Ekspedisi Pendidikan ke Jakarta dan Makassar 18 hingga 22 Oktober 2008 sempena Seminar Pemikiran Syeikh Yusuf al Makassari.
Saya telah merintis program Jejak Ulama sejak tahun 2000. Tujuannya hanyalah untuk mengenali sejarah perjuangan dakwah sebagai mata rantai risalah dakwah sejak RasuluLlah s.a.w. Rombongan dari Malaysia purata seramai 20-30 orang setiap rombongan sejak tahun 2000 telah menjejaki HAMKA di Danau Maninjau, Pak Natsir di Bukit Tinggi, Sheikh Abdul Rauf Singkel di Banda Acheh, Sheikh Arshad Banjari di Banjarmasin, Sheikh Daud Fatani di Yala. Kali ini Sheikh Yusuf al Makassari di Makasssar. Kami juga telah ke Isparta, Turki menjejaki perjuangan Ustaz Badiuzzaman Said Nursi. Seterusnya kami bercadang untuk menjejaki Wali Songo di Surabaya.
Saya turut membentang kertas kerja pada seminar ini. Saya rasakan betapa relevannya sejarah perjuangan Sheikh Yusuf al-Makassari (1037-1111 H / 1627 – 1699 M) dihimbau semula agar kita dapat menggali khazanah perjuangannya mempertahankan aqidah umat sebagai panduan generasi abad 21 untuk bangkit semula.
Beberapa keping gambar kenangan semasa di Makassar; bersama Puan Ade Nirmala, generasi ke-8 Sheikh Yusuf dan juga makam Sheikh Yusuf Al-Makassari
SHEIKH YUSUF AL-MAKASSARI: MENGHIMBAU SEJARAH,
MELAKAR STRATEGI DAKWAH MASA DEPAN
MUKADIMAH
Dunia sedang menghadapi krisis. Kuasa terbesar dunia iaitu Amerika Syarikat sedang bergelut dengan krisis kewangan yang sangat kronik. Silap perkiraan, kuasa ekonomi terkuat dunia ini akan ranap. Kemungkinan menjadi muflis adalah kenyataan yang menakutkan.
Ketika yang sama, ekonominya juga terikat dengan dua medan peperangan yang memakan dana yang cukup besar iaitu Afghanistan dan Iraq.
Adakah ini merupakan petunjuk bahawa dunia sedang menghadapi transisi dari Unipolar ke Multipolar?. Sekiranya Amerika Syarikat tidak dapat bangkit dari kemelut ekonomi ini, maka transisi ini akan menjadi suatu realiti.
Realitinya ialah kemunculan kuasa baru dunia yang bakal mewarnai sosio-politik-ekonomi dunia untuk dekad mendatang. Kali ini bukan satu kuasa baru. Tetapi kemungkinan tiga atau empat. Yang pastinya kuasa Eropah akan bangkit semula, tetapi bukan bercakaran sesama sendiri sebagaimana abad ke 14 - 15, tetapi di dalam satu Kesatuan Eropah yang bersatu di bawah satu payung.
Kemudian muncul pula China dan India sebagai kuasa baru ekonomi dunia yang semakin berpengaruh dan disegani. Rusia di bawah pemerintahan Putin juga tidak ketinggalan untuk bangkit semula setelah Soviet Union hancur pada tahun 1991.
Persoalannya di sini ialah apakah dengan dunia yang multipolar ini akan lebih baik bagi umat Islam atau sebaliknya? Apakah dunia Islam tidak boleh bangkit menjadi suatu kuasa baru di samping kuasa-kuasa yang lain?
Saya berpendapat bahawa dunia multipolar adalah lebih baik dari unipolar sebagaimana yang sedang dideritai umat di bawah kuasa Amerika Syarikat yang bermaharajalela menguasai dunia tanpa sempadan sejak jatuhnya Soviet Union pada tahun 1991. Selama 17 tahun dunia berada di bawah kuasa Amerika Syarikat, dunia Islam yang banyak menderita kesan dari dasar Islamophobia yang dianuti.
Afghanistan dijajah pada November 2001 dan Iraq pula pada March 2003.
Namun demikian dunia multipolar akan lebih seimbang sekiranya dunia Islam boleh bangkit sebagai sebuah kuasa dunia sebagaimana Kesatuan Eropah.
Sekali lagi, persoalannya mampukah dan bagaimana untuk bangkit semula?
