Pengajaran
Pertama: Perjuangan Islam Menuntut Pengorbanan. Memang
menjadi Sunnatullah, perjuangan untuk menegakkan Islam sebagai dasar kehidupan
bernegara bakal menghadapi fitnah dan mehnah. Perjuangan ini menuntut
pengorbanan yang sangat tinggi, hatta nyawa sekalipun. Youssef Nada telah
menceritakan sebahagian dari pengorbanan dan pahit getir perjuangan yang
dilalui oleh pendukung Ikhwan Muslimin.
Sejak Ikhwan Muslimin ditubuhkan pada tahun 1928 oleh Al-Syahid Imam
Hassan al-Banna, sebagai reaksi kepada keruntuhan Khilafah Uthmaniyyah Turki
pada 1924 dan era Penjajahan Barat terhadap Dunia Islam, perjuangan Ikhwan
Muslimin tidak pernah ‘disambut dengan permaidani merah’. Ikhwan Muslimin
merupakan gerakan kerakyatan yang sangat berpengaruh dalam menuntut kemerdekaan
dari Penjajah British. Atas nasihat
Penjajah British,
kerajaan boneka pimpinan Perdana Menteri Mahmoud Fahmy
Nokrashy Pasha telah mengharamkan Ikhwan Muslimin pada November 1948. 20 hari kemudiannya beliau mati dibunuh dan
Ikhwan dituduh menjadi dalangnya.
Sebagai tindak balas terhadap pembunuhan tersebut, pada 12 Februari
1949, Hassan al-Banna mati syahid ditembak oleh agen Kerajaan Mesir ketika itu
yang sebenarnya sebagai langkah untuk mengekang pengaruh Ikhwan dari berkembang
dan menggugat kerajaan. Kemudian akibat
daripada kononnya percubaan untuk membunuh Presiden Gamal Abdel Nasser pada
pada 26 Oktober 1954, lebih daripada 300,000 ahli Ikhwan telah ditangkap.
Youssef Nada turut ditahan dan dipenjarakan selama 2 tahun. Ketika itu beliau
baru berumur 23 tahun. Ramai tokoh
Ikhwan dipenjarakan bersamanya termasuklah Sheikh Yusuf al-Qaradawi, Sheikh
Muhammad al-Ghazali dan Sayyid Qutub (yang kemudiannya mati syahid di tali
gantung). Malah hampir kesemua pemimpin Ikhwan Muslimin termasuk
Presiden Morsi pernah dipenjarakan.
Berkat pengorbanan mereka maka Ikhwan Muslimin akhirnya ditakdirkan
menjadi peneraju utama pemerintahan Mesir pada hari ini.
As-Syahid Imam
Hassan al-Banna telah mengungkapkan hal pengorbanan dengan ungkapan yang sangat
cantik dan makna yang mendalam, “Kehancuran dalam membela kebenaran bererti
keabadian yang hakiki. Tidak ada dakwah tanpa jihad dan tidak
ada jihad tanpa pengorbanan”
Pengajaran
Kedua: Berhati-hati Dengan Golongan Opportunis Dalam Gerakan. Golongan
Opportunis ialah golongan yang pura-pura berjuang di dalam gerakan, tetapi
sebenarnya mereka hanya mementingkan diri sendiri. Golongan seperti ini memang
wujud dalam mana-mana perjuangan Islam.
Mereka pandai mencium peluang ketika berada dalam gerakan, dan sering
memanfaatkan peluang tersebut untuk kepentingan peribadi. Mereka akan
mendiamkan diri atau menjauhkan diri dari gerakan ketika risiko mendatang.
Malah dalam keadaan tertentu, samada
kerana untuk mengejar kuasa atau membalas dendam atau memburu cita-cita
peribadi, mereka sanggup menjadi musuh utama atau menjadi talibarut untuk
menghancurkan gerakan. Dalam hal ini,
Ikhwan Muslimin tidak terkecuali. Ketika
gerakan menentang penjajah Inggeris sedang memuncak, Gamal Abdel Nasser
dianggap sebagai ahli Ikhwan yang setia dan boleh dipercayai. Gamal Abdel
Nasser telah menyertai Free Officers Movement yang diketuai oleh seorang
ahli Ikhwan, Mahmoud Labib. Beliau menggantikan Labib apabila dia meninggal
dunia. Free Officers Movement
yang baru diketuainya telah meminta dokongan Ikhwan Muslimin dengan berjanji
bahawa beliau akan menjadikan Ikhwan sebagai rakan di dalam pembinaan negara
Mesir baru yang merdeka. Namun sebaik
saja beliau berkuasa, Ikhwan Muslimin menjadi musuh utamanya yang mengakibatkan
penangkapan ratusan ribu ahlinya serta ramai dari mereka yang mati akibat
siksaan tidak berperikemanusiaan di dalam penjara.
