Tuesday, December 16, 2008

DR.HISHAM TALIB – PENDAKWAH YANG TAK PERNAH DUDUK DIAM!

15 Disember 2008.
Sebentar tadi saya benar-benar terkejut dengan kehadiran seorang yang cukup berjasa kepada perkembangan Islam di seluruh dunia ke pejabat saya. Tanpa sebarang makluman, tiba –tiba Dr.Hisham Talib muncul. Sebagaimana biasa, beliau yang sentiasa tersenyum dan amat jarang marah, terus memeluk erat sambil bertanya khabar. Ya! Lebih lima belas tahun tak berjumpa. Beliau diiringi oleh Shahran Kasim yang pernah berkerja di International Institute of Islamic Thought di Virginia, Amerika Syarikat.

Dr.Hisham adalah serangkai tiga orang pendakwah yang cukup banyak pengalaman melakukan kegiatan dakwah di seluruh dunia. Mereka ialah Dr.Ahmad Totonji, Dr.Jamal Barzinji, dan Dr.Hisham Talib sendiri. Ketiga-tiga mereka samada kebetulan atau tidak, saya tak pasti, adalah dari Iraq yang berhijrah ke Amerika Syarikat untuk belajar sehingga ke peringkat PhD. Mereka aktif di dalam aktiviti dakwah sejak di universiti lagi. Mereka menubuhkan Muslim Students Association United States and Canada (MSA), kemudian menubuhkan International Islamic Federation of Student Organization (IIFSO), kemudian World Assembly of Muslim Youth (WAMY), kemudian International Institute of Islamic Thoughts (IIIT), Islamic Society of North America (ISNA) dan beberapa lagi persatuan Islam yang tak sempat saya ikuti.

Ketika saya belajar di Amerika Syarikat, dari tahun 1983 sehingga 1986, saya terlibat di dalam aktiviti MSA dan juga ISNA. Di sanalah saya mendapat pendedahan kerja dakwah antarabangsa.
Melalui persatuan-persatuan inilah, mereka telah mempelopori kegiatan dakwah antarabangsa sehinggalah pada tahun 2001, selepas serangan September 11, mereka telah menghadapi tekanan dari kerajaan Amerika Syarikat kerana dituduh terlibat mendalangi para teroris antarabangsa. Pejabat-pejabat mereka digelidah, mereka disoal siasat, kewangan mereka dibeku sehingga siasatan selesai, perjalanan mereka ke luar negara dicurigai dan bermacam-macam tekanan psikologi yang mereka hadapi.

Namun setelah tujuh tahun berlalu, ketiga-tiga mereka Alhamdulillah selamat dan keadaan mulai kembali normal. Kehadiran Dr.Hisham sebentar tadi walaupun hanya sepuluh minit, benar-benar menggembirakan saya. Saya katakan kepadanya, Your visit today Sheikh, is a great gift from Allah
Beliau hanya tersenyum sebagaimana biasa.

[+/-] Baca selanjutnya...

Monday, December 15, 2008

ANDA SUAMI ISTERI SANGGUP BERDAKWAH KE PULAU CHRISTMAS DAN PULAU COCOS?

Saya sedang mencari sepasang suami isteri yang dah bersara yang sanggup meninggalkan keselesaan hidup untuk berdakwah sekurang-kurangnya selama 6 bulan di Pulau Christmas. Ahli WADAH amatlah dialu-alukan.

Ini adalah hasil perbincangan dengan Imam Masjid At-Taqwa, Imam Abdul Ghaffar Ismail yang berkunjung ke pejabat Future Global Network baru-baru ini. Pulau Christmas seluas 155 kilometer per segi adalah sebuah pulau milik Australia walaupun ianya terletak lebih hampir dengan Pulau Jawa. Penduduknya kecil iaitu berjumlah hanya 1,500 orang penduduk yang mana 65% berbangsa Cina, 20% berbangsa Melayu dan 15% berbangsa Australia.
Kebanyakkan orang Melayu di sana berasal dari Melaka. Terdapat 20 keluarga Melayu di sana yang amat memerlukan bimbingan agama, baik di segi fardhu ain, al-Quran dan lain-lain. Setakat ini ada juga Jamaah Tabligh yang singgah untuk menyemarakkan semangat beragama. Ada juga guru agama dari Indonesia yang dijemput untuk mengajar. Malah GPTD telah beberapa kali menghantar misi dakwah ke sana khusus untuk memenangi hati golongan muda agar tetap mengakar dengan ajaran Islam. Pengaruh budaya Barat memang begitu kuat lebih-lebih lagi ianya adalah sebahagian daripada Australia.

Saya tahu ramai ahli WADAH yang dah bersara yang banyak masanya menjaga cucu selain daripada menghadiri usrah dan kelas pengajian di masjid-masjid. Ramai yang pernah menjadi guru, pensyarah dan pegawai kerajaan. Gaji pencen sudah memadai untuk menampung hidup ke akhir hayat. Ada yang hidup agak selesa kerana anak-anak tak pernah lupa memberikan wang saku untuk belanja atau duit minyak untuk berjalan. Dari segi kewangan, mereka tidak menghadapi masalah.


Kepada mereka, saya ingin sarankan agar menyahut cabaran ini. Tiga bulan di Pulau Christmas dan tiga bulan lagi di Pulau Cocos (buat masa ini ahli GPTD, Muhammad Suhail Ahmad sedang melaksanakan tugas dakwah selama dua bulan di Pulau ini. Ikuti catatan pengalaman beliau dalam sahalfikri.blogspot.com)

Namun demikian sebagaimana biasa, akan ada yang sinis dengan usaha dakwah sebegini. Akan ada nanti yang mengatakan dakwah dalam negara banyak yang tak terbuat, nak ke luar negara pula. Sama alasan saperti mana setiap kali Global Peace Mission melancarkan dana untuk membantu umat yang tertindas atau umat yang memerlukan bantuan di luar negara. Mereka yang sinis ini selalunya tak banyak berbuat apa-apa pun. Kerja nya hanya menimbulkan keraguan dengan kata-kata negatif dan sinis.

Masyarakat di kedua-dua pulau ini dah begitu lama memohon kepada kita untuk menghantarkan para pendakwah,kalau boleh biarlah suami isteri, supaya kaum wanita juga dapat menafaat langsung dari usaha ini. Banyak isu-isu yang melibatkan masalah wanita tidak dapat ditangani dengan baik oleh para pendakwah yang pernah di hantar setakat ini.

Bagi sesiapa yang berminat dan bersemangat serta sanggup menyahut seruan berkorban sempena Bulan Haji ini, silalah hubungi saya dengan e-mail azamra_miba@yahoo.com.

[+/-] Baca selanjutnya...