Di sinilah saya rasakan betapa relevannya sejarah perjuangan Sheikh Yusuf al-Makassari (1037-1111 H / 1627 – 1699 M) dihimbau semula agar kita dapat menggali khazanah perjuangannya mempertahankan aqidah umat sebagai panduan generasi abad 21 untuk bangkit semula.
MENGHIMBAU SEJARAH
Sejarah hidup dan perjuangan Sheikh Yusuf yang mengharungi begitu banyak ranjau memungkinkan kita mempelajari akan hikmah disebaliknya. Sememangnya hidup ini adalah ujian dan setiap ujian itu banyak hikmah yang tersembunyi. Begitulah Allah ta’ala mendidik dan menguji manusia agar diketahui siapa yang benar-benar beriman sebagaimana firmanNya,
وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
(al-Baqarah 2 : 216)
Sepanjang lebih 70 tahun kehidupan Sheikh Yusuf, beliau telah melalui 4 fasa kehidupan yang setiap satu ditanganinya dengan penuh sabar dan tawakal yang tinggi kepada Allah ta’ala. Beliau tidak menyesali apa yang berlaku terhadap hidupnya. Malah setiap fasa yang dilalui, tugas dakwah tetap berjalan walau dalam keadaan apa sekalipun. Beliau begitu beriman dengan ayat sebelum ini yang mengandungi hikmah Allah ta’ala yang tak terjangkau dek manusia.
Fasa Pertama – Mencari Ilmu
Fasa pertama yang merupakan fasa yang paling panjang ialah proses mencari ilmu sebagai persediaan untuk menjadi ulama, pemimpin dan aktivis umat yang sumbangannya dapat kita nikmati sehingga hari ini. Fasa pencarian ilmu ini memungkinkan beliau merantau ke hampir semua pusat perkembangan ilmu Islam yang ada di waktu itu. Beliau se awal umur 17 tahun, demi mencari ilmu telah meninggalkan Makassar untuk ke Banten, kemudian ke Acheh, Gujarat, Yaman, Mekah, Madinah, Damsyik dan Istanbul yang memakan masa 28 tahun. Beliau telah berguru dengan ilmuan yang ternama di abad 16/17 dan menguasai ilmu tasawuf dari sheikh tarekat yang berbagai. Malah beliau adalah merupakan Sheikh Tarekat Khalwatiyah. Beliau mendamaikan polemik antara penegak syariat dan pendiri tarekat. Antara tulisannya yang menggambarkan sikap ini ialah bila beliau menulis di dalam kitab-kitabnya antara lain menyatakan bahawa orang yang hanya terpaku pada syariat tanpa hakikat adalah fasik (berdosa), dan orang-orang yang menjalankan tasawuf tetapi mengabaikan syariat adalah zindiq.
Beliau juga adalah seorang sufi yang berorientasikan aktivisme, yang bermaksud ajaran dan amalannya sentiasa mengakar kepada perubahan masyarakat, berbanding dengan sebahagian tarekat yang hanya mementingkan hablum min Allah dan urusan ukhrawi semata.
Fasa Kedua – Jihad
Hal ini tergambar di dalam fasa kedua kehidupannya yang mana bila beliau pulang lantas berkhidmat sebagai penasihat Sultan Ageng Tirtayasa (1651-1683) di Banten.
Namun ketika itu penjajah Belanda sedang melebarkan kekuasaannya di Pulau Jawa. Tidak lama kemudian berlakulah peperangan antara penjajah Belanda dan Sultan Ageng Tirtayasa yang mempertahankan Kesultanan Islam Banten pada tahun 1682. Sheikh Yusuf terus setia dengan Sultan Ageng berperang mempertahankan tanah air dari dijajah.
Malah ketika Sultan Ageng ditangkap, Sheikh Yusuf sendiri mengambilalih tanggungjawab memimpin umat menentang penjajah Belanda sehinggalah beliau akhirnya ditangkap akibat tipu helah. Kehebatan semangat juang Sheikh Yusuf menjadi pembakar semangat umat untuk terus menentang penjajah. Bagi mengelakkan Sheikh Yusuf terus menjadi obor perjuangan umat, penjajah Belanda terpaksa melaksanakan hukuman buang negeri kepada Sheikh Yusuf dan beberapa muridnya ke Sri Lanka pada tahun 1684.
Penglibatan Sheikh Yusuf di dalam aktiviti politik dan kenegaraan serta langsung memimpin umat berperang menentang penjajah Belanda adalah gambaran seorang sufi yang berorientasikan aktivisme, mengakar dalam masyarakat bagi melakukan perubahan-perubahan ke arah pembentukan masyarakat Islami.