Suatu hal yang
menarik ketika Presiden Morsi telah disahkan menjadi Presiden Mesir pada 24 Jun
2012, begitu ramai sekali bermunculan ‘ahli Ikhwan’ yang menawarkan diri untuk
menjawat jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. Mereka ini mungkin pernah
menyertai Ikhwan suatu masa dulu, tetapi akibat tekanan yang kuat dari pihak
Kerajaan Mesir, mereka telah menjauhkan diri dari Ikhwan atau telah
mengisytiharkan dirinya keluar dari
Ikhwan. Ahli-ahli Ikhwan yang istiqamah dalam perjuangan kehairanan kerana
mereka ini tidak kelihatan ketika Ikhwan Muslimin menghadapi mehnah dan fitnah
perjuangan. Golongan opportunis begini sebenarnya sentiasa menimbulkan masalah
kepada perjuangan Islam. Komitmen mereka hanyalah untuk kepentingan peribadi.
Sekiranya Presiden Morsi memilih mereka untuk menjawat jawatan penting dalam
Kerajaan akan timbul persoalan, apakah mereka akan tetap setia dengan beliau
sekiranya iklim politik berubah arah?
Pengajaran
Ketiga: Hijrah sebagai strategi perjuangan jangka panjang. Perintah Hijrah dari Mekah ke
Madinah oleh Allah ta’ala kepada Rasulullah s.a.w. bukanlah suatu langkah lari
dari perjuangan, tetapi ianya adalah langkah strategik perjuangan jangka
panjang. Seringkali para pejuang Islam terpaksa membuat keputusan
strategik jangka panjang bila berhadapan
dengan suasana ruang dakwah semakin sempit di negara sendiri.
Begitulah
dilema yang perlu dihadapi oleh Youssef Nada. Apabila beliau dibebaskan dari
penjaradan merana selama 2 tahun di dalamnya, beliau menyambung pelajarannya
yang tergendala di Alexandria University di bidang pertanian. Setelah tamat pengajian, beliau telah
membantu menguruskan syarikat tenusu milik ayahnya yang ketika itu memasarkan
satu pertiga dari pasaran susu segar di Iskandariah. Ketika itu beliau telahpun
berumur 28 tahun. Namun demikian, sebagai seorang bekas banduan dan masih
merupakan ahli Ikhwan Muslimin, kehidupannya sentiasa di dalam pengawasan polis
dan bila-bila masa boleh ditangkap semula. Walaupun bebas
dari penjara, tetapi kehidupannya sentiasa tertekan kerana sentiasa
diawasi.
Justeru itu,
beliau mengambil keputusan untuk berhijrah dari Mesir dengan tujuan untuk
membantu Ikhwan Muslimin dari luar. Memandangkan kepakaran beliau adalah dalam
bidang bisnes, beliau bertekad membantu kegiatan dakwah Ikhwan hasil dari
keuntungan perniagaannya.
Berbekalkan nawaitu
yang suci, beliau telah berhijrah ke Vienna, Austria pada tahun 1960. Sejak
itu, beliau tidak lagi memandang ke belakang, malah terus memajukan
perniagaannya sebagai International Trader yang disegani oleh banyak
pihak. Pada tahun 1968, ketika berumur
38 tahun dan masih bujang, beliau telah bergelar sebagai The King of Cement
in the Mediterranean – Raja Simen Mediterranean dengan memiliki 38 buah
kapal dagang dan memiliki US$45 juta nilaian besi keluli untuk bahan binaan di
negara persekitaran Mediterranean.
