MEMIMPIN BELIA ISLAM: MENANGANI GLOBALISASI & HEGEMONI
Buku ini yang menghimpunkan lapan ucapan dasar Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia dari tahun 1997 hingga 2005 merupakan rakaman pemikiran dan pengalaman sepanjang menelusuri pahit maung perjuangan dakwah ketika negara di landa krisis politik umat Melayu manakala umat Islam di seluruh dunia pula mulai berhadapan dengan isu terorisme.
Apabila menghimbau semula pengalaman selama lapan tahun memimpin ABIM, saya merasakan diri begitu kerdil di hadapan Allah Ta`ala. Dengan latar belakang pendidikan sekular, saya memimpin sebuah gerakan Islam yang ternama, dengan sejumlah intelektual dan ulama yang tinggi keilmuannya. Perasaan ini wujud kerana merasakan diri tidak layak, tetapi takdir menentukan amanah yang perlu dipikul sama ada suka atau tidak.
Tiada ucapan yang lebih baik yang boleh diungkapkan selain syukur Alhamdulillah kepada yang Maha Esa. Lapan tahun yang panjang selamat ditempuhi dengan sabar dan tawakal. Pelbagai pengalaman getir telah dirasai hasil tindakan radikal dan berbahaya tetapi kalkulatif. Tindakan radikal dan berbahaya bermaksud membuat keputusan yang melampau dari kebiasaan dengan mengambil risiko yang sangat tinggi, tetapi sarat dengan pertimbangan dan perkiraan yang mendalam. Ini termasuklah pengalaman menangani isu dalam negara terutamanya memimpin gerakan reformasi pada September 1998 sehingga terlempar ke penjara di bawah ISA, menggerakkan ADIL, membantu penubuhan Parti KeADILan Nasional (PKN), dan menggembleng jentera ABIM untuk membantu jentera PKN dalam pilihanraya umum 1999. Sesungguhnya, pengalaman mempelopori Gerakan Reformasi 1998 sangatlah berharga dan membuktikan dasar Non-Partisan yang menekankan kebebasan menentukan sikap politik tanpa terikat dengan mana-mana parti politik sangat relevan demi survival ABIM itu sendiri.
Selain itu, ABIM menggerakkan Agenda Perpaduan Ummah dan berjaya menganjurkan Syarahan Perdana yang mempertemukan Presiden UMNO, Dr Mahathir Mohammad dan Presiden PAS, Ustaz Fadzil Md Nor pada 8 Mei 2002. Sekali lagi ABIM mengorak langkah yang drastik, ketika isu Anwar Ibrahim masih hangat membahang, sentimen anti-Mahathir memuncak, demi ummah dan maslahah, ABIM menyongsong arus, mengajak umat bersatu menghadapi cabaran yang lebih besar iaitu hegemoni Amerika Syarikat. Apabila negara itu melancarkan perang terhadap teroris dengan menyerang Afghanistan pada November 2001, sebagai tindak balas serangan ke atas World Trade Center, New York pada September 11, 2001, ABIM berpendirian bahawa umat mestilah mengukuhkan kesatuan untuk menangani cabaran yang mendatang.
Inilah rakaman peristiwa yang melatari ucapan dasar Presiden ABIM. Mudah-mudahan pengalaman dan sejarah ini menjadi panduan untuk generasi penerus iaitu penyambung mata-rantai perjuangan gerakan tercinta ini. Sebarang perubahan yang hendak dibawa harus mengakar dengan sejarah generasi terdahulu agar kesinambungan perjuangan tidak terputus di tengah jalan.
Dengan penuh takzim, buku Memimpin Belia Islam: Menangani Globalisasi dan Hegemoni ini saya persembahkan untuk anda budiman. Selamat Membaca.
Al Faqir il Allah
Ahmad Azam Abdul Rahman
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ke -5
(1997-2005)

# Buku ini boleh dibeli di kedai buku Blue-T Publication Sdn Bhd di alamat: No. 12, Jalan 3/4C Desa Melawati. Tel: 03-41069119