Tuesday, June 24, 2008

Wasiat Walid – Jadilah Insan yang Ummatik

Minggu lalu 20-22 Jun, saya mengendalikan satu program untuk para Nuqaba’ Kolej MARA Banting (KMB). Kolej ini menempatkan pelajar lepasan SPM yang mendapat keputusan terbaik untuk persiapan belajar di luar negara. Pelajar terpilih akan dipersiapkan dengan latihan akademik serta psikologi selama 2 tahun sebelum berlepas ke luar negara.
Apa yang menarik di KMB ialah di samping penekanan kepada kecemerlangan akademik, penekanan aspek agama juga tidak diabaikan. KMB telah melaksanakan sistem usrah sebagai kaedah menambah kesedaran agama di kalangan pelajar. Beberapa pelajar akan dipilih untuk menjadi Naqib dan Naqibah bagi mengetuai atau menyelaras usrah-usrah ini.

Beberapa bulan sebelum ini Ustaz Sulor Tohiron, Pegawai Agama KMB menghubungi saya untuk mengendalikan kursus kepada para Nuqaba supaya sistem usrah dapat berjalan dengan berkesan dan dapat melahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan tinggi akal budinya.

Tanpa berfikir panjang, saya jawab setuju. Bagi saya sejak terlibat di dalam usrah se awal 1978 (30 tahun yang lalu) ketika baru masuk sebagai pelajar Diploma Pentadbiran Awam Institut Teknologi MARA (ketika itu), hidup saya berubah 360 darjah. Dari seorang pelajar yang sangat pasif, rendah diri, pendiam dan pemalu, melalui latihan usrah, saya telah berubah sehingga menjadi Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar pada tahun 1980/81. Sejak itu saya tidak pernah menoleh ke belakang. Ketika menyambung pelajaran di Amerika Syarikat, saya menjadi Presiden ABIM Amerika Utara di samping Amir MISG Indiana State University. Balik ke Malaysia, dipilih menjadi Exco ABIM Pusat sehinggalah menjadi Presiden ABIM ke-5 selama 8 tahun dari tahun 1997 – 2005. Teman sekolah di St John Institution (1973-1977), ramai yang terkejut, hairan melihat perubahan terhadap diri saya.

Melalui usrah, saya mengerti tentang amanah dakwah yang diwajibkan kepada setiap umat Islam. Dakwah bukan kerja khusus para ustaz dan ustazah atau alim ulama. Dakwah adalah perintah Allah Ta`ala kepada setiap umat Islam. Cuba fahami surah Ali Imran 3:110 yang bermaksud “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maaruf , dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah” Ayat ini berbicara mengenai khayra ummah yang dikaitkan dengan syarat melaksanakan amar ma`ruf nahi mungkar. Faktor motivasi dan pendorongnya ialah beriman kepada Allah Ta`ala seutuhnya.

Kembali kepada kursus para Nuqaba tadi, saya telah diberi gelaran “Walid” oleh mereka. Sejak terlibat di dalam melaksanakan amanah dakwah selama 30 tahun, setiap kali kursus dakwah yang saya kendalikan, berbagai gelaran yang diberikan peserta kepada saya. Saya mengatakan saya bukan ustaz, kerana tidak pernah mengikuti pendidikan agama secara formal. Saya terdedah kepada Islam melalui kaedah pendidikan tidak formal iaitu usrah. Pendidikan sepanjang hayat.

Namun demikian, ramai yang selesa memanggil saya ustaz, ada juga Sheikh, Maulana, Hoja dan macam-macam lagi.

