Tuesday, November 18, 2008

BANGSA ROHINGYA – BANGSA TANPA NEGARA MEMOHON PENGERTIAN DAN SIMPATI

Semalam saya mengadakan satu pertemuan dengan para ulama Rohingya yang berada di Malaysia. Mereka telah menubuhkan Majlis Ulama Rohingya (MUR) yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman agama masyarakat Rohingya yang jumlahnya sekitar 15 ribu jiwa di seluruh negara.

Interaksi saya dengan masyarakat Rohingya bermula sejak mereka dipaksa meninggalkan Burma oleh Rejim Tentera pada tahun 1992. Kesalahan mereka ialah kerana agama dan cara hidup mereka berlainan dengan majoriti penduduk Burma yang beragama Buddha. Rejim Tentera Burma (sekarang telah ditukar nama kepada Myanmar) tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyat Burma. Malah menuduh mereka sebagai rakyat Bangladesh yang memasuki Burma secara haram. Mereka telah dihalau begitu saja tanpa peri kemanusiaan. Ramai yang sengaja dibunuh sebagai strategi menakutkan masyarakat tersebut supaya segera meninggalkan Burma.

Menuntut Kesabaran yang Tinggi

Ketika itu sebagai pemimpin ABIM, saya telah mengambil peranan untuk membela nasib masyarakat Rohingya dengan menyuarakan masalah yang mereka hadapi dan juga menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan kemandirian mereka di negara ini sebagai pendatang yang tidak diiktiraf sebagai pelarian. Bahasa mudahnya mereka ini adalah pendatang haram yang tidak mempunyai negara. Burma tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegaranya. Ya, tidak punya negara. Di sinilah dilemma kerajaan Malaysia. Kalau ditangkap, mahu dihantar ke mana? Sekiranya mereka mempunyai negara, mereka boleh diiktiraf sebagai pelarian yang mana haknya dijamin oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Begitulah nasib pendatang Rohingya yang terumbang-ambing sejak 1992 iaitu sudah 16 tahun. Apabila ditangkap kerana tidak mempunyai dokumen sah, akan dipenjarakan, kemudian dihantar ke Thailand. Di Thailand pula nasib serupa yang menimpa. Bagi mereka yang lari ke Bangladesh, hidup mereka juga susah walau mendapat simpati yang lebih kerana faktor sejarah. Tetapi Bangladesh adalah negara miskin yang tidak mampu untuk menganggung begitu ramai pendatang.

Akhirnya dalam keadaan yang tidak menentukan ini, masyarakat Rohingya berada dalam keadaan yang amat tertekan. Mereka tidak boleh bekerja untuk menyara diri dan keluarga, anak-anak mereka tidak boleh bersekolah. Cuba bayangkan macamana mereka boleh hidup? Itu sebab ramai yang meminta sedekah. Ada juga yang berkerja secara haram. Ramai juga majikan yang mengambil kesempatan atas kesusahan ini dengan membayar gaji yang terlalu rendah dan menindas. Lebih malang lagi, mereka sentiasa di dalam ketakutan setiap masa. Takut ditangkap polis, RELA dan Imigeresen. Kadang-kadang, bapa ditangkap, anak isteri terbiar. Berbulan-bulan lamanya dipenjara. Sementara itu, siapa yang nak menampung sara hidup keluarga tersebut? Begitulah sekelumit masalah yang dihadapi oleh masyarakat yang ini.

Atas kesedaran inilah saya mencuba untuk membantu mereka . Pertama atas dasar sesama Islam, kedua atas dasar kemanuasiaan. Namun demikian, menjaga masyarakat Rohingya ini bukanlah mudah. Perlu kesabaran yang tinggi. Oleh kerana pengalaman pahit yang mereka lalui, mereka tidak mempercayai sesiapa pun. Hatta sesama sendiri sentiasa curiga-mencurigai. Bagi yang bernasib baik, punya keluarga diluar negara yang membantu, hanya mementingkan diri sendiri. Sangat susah untuk bekerjasama. Kalau yang pandai sikit, masing-masing mahu menjadi pemimpin. Ada yang sanggup bekerja dengan siapa saja asal mendapat duit. Bagi yang dah ada ijazah, minatnya hanya satu iaitu nak bermastautin ke negara Barat saperti Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain. Soal membangun dan membela masyarakat Rohingya yang daif, soal nombor dua.

Rohingya Information Centre – berebut menjadi ketua

Saya cuba satukan mereka dengan menubuhkan Rohingya Information Centre di bawah kelolaan ABIM. Hanya bertahan selama 8 tahun. Kemudian berlaku rampasan kuasa di mana Presidennya Sawmeeullah (seorang lulusan Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang Sarjana Undang-Undang Perbandingan yang pernah bekerja dengan ABIM) dipecat ketika Hari Raya ketiga tahun 2006. Isunya kerana ada seorang pemimpin baru yang kononnya lebih baik dari Sawmeeullah. Akibatnya, RIC hidup segan mati tak mahu, kerana tidak lama selepas itu, Presiden yang baru pula menghilangkan diri setelah tembelangnya diketahui umum.

Jadi pertemuan saya dengan para Ulama Rohingya ini yang katanya berjumlah 300 orang dari 15000 pendatang adalah dalam rangka untuk meningkatkan kualiti kefahaman Islam. Mudah-mudahan masyarakat Rohingya akan lebih Islamik di dalam menghadapi apa jua ujian daripada Allah ta’ala.

No comments: