Friday, June 13, 2008

Jejak Empayar Uthmaniyyah

Catatan pengalaman rombongan WADAH & ABIM melawat Turki

22 Mei – 1 Jun 2008

Ruangan ini akan mencatatkan pemerhatian saya terhadap perkembangan masyarakat dan sejarah Turki yang pernah menjadi sebuah Empayar selama hampir 800 tahun. Pada 22 Mei – 1 Jun yang lalu saya telah memimpin satu rombongan ahli-ahli WADAH dan ABIM melawat Turki yang mana kita menganjurkan Simposium Bediuzzaman Said Nursi bersama Hayrat Foundation dan juga sama-sama menyambut perayaan 555 tahun pembukaan Kota Istanbul oleh Sultan Muhammad ke-II.

Catatan bersiri ini akan membawa anda menyelami masyarakat Turki yang kaya dengan khazanah sejarah perjuangan dari perspektif seorang aktivis dakwah.

Siri 1 : Solat Subuh di Masjid Beyazit, Istanbul Mengharukan.

Saya dimaklumkan oleh Abdullah Dogan, ahli Hayrat Vakfi, sebuah yayasan yang berasaskan perjuangan Bediuzzaman Said Nursi bahawa masjid-masjid biasanya penuh dengan jamaah khususnya di waktu subuh di beberapa masjid yang terkenal. Antara yang paling terkenal ialah Masjid Eyub Sultan yang mana setiap waktu, apalagi di waktu cuti, jemaah yang menunaikan solat melimpah ruah umpama solat Jumaat. Saya pernah beberapa kali solat di Masjid Eyub Sultan dan ternyata setiap kali berkunjung, jamaahnya berhimpit-himpit seperti di Mekah. Inilah yang dikatakan barakah sahabat Al Rasul s.a.w. yang terkenal dengan keikhlasan perjuangannya.

Untuk kunjungan kali ini, memandangkan Hotel Hamidiyeh, tempat kami menginap berdekatan dengan Masjid Beyazit yang berhampiran Grand Bazaar yang terkenal, saya mengambil kesempatan untuk bersolat Subuh di Masjid tersebut. Hari Ahad, 25 Mei 2008, waktu Subuhnya jam 3:38pagi. Solat berjemaah bermula jam 4:30pagi bagi membolehkan ramai dapat datang berjamaah.

Memang seperti dijangka, ramai sungguh penduduk Istanbul menunaikan solat Subuh di Masjid ini yang terkenal dengan Imamnya yang mampu berceramah dan berzikir dengan alunan yang sungguh syahdu dan menusuk jiwa. (sila dengar zikir yang sempat divideokan). Namun jemaahnya tidaklah seramai di Eyub Sultan.

Berdasarkan pemerhatian saya yang hampir setiap tahun ke Turki, rakyat Turki semakin menyerlah pegangan agamanya. Apa yang cuba dicabut oleh Ataturk yang mati pada 1938, iaitu 70 tahun dulu ternyata gagal. Malah orang Turki semakin berbondong-bondong kembali kepada menghayati agama Islam.

Kemenangan besar Parti Keadilan dan Pembangunan (Adalat Va Kalkinma Partisi, AKP) di bawah pimpinan Abdullah Gul dan Recep Tayib Erdogan membuktikan rakyat Turki semakin menerima Islam sebagai cara hidup dan menolak faham sekularisme yang dipaksakan oleh Ataturk. Isu pembatalan, pengharaman pemakaian tudung di pejabat kerajaan dan universiti yang mencetuskan krisis perlembagaan di Turki menggambarkan institusi yang masih mempertahankan faham sekular seperti Institusi tentera dan mahkamah sudah semakin tersepit dan panik.

Mereka gagal memaksa rakyat Turki untuk terus mempertahankan faham sekularisme lantas menggunakan peruntukan undang-undang untuk menggulingkan kerajaan popular AKP. Asas demokrasi yang mempertahankan konsep pemisahan kuasa badan legislatif, kehakiman dan eksekutif dilanggar oleh badan kehakiman atas alasan kononya tindakan AKP meluluskan undang-undang membolehkan pemakaian tudung di pejabat Kerajaan dan universiti telah melanggar asas sekularisme negara.

Apa yang menyedihkan saya, dunia Islam sepi membisu, dan barat yang merupakan jaguh demokrasi dan hak asasi hanya membantah umpama melepas batuk ditangga. Dunia barat lebih marahkan tindakan badan Islam di Indonesia yang mendesak kerajaan supaya mengharamkan ajaran Ahmadiyyah, sedangkan pelanggaran demokrasi di Turki yang dahsyat diberi liputan ala kadar. Alahai dunia Islam! Aduhai dunia Barat!


25 Mei 2008, Ahad
Masjid Beyazit, Istanbul

4 comments:

bahazain said...

ASM Tuan,
Saya baru menjengah ke ruang harta karun maklumat dan gagasan Islamiah tuan. Sangat memperkaya maklumat serta idea. Dari segi sejarah fikiran dan pengaruh Turki di negara kita sudah sangat lama, malah darah Turki pun ada dalam darah politik kita. Nah! tuan secara tak langsung sedang membangkitkan semula semangat perjuangan Islam di sana untuk
kebangkitan baru Islam dlm cacamerba politik kita. Tahniah. Barangkali sdr Azam berhubungan juga dengan Yayasan Zaman , yg memiliki akhbar (Zaman Farkli Gazete) dan talivisyennya. Pd 1995 saya berkesempatan melawat dan diinterview. Yayasan ini memiliki
badan pendidikan juga.

Ahmad Azam said...

Terima kasih atas komen Dato.Mengenai Yayasan Zaman,benar,ia telah diasaskan oleh pengikut Bediuzzaman said Nursi iaitu Hoja Fethullah Gulen.Mereka merupakan salah satu kumpulan yang paling kaya dan paling agresif dalam memperkenalkan ide perjuangan Said Nursi.Mereka mempunyai sekolah di merata dunia,stesen radio dan television,Fetih Universiti,Aysa Finans sebuah institusi kewangan dan banyak lagi.

Itu_Saya said...

Salam ukhuwah. Tulisan yg penuh rangsangan dan variasi kehidupan. Pengalamanlah yg mengajar realiti kehidupan selain menuju alam yg fana. Islam cara hidup yg sempurna dan peranan rakyat Turki sekarang ialah mengembalikan kegemilangan Islam. Saya sendiri sedih dan hiba menyaksikan perubahan citra pd AyaSophia. Sentiasa berdoa agar dapat bersolat dan bertasbih di "Masjid" AyaSophia, Insya-Allah.*drp: pemakalah tunggal wanita di seminar bediuzzaman said nursi*

Ahmad Azam said...

Puan Shiela,
Terima kasih atas komen dan perkongsian perasaan.Dah baca artikel puan dalam Utusan Malaysia sisipan Jawi.Tahniah!.Mudah-mudahan ramai yang terdedah dengan pendekatan dakwah Said Nursi melalui tulisan Puan.