Friday, September 19, 2008

Imam Warithudeen Muhammad

Imam Warithudeen Muhammad – Pemimpin Islam Amerika Syarikat kembali keRahmatuLlah pada 9 Ramadan 1429/ 9 September 2009


Ketika menerima berita kematian Imam W.D.Muhammad, lantas saya teringat akan lawatannya ke Malaysia atas jemputan ABIM dari 11 – 17 April 1996. Jemputan tersebut sangatlah bersejarah kerana kehadiran Imam adalah untuk menjadi tetamu utama bagi pelancaran Tayangan Perdana Malcolm X . Inilah julung kali ABIM menganjurkan Tayangan Perdana di PWTC.

Malcolm X (1925 -1965) atau nama Islamnya Malik bin Shabazz adalah seorang pejuang kulit hitam di Amerika Syarikat yang karismatik, pengikut ajaran Elijah Muhammad (1897-1975), ayah kepada W.D.Muhammad.

Imam W.D.Muhammad setelah menggantikan ayahnya, mengambil tindakan membetulkan ajaran ayahnya dari menekankan soal ’Black Superiority’ kepada Islam yang murni, iaitu hanya taqwa yang membezakan manusia di mata Allah ta’ala.

Malcolm X pula setelah menunaikan haji, berusaha untuk membetulkan ajaran Elijah Muhammad yang mengakibatkan akhirnya beliau mati syahid ditembak pada 21 Februari 1965.

Sepanjang lawatan Imam di Malaysia, saya ketika itu adalah Setiausaha Agung ABIM menjadi pengiringnya. Saya amat kagum dengan sikap merendah dirinya walaupun seorang pemimpin yang dihormati di Amerika Syarikat.Al-Quran terjemahan Abdullah Yusuf Ali sentiasa bersamanya setiap masa.

Gambar yang dipaparkan di atas adalah kiriman Ghifari al-Mukhtar melalui e-mail yang menjadi jurugambar ketika kami membuat kunjungan hormat kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato Seri Anwar Ibrahim..Gambar ini juga menggamit kenangan saya kepada Arwah Dr.Ahmad Shah yang begitu banyak sumbangannya di dalam perkembangan Islam atas kapasitinya sebagai Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri.

Sama-samalah kita hadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Imam W.D.Muhammad dan Dr.Ahmad Shah Mohd Nor.

[+/-] Baca selanjutnya...