIPARLIMEN UNTUK SERAH MEMORANDUM. KITA CUBA MELAWAN SINGA DAN NAGA YG BOLEH MAKAN KITA HIDUP-HIDUP. JADI AMBIL STRATEGI SEMUT SAJALAH, MERAYAP SIKIT-SIKIT KE LUBANG TELINGANYA.