Fasa Ketiga – Dakwah Bil Qalam
Selama 10 tahun Sheikh Yusuf berada di Sri Lanka telah digunakan sepenuhnya untuk berdakwah dengan menulis kitab-kitab dan membina jaringan dengan ulama-ulama India di samping mengembangkan ajaran Islam di kalangan penduduk setempat. Di samping itu beliau juga mengambil kesempatan mengajar para jemaah haji dari Alam Melayu yang singgah di Sri Lanka sebelum meneruskan perjalanan ke Mekah. Kitab-kitab dan pemikiran beliau tersebar luas melalui para jemaah haji ini.
Penjajah Belanda dapat mengesan akan perkembangan ini yang mana pengaruh Sheikh Yusuf yang cuba dipadam tetapi terus berkembang melalui kitab dan pemikirannya yang disebar oleh para jemaah haji yang mengunjungi beliau di Sri Lanka.
Lantas penjajah Belanda akhirnya membuat keputusan untuk membuang negeri kali kedua terhadap Sheikh Yusuf dan muridnya. Kali ini ke Cape Town, Afrika Selatan yang merupakan bukan laluan jemaah haji Alam Melayu.
Fasa Keempat – Dakwah Dan Tarbiah
Sheikh Yusuf dan muridnya dibuang ke Afrika Selatan pada 2 April 1694 dan terus mempergiatkan kerja dakwah dan tarbiah di kalangan penduduk Islam dan bukan Islam walau dalam keadaan yang serba-serbi kekurangan. Sebagai orang buangan politik pastinya semua pergerakkannya dipantau. Beliau juga terpaksa berhadapan dengan misionari Keristian yang ditaja oleh penjajah Belanda.
Namun demikian dengan kekuatan spiritual kesan dari amalan tasawufnya, Sheikh Yusuf melalui sa’atul ’usrah - saat getir tersebut dengan tenang dan tawakal yang begitu mantap kepada Allah ta’ala.
Walaupun Sheikh Yusuf hanya sempat hidup selama 6 tahun di Afrika Selatan sebelum meninggal dunia pada 22 Mei 1699, beliau telah berjaya memantapkan aqidah umat yang rata-ratanya masih menjadi hamba abdi, memperkenalkan tarekat sufi dan menyekat gerakan misionari Keristian yang cuba menggembangkan agama Keristian di kalangan penganut Islam. Beliau meninggal dunia ketika berumur 73 tahun yang mana seluruh kehidupannya adalah mengikut skima Ilahi yang tidak pernah beliau kesali, malah sentiasa pasrah dan redha atas ketentuanNya walau di mata manusia nampak begitu tragis dan menyedihkan. Semoga Allah ta’ala merahmatinya dan menerima seluruh amalannya dengan pahala yang melimpah ruah dan ditempatkan di kalangan para kekasih Allah ta’ala jua.
KRISIS DUNIA – HEGEMONI AMERIKA SYARIKAT DI AMBANG SENJA
Berita runtuhnya sistem kewangan Amerika Syarikat yang memaksa peruntukkan berjumlah US700 billion untuk menyelamatkan ekonominya adalah suatu berita yang mengejutkan dunia. Kuasa ekonomi dunia tersebut tiba-tiba menghadapi krisis yang sangat tenat yang besar kemungkinan boleh menggugat survival negara tersebut.
Sebagai orang Islam, hal ini bukanlah suatu yang mengejutkan. Ini adalah kerana SunnatuLlah pasti berlaku pada setiap masa dan ketikanya. Firman Allah ta’ala menyebutkan,
سُنَّةَ اللَّهِ الَّتِي قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلُ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ اللَّهِ تَبْدِيلًا
‘Sebagai suatu SunnatuLlah yang telah berlaku sejak dahulu, kamu sekali-kali tiada akan menemukan perubahan bagi sunnah Allah itu.” (al-Fath 48:23)
Hakikatnya hegemoni Amerika Syarikat sudah di ambang senja. Sebagaimana hebatnya Empayar Rom, Empayar Parsi, Sepanyol, Belanda, Portugis, Perancis, Rusia, Jerman dan Jepun, apabila tiba masanya akan runtuh juga. Begitu juga dengan Daulah Umayyah, Abbasiyyah, Khilafah Uthmaniyyah dan Kerajaan Andalusia, akan hancur juga akhirnya. Lama mana sesuatu pemerintahan boleh bertahan bergantung dengan prinsip keadilan yang diamalkan. Firman Allah selanjutnya menyebut,
وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ
“Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Huud 11:117)
وَتِلْكَ الأيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ
“Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu,kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran)” (Ali Imran 3:140)
POTENSI DUNIA ISLAM SEBAGAI KUASA BARU DUNIA
Di awal kertas ini telah dinyatakan betapa dunia akan berubah dari unipolar kepada multipolar. Kesatuan Eropah, China, India, Rusia bakal menjadi kuasa baru dunia.
Bagaimana dunia Islam? Melihatkan prestasi Organisation of Islamic Countries (OIC) sejak penubuhan sampai kini nampaknya langsung tidak memberangsangkan. OIC telah menjadi bahan lawak oleh banyak pihak kerana kegagalannya menangani masalah umat. Isu Palestin, Kashmir, Selatan Filipina, Selatan Thailand, Chechnya, Iraq, Afghanistan adalah sejumlah isu yang masih belum beres sehingga sekarang.
Namun demikian dunia Islam mengalami situasi paradoks. Bila melihatkan negara-negara Islam di segi kemajuan ekonomi, politik dan pembangunan, nampaknya serba-serbi terkebelakang. Tiada yang menarik untuk dicontohi. Sarat dengan episod perbalahan, peperangan, kemunduran, huru-hara dan macam-macam lagi citra yang menjelekkan.
Tetapi dalam masa yang sama, agama Islam adalah agama yang paling cepat berkembang di dunia pada masa ini. Di Barat kadar perkembangan Islam sangatlah cepat sehingga banduan di dalam penjara sekalipun berbondong-bondong menganut agama Islam. Ini fenomena yang berlaku di Amerika Syarikat. Dianggarkan seramai 20 juta penduduk di Barat adalah penganut Islam. Ini lah yang dikatakan paradoks. Islam berkembang pantas di negara Barat yang umumnya kerajaan Keristian yang anti Islam sedangkan penganutnya tidak mempunyai kuasa politik, ekonomi apalagi negara. Di sinilah betapa benarnya firman Allah ta’ala,
يُرِيدُونَ لِيُطْفِؤُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ
وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
“Mereka ingin hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir benci.” (As Saff 61:8)
Fenomena yang menarik juga ialah sudah bermunculan ramai tokoh-tokoh Islam yang berorientasikan sufi dari kalangan masyarakat Barat sendiri yang menjadi pelopor perkembangan Islam di Barat. Di antara mereka ialah Abdal Qadir as-Sufi (lahir 1930) yang menubuhkan Murabitun World Movement, Nuh Ha Mim Keller (lahir 1954), Abdal Hakim Murad (lahir 1960) dan Hamza Yusof (lahir 1960) yang menubuhkan Zaytuna Institute di Amerika Syarikat.
Malah Hamza Yusof pernah memberi suatu komentar yang menarik mengenai Islam di Barat . Katanya, “I would rather live as a Muslim in the West than in most of the Muslim countries, because I think the way Muslims are allowed to live in the West is closer to the Muslim way “
Satu lagi fenomena yang menarik ialah bermunculan begitu banyak Non Governmental Organisation (NGO) yang dipelopori oleh umat Islam di Barat yang melakukan kerja kebajikan dan kemanusiaan di seluruh dunia. Peranan NGO ini begitu berkesan sehinggakan telah menarik minat ramai penganut Islam di seluruh dunia. Di antara yang besar ialah Islamic Relief, Muslim Aid dan I.H.H.(Turki).
Berdasarkan fenomena ini potensi Dunia Islam menjadi kuasa baru dunia bukanlah suatu yang mustahil. Daya tarikan Islam sudah semakin kuat. Tokoh-tokoh baru Islam yang lahir di Barat semakin ramai, NGO-NGO juga semakin berperanan aktif di pentas dunia. Cuma yang masih belum digarap secara bersungguh ialah negara-negara yang mempunyai penduduk majoriti Islam yang menjadi anggota OIC.