Strategi
berhijrah dari Mesir bagi mengelakkan diri dari terus dianiaya oleh pemerintah
Mesir turut diikuti oleh ramai lagi pemimpin Ikhwan Muslimin yang bertebaran ke
negara Arab lain dan diseluruh Eropah dan juga Amerika Syarikat. Antaranya termasuklah Sheikh Yusuf Qaradawi
yang berhijrah ke Qatar, Said Ramadan (ayah Tariq Ramadan, tokoh pemikir Islam
mutakhir) ke Switzerland, Kamal Helbawi ke United Kingdom, Mahmoud Abu Saud
(tokoh Ekonomi Islam) dan menantunya, Dr.Ahmed el-Kadi ke Amerika
Syarikat. Kesan semerta dari strategi
hijrah ini ialah berkembangnya manhaj harakah Islamiyyah model Ikhwan Muslimin
ke seluruh dunia.
Pengajaran
Keempat : Gerakan Islam harus menumpu soal Dakwah dan Tarbiyyah dan tidak
terlibat terlibat dengan
perniagaan. Biar ahli secara individu
yang terlibat. Ketika Youssef
Nada memohon keizinan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, ketika itu Hassan
al-Hudaybi, untuk berhijrah ke luar negara, beliau telah diberikan amanah untuk
mencari dana untuk dakwah Ikhwan melalui perniagaan. Ini
disebabkan beliau mewaris bakat perniagaan beliau mengalir dari ayahnya,
seorang usahawan tenusu di Iskandariah.
Amanah
Mursyidul Am ini dipegang hingga sekarang. Setiap keuntungan dari bisnes
disalurkan untuk memperhebat aktiviti dakwah Ikhwan di Mesir dan juga di serata
dunia. Beliau telah memilih Vienna,
Austria sebagai tapak untuk memulakan perniagaannya sebagai ‘international
trader’ atau pedagang antarabangsa. Kemudian pada tahun 1969, beliau
berpindah ke Lugano, Switzerland dan
tinggal di sana hingga sekarang. Dari
Lugano, beliau telah membuka pejabat dagangnya di Indianapolis di Amerika
Syarikat, Glasgow di Scotland, Riyadh di Arab Saudi, Liechtenstein dan Lagos di
Nigeria. Beliau terlibat di dalam
perniagaan impot/ekspot bahan binaan seperti simen, besi keluli, dan bahan
komoditi seperti gandum, minyak masak, barli dan baja.
Pada tahun
1974, untuk memperkemaskan lagi bisnes impot/ekspotnya, beliau telah menubuhkan
Nada International di Riyadh, Arab Saudi dengan melibatkan Dr. Hisham Al Talib,
Dr. Jamal Barzinji dan Mohamed Shamma sebagai ahli lembaga pengarah.
Kemudian pada
tahun 1988, Youssef Nada mencebur diri di dalam Perbankan Islam dengan
menubuhkan Bank of Taqwa di Pulau Bahamas dan At Taqwa Management Organisation
(ATMO) di Lugano, Switzerland. Penglibatan beliau di dalam perbankan Islam dan
operasinya di Switzerland, pusat kewangan kapitalis dunia telah membuka mata
banyak pihak mengenai sistem kewangan Islam yang menjadi alternatif saingan
kepada sistem kewangan konvensional. Ianya juga telah membuka mata musuh nombor
satu Ikhwan Muslimin, iaitu Gerakan Zionis Antarabangsa. Gerakan Zionis telah merencana muslihat
mereka hingga akhirnya Bank of Taqwa, yang berjaya meraih keuntungan 10-13
peratus setiap tahun itu, terpaksa ditutup pada tahun 2002, atas tuduhan dan
fitnah yang direkacipta oleh Zionis. Beliau dituduh menjadi pendana utama
gerakan teroris antarabangsa, walaupun tuduhan itu tidak pernah dapat
dibuktikan. Youssef Nada secara peribadi
kerugian US$350 juta akibat penutupan Bank of Taqwa itu.
Pengajaran
penting dari pengalaman pahit ini ialah gerakan Islam seharusnya tidak terlibat
di dalam perniagaan secara langsung kerana ianya membabitkan proses untung/rugi
perniagaan yang boleh menjejaskan citra gerakan Islam. Sebaliknya ahli-ahli perlu digalakkan untuk
terlibat. Dengan demikian sebarang risiko yang terjadi tidak akan menjejaskan
gerakan. Sekiranya Bank of Taqwa itu milik
Ikhwan Muslimin kerugian US$350 juta, tentunya ia bakal mencetuskan krisis di
dalam Ikhwan. Oleh kerana bank tersebut
milik individu, maka kerugiannya adalah kerugian individu tersebut tanpa
membabitkan Ikhwan.
