1. Sejarah berkembangnya kuasa penjajahan
Inggeris dan semakin melemahnya kuasa pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah di abad
ke 19 sehingga akhirnya runtuh pada tahun 1924, adalah suatu fenomena sejarah
hitam bagi umat ini. Dunia Islam buat
pertama kalinya kehilangan pemimpin sejak kedatangan Islam zaman Rasulullah
s.a.w. Sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah itu, umat
Islam umpama anak ayam kehilangan ibu, masing-masing bertempiaran lari menyelamatkan
diri, tanpa memperdulikan sesiapa kecuali diri sendiri.
2. Umat Islam sejak itu mengalami era
penjajahan yang amat memeritkan hingga kini.
Penjajah Inggeris yang kemudiannya diganti peranannya oleh Amerika
Syarikat yang didalangi Gerakan Zionis
Antarabangsa terus-menerus memastikan umat Islam lemah dan berpecah. Mereka
ingin memastikan agar umat Islam tidak akan bangkit lagi sebagai kuasa besar
dunia buat selama-lamanya. Lantas tiga
penyakit telah direkacipta untuk dideritai oleh umat Islam ini iaitu KEMISKINAN,
KEJAHILAN dan PERPECAHAN.
3. Namun demikian, seruan untuk umat Islam
bangkit semula dengan kembali menghayati semangat sebenar ajaran Islam telah
bermula sebelum kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah lagi. Malah seruan tersebut menjadi semakin lantang
dan tersusun selepas runtuhnya khilafah tersebut pada tahun 1924. Seruan ke
arah politik perubahan boleh dibahagikan
kepada beberapa fasa.
4. FASA PERTAMA: Seruan tokoh intelektual/ulama.
Antara tokoh yang agak menonjol
yang menyeru umat kearah politik
perubahan ialah Sayyid Jamaluddin al-Afghani (1839/1897) yang
terkenal dengan seruan ‘ Pan
Islamism ‘ atau Kesatuan Dunia Islam yang kemudiannya disambut oleh
anak muridnya, Muhammad Abduh (1849/1905) yang menyeru ke
arah reformasi pendidikan Islam. Selepas itu muncul pula generasi pelapis yang
mendapat inspirasi dari seruan dua tokoh ini iaitu Muhammad Rashid Rida
(1865/1935), Shakib Arsalan (1869/1946) dan Maulana
Muhammmad Iqbal (1877/1938) dari India yang terkenal dengan bukunya, ‘ The Reconstruction of Religious
Thought in Islam ‘ yang sarat dengan seruan agar dilakukan rombakan
besar-besaran dan reformasi terhadap pemikiran Islam sekiranya umat ini ingin
bangkit semula.
5. FASA KEDUA : Politik Perubahan Gerakan Islam.
Apa yang menarik ialah selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah,
bermunculan pula gerakan politik perubahan dan pembaharuan yang berorientasikan
Gerakan Islam atau Jamaah. Ide politik
perubahan yang dipelopori oleh Afghani dan Abduh telah diterjemahkan dalam
bentuk sebuah gerakan Islam yang tersusun dan berpaksikan massa. Asy Syahid Imam Hasan al-Banna (1906/1949)
dari Mesir telah mengasaskan Gerakan Ikhwan Muslimin pada tahun 1928, Imam Badiuzzaman Said Nursi dari Turki
telah memulakan Gerakan Risalah I Nur pada tahun 1926, Maulana
Muhammad Ilyas al-Kandahlawi (1885/1944) dari India telah menubuhkan Jamaat Tabligh pada
tahun 1926 dan Maulana Abul A’la Maududi (1903/1979) telah menubuhkan Gerakan
Jamaat Islami pada tahun 1941.
6. Di Kepulauan Alam Melayu pula, Kiai
Haji Ahmad Dahlan telah mendahului Gerakan Islam yang lain dengan
menubuhkan Gerakan Muhammadiyyah seawal 18 November 1912 dan diikuti
oleh Nahdatul Ulama oleh Kiai Haji Hashim Asy’ari pada tahun
1926, Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia oleh Bapak Muhammad Natsir
pada tahun 1967 dan Angkatan Belia Islam Malaysia oleh Anwar Ibrahim
pada tahun 1971.