MELAKAR STRATEGI DAKWAH MASA DEPAN
1. Perkasa Gerakan Sufi yang berorientasikan aktivisme: Menghimbau sejarah Sheikh Yusof yang mengambil pendekatan Sufi yang berorientasikan aktivisme, maka tokoh-tokoh seumpama itu harus diperkasakan dengan membina jaringan global agar mereka saling lengkap melengkapi di dalam memperhebat usaha dakwah. Sheikh Hamza Yusof umpamanya, ketika Amerika Syarikat melancarkan Perang melawan Teroris, beliau dipanggil ke White House oleh Presiden George Bush untuk mendapatkan pandangan beliau mengenai Islam dan Teroris. Beliau memilih untuk hadir dan memberi pandangannya secara berhikmah walaupun ramai di kalangan pemimpin Islam di Amerika Syarikat dan di Barat menganggapnya sebagai tipu helah Presiden Bush untuk memenangi hati umat Islam. Beliau menganggap ini adalah peluang dakwah yang tidak patut dilepaskan begitu saja.
Begitu juga kecenderungan di kalangan kelas menengah masyarakat Islam di seluruh dunia yang semakin ramai kembali serius menghayati agama Islam. Ramai yang memilih aliran Sufisme. Sekali lagi Sheikh Yusuf telah mengingatkan bahawa Sufisme harus berakhir dengan perubahan sosial bukan terasing dari masyarakat menyendiri mencari kasih Allah.
2. Perbanyakkan Seminar Memperingati Ulama Silam: Dalam konteks Alam Melayu, usaha untuk meningkatkan hubungan dan silaturrahim di kalangan ulama, intelektual, aktivis dakwah harus di perhebatkan. Salah satu cara yang bermanfaat ialah dengan menganjurkan secara bersama Seminar untuk memperingati Ulama seumpama yang sedang kita lakukan untuk Sheikh Yusuf kali ini. Angkatan Belia Islam sejak tahun 2000 telah aktif melaksanakan seminar seumpama ini saperti Seminar Memperingati Sheikh Daud Fatani di Selatan Thailand, Buya HAMKA di Maninjau, Padang, Bapak Natsir di Bukit Tinggi, Padang, Sheikh Abdul Rauf Singkel di Banda Acheh dan Sheikh Arsyad Banjari di Banjarmasin, Kalimantan. Wadah Pasca ABIM iaitu Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) pula mulai melangkah ke Turki dengan menganjurkan Seminar Memperingati Badiuzzaman Said Nursi, penyelamat aqidah bangsa Turki bersama dengan Hayrat Vakfi di Istanbul pada Mei 2008 yang lalu.
Dengan acara seminar seumpama ini hubungan silaturrahim sesama ulama, intelektual dan aktivis dakwah semakin rapat dan jaringan dakwah akan semakin melebar. Jika kita lihat sejarah Sheikh Yusuf, beliau sentiasa membina jaringan ulama di mana jua beliau berada. Malah ketika beliau berada di Sri Lanka, ulama-ulama dari India sentiasa mengunjungi beliau untuk bertukar pendapat mengenai dakwah.
3. Bina Jaringan NGO Islam seluruh dunia: Gerakan Dakwah yang begitu hebat di awal tahun 70an adalah antara lain sumbangan besar dana dari Timur Tengah melalui World Assembly of Muslim Youth (WAMY) yang beribupejabat di Riyadh, Saudi Arabia dan juga International Islamic Federation of Student Organisation (IIFSO) yang berpusat di Kuwait. Namun demikian setelah berlaku serangan September 11, 2001 ke atas World Trade Center, New York, maka segalanya berubah. WAMY dan IIFSO telah dituduh punca utama yang melahirkan ramai teroris. Maka segala sumbangan dana dari Timur Tengah semakin disekat dan dipantau sehingga menjejaskan banyak aktiviti dakwah di seluruh dunia.
Namun demikian satu inisiatif baru telah dibuat oleh NGO-NGO Islam yang prihatin. Pada 1 Mei 2005 bertempat di Bandaraya Istanbul Turki, satu Persidangan NGO-NGO Islam seDunia telah di adakan. Lebih daripada 200 pemimpin NGO Islam seluruh dunia telah hadir dan sepakat untuk menubuhkan satu badan yang dinamakan Union of NGO of the Islamic World (UNIW). UNIW bertujuan untuk membina jaringan NGO Islam di seluruh dunia dengan matlamat agar kesatuan dan kekuatan umat dapat dibina semula. UNIW juga bertujuan untuk menjadi pelengkap kepada OIC yang mewakili kerajaan, sedangkan UNIW mewakili Badan Bukan Kerajaan.
Jika abad ke 16/17 perkembangan Islam begitu hebat kerana ujud jaringan ulama sebagaimana yang tercatat dalam sejarah Sheikh Yusuf, maka inisiatif yang serupa harus diusahakan tetapi dengan pengubahsuaian mengikut perkembangan zaman.