Apa yang
penting ialah nilai-nilai infaq dan sadaqah harus menyebati
didalam diri setiap ahli gerakan agar mereka menjadi penyumbang utama kepada
setiap kegiatan dakwah yang dianjurkan.
Pengajaran
Kelima : Wala’ kepada Jamaah,
Qiyadah dan Sirriyah al- Tanzim. Sejak
menyertai Ikhwan Muslimin pada 1948, ketika berumur 17 tahun, prinsip yang
dipegang oleh Youssef Nada sehingga hari ini ialah memberi wala’ kepada
perjuangan Ikhwan Muslimin, para pemimpin khususnya Mursyidul ’Am serta menjaga kerahsiaan organisasi. Prinsip yang menjadi pegangan semua ahli ini
membolehkan Ikhwan bertahan selama lebih 80 tahun walaupun menghadapi
penindasan yang kejam dari pemerintah Mesir.
Setelah
perniagaannya stabil dan berkembang luas, beliau mulai menggorak langkah untuk
melebarkan usaha dakwah secara global.
Amanah Hassan al-Hudaybi supaya dia membantu Ikhwan dengan keuntungan
bisnesnya masih kekal dalam ingatannya.
Pada tahun 1977, beliau telah menjemput beberapa tokoh pemikir Islam
sedunia ke rumahnya, Villa Nada, Campione untuk berbincang mengenai usaha
dakwah peringkat global. Jemputan
Youssef Nada ke rumahnya yang baru siap
dibina itu adalah agak istimewa kerana beliau baru saja melangsungkan
perkahwinan dengan Amal Chichakli, anak seorang tokoh ternama di Syria. Beliau berumur 46 tahun ketika itu.
Di antara tokoh
yang hadir pada pertemuan tersebut ialah Sheikh Yusuf al-Qaradawi, Dr. Ismail
Faruqi, Dr. Mahmoud Abu Saud, Mohamed al-Mubarak, Khurshid Ahmad, Ahmad
al-Asal, Dr. Abdelhamid Abu Sulayman, Dr. Hisham al-Talib dan Dr.Jamal Barzinji. Pertemuan tersebut bersetuju untuk
menyebarkan kesedaran Islam secara global dan berusaha ke arah perpaduan sesama
umat Islam. Pada tahun 1981, International
Institute of Islamic Thought (IIIT) telah ditubuhkan di Virginia, Amerika
Syarikat. Dr. Hisham al-Talib, Dr. Jamal Barzinji dan Dr. Abdelhamid Abu
Sulayman telah dilantik menjadi peneraju utamanya.
Sejak 1977,
Youssef Nada bertindak sebagai ’Menteri Luar’ bagi Ikhwan Muslimin dan Tanzim
‘Alamiy (Ikhwan Muslimin peringkat global yang berperanan bagi memupuk
perpaduan sesama Gerakan Islam di peringkat antarabangsa). Selepas kejatuhan Rejim Shah Iran akibat
tercetusnya Revolusi Iran, beliau telah menganjurkan pertemuan solidariti umat
Islam dengan Pemimpin Revolusi, Ayatullah Khomeini di Tehran pada 1979.
Pemimpin Gerakan Islam dari Indonesia, Malaysia, Pakistan, Mesir, Jordan, Arab
Saudi, Iraq dan Turki telah hadir di dalam pertemuan bagi meraikan kemenangan
tersebut serta untuk merapatkan jurang perbezaan antara Sunni dan Syiah.
Malaysia diwakili oleh Presiden ABIM ketika itu, Anwar Ibrahim.
Pada tahun 1979
itu juga berlakunya peristiwa tebusan rakyat Amerika Syarikat apabila
sekumpulan pelajar Iran menguasai Kedutaan Amerika Syarikat di Tehran dan
menahan 52 orang pekerja kedutaan sebagai tebusan selama 444 hari. Omar Telmissany, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin
telah mengarahkan Youssef Nada untuk menjadi perunding antara Kerajaan Iran dan
Amerika Syarikat untuk menyelesaikan krisis tersebut secara diplomatik. Namun demikian, misi tersebut gagal kerana
Amerika Syarikat menarik diri di saat-saat akhir.