7. Seruan
untuk umat Islam bangkit dengan ruh al Islam semakin menyemarak
melalui Gerakan Islam yang tersusun yang tumbuh di merata dunia, sehingga tahun
70an dianggap sebagai “The Rising Tide of Islam” atau Gelombang
Kebangkitan Islam.
8. FASA KETIGA : Dari politik perubahan ke
perubahan politik. Antara kesan semerta dari Gelombang
Kebangkitan Islam tahun 70an ialah telah berlaku anjakan paradigma dalam
pendekatan Gerakan Islam bila mana Gerakan Islam mulai terlibat secara langsung
di dalam perpolitikan negara di atas nama demokrasi. Ini adalah kerana pemimpin negara Islam pasca
kemerdekaan rata-ratanya mereka direstui
oleh Penjajah Barat dengan mandat untuk
meneruskan dasar penjajahan secara tidak langsung. Sedangkan umat Islam hasil dari kebangkitan
baru Islam ini inginkan perubahan politik ke arah yang lebih Islami.
9. Gerakan Ikhwan Muslimin adalah gerakan
islam yang paling menonjol di dalam perpolitikan di negera-negara Arab
khususnya di samping Jamaat Islami di Pakistan dan Bangladesh dan Parti politik pimpinan Necmettin Erbakan di
Turki. Di kepulauan Alam Melayu, seperti
Indonesia dan Malaysia, tidak terkecuali, politik perubahan turut mencetuskan
perubahan politik.
10. Gerakan Islam yang paling awal berjaya
memerintah ialah Ikhwan Muslimin Sudan di bawah pimpinan Dr.Hassan al-Turabi
yang telah berpakat dengan Jeneral Omar Basyir menggulingkan Presiden Numeiri
pada tahun 1989. Walaupun berjaya
memerintah cara coup d’etat (kudeta) atau rampasan kuasa ini amat
kontroversial, tetapi Ikhwan Muslimin Sudan sehingga hari ini masih berkuasa
melalui sistem pilihanraya yang dibuat selepas itu.
11. Kemudian diikuti oleh Turki apabila Necmettin
Erbakan dari Parti Kebajikan (Refah Partisi) berjaya menjadi Perdana
Menteri Turki selama setahun dari 1996 hingga 1997 sebelum Junta Tentera yang sekular merampas kuasa. Namun demikian, usaha politik Islam ini
disambung oleh anak muridnya, Recep Tayyib Erdogan yang menubuhkan Parti
Keadilan dan Pembangunan (Adalet ve Kalkinma Partisi) pada tahun 2001
dan seterusnya menjadi Perdana Menteri pada tahun 2003 sehingga sekarang.
12. Namun demikian perubahan politik hasil
dari politik perubahan yang dipelopori oleh Gerakan Islam semakin menarik dan
mendapat sambutan luar biasa dari umat Islam khususnya di Timur Tengah apablia
berlaku ‘Arab Spring’ atau kebangkitan rakyat yang menuntut perubahan
politik pada tahun 2011. Kesan dari kebangkitan rakyat ini, buat pertama
kalinya pemimpin-pemimpin yang didukung oleh Penjajah Barat ditolak rakyat, dan
digantikan dengan pemimpin baru yang Islami melalui sistem pilihanraya. Abdelilah Benkirane dari Parti
Keadilan dan Pembangunan menjadi Perdana Menteri Maghribi pada 29
November 2011, Hammadi Jebali
dari Parti an Nahdhah menjadi Perdana Menteri Tunisia pada 24 Disember
2011 dan Muhammad Morsi dari Parti Kebebasan dan Keadilan menjadi Presiden
Mesir pada 30 Jun 2012.
13. Nyata sekali bahawa walaupun umat Islam
masih lagi dibelenggu penjajahan bentuk baru iaitu hegemoni Amerika
Syarikat/Zionis, tetapi kebangkitan umat islam hasil dari seruan dan suntikan
semangat politik perubahan dari tokoh intelektual/ulama awal abad 19 dan
disambung oleh Gerakan Islam awal abad
20an telah menunjukkan hasil yang positif dan memberangsangkan terutama
dari sudut perubahan politik yang kita saksikan pada hari ini.