Walid! Inilah gelaran yang tak pernah saya terima. Lazimnya Walid adalah panggilan bapa oleh anak terutama dari keturunan Arab Melayu. Wah! Terkedu saya kerana buat pertama kali baru terasa dah tua. 21 Jun, adalah hari lahir saya yang ke 48 tahun. Waktu mengendalikan sesi ceramah, saya merahsiakannya. Dah tua! Malu pula nak meraikan hari lahir. Esoknya pula, ketika acara penutup program, para fasilitatior membuat kejutan dengan membeli kek untuk meraikan peserta, Faizah yang menyambut hari ulang tahun kelahiran ke 19, pada 22 Jun. Rahsia saya terbuka apabila Wan Azizah pegawai saya di Future Global Network memaklumkan hari lahir saya adalah semalam. Peserta kursus menjadi riuh dan beramai-ramai menyanyikan lagu selamat hari lahir secara spontan. Walid dan anak buahnya memotong kek dalam suasana terharu dan gembira. Di dalam kursus selama tiga hari dua malam tersebut, dengan dibantu oleh enam orang fasilitator, saya menggunakan kaedah “Master Trainer” yang mana saya melibatkan peserta secara interaktif dan intensif. Saya bergerak dari meja ke meja bertanya soalan, menguji kefahaman, dan mengusik mana-mana peserta yang leka dan mengantuk. Saya gunakan lagu-lagu ketuhanan oleh kumpulan Nasyid, Rock dan Rap untuk membantu ingatan para peserta mengenai perkara penting di dalam sesi saya. Saya ulang-ulang Tesbihat iaitu Asma Ul Husna yang popular di Turki untuk memantapkan kefahaman tauhid, serta untuk menambahkan rasa cinta kepada Allah Ta`ala . Kaedah ini memang memenatkan kerana menggunakan tenaga, fikiran yang maksimum. Lebih memenatkan lagi, kerana saya bila berceramah sentiasa dengan nada yang tinggi dan bersemangat.

Namun demikian, walaupun penat, tetapi berbaloi. Saya puas dan gembira bila melihatkan wajah-wajah peserta di akhir kursus begitu ceria, gembira seolah-olah mereka mendapat suatu ilham atau ilmu yang sangat berharga. Nampak semangat mereka berkobar-kobar untuk menjadi Naqib dan Naqibah yang cemerlang.


Kepada anak-anak seramai 61 orang (60 bakal doktor, 1 bakal jurutera) Walid ingin berpesan. Walid ingin berwasiat.

Jadilah insan yang ummatik
Ikutilah jejak Al Rasul
Patuhilah syarat Al Falah

Jangan hanya mementingkan diri
Jangan bakhil ilmu dan kasih sayang
Sayangilah untuk disayangi
Redhailah untuk diredhai
Syukurilah untuk dirahmati
Pasti Allah mengasihi, Wallahi.

Kepada Sdr Shaharuddin dan Cikgu Muslimin terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman peribadi mengenai usrah sebagai wahana dalam pembentukan khayra ummah.

Kepada 6 orang Fasilitator, Sdr Shakir, Helmi, Muhammad Huzaifah, Najmudin, Maria dan Norasarina, terima kasih kerana membantu menjayakan program ini.

[+/-] Baca selanjutnya...

Thursday, June 19, 2008

Said Nursi, Muslim advocate of Non-Violence

Berikut adalah kertas kerja yang saya bentang di International Symposium on Risalah-i-Nur & Bediuzzaman pada 24 Mei 2008, Istanbul, Anjuran Hayrat Foundation, UNIW, WADAH & ABIM.

Ironically Muslims all over the world are being labeled as “terrorists” and “violent” despite their being supposedly the epitome of peace and non-violence. Understandably, what prompted such a rash of derision against Muslims could be alluded to virtual envy by their detractors whose exploits would pale in comparison to Muslim achievements in peace advocacy in various aspects of the human endeavour.
Untuk selanjutnya:
http://docs.google.com/Doc?id=dc6wpwbg_3cd4grrhc

[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, June 18, 2008

Kunjungan Ketua Masyarakat Kepulauan Cocos Keeling (Australia)

Firman Allah yang bermaksud “Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya” - Ash Shaff 61: 10-11

Minggu lalu, 10 Jun 2008, saya telah dikunjungi oleh Haji Adam (50 tahun), Haji Ahmad Taha (73 tahun); bapa kepada Haji Adam dan Haji Hamid (75 tahun); bapa mertua kepada Haji Adam untuk berbincang mengenai perkembangan Islam di pulau tersebut.

Kunjungan Haji Adam ke Malaysia adalah merupakan lawatan balas kepada lawatan ukhuwwah yang dibuat oleh ahli Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Sdr Kamarul Arifin bin Wafa ke Pulau Cocos. Semasa di Pulau Cocos, sdr Kamarul sempat menganjurkan beberapa program kemasyarakatan bersama-sama penduduk setempat.

Kepulauan Cocos terletak jauh di kepulauan Hindi kira-kira 3600km ke barat Darwin, Australia. Terdapat seramai lebih 500 orang penduduk Melayu di sana dan pada tahun 1984 orang Melayu Cocos telah mengundi beramai-ramai untuk disatukan dengan Australia dari segi sosio-politik-ekonomi. Pengundian tersebut telah disaksikan oleh utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Orang Melayu Cocos merupakan masyarakat Islam dan bertutur dalam bahasa “Melayu Pasar”.

Haji Adam merupakan Ketua Masyarakat Melayu Cocos dan juga seorang Imam memohon bantuan seorang guru agama yang boleh meningkatkaan kualiti kefahaman agama di sana. Masalah seperti membaca al-Quran, aqidah, fardu ain, pengurusan jenazah, sangat mendesak untuk ditangani. Beliau merayu agar ada di kalangan rakyat Malaysia yang sudi untuk datang ke Kepulauan Cocos untuk berdakwah dan menjalinkan hubungan ukhuwwah dengan masyarakat di sana.

Penduduk Melayu Cocos datang daripada berbagai negeri dari Alam Melayu. Bapa Haji Adam berasal dari Papua manakala bapa mertuanya dari Banjarmasin.

Saya menyatakan penghargaan terhadap usaha dan niat rombongan dari Pulau Cocos ini dan berjanji untuk mencari para pendakwah yang agak “adventurous” untuk memberikan khidmat dakwah mereka. Haji Adam menawarkan rumah mereka untuk dijadikan tempat penginapan. Walau bagaimanapun mereka tidak mampu membayar tiket penerbangan dari Kuala Lumpur.

Ciri-ciri pendakwah yang diperlukan ialah guru agama yang telah bersara atau siswazah lulusan agama yang boleh juga bertutur dalam bahasa Inggeris. Mereka yang berminat haruslah sanggup untuk berkhidmat sekurang-kurangnya selama 3 bulan. Khidmat ini adalah secara sukarela demi kepentingan Islam. Peluang ini amat sesuai untuk pendakwah yang minat menggembara,tidak lagi mempunyai komitmen keluarga dan ‘financially independent’.Kepada yang berminat bolehlah hubungi saya untuk berbincang lanjut kerana menurut Haji Adam masih banyak lagi amalan yang berbau khurafat yang perlu ditangani secara bijaksana. Untuk itu, pendakwah mestilah mempunyai hikmah dan kesabaran yang tinggi untuk menangani masalah ini secara halus dan bertahap. Para pendakwah yang mengamalkan pendekatan “hitam-putih” dan suka menghukum bakal mengundang banyak masalah nanti. Biarlah masalah ini ditangani umpama menarik rambut dalam tepung; rambut tidak putus, tepung tidak berselerak…Nah,siapa yang sanggup menyahut cabaran dakwah ini. Tiada elaun, tiket sendiri, tawakal kena tinggi.

Saya boleh dihubungi ditalian 03-6187 7020 atau azamwali@gmail.com

[+/-] Baca selanjutnya...

Monday, June 16, 2008

Siri 3: Mula Mengenali Perjuangan Aqidah Bediuzzaman Said Nursi

Saya mulai berminat untuk mendalami perjuangan Said Nursi ketika mengikuti usrah di dalam ABIM. Memang menjadi tradisi dalam ABIM sejak tahun penubuhan lagi untuk sentiasa belajar dari pengalaman gerakan Dakwah di seluruh dunia untuk digunapakai mana yang sesuai dan diambil iktibar mana yang tidak. Contohnya sistem usrah dan amalan ma`thurat diambil dari pengalaman Ikhwan Muslimin dari Mesir dan beberapa aspek keorganisasian dan kesedaran politik dari Jamaat Islam Pakistan.

Di dalam siri-siri usrah dan seminar pemikiran yang diadakan secara berkala, perjuangan Gerakan Dakwah dari benua lain juga dipelajari, seperti Gerakan yang dipelopori oleh Shehu Uthman Dan Fodio di Nigeria dan juga Bediuzzaman Said Nursi di Turki.