Youssef Nada
tidak akan melakukan sebarang tindakan bagi mewakili Ikhwan Muslimin tanpa
keizinan dari Mursyidul Am. Beliau amat menjaga prinsip sirriyah al-tanzim
iaitu kerahsiaan organisasi kerana
banyak misi-misi yang beliau jalankan adalah sangat dan berbahaya. Pada tahun 1988, beliau terlibat di dalam
mengelakkan krisis antara Iran dan Arab Saudi. Pada tahun 1987, para jemaah
haji dari Iran telah melakukan demonstrasi di Masjidil Haram yang mengakibatkan
seramai 275 para jemaah haji Iran, 85
warga Arab Saudi dan 42 warga dari negara terkorban. Beliau berperanan mendamaikan kedua belah
pihak dalam perundingan yang diadakan di Villa Nada, Campione. Perundingan
tersebut menghasilkan formula kuota Haji dan Umrah yang dipersetujui oleh Iran dan Arab Saudi.
Dalam Perang
Iraq dan Kuwait pada tahun 1990, beliau telah bertemu Presiden Saddam Hussein
di Baghdad bagi meyakinkan beliau supaya
berundur dari Kuwait sebelum Barat menyerang Iraq. Malangnya Saddam berdegil
sehingga tercetusnya Perang Teluk yang berakhir dengan kematian Saddam di tali
gantung.
Selama ini
sering disebut mengenai Tanzim ’Alamiy sebagai penggerak utama kepada
penyatuan gerakan Islam seluruh dunia. Tidak ramai yang mengetahui
siapa yang berada dalam organisasi ini dan bagaimana organisasi berfungsi. Namun setelah membaca buku ini, jelas bahawa
penggerak utama dibelakangnya ialah Youssef Nada. Beliau bergerak penuh dengan
kerahsiaan bagi menjayakan misi-misi penting Ikhwan Muslimin. Malah sehingga kini, tidak ramai yang
menggenali Youssef Nada, apalagi mereka yang mengenalinya secara dekat.
Pengajaran
Keenam: Permusuhan Barat terhadap Islam tidak mengenal batas kemanusiaan dan
undang-undang. Boneka Barat dari
kalangan anak tempatan sentiasa menjadi dalang.
KenyataanAllah ta’ala di dalam al-Quran adalah sentiasa
benar.Al-Quran mengajar kita untuk sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi
sebarang kemungkinan di dalam menjalani kehidupan dan perjuangan sebagaimana
yang terdapat dalam Surah al Baqarah ayat 120, “Dan orang-orang Yahudi dan
Nasrani tidak akan senang kepadamu (Muhammad) selagi engkau tidak mengikut
agama mereka.”
Hakikat inilah
yang berlaku kepada Youssef Nada. Beliau seorang yang sangat teliti di dalam
sebarang urusan perniagaan maupun urusan dakwah global. Beliau akan mendapatkan nasihat dari peguam
yang terbaik sebelum membuat sesuatu keputusan perniagaan. Malah ketika beliau menubuhkan Bank al Taqwa
di Bahamas, beliau memastikan ianya mengikut saluran undang-undang. Ini adalah
kerana beliau tahu Sistem Perbankan Islam yang akan digunapakai bakal mencetus
kontroversi di Barat akibat fenomena Islamophobia yang masih lagi menebal. Begitu juga di dalam hal menyalurkan bantuan
dana untuk aktiviti dakwah. Beliau amat
berhati-hati agar ianya tidak melibatkan aktiviti yang melanggar
undang-undang. Namun demikian, bila tiada
bukti, maka bukti palsu akan direkacipta. Itulah yang berlaku hingga perniagaan
global Youssef Nada dan Bank al Taqwa ditutup buat selama-lamanya. Hasrat sebenar Zionis dan Barat ialah untuk
melumpuhkan Ikhwan Muslimin di peringkat global dengan cara melumpuhkan bisnes
Youssef Nada. Mereka tahu bahawa Youssef
Nada adalah penggerak utama kepada gerakan Ikhwan di seluruh dunia khususnya di
Eropah dan Amerika Syarikat.
