Ketika masuk ke bilik interogasi, barulah gari dan cermin mata hitam saya dibuka. Ingin ditegaskan di sini bahawa cermin mata hitam yang dipakai telah dicat dengan warna hitam. Apa pun tak nampak. Masuk saja ke bilik tersebut, tercegat 3 orang pegawai yang tidak langsung memperkenalkan diri mereka. Mereka bertiga duduk di belakang meja panjang, dan saya disuruh duduk di kerusi plastik jauh dari meja. Bilik tersebut sangat dingin kerana penghawa dingin dipasang dengan kuat.
Ketua Interogasi, saya mengenalinya kerana dialah yang menangkap saya di Sekretariat ABIM, Taman Sri Rampai. Beberapa hari kemudian baru saya tahu namanya, Deputy Superintendent Police (DSP) Shukri. Saya pasti dia orang Kelantan kerana loghatnya pekat. Seorang lagi di kirinya, berpangkat Assistant Superintendent Police (ASP) saya agak berpendidikan jurusan Undang-Undang dan sebelah kanannya berpangkat Chief Inspector. Namanya sampai ke sudah saya tak tahu.
Sepanjang siri interogasi berjalan, masing-masing menjalankan peranan yang berbeza. Seorang berlagak sangat garang dan melayan saya sebagai penjenayah, seorang lagi selalu membuat provokasi, dan ketuanya sentiasa bersikap lembut dan berdiplomasi. Saya agak strategi ini adalah untuk menggelirukan OKT.
Sesi interogasi berjalan tidak mengikut masa. Kadang-kadang tengah malam, tiba-tiba dipanggil. Pasukan yang membuat interogasi juga kadang-kadang berbeza. Pernah sekali salah seorang daripadanya saya kenal sungguh kerana pernah bertemu ketika demonstrasi di Dataran Merdeka pada 20 September yang lalu. Wajah dan perwatakannya macam orang ABIM. Dia sentiasa mengikuti saya ke mana jua saya pergi, bertindak seolah-olah salah seorang penyokong Reformasi ketika demonstrasi sampai ke kemuncaknya di Dataran Merdeka.
Ketika bertemu di bilik interogasi, saya terkejut bertemunya. Dia hanya senyum lebar. ‘Tugas saya mengekori Cik Azam ketika itu’, katanya selamba. Namanya Cif Inspektor Amran.
Bab Polis Cawangan Khas mengekori suspek memang menarik. Saya teringat waktu pagi 21 September, sebelum penangkapan dibuat, saya lihat beberapa orang lelaki yang tidak dikenali datang ke kaunter pejabat. Saya sempat bertanya salah seorang darinya, ‘Dari mana Sheikh?’ Lantas dijawabnya, ‘Dari ABIM Pahang’. Saya pun terus berlalu tanpa terlintas bahawa mereka itu Special Branch. Mungkin mereka ini ahli baru yang nak mendaftar. Begitulah sangkaan baik saya ketika itu.
Hari pertama, sesi berjalan lancar kerana mereka ingin tahu apa yang saya buat sejak Anwar dipecat pada 2 September sehinggalah tertangkap pada 21 September 1998. Mereka hanya mencatat apa yang saya sebut dengan sekali sekala membuat provokasi agar saya mendedahkan segala-galanya. Mereka ingin tahu siapa-siapa yang terlibat dalam perancangan dan strategi Reformasi.
Sebelum bermula, ketika saya baru masuk bilik interogasi, pegawai berpangkat ASP menunjukkan ‘garang’nya. Dia minta saya berdiri di sepanjang interogasi berlangsung. DSP Shukri cepat membantah dan menegaskan agar saya harus dilayan dengan penuh hormat. Beliau minta saya duduk di kerusi. ASP tersebut terpaksa akur dengan protes. Sikapnya terhadap saya amat negatif dan meyakitkan hati. Soalan-soalannya terhadap saya semasa interogasi penuh dengan tuduhan-tuduhan sinis seolah-olah saya adalah seorang penjenayah yang terlibat di dalam aksi subversif yang mengancam keselamatan negara. DSP Shukri pula pandai mengambil hati saya dengan soalan-soalan yang penuh berhemah dan beradab.
Bila mengingatkan episod ini semula, terasa pula mereka ini seolah-olah berlakon, agar saya terus memberi kerjasama dengan memberi maklumat-maklumat penting dengan sukarela.