Pendedahan seumpama inilah memungkinkan saya mulai mengenali Bediuzzaman Said Nursi. Apakah istimewanya Said Nursi? Bagi saya, istimewaannya perjuangan beliau ialah kerana beliau berjuang untuk Islam dipenghujung hayat Khalifah Uthmaniyyah, sebuah Empayar Islam yang terakhir sebelum dihancurkan oleh Barat. Penderitaan umat Islam sehingga hari ini adalah akibat runtuhnya Empayar Islam terakhir ini.

Beliau lahir di sebelah timur Turki pada tahun 1877 dan meninggal dunia pada tahun 1960 ketika berumur 83 tahun. Hidupnya penuh ranjau dan duri. Fasa pertama perjuangannya adalah untuk menyelamatkan kerajaan Uthmaniyyah dari kehancuran dengan menyeru Sultan yang memerintah agar kembali menghayati Islam yang sebenarnya di samping menggarap arus pembangunan yang dipelopori Barat secara selektif. Kemewahan Empayar Uthmaniyyah telah menyebabkan beberapa Sultan yang terakhirnya menjadi lupa daratan, hidup mewah melampau, gila dengan budaya Barat yang hedonistik dan mengabaikan agama Islam. Kemewahan melampau ini dapat dilihat jika anda melawat Istana Dolmabahce yang melambangkan krisis jatidiri Sultan dan elit pemerintah ketika itu. (Sila rujuk Dolmabahce Palace dalam Internet untuk gambaran tepat).

Para pengkaji sejarah kehidupan Said Nursi membahagikan perjuangan beliau kepada dua fasa; Said Lama dan Said Baru.

Fasa Said Lama adalah fasa memperjuangkan Islam secara terbuka melalui ceramah, perdebatan, perbincangan sehingga beliau berumur 46 tahun pada tahun 1923 apabila tertubuhnya Republik Turki dan runtuhnya Khalifah Uthmaniyyah.

Fasa Said Baru adalah fasa di mana beliau terpaksa menghadapai proses mencabut bangsa Turki dari akar Islam, dan diganti dengan faham sekularisme oleh Mustafa Kemal Ataturk. Fasa ini membawa beliau turun naik mahkamah, keluar masuk penjara, dibuang daerah, diracun, dihina dan diperlakukan sebagai musuh negara. Dosanya hanyalah kerana mempertahankan agama Islam yang ingin dibuang oleh Ataturk.

Ketika inilah kehendak Allah s.w.t. berlaku kepada Said Nursi. Beliau mulai menulis kitab Risala-i-Nur yang menekankan soal aqidah, mukjizat al-Quran dan betapa perlunya manusia kepada Islam sebagai asas peradaban yang tinggi. Sebahagian besar Risala-i-Nur ditulis ketika beliau dibuang daerah di Barla, Isparta selama selama 8 tahun. Fasa Said Baru mengambil masa selama 37 tahun sehingga beliau dipanggil Allah Ta`ala ketika berumur 83 tahun di Sanli Urfa.

Perjuangan Said Nursi cukup istimewa kepada saya kerana beliau berjuang berseorangan menentang seluruh jentera kerajaan Kemal Ataturk tanpa sedikit perasaan takut, dan ketika itu juga beliau mampu melahirkan Risala-i-Nur sebuah kitab yang cukup penting dan hebat di dalam mengupas persoalan Aqidah dan Al-Quran secara mendalam.

Beliau juga cukup istimewa kerana berkat kesabaran dan keikhlasannya menanggung cubaan yang cukup berat sehingga mengancam nyawanya, gerakan beliau telah menjadi ikutan ribuan rakyat Turki sehingga tertubuhnya berbagai gerakan dakwah yang berasaskan ajaran beliau melalui Risala-i-Nur. Antara badan dakwah yang terkenal sekarang ialah Zaman Vakfi yang diasaskan oleh Fathullah Gulen dan Hayrat Vakfi.

Saya sendiri berkesempatan melawat Turki atas jemputan kedua-dua Gerakan ini dan secara langsung dapat memahami pendekatan dakwah mereka yang mana asas perjuanganya sama, cuma berbeza penekanan dan keutamaan. Nanti saya akan memberi perspektif saya mengenai perbezaan penekanan dan pendekatan di antara kedua-dua gerakan ini di dalam siri yang lain.

[+/-] Baca selanjutnya...

