Friday, November 28, 2008

MELAKA – KOTA WARISAN DUNIA ATAU WARISAN PENJAJAH PORTUGIS/BELANDA ?

Ahad yang lepas, 23 November saya berkesempatan ke Kota Melaka yang baru semalam di tabalkan sebagai Bandaraya Warisan Dunia bersama dengan Georgetown. Sempat saya melihat upacara warna-warni penuh dengan tradisi sejarah bangsa dan negara di layar TV. Sungguh gembira para pembesar negara di atas pengiktirafan tersebut . Ini bermakna Melaka dan Georgetown akan menjadi satu lagi tarikan pelancong ke negara kita. Penyenaraian ini bermakna Melaka dan Georgetown telah menyertai 24 buah lagi kotaraya dunia yang telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan dunia.

Esoknya oleh kerana masih hangat bahang kegembiraan kerana Melaka sudah menjadi Kota Warisan Dunia, maka saya membuat keputusan untuk berjalan kaki disekitar Kota Melaka untuk merasai apa yang dimaksudkan dengan Warisan Dunia ini. Pastinya bila ke Melaka, dua bangunan yang begitu menonjol dan sentiasa ditonjolkan iaitu Kota A Famosa (warisan penjajah Portugis) dan Bangunan Stadhuys abad 17 (warisan penjajah Belanda). Warisan Empayar Melayu Melaka di mana ya?

Oh ya, ada replika Istana Sultan Melaka di sebelah Kota A Famosa. Selain itu? Oh ya, Dataran Pahlawan yang dipenuhi dengan kedai-kedai moden menjual barangan jenama terkenal antarabangsa. Jenama Melayu? Oh ada Batik Arfah! Jenama Malaysia? Emmmmm…. Ada ke Jenama Malaysia? Yang pasti banyak gerai yang menjual T-shirt bermotifkan Melaka terutama di depan replika Kapal Flor De La Mar (warisan Portugis lagi).

Kemudian saya menelusuri Sungai Melaka dengan bot penumpang atau River Cruise. Sungainya bersih dari sampah sarap, tetapi keruh. Dapatlah melihat Perkampongan Melayu Melaka di Kampong Morten(tak boleh ke ditukar ke nama yang lebih keMelayuan?) Waktu saya masih di sekolah rendah dahulu, bila menyebut Melaka, nama yang sentiasa terpahat diingatan saya ialah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Itulah pahlawan Melayu yang hebat sehingga mengharumkan nama Melaka sebagai sebuah Empayar Islam. Kata-kata Hang Tuah,’Tak Melayu Hilang Di Dunia’ sentiasa menjadi pembakar semangat. Kata-kata Hang Jebat juga sangat mempengaruhi jiwa saya iaitu,’Raja Adil Raja disembah, Raja zalim, Raja disanggah’. Dimanakah warisan pahlawan Melayu ini ?

ZIARAH MAKAM HANG JEBAT DAN HANG KASTURI
Saya menanyakan seorang pemuda yang menjaga parkir, di mana makam Hang Jebat? Dia kebingungan.Tak pasti Bang! Saya juga bingung dengan jawapan itu. Tanda arah ke Makam Hang Jebat amat tidak mencukupi di Kota Melaka. Mungkin kerana dia seorang penderhaka agaknya! Hanya orang yang benar-benar ingin menziarahinya saja yang akan berjumpa. Rupanya makam tersebut terselit di tengah-tengah deretan kedai masyarakat Tionghua di Jalan Kuli, di seberang Sungai Melaka dari Bangunan Stadhuys. Terdapat beberapa lagi kubur di samping Makam Hang Jebat.

Kemudian berjalan ke Jalan Hang Jebat atau yang lebih dipopularkan Jonker Street. Kebetulan ada pasar minggu yang dipenuhi dengan gerai-gerai menjual beraneka barangan. Sambil berjalan di sepanjang jalan tersebut, tanpa diduga saya terjumpa pula Makam Hang Kasturi di sebelah Tokong Cina. Tiada tanda arah, hanya kebetulan terjumpa. Apakah begini nasibnya pahlawan Melayu. Apakah makam ini bukan warisan Melayu yang perlu di tonjolkan?

PERIGI HANG TUAH BANYAK KHASIAT?

Begitu juga di perigi Hang Tuah. Hendak mencarinya bagi orang luar memerlukan panduan sebuah peta. Terpaksa tersesat seketika, baru sampai ke destinasi. Papan tanda arah hanya kelihatan bila kita sudah menghampiri perigi tersebut. Tiada yang menarik selain perigi dan beberapa catatan sejarah Hang Tuah. Tempat mandi juga disediakan bagi yang ingin mandi air perigi yang dikatakan tidak pernah kering itu. Ada khasiat, kata setengah orang.

MASJID SELAT LAMBANG KEISLAMAN MELAKA

Cuma yang agak melegakan sikit ialah pembinaan Masjid Selat di Pulau Melaka. Ini melambangkan peranan Islam di dalam pembinaan Empayar Melaka tersebut. Walaupun bangunan terbengkalai menyakitkan mata sebelum sampai ke Masjid tersebut, sekurang-kurangnya dengan terbinanya Masjid tersebut dengan senibina Islam moden boleh juga mengubat perasaan terkilan terhadap betapa kurangnya penonjolan sumbangan Islam di Kota Warisan Dunia ini.

