Ucapan Pengerusi FGN sempena
Sidang Meja Bulat mengenai
Islam dan Perjuangan Kemerdekaan
yang berlangsung pada 26 Ogos 2007
di Shah Village Hotel, Petaling Jaya.
1. Alhamdulillah dengan penuh syukur ke hadrat Ilahi kita dapat bersama-sama di pagi ini untuk mendalami perspektif Islam di dalam sejarah perjuangan kemerdekaan di negara ini. Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada penceramah undangan yang terdiri daripada pakar sejarah di negara ini, kerana sudi hadir ke progam yang dianjurkan oleh Future Global Network (FGN) buat pertama kalinya. Mudah-mudahan Allah Ta`ala akan membalas segala budi baik dengan ganjaran pahala yang penuh berkat.
2. Selepas serangan terhadap World Trade Centre, New York pada 11 September 2001, sosio-ekonomi-politik dunia telah berubah dengan drastik sekali. Kalimah teroris menjadi sinonim dengan Islam, Amerika Syarikat menjadi kuasa imperialis dan kolonialis abad 21. Seorang pegawai tinggi Amerika Syarikat menyimpulkan realiti baru ini dengan kalimah ”we are greater than Roman Empire, Israel is our friend”
3. Apa yang pasti, Islam telah menjadi musuh nombor satu dunia dengan Amerika Syarikat menjadi dalang utamanya. Terminologi ’hard war’ dan ’soft war’ digunapakai sebagai strategi penjajahan dan pengukuhan hegemoni Amerika Syarikat ke atas dunia Islam khususnya. ’Hard war’ membawa pengertian serangan militer, ’soft war’ bererti serangan pemikiran dan budaya.
4. Di majlis ini, saya ingin menarik perhatian kepada pendekatan ’soft war’ yang digunakan untuk menguasai dunia Islam. Umum mengetahui, sejak sekian lama, Non Governmental Organization (NGO) atau Badan Bukan Kerajaan telah digunakan oleh Barat sebagai suatu kaedah public diplomacy atau diplomasi awam bagi mempengaruhi public opinion atau pendapat umum. Selepas peristiwa September 11, peranan NGO telah ditingkatkan ke tahap maksima terhadap dunia Islam bagi mempengaruhi rakyat supaya menyokong dasar hegemoni Barat
5. Matlamat utama ialah supaya Amerika Syarikat dan Barat harus dilihat sebagai penyelamat dunia Islam dari kemunduran, perpecahan dan pemerintahan diktator. Islam pula harus dilihat sebagai anti kemajuan, menindas wanita, anti demokrasi, hukum syariah sebagai zalim dan menindas serta menafikan hak bukan Islam dan hak-hak lain. Terminologi ’al-Qaeda’ diperkenalkan bagi memburukkan imej Islam sebagai agama pengganas, dan sesiapa juga yang cuba menentang hegemoni Barat akan dituduh menyokong al-Qaeda yang menjustifikasikan hukuman-hukuman berat terhadap mereka dengan menggunakan undang-undang antarabangsa.
6. Dalam kontek negara kita, Malaysia, terdapat usaha-usaha untuk mempersoalkan agama Islam dan menafikan sumbangan serta peranan pejuang Islam di dalam proses perjuangan kemerdekaan negara. Kecenderungan NGO bukan Islam termasuk segelintir yang Islam yang semakin berani mempersoalkan asas-asas pembinaan negara khusus yang menyentuh agama Islam amatlah membimbangkan.
7. Justeru itu, FGN terpanggil untuk mengadakan Sidang Meja Bulat ini bagi membincangkan mengenai Islam dan Perjuangan Kemerdekaan. Adalah diharapkan agar gabungan tenaga para intelektual dan aktivis sosial di dalam FGN di sidang seumpama ini akan berterusan demi melihat Islam terus mantap sebagai dasar penting negara demi kesejahteraan negara tercinta ini.
8. Selamat Bersidang. Wassalam.
Ahmad Azam Abdul Rahman
Pengerusi
Future Global Network
26 Ogos 2007