Serangan
terhadap beliau bermula pada 11 November 1997, apabila seorang wartawan pro Zionis,
Guido Olimpio menuduh beliau sebagai penyumbang dana berjumlah US$70
juta kepada HAMAS di Palestin dan juga aktiviti teroris menentang Barat di
dalam akhbar Corriere della Sera, Switzerland. Serangan ini disusuli
pula pada tahun yang sama oleh Richard Labeviere dari Television
Suisse Romande menerbitkan
satu dokumentari yang menuduh Youssef Nada sebagai agen Nazi ketika Perang
Dunia Kedua. Pada tahun 2002, Kevin
Coogan menulis sebuah buku yang kandungannya juga menuduh Youssef Nada
sebagai agen Nazi pada tahun 1930, suatu tuduhan yang palsu dan berniat jahat
kerana Youssef Nada lahir pada tahun 1931.
Umpama ‘sudah
jatuh ditimpa tangga’, Youssef Nada
dikaitkan pula dengan aktiviti
pengganas. Kali ini dalangnya ialah
Presiden Hosni Mubarak. Pada Disember 1997
seramai 62 pelancong asing kebanyakannya warga Switzerland telah mati
dibunuh oleh pengganas di pusat tarikan pelancong Deir al-Bahir, Luxor,
Mesir. Pendakwa Raya Persekutuan
Switzerland, Carla Del Ponte telah membuat siasatan di Mesir dan kerajaan
Mubarak telah membuat tuduhan liar dan fitnah
bahawa Youssef Nada terlibat di dalam pembunuhan tersebut.
Sejak serangan media yang sangat terancang terhadap
Youssef Nada, imej beliau sebagai seorang tokoh perniagaan yang disegani mulai
luntur dan Bank al Taqwa mulai berhadapan dengan masalah pendeposit yang sudah
kehilangan kepercayaan terhadap beliau.
Pada tahun 1998, sejumlah US$100 juta telah dikeluarkan oleh pendeposit
dari Bank al Taqwa dan akhirnya pada tahun 2002 ianya terpaksa di tutup buat
selama-lamanya.
Peristiwa
serangan World Trade Center, New York pada September 11, 2001 adalah umpama
paku terakhir untuk keranda perniagaan Youssef Nada. Presiden George Bush sebagai tindak balas
terhadap serangan tersebut telah menyerang Afghanistan pada 7 October
2001. Saperti dirancang, sebulan
kemudian pada 7 November 2001, Bush telah menuduh bahawa Youssef Nada dan Bank
al Taqwa terlibat sebagai pendana utama pengganas seluruh dunia dan tindakan
keras akan diambil terhadapnya. Pada
hari yang sama juga, Villa Nada digeledah oleh Polis Switzerland dan Itali
untuk mencari bukti-bukti bagi mensabitkan Youssef Nada sebagai dalang utama
pengganas sedunia. Pada masa yang sama
juga, dalam suatu tindakan yang kelihatan sudah lama dirancang, semua dokumen
Bank al Taqwa dirampas, semua kad kredit beliau dibatal, semua aset, harta dan
akaun bank diseluruh dunia dibekukan dan Youssef Nada dikenakan tahanan dalam
rumah sehingga siasatan selesai.
Tindakan kejam
terhadap Youssef Nada adalah satu-satunya kes seumpama ini melibatkan Peguam
Negara Switzerland yang bertindak atas arahan Amerika Syarikat dan turut
melibatkan polis dan intelligensia dari 12 buah negara. Siasatan yang memakan masa 8 tahun iaitu dari
bulan September 2001 sehingga September 2009 berakhir dengan ketiadaan bukti
mensabitkan baliau sebarang
kesalahan. Nama Youssef Nada sebagai
pengganas telah dikeluarkan oleh Majlis
Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2009. Namun, Amerika Syarikat terus berdegil tidak
mahu membersihkan nama Youssef Nada dan engkar dengan keputusan Majlis
Keselamatan. Penderitaan beliau masih
berterusan sehingga kini kerana akaun bank dan aset beliau tidak boleh
dicairkan. Kedegilan Amerika Syarikat
ini sebenarnya beralasan. Seandainya
Youssef Nada dibersihkan namanya dari senarai pengganas, maka segala hartanya
yang dianggarkan mencecah ribuan juta matawang Amerika Syarikat akan dapat
digunakan untuk membantu umat Islam khususnya di Mesir dan Tunisia. Hal inilah yang cuba dielakkan..
