Tuesday, October 6, 2009

ANEKDOT MUSAFIR

(Ruangan santai memaparkan pelbagai peristiwa yang menarik ketika bermusafir di bumi Allah ini)

PENAMPILAN PETRONAS HARUS LEBIH AGRESIF DI SUDAN!

Bulan Julai lalu saya melawat Khartoum dalam rangka mengerat silaturrahim dengan NGO-NGO di Sudan. Ini sebahagian dari kerja saya sebagai Pengerusi, Suruhanjaya Sosial, Kemanusiaan dan Solidariti, Union of NGOs of the Islamic World (UNIW) yang beribupejabat di Istanbul, Turki.

Bandar Khartoum sudah banyak berubah. Ternyata, hasil minyak Sudan telah digunakan sebaiknya untuk membangun infra struktur Sudan yang sebelum ini amat jauh ketinggalan. Baru dua tahun saya tidak ke sini, perubahan yang berlaku amat ketara sekali. Jalanraya dan bangunan baru tersergam indah. Kalau dulu, debu berterbangan sudah begitu lumrah. Tapi kali ini, keadaan sudah jauh begitu baik.

PETRONAS banyak memainkan peranan di dalam industri minyak di Sudan. Namun Negara China nampak lebih agresif di dalam menampakkan kehadirannya di Sudan. Beberapa jambatan telah dibina merentasi Sungai Nil. Begitu juga beberapa bangunan yang penting dibina sebagai hadiah daripada Kerajaan China kepada Sudan. Kesannya saya dapati, rakyat Negara China diberikan layanan begitu istimewa oleh Kerajaan Sudan.

Adapun kehadiran PETRONAS, selain bangunan ibupejabat yang tersergam indah, selainnya tidaklah begitu ketara. Apabila saya tanyakan salah seorang pegawai tinggi PETRONAS yang baru pulang beraya baru ni, katanya sumbangan PETRONAS adalah disegi pembangunan sumber manusia iaitu memberi biasiswa pendidikan kepada pelajar Sudan yang belajar di Malaysia, perpustakaan bergerak dan bantuan membaiki sekolah serta yang berkaitan dengan pendidikan.

Namun, pada fikiran saya, perlu ada juga beberapa projek fizikal yang perlu di buat untuk menampakkan kepada rakyat akan sumbangan PETRONAS kepada pembangunan Sudan. “Public Perception” kadang-kadang banyak membantu ketika berlaku krisis. Alangkah baiknya PETRONAS membuat kompleks pendidikan sebagaimana Maktab Rendah Sains MARA di beberapa lokasi strategik terutama di wilayah penggalian minyak di Selatan Sudan. Mungkin Munazzamat Dakwah atau mana-mana badan seumpamanya boleh dilibatkan. Ini hanya lontaran fikiran saja. Mungkin PETRONAS dah ada strategi jangka panjang yang saya tak tahu. Apa yang penting, rakyat Sudan nampak dan merasai akan sumbangan hasil minyak PETRONAS dikembalikan kepada mereka. Dalam hal ini Negara China nampaknya lebih ke hadapan.

Program diatur dengan begitu padat sekali. Banyak pertemuan di buat sampai larut malam. Kedutaan Malaysia dan kawan-kawan di PETRONAS langsung tak dapat dihubungi. Begitulah layanan orang Sudan yang terkenal dengan memuliakan tetamu. Penghormatan mereka kepada Malaysia amat tinggi. Rata-ratanya pemimpin NGO yang di temui, ingin menjadikan Malaysia sebagai model pembangunan mereka.

MAKAN MALAM DI RESTORAN CANVORE

Pada malam terakhir saya di Khartoum, saya di bawa untuk makan malam di Canvore Restaurant, sebuah rangkaian restoran milik usahawan Kenya. Restoran ini terletak di pinggir Sungai Nil dan berhadapan Kompleks PETRONAS yang menempatkan ibupejabat dan kediaman pegawainya. Kompleks yang tersergam indah, apalagi jika dilihat pada waktu malam.

BENDERA DI JATUHKAN TANDA DAH KENYANG ATAU TAK MAHU HIDANGAN YANG DI SAJI

Restoran ini sangat terkenal dikalangan para pelancong asing kerana menyediakan semua jenis daging yang di panggang secara tradisional. Semua jenis daging akan di panggang, kemudian dihidangkan secara ‘course by course’ bersama dengan nasi dan sos pelbagai rasa. Sebelum hidangan disediakan, pelayan mengalu-alukan kehadiran kami dan setiap orang diberikan sebuah bendera dan set nasi serta sos pelbagai rasa. Pelayan tersebut menyatakan bahawa setiap jenis daging akan di bakar satu demi satu, dan beliau akan memaklumkan daging apa yang sedang dihidangkan. Hidangan akan diberikan satu demi satu tanpa henti sehinggalah bila pengunjung sudah kenyang. Apabila sudah kenyang, para pengunjung harus memberi isyarat berhenti dengan menjatuhkan bendera di atas meja. Bila ini dilihat oleh para pelayan, maka hidangan akan diberhentikan. Atau jika ada mana-mana hidangan daging yang tidak di sukai, para pengunjung boleh juga memberi isyarat dengan menjatuhkan bendera di meja.

Sebaik saja selesai penerangan tersebut, maka mulailah sajian pertama . Pelayan memaklumkan, ‘Our first serving is chicken, please enjoy your meal‘ Maka kami pun mulailah makan ayam yang dibakar bersama dengan sos dan nasi. Bila habis saja, sajian pertama, maka pelayan akan membawa sajian seterusnya dari daging lembu, rusa, biri-biri, unta, burung unta atau ‘ostrich’. Setiap kali bila sajian di hidangkan, pelayan akan mengingatkan, ‘if you wish to stop or do not like the serving, kindly tell us by putting down your flag! ‘

NYARIS MAKAN DAGING BUAYA !

Rombongan kami setakat ini, nampaknya tiada yang menunjukkan tanda-tanda nak berhenti. Ya, makanan daging panggang ni memang sedap dan menyelerakan. Bagi saya daging unta dan ‘ostrich’ adalah yang istimewa bagi saya pada malam tu. Kemudian, bila sajian seterusnya datang, bila pelayan memaklumkan, Please enjoy the next serving, crocodile meat’, saya hampir melompat! Terkejut! Apa? ada daging buaya? Halal ke? Itulah reaksi spontan saya ketika itu.

Sekejap itu juga saya terus menjatuhkan bendera di hadapan saya sebagai tanda tak mahu. Saya tanyakan kepada pegawai dari Sudan, Muhammad al- Fateh, boleh makan buaya ke? Dia menjawab , Mazhab kami membolehkan makan buaya. Sambil melahap daging buaya, dia mengatakan, ’it looks like chicken, but taste like fish’. Aduuuuh! loya tekak saya dibuatnya. Selera terus hilang. Bendera dah tak naik lagi !

Balik di Malaysia, saya tanyakan mengenai hal makan buaya kepada Professor Sudan yang mengajar di Universiti Islam Antarabangsa. Katanya, makan buaya tu adalah amalan terutama orang Sudan yang tinggal di Selatan Sudan. Umumnya orang Sudan dah tak makan buaya walaupun mungkin ada ulama yang menafsirkan sebaliknya.

Bila saya ceritakan pengalaman ini kepada seorang pegawai PETRONAS di Sudan yang balik beraya di Malaysia baru-baru ini, dia begitu terkejut. Katanya, `Cik Azam, kami di PETRONAS tak pergi makan di Restoran Canvore tu!'

No comments: