Thursday, November 20, 2008

DARUL QURAN BERPOTENSI MELAHIRKAN PENDAKWAH GLOBAL

Semalam, Selasa 18 November 2008, rombongan Yayasan Jaringan Global Masadepan(Future Global Network Foundation –FGN) telah membuat kunjungan ringkas ke Kompleks Darul Quran di Kuala Kubu Bharu. Tujuannya ialah untuk mendapat maklumat lanjut mengenai program Tahfiz yang merupakan suatu program yang semakin popular di kalangan Masyarakat Melayu di negara ini. Lawatan ini penting kerana FGN turut terlibat di dalam usaha untuk membangunkan projek Madinah al-Nur sebuah Kompleks Islam, Dakwah dan Tarbiah Serantau di Kg.Sg.Chinchin, Gombak yang masih dalam fasa perancangan dan pengumpulan dana.

Ustaz Azhari Othman, Abdul Muin Salleh dan Mohd Hanafi Yusoff telah sudi memberikan taklimat mengenai program di Darul Quran JAKIM. Di dalam taklimat telah dinyatakan bahawa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ingin melihat satu hari nanti Darul Quran menjadi sebuah Universiti Tahfiz Pertama di Asia Tenggara. Impian ini ada asasnya kerana buat masa ini Darul Quran telah mendidik pelajar-pelajar dari Kemboja,Thailand,Brunei,Singapura dan Indonesia.

Buat masa ini Darul Quran menawarkan 3 kursus iaitu Diploma Tahfiz al-Quran, Sijil Tahfiz al-Quran/UIAM dan Sijil Tinggi Tarannum al-Quran. Seramai 750 orang pelajar sedang mengikuti kursus-kursus ini.

ORIENTASI DARUL QURAN HARUS BERSIFAT GLOBAL

Saya memberikan pendapat bahawa Darul Quran berpotensi untuk melahirkan para pendakwah global yang bakal menjadikan Malaysia sebagai pusat melahirkan ulama dan pendakwah di seluruh dunia. Justeru itu selain dari menguasai ilmu asas Al-Quran,i lmu kepimpinan , pembangunan komuniti, perbandingan agama dan penguasaan Bahasa Asing adalah sangat penting. Saya berhujah bahawa dalam masa 5 – 10 tahun nanti, graduan Darul Quran akan begitu ramai. Kerajaan tidak akan mampu untuk menawarkan pekerjaan di Jabatan Agama khususnya. Begitu juga jawatan Imam di Masjid di seluruh negara akan sampai ketahap optimum. Jadi sekiranya pelajar tidak dipersiapkan untuk berperanan di peringkat global, kita bimbang para graduan nanti menganggur atau melakukan pekerjaan yang tidak bersesuaian.

Juga di samping itu, peranan Malaysia amatlah diperlukan di dalam isu pembangunan umat Islam serantau seperti di Kemboja, Thailand, Filipina. Alangkah baiknya sekira graduan Darul Quran yang terlatih di bidang pembangunan komuniti dapat dihantar bertugas seperti Peace Corps tajaan Amerika Syarikat yang bertujuan untuk menggembangkan faham demokrasi melalui kerja kesukarelaan. Graduan Darul Quran bukan sahaja seorang hafiz dan imam solat, tetapi juga adalah penggerak masyarakat, agen perubahan. Dengan cara ini, citra Malaysia sebagai negara Islam akan lebih menyerlah dengan peranan para pendakwah muda ini.

Malah kalau perlu, pengajian harus ditambah setahun lagi bagi melatih ilmu-ilmu kemasyarakatan, ilmu perbandingan agama dan bahasa asing, khususnya Bahasa Inggeris. Memang cadangan ini nampak radikal, tetapi saya yakin sekiranya semua pihak sanggup berganding bahu, usaha murni ini boleh dijayakan. Malah saya menawarkan pengalaman dan wilayah pengaruh yang ada di dalam Union of NGOs of the Islamic World (UNIW) yang berpusat di Turki untuk membantu merealisasikan cita-cita ini.

LAMBAKAN GRADUAN AGAMA,MENAFAATKAN UNTUK DAKWAH SERANTAU

Kemudian, saya juga prihatin terhadap isu lambakan graduan jurusan agama dalam dan luar negara yang jumlahnya semakin ramai setiap tahun. Di Universiti Al-Azhar sahaja pada setiap masa, jumlahnya sudah menjangkau 5 ribu orang. Di samping itu setiap negeri sudah menubuhkan Kolej Agama dan Maahad Tahfiz masing-masing. Ada yang menubuhkan Kolej Universiti yang nantinya akan dinaiktaraf menjadi sebuah Universiti. Sekiranya tiada perancangan strategik dibuat dari sekarang mengenai masa depan graduan agama ini, kebimbangan saya ialah akan bercambah pula masalah-masalah baru seperti ajaran sesat, kumpulan agama yang berbagai orientasi, persaingan merebut pengaruh sesama sendiri dan lain-lain .

Saya mencadangkan agar graduan agama ini diberi ilmu tambahan dalam methodologi dakwah untuk serantau. Mereka harus didedahkan dengan ilmu perbandingan agama. Kalau nak berdakwah di Thailand, ajaran Budda harus dikuasai, kalau di Filipina, ajaran Keristian pula. Di samping itu ilmu kepimpinan dan pembangunan komuniti harus diberi pendedahan.

PENGALAMAN GRUP PENGKAJI TAMADUN DUNIA (GPTD) HARUS DI KAJI

Saya yakin ide ini boleh dilaksanakan kerana ianya telah pun dilaksanakan di dalam GPTD yang telah diasaskan beberapa tahun yang lalu. Malah pada waktu ini, GPTD telah menghantar 3 misi dakwah, satu kumpulan enam orang sekarang berada di Sri Lanka, seorang di Kepulauan Cocos, Australia dan seorang sedang menguasai Bahasa Turki di Istanbul.

Bayangkan sekiranya ide ini diangkat menjadi projek sukarelawan dakwah negara yang mana misinya menggembangkan dakwah di peringkat serantau, nama Malaysia akan menjadi terkenal sebagai pusat penggembangan dakwah serantau. Para pendakwah muda bertebaran menyebarkan ilmu Islam. Akan ada yang terus bermastautin kerana berkahwin orang tempatan, akan ada nanti yang akhirnya menjadi peniaga, ada pula yang menjadi pemimpin tempatan, dan macam-macam lagi kemungkinan. Nantinya akan ujud komuniti Melayu di merata tempat sebagaimana komuniti Cina dan India yang ada di merata dunia.

Apakah saya hanya bermimpi?

1 comment:

Unknown said...

Cadangan dan pandangan itu berasas dan membina tamadun unmah