Friday, November 7, 2008

POLITIK GLOBAL

OBAMAMANIA - HARAPAN DUNIA UNTUK KEAMANAN

Kemenangan Senator Barack Hussein Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke 44 pada 20 Januari 2009 nanti telah mencetuskan fenomena OBAMAMANIA di seluruh dunia. Latarbelakang beliau yang rencam telah menyebabkan masing-masing merasakan Obama adalah sebahagian daripada mereka. Bapanya berbangsa Kenya, maka seluruh rakyat Kenya berbangga dengannya. Malah Presiden Kenya, Mwai Kibaki telah mengisytiharkan cuti umum sebagai tanda sokongan dan kegembiraan rakyat Kenya.
Bapa tiri beliau Lolo Soetoro berbangsa Indonesia dan beragama Islam, maka rakyat Indonesia dan umat Islam turut menyokongnya dengan harapan beliau akan membawa keamanan kepada dunia. Malah kami di dalam mesyuarat NGO Islam sedunia memanggil beliau Hussein bukan Obama sebagai tanda harapan agar beliau dapat menghubungkan Islam dan Barat dengan lebih beradab dan bertamadun.

Beliau adalah pemimpin kulit hitam, maka masyarakat Afro-Amerika dan seluruh Benua Afrika menyokong beliau dengan harapan beliau akan melayani Benua Afrika dengan adil dan saksama. Masyarakat Afro-Amerika begitu berbangga dengan beliau kerana akhirnya masyarakat tersebut dapat menyaksikan satu sejarah buat pertama kalinya Amerika Syarikat menerima Presidennya dari kalangan mereka. Suatu impian yang mustahil sebelum ini. Martin Luther King pasti gembira sekiranya beliau masih hidup. Tangisan Jesse Jackson yang kalah dua kali dalam cubaannya untuk menjadi Presiden, menggambarkan kegembiraan masyarakat tersebut.

Ibu beliau berkulit putih dari Kansas, maka majoriti rakyat Amerika Syarikat yang berkulit putih turut merasakan Obama adalah sebahagian daripada mereka. Beliau mengaku adalah seorang yang kuat berpegang dengan ajaran Keristian dan menganggotai Trinity United Church of Christ di Chicago selama 20 tahun. Masyarakat Keristian tidak akan merasa terancam dan lega dengan pengakuan tersebut. Namun di dalam kehangatan kempen pemilihan, Obama terpaksa menarik diri dari ahli gereja Trinity kerana beberapa kenyataan Padrinya yang dianggap boleh menjejaskan peluangnya untuk memenangi pilihanraya Presiden.

Apa yang pasti OBAMAMANIA akan terus menjadi suatu fenomena yang menarik ketika dunia dilanda krisis peperangan, krisis kewangan dan krisis alam sekitar. Sokongan kuat terhadap beliau menggambarkan rakyat Amerika Syarikat sudah penat dan malu dengan Dasar Presiden Bush yang angkuh dan sombong. Sokongan dunia kepada beliau adalah gambaran harapan untuk kedamaian.

OBAMA DAN LOBI ZIONIS
Namun demikian didalam euphoria kegembiraan meraikan kemenangan Obama, kita tidak harus lupa kepada realiti pengaruh Lobi Zionis yang begitu mengakar didalam sistem politik dan kewangan Amerika Syarikat. Adalah terlalu naïf sekiranya kita mengandaikan dengan jawatan Presiden itu, Obama akan dapat melakukan sesuatu yang drastik terutama untuk memberi keadilan kepada isu Palestin dan keamanan dunia amnya.