Pengajaran
Ketujuh: Kemenangan itu adalah mutlak
milik Allah, dan bukannya kerana kehebatan strategi dan perancangan manusia. Peringatan ini disampaikan oleh seorang
pemimpin Ikhwan Muslimin kepada ahli Jamaah ketika dijemput untuk memberikan
taklimat ’Perkembangan Mutakhir Kemenangan Ikhwan Muslimin’ dalam pilihan raya Mesir. Peranan dan tanggungjawab para pendakwah dan
pejuang Islam ialah untuk berjuang bersungguh-sungguh menggunakan seluruh qudrat
yang ada untuk menyampaikan mesej Islam keseluruh dunia. Segala kesulitan dan penderitaan akibat
daripadanya harus dihadapi dengan sebaik-baik sabar, fa sabrun jamil, dan hanya kepada Allah jua kita memohon
pertolongan, wallahul musta’an.
Inilah jalan kemenangan yang hakiki yang berjaya ditempuh oleh Ikhwan
Muslimin sejak ditubuhkan pada tahun 1928.
Tidak ramai
pejuang Islam sempat melihat hasil kejayaan perjuangannya ketika masih
hidup.. As Syahid Imam Hassan al Banna,
Hassan Hudaybi, Umar Telmissani, As Syahid Syed Qutb, dan ramai lagi tidak
sempat untuk melihatnya. Youssef Nada
adalah antara pejuang yang dianggap bertuah dan dipilih Allah untuk menyaksikan
sendiri hasil kejayaan perjuangannya.
Hidup ini umpama roda. Ada
masa kita berada di atas, ada masa kita
akan berada di bawah. Dan begitulah
putaran kehidupan kita, turun naik silih berganti. Sekiranya tahun 2001 adalah
tahun ujian getir buat Youssef Nada,
maka tahun 2012 adalah tahun kegembiraan buat beliau. Pada 28 Januari 2012, Villa Nada dikunjungi
oleh Perdana Menteri Tunisia
yang baru, Hamadi Jebali berserta Sheikh Rached Ghannoushi. Ratusan polis Switzerland dan Itali mengawal
persekitaran Villa Nada. Tahun
2001, mereka datang untuk menggelidah
Villa Nada, tahun 2012 pula, mereka datang untuk menjaga keselamatan
tetamu Youssef Nada. Begitulah hakikat
kehidupan dan perjuangan.
Kemudian pada 24 June 2012, Presiden Morsi sebaik saja selepas mengangkat
sumpah sebagai Presiden Mesir, menelefonYoussef Nada mengucapkan terima kasih
dan tahniah kepada beliau kerana apa yang berlaku di Mesir pada hari ini adalah
antara sumbangan dan pengorbanan beliau,
sebagai ahli setia Ikhwan Muslimin, yang komitmennya tetap kental dengan
perjuangan.
Bagi Youssef Nada, roda kehidupannya telah melalui
beberapa pusingan naik dan turun. Di
awal penglibatannya di dalam Ikhwan Muslimin, beliau bergerak aktif, kemudian
dipenjarakan selama dua tahun. Ini satu
pusingan naik dan turun. Kemudian beliau
berhijrah ke Eropah dan berjaya di dalam perniagaannya. Malangnya bila Muammar Gaddafi merampas kuasa
di Libya , kesemua
perniagaannya di sana
dirampas, lantas mengalami kerugian besar. Ini pusingan kedua naik turun
beliau. Beliau bangkit lagi dan
memulakan semula perniagaannya dari Switzerland sehingga berjaya
membuka Bank of Taqwa di Bahamas. Aktiviti dakwah global Ikhwan Muslimin turut
berkembang. Kemudian berlaku peristiwa September 2001, dan perniagaan beliau
serta aktiviti dakwah beliau terhenti sehingga 2009. Ini pusingan ketiga naik
turun roda kehidupan beliau. Pada tahun
2012, beliau menyambut kemenangan Ikhwan Muslimin memerintah Mesir, dan an
Nahdhah di Tunisia. Bagi beliau inilah
pusingan terakhir dari kehidupan yang ditandai dengan suatu kejayaan yang
sangat manis dan berharga. Inilah ketentuan Illahi buat beliau yang tidak
pernah dikesalinya. Pada tahun 2013,
umur beliau sudah menjangkau 82 tahun.
Suatu kehidupan yang penuh warna-warni dalam perjuangan suci bagi
merealisasi hasrat mengangkat martabat Islam: al Islam ya’lu wala yu’la
’alayh.
No comments:
Post a Comment