Saturday, February 21, 2009

MENGENANG EL-HAJJ MALIK EL-SHABAZZ (MALCOM X)

1. Hari ini 21 Februari 2009, genap 44 tahun Malcolm X mati syahid ditembak dengan 15 das tembakan oleh tiga lelaki anggota Nation of Islam ketika memberikan suatu syarahan di Audubon Ballroom, Manhattan, ketika berumor 40 tahun.

2. Malcolm X yang menukar namanya kepada el-Hajj Malik el-Shabazz setelah menunaikan haji dibunuh kerana ingin membetulkan aqidah Nation of Islam dari ‘Black Supremacy’ kepada ‘Supremacy of Islam’.

3. Beliau menyedari bahawa faham kebangsaan yang sempit lagi cauvinis amat bertentangan dengan Islam dan ingin melakukan pembetulan dan pembaharuan. Islam itu tulus dan murni dan setiap tindak tanduk seseorang haruslah kerana Allah ta’ala semata bukan kepada sesiapa apalagi manusia. Dalam hal ini Nation of Islam menganggap Elijah Muhammad, pengasasnya sebagai menyamai seorang Nabi. Inilah yang ingin diperbetulkannya sehingga beliau akhirnya mati syahid. Antara pendirian beliau yang tegas ialah apabila beliau menyatakan,” I am not educated, nor am I expert in any particular field… but I am sincere and my sincerity is my credential”.

4. Malcolm X sangat terkenal kerana kepetahannya berhujjah untuk membangkitkan semangat jati diri masyarakat kulit hitam dari penindasan dan diskriminasi masyarakat kulit putih ketika itu. Sejak beliau menjadi jurucakap Nation of Islam, jumlah ahlinya meningkat secara mendadak dari 500 orang kepada 30,000 ahli. Malah popularitinya begitu tinggi sehingga membayangi pengasasnya sendiri.

5. Namun apabila beliau menyedari bahawa Elijah Muhammad terjebak di dalam perlakuan zina sehingga melahirkan anak luar nikah, maka beliau memprotes kuat dan keluar dari Nation of Islam dan terus menubuhkan organisasi baru, Muslim Mosque Incorporated.

6. Melalui organisasi baru ini beliau mulai mengajar ajaran Islam yang murni dan mengkritik beberapa kesalahan ajaran Nation of Islam. Sekembalinya dari Mekah beliau mulai mempopularkan konsep persaudaraan Islam dan persaudaraan manusia sejagat.

7. Bibit ajaran Islam inilah yang telah menyelamatkan aqidah sebahagian besar pengikut Nation Of Islam yang menyebabkan keputusan dibuat untuk menamatkan riwayatnya.

8. Sumbangan terbesar Malcolm X ialah keberanian beliau menentang sistem penindasan baik dalam apa bentuk sekalipun. Perjuangan kebebasan beliau terungkap di dalam kata-katanya, “Power in defense of freedom is greater than power on behalf of tyranny and oppression, because power, real power, comes from our conviction which produces action, uncompromising action”.

9. Semoga rohnya di rahmati Allah ta’ala jua. Al Fatihah.

[+/-] Baca selanjutnya...