4. Perhebat penyebaran maklumat melalui Internet dan Teknologi Maklumat: Fasa kedua sejarah kehidupan Sheikh Yusuf ialah fasa dakwah bil qalam yang bermaksud penyebaran ilmu melalui penulisan kitab. Untuk abad 21, suatu kesempatan yang terbaik untuk menyebarkan ilmu Islam dengan cepat dan canggih ialah melalui internet dan telekomunikasi maklumat. Usaha yang serius harus diberi perhatian mengenai hal ini. Terdapat banyak kes di mana ramai masyarakat Barat terpanggil untuk menganut agama Islam kerana mendapat maklumat melalui internet.
5. Pererat hubungan Ulama dan Umarak demi dakwah: Dalam suasana umat Islam semakin terdesak akibat dasar Islamophobia negara Barat, maka umat Islam tidak mampu untuk berantakkan sesama sendiri. Sebarang masalah dalaman umat harus diselesaikan secara hikmah tanpa melibatkan kuasa luar. Kita telah melihat betapa kerajaan Banten jatuh ke tangan penjajah Belanda akibat tindakan marah Sultan Haji terhadap ayahnya Sultan Ageng Tirtayasa .
Seringkali bila berlaku konflik antara ulama dan umarak, kekuatan umat terbelah dua sehingga memungkinkan musuh mengadu-domba. Sheikh Yusuf sentiasa setia kepada Sultan Ageng, sehingga ketika Sultan ditangkap penjajah Belanda, beliau menggantikan peranan Sultan untuk meneruskan gerakan anti kolonial.
KHATIMAH
Walaupun Sheikh Yusuf telah lama meninggalkan kita sejak 309 tahun yang lalu, sejarahnya amat relevan untuk dikaji bagi merencanakan strategi dakwah masa depan. Dunia Islam berpotensi untuk bangkit sebagai salah satu kuasa dunia dalam rangka dunia multipolar. Islam telah berkembang begitu cepat di Barat walau tanpa kuasa politik dan ekonomi. Malangnya pula negara-negara Islam masih dibelenggu kemunduran, perpecahan dan peperangan.
Namun demikian, dengan perkembangan teknologi maklumat dan ruang demokrasi semakin berkembang di negara-negara Islam di samping dana minyak sekiranya dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk perkembangan Islam, rasanya kita bukan lagi bermimpi di siang hari. Kita melihat perkembangan negara Turki yang cukup memberangsangkan di mana pemimpin berjiwa Islam kembali berperanan setelah lebih 70 tahun Islam cuba dihapuskan oleh Kemal Ataturk. Kita juga melihat perkembangan demokrasi yang semakin sihat di Indonesia. Majalah Newsweek bertarikh 20 Oktober 2008 telah memberikan gambaran yang cukup positif mengenai Indonesia. Antara sedutan dalam majalah tersebut yang menarik ialah bila mana ahli ekonomi Bank Dunia Wolfgang Fengler dan Bert Hofman memberi pandangan seperti berikut, “Indonesia has turned itself from one of the most centralized countries in the world into one of the more decentralized one”. Ini memberi maksud bahawa demokrasi di Indonesia telah mulai menunjukkan hasil yang mana suara rakyat diberikan hak yang sewajarnya. Ini bermakna Islam akan semakin diberi tempat yang selayaknya sebagaimana sejarah sebelum kedatangan penjajah Belanda.
Kepada Allah jua kita berserah diri.
Dibentangkan di Seminar Serantau Pemikiran Sheikh Yusuf al-Makassari pada 21 Oktober 2008 / 21 Syawal 1429 H
Bibliografi
Abu Hamid (1994) Syekh Yusuf Makassar: Seorang Ulama, Sufi dan Pejuang, Jakarta, Yayasan Obor Indonesia
Ahmad Azam Abdul Rahman (2008), Memimpin Belia Islam: Menangani Globalisasi & Hegemoni, Kuala Lumpur, Blue-T Publication
Azyumardi, MA (2004), Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII & XVIII, Jakarta, Prenada Media
Hamka (1994) Sejarah Umat Islam, Singapura, Pustaka Nasional Pte Ltd
Sri Mulyati (2004) Mengenal dan Memahami Tarekat-Tarekat Muktabarah di Indonesia, Jakarta, Prenada Media Group
[+/-] Baca selanjutnya...
[+/-] Hide Full Post...