14. RESPON BARAT TERHADAP PERUBAHAN POLITIK: Namun demikian, sebagaimana yang dijangka,
Kuasa Barat tidak akan membiarkan
saja perubahan lanskap politik dunia
Islam berlaku tanpa berbuat apa-apa
untuk menyekatnya. Membiarkan perubahan
ini berlaku bermakna kuasa Barat akan terhakis, dan kuasa Islam akan kembali
menjadi kuasa besar dunia. Justeru itu,
Sudan sebagai negara yang paling awal dikuasai oleh Ikhwan Muslimin telah
menghadapi sekatan ekonomi yang sangat parah dan berakhir dengan memutuskan
bekalan minyak Sudan dengan memaksa kemerdekaan Sudan Selatan yang memiliki 90
peratus minyak Sudan pada 9 Julai 2011. Kemerdekaan Sudan
Selatan bermakna Sudan Utara yang majoriti penduduknya beragama Islam telah
dilumpuhkan di segi ekonomi keseluruhannya.
15. Kemudian, demonstrasi yang berlaku di Gezi
Park, Taksim, Istanbul yang bermula pada 28 Mei 2013
baru-baru ini adalah suatu percubaan untuk melemahkan kepemimpinan Perdana
Menteri Recep Tayyib Erdogan dengan harapan untuk digantikan dengan pemimpin
yang sesuai dengan kehendak Barat.
16. Negara Tunisia dan Mesir yang diperintah
oleh Gerakan Islam masih lagi belum stabil dengan pelbagai masalah direkacipta
agar negara tersebut gagal diperintah dengan baik. Sekiranya Tunisia dan Mesir gagal ditadbir, maka
Barat berharap agar kepercayaan umat Islam kepada Gerakan Islam akan luntur,
lantas politik Islam dianggap sebagai tidak relevan untuk abad 21 dan buat
selama-lamanya. Kudeta di Mesir pada 3
Julai 2013 membuktikan bahawa Barat tidak akan mengizinkan lahirnya pemimpin berjiwa
Islam seperti Presiden Morsi untuk memerintah.
17. RUMUSAN:
Seruan untuk umat
Islam bangkit semula dengan kembali kepada ruh al-Islam yang sebenarnya
di awal abad 19 dan di ambut oleh Gerakan Islam yang tumbuh di merata dunia di
awal abad 20an telah mencetuskan perubahan politik yang tidak akan mampu
dihalang oleh mana –mana kuasa sekalipun.
Pemimpin dunia Islam pasca kemerdekaan umumnya adalah boneka Penjajah
Barat yang diberi mandat untuk meneruskan dasar penjajahan secara
tidak langsung. Namun dengan pendekatan
politik perubahan yang dipelopori oleh tokoh Reformis Islam dan gerakan Islam,
khususnya Ikhwan Muslimin, perubahan politik dunia Islam adalah suatu realiti
yang mesti di terima. Perubahan lanskap
politik dunia Islam telah dan sedang berlaku.
Umat Islam telah bangkit dengan semangat perubahan yang rasanya tidak mungkin dapat dibendung
lagi. Gerakan Islam harus, malah wajib
mendakap erat perubahan ini, kerana kegagalan untuk melakukannya, bermakna
ianya akan menjadi tidak relevan dan bakal lenyap di makan dek zaman.
18. Gerakan Islam sekiranya ingin berjaya dalam membebaskan diri dari belenggu
penjajahan bentuk baru Barat yang didalangi oleh Gerakan Zionis Antarabangsa
harus menyorot nasihat Nabi Ya’kub kepada anak-anaknya yang hendak ke Mesir
sebagaimana yang di sebut di dalam al-Quran Surah Yusuf 12:67 yang
bermaksud “ Janganlah kamu masuk
dari satu pintu gerbang, dan masuklah dari pintu-pintu gerbang yang
berlain-lainan.”
19. Ini bermakna bahawa Gerakan Islam harus
mempelbagaikan pendekatan politiknya dengan tidak meremehkan pendekatan antara satu sama lain. Bapak Muhammad Natsir, mantan Perdana
Menteri Indonesia sendiri mengiktiraf pelbagai pendekatan ini dengan
mempopularkan kalimah ‘Berpolitik di
jalur dakwah, berdakwah di jalur politik’.
Ahmad Azam Abdul Rahman
Timbalan Presiden,
Wadah Pencerdasan Umat (WADAH)
Union
of NGOs of The Islamic World (UNIW) berpusat di Istanbul Turki