Saturday, June 14, 2008

Siri 2: Bediuzzaman Said Nursi – Penyelamat Aqidah Umat

Tahun ini merupakan kali kedua saya memimpin rombongan WADAH & ABIM ke Turki untuk memperingati dan mempelajari perjuangan mempertahankan aqidah umat oleh Bediuzzaman Said Nursi.

Tahun lalu juga dengan kerjasama Hayrat Vakfi (Yayasan Khayrat), satu seminar sehari telah diadakan di Salon Nikah, Eyub Sultan. Memandangkan ini buat pertama kali satu seminar yang melibatkan orang luar dianjurkan oleh Hayrat Vakfi, jumlah kami 30 orang dari Malaysia lebih ramai dari peserta Turki. Suasana politik di Turki tidak menentu sedangkan tokoh yang diseminarkan ialah musuh utama Kamal Ataturk, antara fakor tidak ramai peserta Turki yang berani hadir.

Tahun ini pula, nampaknya Hayrat Vakfi punya keyakinan yang tinggi. Kali ini Simposium Antarabangsa diadakan secara besar-besaran dengan kehadiran penceramah dari Malaysia, Syria, Sudan, Mesir dan lebih dari 600 orang peserta dari seluruh Turki.

Simposium ini diadakan di Cinar Convention Centre, Kisim Esenler, Istanbul. Penceramah dari Malaysia selain saya sendiri ialah Dr Muhammad Nur Manuty, Ustaz Uthman el-Muhammady dan Puan Rossilawaty Sheriff dari Dewan Bahasa dan Pustaka.

Namun demikian, Hayrat Vakfi tidak menjemput media untuk membuat liputan Simposium bagi mengelakkan publisiti di ketika krisis politik antara dua badan Kehakiman dan badan Eksekutif sedang hangat. Inilah realiti Turki yang perlu difahami. Proses kembali kepada Islam masih penuh ranjau dan duri.

Untuk memahami realiti ini anda harus mendekati sejarah perjuangan dua tokoh yang mewarnai sosio-politik Turki hampir seabad yang lalu. Mereka bersaing hebat untuk menentukan halatuju bangsa Turki. Seorang berpegang kepada Islam sebagai penyelamat maruah umat, sedangkan seorang lagi berpendapat Islamlah yang menjadi punca kelemahan dan kehancuran bangsa Turki, lantas harus dihapuskan dan diganti dengan yang lain.

Tokoh Islam yang dimaksudkan ialah Bediuzzaman Said Nursi dan lawannya Mustafa Kemal Ataturk

[+/-] Baca selanjutnya...

Friday, June 13, 2008

Jejak Empayar Uthmaniyyah

Catatan pengalaman rombongan WADAH & ABIM melawat Turki

22 Mei – 1 Jun 2008

Ruangan ini akan mencatatkan pemerhatian saya terhadap perkembangan masyarakat dan sejarah Turki yang pernah menjadi sebuah Empayar selama hampir 800 tahun. Pada 22 Mei – 1 Jun yang lalu saya telah memimpin satu rombongan ahli-ahli WADAH dan ABIM melawat Turki yang mana kita menganjurkan Simposium Bediuzzaman Said Nursi bersama Hayrat Foundation dan juga sama-sama menyambut perayaan 555 tahun pembukaan Kota Istanbul oleh Sultan Muhammad ke-II.

Catatan bersiri ini akan membawa anda menyelami masyarakat Turki yang kaya dengan khazanah sejarah perjuangan dari perspektif seorang aktivis dakwah.

Siri 1 : Solat Subuh di Masjid Beyazit, Istanbul Mengharukan.

Saya dimaklumkan oleh Abdullah Dogan, ahli Hayrat Vakfi, sebuah yayasan yang berasaskan perjuangan Bediuzzaman Said Nursi bahawa masjid-masjid biasanya penuh dengan jamaah khususnya di waktu subuh di beberapa masjid yang terkenal. Antara yang paling terkenal ialah Masjid Eyub Sultan yang mana setiap waktu, apalagi di waktu cuti, jemaah yang menunaikan solat melimpah ruah umpama solat Jumaat. Saya pernah beberapa kali solat di Masjid Eyub Sultan dan ternyata setiap kali berkunjung, jamaahnya berhimpit-himpit seperti di Mekah. Inilah yang dikatakan barakah sahabat Al Rasul s.a.w. yang terkenal dengan keikhlasan perjuangannya.

