16. Buku nukilan Ana Faqir ini adalah bersumberkan kitab Arab bertajuk Haza Maulidu Tuhfatul Abrar Fi Manaqib Ahlu Pulau Besar yang ditulis oleh Sheikh Muhyidin ibn Abi Bakar al-Safi cetakan Majidiah, Madras, India pada tahun 1957. Ana Faqir menjumpainya pada tahun 1993 ketika membersihkan Makam Sheikh Ismail yang telah dirobohkan oleh Kerajaan Melaka pada 1991ketika Abdul Rahim Thamby Chik menjadi Ketua Menteri atas alasan membanteras amalan khurafat.
17. Usaha ke arah memulihkan semula Pulau Besar sebagai Pusat Pengembangan Islam dimulai oleh Ketua Menteri selepas itu, Mohd Zin Abdul Ghani pada 1996. Bangunan yang kita lihat hari ini siap pada tahun 2000 dengan ingatan keras dari Majlis Agama Islam Melaka supaya setiap amalan khurafat diharamkan sama sekali di Makam tersebut. Amaran ini dinyatakan di beberapa papan kenyataan di Jeti Umbai dan juga di pintu masuk Makam tersebut. Namun rasanya penguatkuasaan harus diberi perhatian kerana kedapatan juga segelintir pengunjung yang masih meneruskan amalan-amalan yang tidak sepatutnya. Kehadiran pengunjung bukan Islam ke makam tersebut untuk tujuan tertentu juga harus diberi perhatian. Namun demikian, sebarang tindakan penguatkuasaan, haruslah berhikmah.
HOTEL SIAP, BISNES TAK MENJADI, PENGUSAHA BERTUKAR GANTI
18. Terdapat dua kompleks Hotel yang bertaraf 4/5 bintang yang telah siap dan beroperasi beberapa tahun. Malangnya bisnes tak menjadi sehingga bertukar pengusaha beberapa kali. Begitulah yang dimaklumkan kepada saya oleh orang yang kerap ke Pulau Besar. Bila ditanyakan mengapa? Jawapannya sama. Pulau Besar bukan untuk tujuan bisnes perhotelan apalagi yang melanggar syariat seperti penjualan arak dan pergaulan bebas tanpa batas lelaki dan perempuan.
19. Banyak kejadian aneh terjadi sebaik saja berlaku sebarang pelanggaran terhadap Hukum Allah ta’ala. Malah kejadian Empangan Durian Tunggal kering kontang mendadak pada tahun 1991, tidak berapa selepas Makam Sheikh Ismail dirobohkan, dikaitkan dengan ‘karamah’ sebagai peringatan kepada Kerajaan Melaka akan ketidakwajaran tindakan tersebut.
KEMBALIKAN SAJA PULAU BESAR SEBAGAI PUSAT DAKWAH SERANTAU
20. Setelah melawat sekitar Pulau Besar, saya dapat merasakan ketenangan, aman dan damai. Bunyi burung berkicauan, hembusan angin laut yang nyaman dan rimbunan pokok yang meneduhkan. Semuanya ini saya rasakan betapa sesuainya Pulau Besar untuk dikembalikan kepada peranan asalnya, untuk menjadi Pusat Dakwah Serantau. Pelajar-pelajar dari Rantau Alam Melayu seperti Indonesia, Thailand, Kemboja, Filipina, Brunei, Singapura boleh dididik di sini sebagai para pendakwah yang mempunyai ketrampilan ilmu Dakwah untuk Abad mendatang.
21.Hotel yang ada boleh diubahsuai untuk dijadikan Pusat tersebut. Malah kursus-kursus jangka pendek yang berkaitan boleh ditawarkan kepada orang awam. Malah Pulau Besar boleh dijadikan spiritual retreat bagi sesiapa yang mencari ketenangan jiwa dan fikiran.
22. Namun demikian, ianya harus mempunyai perancangan yang rapi dan komitmen yang tinggi. Banyak yang perlu dilakukan. Paling minimal, sebuah masjid yang setanding dengan Masjid Selat harus dibina dengan mengambil kira jumlah jemaah yang ingin iktikaf di situ. Masjid yang ada tidak sesuai. Tanda arah dan penerangan mengenai setiap tempat bersejarah harus ada dalam pelbagai bahasa. Ini mengambil kira ramai juga pengunjung bukan Islam yang datang. Paling kurang maklumat mengenai Islam boleh di paparkan sebagai usaha dakwah.
23. Kawasan perkhemahan harus lebih tersusun dengan kemudahan-kemudahan asas disediakan. Gerai-gerai juga harus ditambah. Jualan-jualan di gerai harus yang bersesuaian dengan konsep Pulau Besar yang berorientasikan ‘Spiritual Tourism’ atau ‘Spiritual Retreat’.
24. Pemandu pelancong yang memahami sejarah Pulau Besar dan menghayati ajaran Islam serta menguasai pelbagai bahasa sangat diperlukan. Tukang doa yang ada di Makam tersebut harus digantikan dengan pemandu pelancong yang Islami ini yang boleh menerangkan sekali akan peranan sebenar Sheikh Ismail di dalam perkembangan Islam.
25. Gerai makan Wakaf atau percuma adalah ciri yang unik yang harus dipertahankan. Namun, kemudahan asas dan kebersihan harus diberi perhatian utama.
Saya yakin sekiranya hal-hal ini diberi perhatian wajar dengan kesungguhan yang tinggi, penonjolan warisan Islam di Melaka akan menjadi lebih signifikan. Allahu A’lam
No comments:
Post a Comment