Sebelum ditangkap, selalu juga saya mendengar cerita akan siri penyiksaan yang dilakukan polis terhadap OKT untuk mendapatkan pengakuan bersalah dan maklumat penting. Cerita seperti duduk atas bonggol ais, disebat dengan hos getah, disuruh berbogel di bilik berhawa dingin yang dipasang kuat dan bermacam lagi kisah yang menggerunkan. Malah selepas keluar penjara, cerita yang saya terima dari rakan–rakan OKT juga bermacam-macam. Saya bersyukur kerana cerita-cerita gerun apalagi yang mengaibkan tidak berlaku pada saya. Alhamdulillah. Cuma tidak dinafikan tekanan mental akibat siri interogasi yang intensif tanpa mengira masa memang dideritai. Penderaan fizikal memang tidak berlaku.
Memasuki hari kedua, ketiga dan seterusnya, sesi interogasi menjadi bertambah payah dan intensif. Banyak maklumat yang saya beri pada hari pertama dipersoalkan kesahihannya oleh SB. Mereka telah membandingkan maklumat saya dengan Ustaz Mokhtar, Halim dan Saharuddin. ‘Awak jangan
Salah satu taktik SB untuk memujuk OKT supaya bekerjasama dengan mereka ialah dengan memberi tawaran kemudahan asas peribadi. Pendekatan ‘carrot and stick’ sentiasa digunakan. Sekiranya OKT memberi kerjasama yang baik, beberapa keistimewaan akan diberi. Pengawal yang mengiringi saya antara sel penjara dan bilik interogasi sentiasa membisikkan ke telinga saya, ‘Cik Azam, mintalah bantal, selipar, sejadah dan al-Quran pada SB tu!‘ ‘Dia akan bagi punya’ katanya lagi. ‘
Esoknya bila pulang dari bilik interogasi, saya terkejut kerana di atas tempat tidur terletak senashkah al-Quran, dan selipar. Saya bingung kerana saya tak pernah membuat sebarang permohonan pun. Namun jauh di sudut hati, bersyukur yang amat kerana al-Quran sudah berada di tangan. Bolehlah menelaah ayat-ayat suci bagi menambah kekuatan spiritual bagi menghadapi ujian berat ini. Terfikir juga di benak saya, apakah saya sudah dianggap memberi kerjasama yang baik untuk mendapatkan keperluan asas ini? Entah lah, saya jadi bingung.
Begitu juga ketika sesi interogasi menjadi tegang, terutama bila saya mempertahankan diri saya dari tuduhan liar berunsur provokatif, tiba-tiba DSP Shukri memberhentikan sesi. Dia tanya saya nak makan apa? Lantas saya berkata dengan nada menduga,’Kalau ada Koey teow baik juga Tuan!’ ‘Minum? ‘tanyanya balik, ‘Teh tarik’ jawab saya pantas. Lantas beliau mengarahkan Cif Inspektor untuk membelinya di Restoran berdekatan. Saya ingat dia ingin mempermainkan saya. Tapi memang benar, dia laksanakan apa yang saya minta. Hati saya bukan main seronok bila ‘melahap’ koey teow panas dan teh tarik panas. Dah lama tak dapat makan sedap macam ni. Makanan lazim di penjara dah tak larat nak makan.
Sambil makan, pihak SB sentiasa mengambil peluang untuk mendapatkan maklumat tambahan dari saya.
6 comments:
assalammualaikum w.r.t...
Sy tunggu siri seterusnya...
Sdr.Alif, Nampaknya kena tunggu saya balik Jakarta Selasa depan.Harap dapat ilham dari Jakarta dalam hal Reformasi.
Salam,
Saya insaf akan pengorbanan para pejuang dalam menegakkan kebenaran, sehingga jasad terkurung. Namun jiwa da minda tidak bisa terkurung! Elok kisah perjuangan dibukukan.
Dr.Awang,
Terima kasih atas cadangan tu. Pengalaman ni sedikit aje. Cuma nak ceritakan sikit sumbangan ABIM di awal Reformasi. Mudah mudahan ada menafaatnya dalam meletakkan sejarah yang adil dalam peranan ABIM didalam Gerakan Awal Reformasi.
Siri sterusnye tuan haji
Siri sterusnye tuan haji
Post a Comment