Untuk kunjungan kali ini, memandangkan Hotel Hamidiyeh, tempat kami menginap berdekatan dengan Masjid Beyazit yang berhampiran Grand Bazaar yang terkenal, saya mengambil kesempatan untuk bersolat Subuh di Masjid tersebut. Hari Ahad, 25 Mei 2008, waktu Subuhnya jam 3:38pagi. Solat berjemaah bermula jam 4:30pagi bagi membolehkan ramai dapat datang berjamaah.

Memang seperti dijangka, ramai sungguh penduduk Istanbul menunaikan solat Subuh di Masjid ini yang terkenal dengan Imamnya yang mampu berceramah dan berzikir dengan alunan yang sungguh syahdu dan menusuk jiwa. (sila dengar zikir yang sempat divideokan). Namun jemaahnya tidaklah seramai di Eyub Sultan.

Berdasarkan pemerhatian saya yang hampir setiap tahun ke Turki, rakyat Turki semakin menyerlah pegangan agamanya. Apa yang cuba dicabut oleh Ataturk yang mati pada 1938, iaitu 70 tahun dulu ternyata gagal. Malah orang Turki semakin berbondong-bondong kembali kepada menghayati agama Islam.

Kemenangan besar Parti Keadilan dan Pembangunan (Adalat Va Kalkinma Partisi, AKP) di bawah pimpinan Abdullah Gul dan Recep Tayib Erdogan membuktikan rakyat Turki semakin menerima Islam sebagai cara hidup dan menolak faham sekularisme yang dipaksakan oleh Ataturk. Isu pembatalan, pengharaman pemakaian tudung di pejabat kerajaan dan universiti yang mencetuskan krisis perlembagaan di Turki menggambarkan institusi yang masih mempertahankan faham sekular seperti Institusi tentera dan mahkamah sudah semakin tersepit dan panik.

Mereka gagal memaksa rakyat Turki untuk terus mempertahankan faham sekularisme lantas menggunakan peruntukan undang-undang untuk menggulingkan kerajaan popular AKP. Asas demokrasi yang mempertahankan konsep pemisahan kuasa badan legislatif, kehakiman dan eksekutif dilanggar oleh badan kehakiman atas alasan kononya tindakan AKP meluluskan undang-undang membolehkan pemakaian tudung di pejabat Kerajaan dan universiti telah melanggar asas sekularisme negara.

Apa yang menyedihkan saya, dunia Islam sepi membisu, dan barat yang merupakan jaguh demokrasi dan hak asasi hanya membantah umpama melepas batuk ditangga. Dunia barat lebih marahkan tindakan badan Islam di Indonesia yang mendesak kerajaan supaya mengharamkan ajaran Ahmadiyyah, sedangkan pelanggaran demokrasi di Turki yang dahsyat diberi liputan ala kadar. Alahai dunia Islam! Aduhai dunia Barat!


25 Mei 2008, Ahad
Masjid Beyazit, Istanbul

[+/-] Baca selanjutnya...

Monday, June 9, 2008

Eyub Sultan

Eyub Sultan

Abu Ayub Al Ansari
Pergimu, memberi hayat
Jihadmu, membangkit semangat
Keikhlasanmu, inspirasi umat

Abu Ayub Al Ansari
Tika hayatmu dihujung senja
Masjid buat bekal ke alam baqa
Engkau memilih jihad menggalang nyawa
Walau kudrat tak sekata
Cintamu kepada Allah mengatasi segala



Abu Ayub Al Ansari
Mati Syahid, keinginanmu
Al Fatih, pembuka Istanbul, mendiri pusaramu
Agar generasi mendatang, terhimbau dengan semangatmu
Eyub Sultan, sebenar Sultan gelaranmu

Sultan di mata umat, mengunjungi masjidmu
Setiap waktu, melimpah ruah kerana kagum denganmu
Eyup Sultan,
Kami datang mengunjungimu
Kagum dan bangga dengan keikhlasanmu
Seandainya dianugerahi secubit ikhlas dari perjuanganmu
Betapa syukurnya kami kepada Penciptamu


Masjid Eyup Sultan, Istanbul, 29/5/08

[+/-] Baca selanjutnya...