Thursday, November 27, 2008

BILAKAH AGAKNYA PERPOLITIKKAN NEGARA AKAN MATANG?

Apabila John McCain mengunjungi Barack Obama buat pertama kali di White House setelah bertempur hebat di gelanggang pilihanraya Presiden Amerika Syarikat yang ke 44 pada 17 November 2008 yang lalu, saya begitu kagum dengan kematangan mereka berpolitik. Berbulan-bulan lamanya mereka bertempur untuk memenangi hati pengundi, menggunakan pelbagai strategi yang pernah difikirkan, serang-menyerang mengenai pendirian politik masing-masing. Kadang-kadang terlajak menyentuh hal peribadi, ras dan agama. Akhirnya bila pengundi telah membuat keputusan, walaupun mengejutkan banyak pihak kerana terpilihnya seorang Presiden yang berdarah campuran kulit putih dan hitam, kedua mereka segera melupakan peristiwa pertarungan sengit tersebut dan boleh duduk semeja bagi membincangkan ‘What’s next for the nation’. Malah ketika wartawan menanyakan apakah McCain akan membantu pentadbiran Obama, dengan pantas beliau menjawab, ‘Sudah pasti !’

Saya termanggu-manggu sejenak bila membaca berita tersebut dan mulai merenung akan realiti yang berlaku di negara tercinta, Malaysia. Apakah mungkin Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang duduk semeja secara terbuka membincangkan masa depan negara pasca pilihanraya? Apakah mungkin Ketua Pembangkang selalu dirujuk sesuai dengan peranannya dalam konteks ‘check and balance’ di dalam sistem demokrasi?

Apakah mungkin ini semua boleh berlaku di Malaysia?

Rasanya berdasarkan sejarah setakat ini, politik Malaysia belum lagi sampai ke tahap kematangan berpolitik di Barat. Sejarahnya hingga kini, Parti Pembangkang walaupun sah di segi sistem demokrasi berParlimen, sentiasa dianggap dan diperlakukan sebagai musuh yang perlu dihancurkan di setiap kesempatan yang ada. Negeri yang dikuasai Pembangkang sentiasa dianaktirikan, dipulau dan diperlakukan apa saja bagi melemahkannya agar di dalam pilihanraya akan datang negeri tersebut dapat dirampas kembali. Sebagai tindak balas pula, Parti Pembangkang akan membangkang apa jua isu yang dibawa Parti Pemerintah kerana premisnya sama iaitu demi survival Parti, bukan survival negara atau ummah.

Saya teringat pada tahun 1993, Ketua Pembangkang New Zealand ketika itu, Helen Clark (kemudiannya beliau berjaya menjadi Perdana Menteri sehingga baru baru ini tewas dan kembali menjadi Pembangkang) telah melawat pejabat ABIM bagi membincangkan mengenai hubungan New Zealand dengan NGO-NGO di Malaysia. Apa yang menarik ialah lawatan beliau diatur oleh Kedutaan New Zealand di Malaysia dan beliau dilayan saperti Menteri Kabinet walaupun status beliau adalah Ketua Pembangkang. Lawatan beliau pula adalah untuk kepentingan negara New Zealand, bukan untuk kepentingan Parti, apalagi untuk menjatuhkan Parti Pemerintah. Saya dan Fan Yew Teng yang ketika itu menjadi Pengarah Eksekutif di Center for Peace Initiatives (CENPEACE), membuat komen, bila agaknya politik Malaysia boleh sampai ke tahap kematangan politik sedemikian rupa.

Mungkinkah bila sistem dua parti, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat menjadi realiti, baru kematangan politik akan berlaku? Mungkinkah? Emmmmmm…………

No comments: