21 SEPTEMBER 1998
SIRI 1
Hari ini genap 12 tahun saya dan teman-teman ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau lebih dikenali sebagai ISA. Kami dituduh mencetuskan huru-hara dan mengganggu ketenteraman awam. Akta ISA ini membolehkan pihak polis menahan sesiapa saja dan ditahan maksima selama 60 hari tanpa dibicara, semata-mata kerana disyaki terlibat dalam kegiatan yang dianggap subversif.
Kami ditahan di pejabat ABIM, ketika itu di Taman Sri Rampai, Setapak sekitar jam 12.30 tengah hari ketika sedang bermesyuarat dengan beberapa pemimpin NGO lain. Perbincangan memfokus kepada post-mortem demonstrasi besar-besaran pada 20 September di Dataran Merdeka dan juga implikasi penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan Roslan Kasim pada malam tersebut. (Sekadar untuk refleksi ingatan, demonstrasi besar-besaran bermula di Masjid Negara dan kemudiannya berarak dan berkumpul di Dataran Merdeka bagi menuntut reformasi akibat daripada pemecatan DSAI sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pemecatan beliau dilihat sebagai tindakan otokratik Dr. Mahathir dalam pemerintahan negara).
Hadir ketika itu ialah Ustaz Mokhtar Redzuan, Timbalan Presiden, Abdul Halim Ismail, Naib Presiden dan Shaharuddin Badaruddin, Setiausaha Agung. Pemimpin NGO lain yang turut hadir ialah Saari Sungib, Presiden JIM dan Mustafa Kamal Maulud, Presiden URUS.
Sedang masing-masing memberi penumpuan penuh pada perbincangan, tiba-tiba beberapa orang pegawai polis berpakaian preman telah menyerbu bilik mesyuarat dan meminta kami menunjukkan kad pengenalan. Saya tidak menjangka polis akan bertindak begitu cepat untuk menahan kami. Memang dalam beberapa hari sebelum ini telah ada desas-desus bahawa pemimpin ABIM akan ditahan di bawah ISA. Saya tidak menghiraukannya kerana yakin bahawa ABIM hanya menyatakan protes. Ternyata salah jangkaan saya.
Saya menjerit kepada polis Cawangan Khas, ‘kalau ye pun, buka lah kasut tu’. Pejabat ABIM memang mempunyai polisi tidak berkasut di dalam pejabat. Saya nampak mereka tergamam seketika, namun selepas itu tidak mempedulikan jeritan saya. Ternyata secara jelas bahawa polis hanya menghendaki pemimpin ABIM sahaja. Saya, Ustaz Mokhtar, Halim dan Shaharuddin ditangkap. Manakala Saari Sungip dan Mustafa Kamal Maulud tidak diganggu.
Keadaan pejabat menjadi agak kelam kabut. Ada staf yang lesap melarikan diri, ada pula yang menangis tergamam. Tapi ada juga yang marah dan bertindak berani melawan polis. Namun terus terdiam apabila digertak polis untuk ditangkap.
Tangkapan kami berempat berlaku dengan cukup pantas. Kecuali saya, semua telah dibawa pulang ke rumah masing-masing untuk digelidah bagi mendapatkan bukti sebelum dibawa ke balai polis. Saya tidak dibawa ke rumah kerana semua bahan yang diperlukan ada di pejabat.Saya dibawa masuk ke bilik pejabat Presiden. Seluruh bilik digelidah. Beberapa buku dirampas. Hingga sekarang buku tersebut tidak dipulangkan. Saya terkejut melihat Cif Inspektor Suhaili yang selalu berhubung dengan saya. Dia memohon maaf kerana terpaksa menjalankan tugas. Saya kata padanya,’ kalau ye pun beritahulah dulu. Saya takkan lari.’ Dia menjawab, ‘Saya pun baru tahu yang nak ditangkap tu saudara’. Saya memang marah ketika itu, kerana selama ini saya sentiasa memberi kerjasama yang baik dengan pihak polis. Bagi saya, ABIM ini badan yang sah di sisi undang-undang. Tidak ada yang perlu ditakutkan.
Lantas saya digari dan dibawa dengan kereta Wira ke Balai Polis Setapak untuk diproses penahanan saya sebelum diserahkan kepada Pihak Penjara. Sementara itu saya mohon untuk melaksanakan solat Zohor. Surau yang ditunjukkan kepada saya itu kelihatan seperti tidak diurus dengan baik. Usai solat, saya diminta menanggalkan semua pakaian untuk diperiksa jikalau ada kecederaan di mana-mana untuk dicatit. Saya protes bila seluar dalampun diminta untuk ditanggalkan. Nasib saya baik, pegawai tersebut akur. Lega sungguh rasanya. Maruah saya sebagai Presiden ABIM harus dipertahankan.
Setelah selesai urusan polis, maka barulah saya diserahkan kepada pihak penjara. Saya dibawa masuk ke dalam van dengan tangan bergari dan disuruh memakai cermin mata hitam bagi mengelakkan saya tahu ke penjara mana saya akan dibawa. Sebelum itu saya diberikan burger McDonald dan minuman sebagai ganti makan tengahari.
BURUNG DALAM SANGKAR
Setelah berpusing-pusing sekitar 40 minit, pegawai pengiring bercakap melalui walkie-talkie. Katanya,’burung dah ada dalam sangkar’. Teringat saya akan buku yang pernah saya baca mengenai nasib tahanan ISA pasal burung dalam sangkar. Agaknya itulah kod untuk memberitahu bahawa OKT – orang kena tahan sudah ditangkap serta sudahpun sampai.
Sebaik tiba di penjara, dengan tangan bergari dan bercermin mata hitam, saya dibawa masuk ke bilik menyimpan pakaian dan barangan peribadi. Saya diminta menanggalkan pakaian dan diganti dengan pakaian penjara warna biru gelap. Semua barangan peribadi seperti dompet, jam tangan, kasut dan lain-lain direkod dan disimpan. Jumlah wang dalam dompetpun dikira. Kebetulan saya menyimpan wang tunai lebih seribu ringgit pada masa tersebut bagi keperluan kontigensi.
Gambar saya berpakaian penjara kemudiannya telah diambil dari pelbagai sudut. Depan, tepi, kiri, kanan, semua difoto. Nombor penjara saya cantik, 188/98. Banyak nombor lapan, mengikut kepercayaan orang Cina, orang itu ada ‘ong’ atau ada tuah. ALlahu a’lam.
Usai urusan mengambil gambar, maka saya digari lagi dan diminta memakai cermin mata hitam. Lalu di bawa dengan berkaki ayam ke sel penjara. 10 minit berjalan dengan dipimpin oleh pegawai pengiring, maka sampailah ke sel saya. Saya diberikan selimut, tuala ‘Good Morning’, berus gigi yang tangkainya telah dipatahkan, baldi kecil dan sabun. Rupanya berus gigi memang sengaja dipatahkan untuk mengelakkan OKT dari mengasahnya untuk dijadikan senjata membunuh diri. Begitu juga tuala ‘Good Morning’ yang hanya sesuai untuk mengelap peluh, dijadikan tuala mandi bagi mengelakkan kejadian menggantung diri. Bantal? Tidak ada.
Sel penjara hanya seluas 5 kaki lebar dan 9 kaki panjang.
Setelah masuk sel yang kemudiannya dikunci oleh pegawai penjara barulah saya dapat merasai realiti bahawa saya telah dipenjara. Saya hanya mampu duduk termenung melihat pintu sel yang hanya mempunyai tingkap kecil muat untuk pegawai penjara meninjau dari luar , menghantar makanan dan ubat gigi. Tingkap kecil itu hanya boleh dibuka dan ditutup oleh pegawai penjara. Kalau dibuka, pasti boleh melihat OKT di sel bertentangan. Kalau ditutup, rasanya macam nak pitam. Saya kena penyakit ‘claustrophobia’ selama beberapa bulan selepas bebas dari tahanan. Penyakit ini ialah bila seseorang berada di dalam bilik tertutup, dia akan berpeluh dan sesak nafas. Inilah yang berlaku pada saya bila naik kapalterbang atau naik lif. Perasaan panik, berpeluh dan sesak nafas akan berlaku sehinggalah kapalterbang mendarat atau keluar dari lif. Kadang-kadang bila masuk bilik yang tiada tingkap pun, saya akan menjadi gelabah. Hanya setelah beberapa bulan barulah penyakit ini pulih sepenuhnya.
7 comments:
terima kasih kerana brkongsi coretan pengalaman hitam diISAkan 12 tahun lalu. Saya menunggu sambungannya.
InsyaALlah Hisyam, siri 2 esok. Mudah-mudahan lebih menarik untuk tatapan generasi ke-3 dan seterusnya.
En. Azam, satu rakaman refleksi yang terkesan. Pernah juga terbaca coretan Cikgu Sidek, tapi tak seterperinci catatan En. Azam. Saya juga menanti coretan pengalaman seterusnya. Terasa seperti membaca catatan Zainab al-Ghazaliy ketika di tahan di penjara Mesir...
Azura,
Terima kasih atas tanggapan. Tak tahu la.. tiba-tiba terasa nak tulis pengalaman ni.Harap bermenafaat untuk para pejuang kebenaran.
Salam En Azam,
Sempena sambutan 40tahun ABIM, kita ada perancangan untuk terbitkan buku/monograf sejarah ABIM.
Saya suka sekiranya En Azam dapat menyumbang pengalaman seperti ini dalam projek itu.
Insyallah, makluman rasmi akan dibeitahu kemudian.
Hilmi, Saya cuba dengan artikel ISA ini dulu.Catatan pengalaman begini rasanya ada juga menafaatnya selain dari yang ilmiah.
Post a Comment