Friday, April 10, 2009

KRISIS POLITIK NEGARA - APA PILIHAN NAJIB?

Najib mewarisi perjuangan bapa
1. Negara telah menempa detik yang bersejarah. Bersejarah kerana buat pertama kali anak seorang mantan Perdana Menteri mewarisi kepimpinan negara. Apakah ini akan menjadi suatu kecenderungan baru dalam politik Malaysia yang mana kepemimpinan politik negara dimonopoli oleh beberapa keluarga yang berpengaruh seperti keluarga Gandhi di India dan Bhutto di Pakistan? Atau ini hanya suatu kebetulan atas usaha gigih sendiri. Kita lihatlah perkembangannya nanti.

Krisis politik berpunca dengan pemecatan Anwar Ibrahim

2. Kita semua maklum bahawa krisis politik dalam negara ini berpunca dari pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO oleh Dr.Mahathir pada 2 September 1998. Ya, sudah lebih 10 tahun berlalu, politik negara umpama dibadai ombak besar. Usaha untuk membunuh kredibiliti Anwar dengan pelbagai cara ternyata gagal walaupun seluruh jentera kerajaan digunakan sepenuhnya. Dr.Mahathir akhirnya berundur, Pak Lah pun berundur juga. Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang yang sangat digeruni apalagi di pentas rakyat. Masyarakat Cina, India, Kadazan kesemuanya melihat Anwar sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat dan boleh menjadi Perdana Menteri yang lebih baik dan adil kepada semua. Ini pandangan akar umbi yang sentiasa dinafikan oleh media perdana. Bagi media perdana, skripnya ialah Anwar Ibrahim pengkhianat negara dan boneka Barat yang harus ditentang habis-habisan demi masa depan negara dan survival orang Melayu.

Orang Melayu bimbang

3. Sempena hari bersejarah ini, pasti Najib mempunyai formula sendiri untuk menangani isu politik Melayu yang sangat gawat melebihi satu dasawarsa ini. Kebimbangan orang Melayu akan keterhakisan kuasa politik semakin ketara dan kuasa ekonomi yang semakin mengecil adalah suatu yang ‘real’. Ianya bukan digembar-gemburkan untuk tujuan tertentu. Suara-suara mengajak Parti Politik Melayu untuk bersatu semakin kuat kedengaran. Perbincangan sulit dan tertutup memang berlaku. Seminar dan Simposium pun dah banyak yang dianjur oleh NGO Melayu yang mulai tumbuh bak cendawan. Kesemuanya menyatakan kebimbangan yang amat sangat.

4. Malah ketika ada saja pertemuan antara pemimpin poltik Melayu, maka isu perpaduan Melayu sentiasa menyusul sebagai bahan perbincangan di kedai kopi. Pertemuan Pak Lah dan Anwar di Hulu Langat atas jemputan Ustaz Mahmud kerana Majlis Tamat Latihan Kerohanian selama 40 tahun juga menjadi perbualan hangat . Malangnya Pak Lah di penghujung riwayatnya sebagai Perdana Menteri. Tiada apa lagi yang dapat dilakukannya.

Pilihan Najib hanya satu

5.Najib sebenarnya hanya ada satu pilihan saja. Sebagai PM baru beliau mempunyai banyak ‘advantage’ untuk melakukan sesuatu yang drastik dan bermakna. Sebagai Perdana Menteri baru, rakyat akan mengambil sikap memberi peluang dan ruang dulu. Sikap tunggu dan lihat inilah memberi beliau sedikit ruang untuk bernafas bagi memikir dan bertindak.

Ikut Legasi Tun Razak

6. Pilihan yang ada bagi beliau ialah untuk menjejaki legasi bapanya, Allahyarham Tun Razak. Selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969 yang menumpahkan darah akibat krisis politik perkauman, Tun Razak telah mengambil strategi kurangkan politiking bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada pembangunan ekonomi dan negara. Jika kita lihat apa yang berlaku sekarang, krisis ekonomi dunia yang melanda menuntut pemimpin, rakyat dan negara untuk memberi keutamaan kepada strategi pemulihan ekonomi. Isu politik harus diselesaikan dengan cara yang matang sesegera yang mungkin.

7. Kita kena akui bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah faktor penting didalam sebarang usaha untuk memulihkan kekusutan politik yang berlaku sejak 10 tahun yang sudah. Hakikatnya kita telah mengambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikannya. Cara membunuh kredibiliti Anwar melalui perundangan dan fitnah ternyata telah ditolak oleh rakyat. Keputusan Pilihanraya Umum ke 12 membuktikannya. Isu Anwar adalah cetusan Dr.Mahathir, bukan Najib. Beliau tidak mempunyai sebarang ‘political baggage’. Pak Lah sebenarnya mempunyai peluang untuk melakukannya, cuma malangnya beliau dibayangi oleh Dr.Mahathir.

8. Anwar Ibrahim harus diterima sebagai entiti politik yang harus dihormati. Pengalaman beliau di dalam kerajaan banyak boleh dimanafaatkan. Menuduh beliau sebagai pengkhianat negara, boneka asing ternyata tidak berfaedah dan tidak dapat diterima oleh rakyat. Biro Tata Negara sudah 10 tahun menjaja isu ini. Hakikatnya, Anwar Ibrahim semakin popular dan masyarakat Cina dan India umumnya melihat beliau sebagai pemimpin mereka sendiri.

Tubuh Kerajaan Perpaduan Nasional Raya

9. Ide menubuhkan ‘Grand National Unity Government’ telah dilontarkan oleh beberapa pihak yang prihatin mengenai krisis politik yang berpanjangan ini. Malah Yang Berhormat Ustaz Abdul Hadi Awang difahamkan begitu berminat dengan ide ini. Bayangkan sekiranya Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bersetuju menubuhkan kerajaan campuran, maka rasanya krisis politik yang berlaku sekarang boleh diredakan. Tumpuan boleh diberikan kepada menangani krisis ekonomi yang melanda.

10. Cuma apa yang diperlukan ialah pemimpin yang berjiwa besar, yang sanggup mengorbankan kepentingan peribadi demi bangsa dan negara tercinta. Tun Razak dikenang sampai sekarang kerana jiwa besarnya menjemput PAS menyertai kerajaan Barisan Nasional. Legasi ini begitu berharga dan harus diteladani. Sekira anaknya pula mengikut jejak langkah ini, rasanya semua pihak akan berbangga dan pastinya gembira. Sepuluh tahun yang gawat akhirnya berpenghujung jua.

11. Bagi setengah pemimpin PAS yang pernah berpengalaman berada dalam kerajaan campuran dulu kemudian ditendang keluar oleh UMNO, pastinya pengalaman tersebut amat pahit untuk dijadikan pengajaran. Kita amat mengerti akan perasaan pesimis tersebut. Namun demikian apa pilihan kita? Generasi sudah berubah! Minda mereka juga telah banyak berubah. Apakah kita nak berterusan mengadu tenaga sampai Pilihanraya Umum ke 13? Rasanya kita kena meraikan juga faktor perubahan generasi di dalam apa jua percaturan politik kita. Malah komen Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang mengharapkan hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ketika Datuk Najib diumumkan sebagai Perdana Menteri adalah merupakan petanda baik kearah merealisasikan ide ini.

11. Terpulanglah kepada Datuk Najib untuk bertindak. Dayung ditangan anda! Peluang datang hanya sekali! Saya mendoakan kebaikan jua untuk agama, bangsa dan negara.

[+/-] Baca selanjutnya...