MAKAM SULTAN AL-ARIFFIN SHEIKH ISMAIL R.A. DI PULAU BESAR

Saya juga merasa gembira kerana Perbadanan Muzium Melaka dengan kerjasama Muzium Koleksi Nurul A’la mengadakan satu pameran yang amat penting didalam memahami sejarah peranan ulama dan wali Allah di dalam pengembangan Islam di Melaka. Pameran ini amat penting bagi saya kerana telah menjawab persoalan yang begitu lama terpendam . Persoalan saya ialah siapakah ulama yang terkenal yang berperanan menyebarkan Islam di Melaka saperti Nuruddin ArRaniri, Abdul Rauf Singkel, Hamzah Fansuri di Acheh, Wali Songo di Kepulauan Jawa?
Saya mendapat jawapannya di dalam pameran tersebut dan di dalam buku Menyingkap Misteri Pulau Besar nukilan Ana Faqir atau Safuan bin Abu Bakar yang hadir membuat penerangan di Muzium tersebut. Mengikut buku tersebut, Sheikh Ismail adalah cicit Sheikh Abdul Qadir al-Jailani seorang tokoh Sufi ternama di zaman kerajaan Abbasiyyah. Beliau datang ke Alam Melayu dengan satu tujuan iaitu untuk menggembangkan ajaran Islam. Buku ini menarik dan mesti dibaca untuk memahami sejarah perkembangan Islam di Melaka. Ia juga akan menyingkap misteri Pulau Besar yang menjadi kontroversi amalan khurafat di makam Sheikh Ismail di Pulau Besar pada tahun 1991. Harga senashkah RM35 dijual di Muzium oleh penulis sendiri. Boleh minta otograf sekali!

Selamat melawat Melaka, Bandaraya Warisan Dunia. Jangan lupa lawat Makam Sheikh Ismail di Pulau Besar.

[+/-] Baca selanjutnya...

Thursday, November 27, 2008

BILAKAH AGAKNYA PERPOLITIKKAN NEGARA AKAN MATANG?

Apabila John McCain mengunjungi Barack Obama buat pertama kali di White House setelah bertempur hebat di gelanggang pilihanraya Presiden Amerika Syarikat yang ke 44 pada 17 November 2008 yang lalu, saya begitu kagum dengan kematangan mereka berpolitik. Berbulan-bulan lamanya mereka bertempur untuk memenangi hati pengundi, menggunakan pelbagai strategi yang pernah difikirkan, serang-menyerang mengenai pendirian politik masing-masing. Kadang-kadang terlajak menyentuh hal peribadi, ras dan agama. Akhirnya bila pengundi telah membuat keputusan, walaupun mengejutkan banyak pihak kerana terpilihnya seorang Presiden yang berdarah campuran kulit putih dan hitam, kedua mereka segera melupakan peristiwa pertarungan sengit tersebut dan boleh duduk semeja bagi membincangkan ‘What’s next for the nation’. Malah ketika wartawan menanyakan apakah McCain akan membantu pentadbiran Obama, dengan pantas beliau menjawab, ‘Sudah pasti !’

Saya termanggu-manggu sejenak bila membaca berita tersebut dan mulai merenung akan realiti yang berlaku di negara tercinta, Malaysia. Apakah mungkin Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang duduk semeja secara terbuka membincangkan masa depan negara pasca pilihanraya? Apakah mungkin Ketua Pembangkang selalu dirujuk sesuai dengan peranannya dalam konteks ‘check and balance’ di dalam sistem demokrasi?

Apakah mungkin ini semua boleh berlaku di Malaysia?

Rasanya berdasarkan sejarah setakat ini, politik Malaysia belum lagi sampai ke tahap kematangan berpolitik di Barat. Sejarahnya hingga kini, Parti Pembangkang walaupun sah di segi sistem demokrasi berParlimen, sentiasa dianggap dan diperlakukan sebagai musuh yang perlu dihancurkan di setiap kesempatan yang ada. Negeri yang dikuasai Pembangkang sentiasa dianaktirikan, dipulau dan diperlakukan apa saja bagi melemahkannya agar di dalam pilihanraya akan datang negeri tersebut dapat dirampas kembali. Sebagai tindak balas pula, Parti Pembangkang akan membangkang apa jua isu yang dibawa Parti Pemerintah kerana premisnya sama iaitu demi survival Parti, bukan survival negara atau ummah.

Saya teringat pada tahun 1993, Ketua Pembangkang New Zealand ketika itu, Helen Clark (kemudiannya beliau berjaya menjadi Perdana Menteri sehingga baru baru ini tewas dan kembali menjadi Pembangkang) telah melawat pejabat ABIM bagi membincangkan mengenai hubungan New Zealand dengan NGO-NGO di Malaysia. Apa yang menarik ialah lawatan beliau diatur oleh Kedutaan New Zealand di Malaysia dan beliau dilayan saperti Menteri Kabinet walaupun status beliau adalah Ketua Pembangkang. Lawatan beliau pula adalah untuk kepentingan negara New Zealand, bukan untuk kepentingan Parti, apalagi untuk menjatuhkan Parti Pemerintah. Saya dan Fan Yew Teng yang ketika itu menjadi Pengarah Eksekutif di Center for Peace Initiatives (CENPEACE), membuat komen, bila agaknya politik Malaysia boleh sampai ke tahap kematangan politik sedemikian rupa.

Mungkinkah bila sistem dua parti, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat menjadi realiti, baru kematangan politik akan berlaku? Mungkinkah? Emmmmmm…………

[+/-] Baca selanjutnya...