Setiap kali merayakan Hari Raya Eidul Adha, pernahkah anda bertanya atau bermuhasabah, apakah aku pernah memberikan yang terbaik untuk perjuangan umat ini? Kalau sekadar setiap tahun anda berkorban sebanyak RM350 untuk satu bahagian korban seekor lembu, apakah itu yang terbaik? Atau seekor lembu mungkin harganya RM2200 seekor, apakah itu yang terbaik yang boleh anda lakukan?
Atau, pernahkah anda bergolok bergadai demi perjuangan umat tercinta? Umpamanya anda mempunyai dua buah rumah, kemudian anda menjual sebuah dan hasil jualannya diberikan kepada perjuangan umat seperti untuk membeli sebuah Sekretariat WADAH yang masih menyewa di sebuah premis yang ala kadar! Sanggup kah anda melakukannya demi sebuah perjuangan yang tercinta? Anda masih ada sebuah rumah lagi. Belumlah lagi bergolok bergadai sebagaimana para sahabat Rasullullah dahulu!
Atau anda baru bersara, anak-anak dah besar dan menjalani kehidupan sendiri. Anda telah memasuki fasa kehidupan kalau mengikut ilmu sosioloji fasa ‘empty nest’ yang mana hanya tinggal anda berdua suami isteri di rumah. Anda suami isteri mempunyai masa yang lapang. Aktiviti harian anda suami isteri berlegar dengan solat berjamaah di masjid dan mengikuti usrah dua minggu sekali dan menghadiri kelas pengajian di masjid-masjid. Sanggupkah anda mengorbankan wang, masa dan tenaga untuk berdakwah selama satu tahun suami isteri di Kemboja, Pulau Krismas dan Pulau Cocos di Australia untuk meningkatkan kualiti keIslaman umat Islam di sana? Kesemua kos untuk berdakwah anda tanggung sendiri! Sanggupkah anda berkorban dalam erti sebenar-benar korban? Tiada elaun untuk anda!
KORBAN QABIL ATAU HABIL? (Rujuk Kisahnya dalam al-Maaidah 5:27-32)
Pengorbanan hanya dinilai Allah s.w.t. berdasarkan komitmen kita mengorbankan segala yang dikatakan dunia demi meraih cinta Allah s.w.t. Anda punya dua model untuk berkorban; pertama Korban si Habil, kedua Korban si Qabil. Inilah korban yang pertama didalam sejarah kemanusiaan kerana kedua mereka adalah anak-anak Nabi Adam alaihissalam.
Habil seorang pengembala kambing dan ketika diminta berkorban bagi mengatasi krisis perebutan isteri antara Habil dan Qabil, maka Allah s.w.t. telah memerintahkan agar mereka berkorban, dan siapa yang diterima korbannya akan dapat mengahwini Iqlima. Habil tanpa tangguh mencari kambing yang paling gemuk dan paling cantik dan paling disayangi untuk dikorbankan.
Sedangkan abangnya, Qabil seorang petani mencari hasil pertanian secara ala kadar untuk dikorbankan. Dia tidak berusaha mencari hasil pertanian yang terbaik sebagaimana Habil.
Akhirnya bila pengorbanan masing-masing dipersembahkan kepada Allah s.w.t., kita pun tahu apa keputusannya. Hanya yang terbaik yang diterima oleh Allah s.w.t.! Pengorbanan Habil diterima, sedangkan Qabil ditolak.
PENGORBANAN ALA KADAR AKAN MENJADI PEMBUNUH PERJUANGAN!
Apa terjadi apabila pengorbanan ala kadar Qabil tertolak? Timbul perasaan tidak puas hati, cemburu,dengki dan khianat berakhir dengan pembunuhan pertama didalam sejarah kemanuasiaan . Qabil sanggup membunuh adiknya, Habil lantaran pengorbanan ala kadarnya ditolak oleh Allah s.w.t.
Begitu jugalah yang akan berlaku di dalam mana-mana perjuangan umat dan gerakan Islam. Perjuangan umat selalunya gagal kerana para pendukungnya selalu mementingkan diri sendiri daripada mementingkan umat. Mereka hanya sanggup berkorban mengikut kualiti Qabil sahaja! Berkorban secara ala kadar, tiada komitmen, sambil lewa! Kerjaya sentiasa diutamakan, bisnes tidak boleh tinggal walau sebentar, bagi yang berjawatan tinggi terlalu takut mengambil risiko untuk kepentingan dakwah. Kalau diminta berderma untuk Jamaah, terlalu banyak soal dan pandai memberi alasan yang Syar’ie. Timbulkan keraguan dengan mengatakan pengurusan dana tak telus dan berbagai-bagai lagi alasan yang remeh temeh. Akhirnya, dana tak pernah mencukupi untuk kerja dakwah. Apabila kerja dakwah tak mencapai matlamat, dia juga yang paling lantang mengkritik sehingga membunuh semangat dan komitmen orang lain. Pendukung jenis inilah yang dikatakan pembunuh perjuangan umat dan dakwah.
Anda bagaimana? Dah pernah memberi yang terbaik untuk Islam? Kalau belum, jangan bimbang, anda masih belum terlambat. Jangan berlengah! Ayuh kita berkorban masa, tenaga, wang yang terbaik untuk Islam. Allah s.w.t. pasti akan membalasnya dengan terbaik juga.
“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai,pada tiap-tiap tangkai seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnianya) lagi Maha Mengetahui.” ( al-Baqarah 2 : 261)
SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA EID AL ADHA 1429H
No comments:
Post a Comment