Wednesday, March 5, 2008

Pak Sheikh kembali kerahmatullah

Dipusara D2430 Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam.

Dengan dukacita dimaklumkan bahawa Dato’ Sheikh Azmi Ahmad (64 tahun) mantan Naib Presiden ABIM dan Naib Presiden Parti KeADILan telah kembali kerahmatullah pada jam 7:45 pagi, 1 Mac 2008 bersamaan 28 Safar 1429H setelah lebih 2 minggu dirawat di Institut Jantung Negara.

Ketika berita itu sampai ke pengetahuan saya, saya dan teman-teman (Khairul Arifin, Setiausaha Agung ABIM, Halimi, Pen Setiausaha Agung Wadah dan Akmal, Pegawai Khas Setiausaha Agung) dalam perjalanan ke Pontian Johor. Sebaik sahaja mendapat maklumat tersebut kami segera selesaikan urusan di Pontian dan kembali ke Kuala Lumpur untuk hadir di majlis solat jenazah dan pengkebumian Pak Sheikh.

Alhamdullillah dengan izin Allah s.w.t. kami sempat sampai di masjid taman TTDI Jaya ketika para jemaah baru memulakan solat jenazah sekitar jam 1:45petang. Ada sekitar 200 orang dari kalangan sahabat handai, teman-teman lama di dalam ABIM dan Parti Keadilan termasuk Calun PAS dan KeADILan yang bertanding di Shah Alam. Sdr Khalid Samad yang bertanding di Parlimen Shah Alam dan Sdr Yaakob Sapari Calun DUN Kota Anggerik turut kelihatan. Difahamkan Nurul Izah dan adiknya turut hadir mewakili ayah dan ibu mereka yang tidak dapat hadir kerana berada di luar kawasan. Tidak ketinggalan Ustaz Razali Nawawi dan juga pimpinan veteran dari ABIM Kedah.

Seterusnya kami ke tanah perkuburan untuk turut serta menyempurnakan pengkebumian jenazah. Sepanjang hari cuaca begitu redup sekali seolah-olah turut bersedih dengan berpulangnya kerahmatullah Pak Sheikh.

Secara peribadinya saya dapat berbual panjang dengan Pak Sheikh semasa beliau berada di Anjung Rahmat untuk rawatan kencing manis secara alternatif dan kemudian di KBMC sebaik kaki beliau dipotong.

Beliau sentiasa menampakkan dirinya begitu ceria, berbincang tentang pelbagai isu yang berkaitan dengan negara, dakwah dan Islam hingga ke Wali Songo serta Anwar Ibrahim. Apa yang nyata beliau begitu menyayangi Sdr Anwar Ibrahim dan sentiasa bersedia untuk melakukan apa juga yang termampu untuk membantu Sdr Anwar. Beliau juga menyebut bahawa Sdr Anwar memerlukan panglima-panglima seperti saya untuk membantu beliau. Begitulah Pak Sheikh. Keakraban dan kasih sayang beliau dengan Anwar Ibrahim cukup luar biasa.

Bagi kita yang mengenali Pak Sheikh sudah tentu kita kehilangan seorang tokoh pejuang yang ceramahnya begitu bersahaja, tegurannya melalui lawak-lawak yang penuh erti yang mendalam.

Saya tak pernah melihat beliau marah. Beliau sentiasa melontarkan senyuman walaupun dalam keadaan getir dan sukar ketika melakukan tugas-tugas dakwah. Mudah-mudahan kita mampu untuk menjejaki perjuangannya. Semoga Allah s.w.t. menerima seluruh amalan soleh beliau dan ditempatkan di kalangan kekasihNya. Al Fatihah.

[+/-] Baca selanjutnya...