Mengikut laman sawang OpenSecrets.org, Obama telah berjaya mengumpul dana untuk pemilihan Presiden berjumlah US639,174,282 yang merupakan jumlah terbesar yang pernah dikutip didalam sejarah pemilihan Presiden Amerika Syarikat. Persoalannya, dari mana dana sebesar itu yang boleh dikutip oleh seorang Senator yang baru berkhidmat selama satu penggal dan bukan pula dari kalangan pemimpin kulit putih. Walaupun persoalan ras tidak begitu lagi ditonjolkan, tetapi isu ini tetap menjadi faktor penting yang menentukan. Cuba baca respon ahli Parti Republikan bila Obama menang sebagai Presiden? Antara yang begitu ketara ialah kenyataan saperti, "Selepas empat tahun di bawah Obama, Amerika tidak akan sekali-kali membenarkan seorang sepertinya menjadi Presiden”. Ini mungkin kenyataan orang tengah marah, tetapi itulah realiti dan cabaran sebenar.

Kenyataannya, Obama mulai mendapat dokongan dari Lobi Zionis setelah beliau membuat ucapan di awal tahun 2007 di dalam Majlis American Israel Public Affairs Committee (AIPAC) sebuah pelobi Zionis yang paling berpengaruh di Amerika Syarikat. Di Majlis tersebut beliau menegaskan saperti berikut, we must preserve our total commitment to our unique defense relationship with Israel by fully funding military assistance and continuing work on the Arrow and related missile defense programs.

Kenyataannya, Obama telah melantik Rahm Israel Emanuel, sebagai White House Chief of Staff, satu jawatan terpenting dalam Pejabat Presiden. Rahm Emanuel terkenal sebagai pemimpin Amerika Syarikat yang sokongannya kepada Israel sangat mendalam .Beliaulah nanti akan menentukan halatuju Presiden dengan melantik pegawai-pegawai yang tentunya syarat utamanya mesti pro-Israel.

APAKAH SEPATUTNYA SIKAP UMAT ISLAM TERHADAP OBAMA?

Apa pun yang akan dibuat oleh Obama nanti, umat Islam seharusnya bersikap positif dan proaktif. Memang secara jujurnya umat Islam terbahagi kepada dua pola pemikiran yang sangat bertentangan.

Pertama, ialah mereka yang berpandangan bahawa sesiapa juga yang menjadi Presiden Amerika Syarikat, baik Republikan maupun Demokrat, dasar Amerika terhadap Islam tetap sama. Ini adalah kerana pelobi Zionis tidak akan membiarkan sesiapa jua yang akan merobah dasar Amerika yang pro-Israel. Presiden Carter dah mencuba, Presiden Clinton juga sama. Presiden Bush lagi parah. Kesemuanya kecundang di tangan pelobi Zionis yang begitu mencengkam politik dan ekonomi Amerika. Justeru, kita harus jangan mengharap apa-apa dari Obama.

Kedua pula berpendapat, latarbelakang Obama memungkinkan beliau akan lebih terbuka dan berlapang-dada dengan dunia Islam. Memang pelobi Zionis tidak akan berdiam diri, tetapi sekiranya dunia Islam menjauhkan diri, maka Obama akan terus menjadi lemah. Politik Amerika, bagi yang mengerti amat dipengaruhi oleh Kumpulan Pelobi. Banyak kumpulan pemikir bagi banyak kepentingan menjadi pelobi kepada isu-isu kepentingan mereka. Mengapa dunia Islam tidak menggunakan saluran yang sah ini untuk melakukan perkara yang sama. Membiarkan pelobi Zionis bermaharajalela bermakna kita sudah mengaku kalah sebelum berbuat apa-apa.

Apa pun sikap kita, Obamamania adalah suatu fenomena yang tidak patut berlalu begitu saja. Dunia Islam harus proaktif. Obama pernah terdedah dengan dunia Islam. Keluarga ayahnya berketurunan Islam. Beliau pernah belajar di Indonesia dan terdedah dengan agama Islam sejak kecil. Jadi, dunia Islam sudah ada common point untuk memulakan policy of engagement. Apa yang perlu sekarang ialah pemimpin yang mempunyai pemikiran strategik yang mampu engage Obama. Dunia Islam menantikan dengan penuh debar dan harap.

No comments: