Friday, October 15, 2010

TANGKAPAN ISA TERHADAP PEMIMPIN ABIM – SATU REFLEKSI PERJUANGAN

SIRI 4: Gerakan Reformasi - Dilema Presiden ABIM!

Ana baru dari rumah Anwar!, ramai yang hadir. Laungan Reformasi dah mula bergema. ABIM tak nak sambut ke?’ Begitulah nada talipon dari seorang ahli yang baru pulang mengikuti ceramah Anwar mengenai sebab sebenar beliau dipecat. Katanya, jumlah yang hadir menjangkau ribuan orang dari pelbagai lapisan masyarakat, berbagai bangsa dan keturunan.

Sejak Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998, beliau telah berpindah semula ke rumahnya di Setiamurni, Bukit Damansara. Di sanalah beliau memulakan ceramah setiap malam menerangkan isu-isu yang berkaitan dengan pemecatannya dan penyalahgunaan kuasa dalam kerajaan.

Sebagai Presiden ABIM yang baru diamanahkan tanggungjawab ini setahun yang lalu, sudah tentu peristiwa besar ini menuntut sesuatu tindakan yang juga besar. Pemecatan seorang Timbalan Perdana, mantan Presiden ABIM atas tuduhan meliwat adalah amat mengejutkan dan amat payah untuk diterima oleh sesiapapun.

Siapa yang tidak kenal Anwar Ibrahim? Semangat kental beliau memperjuangkan Islam sejak tahun penubuhan ABIM dan memimpin PKPIM sudah menyejarah. Bila berbicara mengenai sejarah ABIM, Anwar Ibrahimlah yang menjadi paksinya. Inilah hakikatnya. Sebagai Presiden ABIM yang setahun jagung, sudah tentu peristiwa ini amat berat untuk menghadapinya.

Apakah tindakan yang paling wajar yang perlu dilakukan ABIM sebagai sebuah Gerakan Islam yang sentiasa melaungkan perjuangan kebenaran dan keadilan? Apakah ahli ABIM yang kebanyakannya bekerja dengan kerajaan akan mampu menghadapi risiko sekiranya ABIM kembali lantang sebagaimana di awal tahun penubuhannya? Bagaimanakah nanti sekiranya ABIM diharamkan? Inilah beberapa persoalan yang menjadi dilema saya sebagai Presiden ketika itu.

Sementara itu sudah terbentuk tiga pandangan di kalangan ahli tentang bagaimana sebaiknya pendirian ABIM. Masing-masing menyatakan pendirian masing-masing secara langsung dan juga tidak langsung kepada saya. Ada yang sudah komited dengan pendirian masing-masing dan begitu emosional mempertahankannya.

Pendirian pertama adalah seperti mana dalam perbualan talipon tadi, iaitu ABIM harus ‘seize the moment’ dalam erti kata tampil segera memimpin gerakan perubahan ketika momentum perubahan sudah bermula. Mood rakyat inginkan perubahan kepemimpinan negara. Isu 3K iaitu Korupsi, Kolusi dan Kroni yang menyebabkan kejatuhan Rejim Suharto di Indonesia pada Jun 1998 sedikit sebanyak mempengaruhi rakyat di Malaysia. Akibat terlalu lama memerintah, sensitiviti Sang Pemimpin terhadap rakyat terbanyak semakin pudar. Begitulah yang terjadi pada Presiden Suharto. Rakyat bangkit mencetuskan Gerakan Reformasi yang akhirnya menjatuhkan Rejim yang selama ini dianggap kebal dan berkuasa. Dr.Mahathir pula yang menjadi Perdana Menteri Malaysia sejak Julai 1981 telah 17 tahun memerintah. Isu-isu antara keduanya hampir sama.

Pendirian kedua pula ialah ABIM tidak harus masuk campur dalam krisis ini. Ini adalah krisis politik dalaman UMNO yang mana ABIM tidak tahu akan sepak terajangnya. Isu Anwar Ibrahim dengan UMNO, ABIM tidak perlu campur. Lagipun takkanlah Anwar tidak mempunyai kekuatan dalam UMNO untuk memperjuangkan nasibnya. Selama 16 tahun dalam UMNO, sudah tentu Anwar tahu akan selok belok politik UMNO. Dia tidak memerlukan ABIM. Lagipun sejak 16 tahun dalam UMNO, dia semacam ingin menjarakkan diri dari ABIM untuk menggelakkan timbul sebarang fitnah. Dia pun tidak langsung melibatkan ABIM dalam sebarang percaturan politiknya. Jadi apakah wajar untuk ABIM mempertaruhkan segala kredibilitinya untuk mempertahankan Anwar. Berlaku adillah kepada ABIM. Begitulah antara hujah-hujah bagi mempertahankan pendirian agar ABIM jangan terlibat.

Adapun pendirian ketiga ialah ‘tunggu dan lihat’. ABIM jangan gopoh dalam menentukan pendiriannya. Kalau silap langkah, ABIM akan merana nanti. Saya masih ingat ada seorang ahli dengan begitu emosional memberi amaran kepada saya, ‘Kalau ABIM diharamkan nanti, ana tuntut dengan anta di Yaumul Mahsyar!’ Betapa berangnya dia bila dia mendengar ada ura-ura ABIM akan mencetuskan reformasi. Saya mengurut dada dengan banyak beristighfar. AstaghfiruLlah……. Pening kepala di buatnya. Ketiga-tiga pendirian ada alasan yang kukuh dan wajar. Apakah ijtihad politik ABIM kali ini?

Saya sebenarnya begitu bersyukur kerana mempunyai barisan Exco Kanan yang kuat dan mempunyai persefahaman yang tinggi ketika itu iaitu Ustaz Mokhtar Redzuan; Timbalan Presiden, Dr.Mohammad Redzuan Othman; Naib Presiden Antarabangsa, Abdul Halim Ismail; Naib Presiden Kebangsaan dan Saharuddin Badaruddin; Setiausaha Agung. Kami sentiasa merujuk antara satu sama lain dalam menentukan pendirian dan aksi. Walaupun masing-masing mempunyai pendirian dan pandangan tersendiri, tetapi setelah dirundingkan, kami sentiasa mendapat kata sepakat untuk bertindak.

Sebelum membuat sebarang keputusan kami sepakat untuk bertemu sendiri dengan Anwar Ibrahim bagi mendapatkan penjelasan beliau tentang segala pertuduhan terhadapnya. Bagi kami penjelasan ini amat penting bagi memutuskan tindakan yang paling wajar selepas ini.

Pada 4 September, saya bersama Halim, Redzuan dan Shaharuddin bergegas ke Setiamurni, mengharungi begitu ramai manusia yang menggerumuni rumah Anwar. Kami tiada masalah bertemu Anwar kerana ramai petugas adalah kenalan belaka dan juga ahli ABIM yang telah membuat pendirian. Mereka membantu kami bertemu Anwar. Anwar nampak begitu kepenatan. Suaranya sudah garau kerana banyak bercakap dan berceramah setiap malam di halaman rumahnya. Kak Wan, selain isteri juga seorang doktor sentiasa memastikan kesihatan Anwar terjaga. Ketika kami di situ, kelihatan beliau sedang membawa segelas air asam jawa untuk melegakan tekak Anwar. Ramai pemimpin NGO dan Pemuda UMNO sentiasa berada di rumah tersebut.

Anwar menjelaskan akan rentetan peristiwa khususnya dengan Dr.Mahathir sehingga akhirnya beliau dipecat pada 2 September. Harus diingat bahawa Dr.Mahathir membawa Anwar masuk selepas hampir setahun beliau menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981. Anwar menyertai UMNO pada 29 Mac 1982. Saham Anwar dalam membangun negara bersama Dr.Mahathir bukan sedikit. Begitu juga saham Dr.Mahathir membesarkan Anwar dalam UMNO juga tiada siapa yang boleh menafikannya. Apa yang pasti ada segelintir pemimpin UMNO yang tersisih sejak kemasukan Anwar dalam UMNO. Bagi Anwar, isu liwat adalah fitnah yang dijadikan senjata politik untuk membunuh karier politiknya oleh mereka yang tersisih selama ini. Setelah hampir setengah jam pertemuan berlalu, beberapa persoalan terjawab dan rasanya kami dah sepakat untuk menentukan pendirian ABIM dalam kes pemecatan Anwar Ibrahim.

[+/-] Baca selanjutnya...

Friday, September 24, 2010

TANGKAPAN ISA TERHADAP PEMIMPIN ABIM – SATU REFLEKSI PERJUANGAN

SIRI 3: INTEROGASI BERMULA

Ketika masuk ke bilik interogasi, barulah gari dan cermin mata hitam saya dibuka. Ingin ditegaskan di sini bahawa cermin mata hitam yang dipakai telah dicat dengan warna hitam. Apa pun tak nampak. Masuk saja ke bilik tersebut, tercegat 3 orang pegawai yang tidak langsung memperkenalkan diri mereka. Mereka bertiga duduk di belakang meja panjang, dan saya disuruh duduk di kerusi plastik jauh dari meja. Bilik tersebut sangat dingin kerana penghawa dingin dipasang dengan kuat.

Ketua Interogasi, saya mengenalinya kerana dialah yang menangkap saya di Sekretariat ABIM, Taman Sri Rampai. Beberapa hari kemudian baru saya tahu namanya, Deputy Superintendent Police (DSP) Shukri. Saya pasti dia orang Kelantan kerana loghatnya pekat. Seorang lagi di kirinya, berpangkat Assistant Superintendent Police (ASP) saya agak berpendidikan jurusan Undang-Undang dan sebelah kanannya berpangkat Chief Inspector. Namanya sampai ke sudah saya tak tahu.

Sepanjang siri interogasi berjalan, masing-masing menjalankan peranan yang berbeza. Seorang berlagak sangat garang dan melayan saya sebagai penjenayah, seorang lagi selalu membuat provokasi, dan ketuanya sentiasa bersikap lembut dan berdiplomasi. Saya agak strategi ini adalah untuk menggelirukan OKT.

Sesi interogasi berjalan tidak mengikut masa. Kadang-kadang tengah malam, tiba-tiba dipanggil. Pasukan yang membuat interogasi juga kadang-kadang berbeza. Pernah sekali salah seorang daripadanya saya kenal sungguh kerana pernah bertemu ketika demonstrasi di Dataran Merdeka pada 20 September yang lalu. Wajah dan perwatakannya macam orang ABIM. Dia sentiasa mengikuti saya ke mana jua saya pergi, bertindak seolah-olah salah seorang penyokong Reformasi ketika demonstrasi sampai ke kemuncaknya di Dataran Merdeka.

Ketika bertemu di bilik interogasi, saya terkejut bertemunya. Dia hanya senyum lebar. ‘Tugas saya mengekori Cik Azam ketika itu’, katanya selamba. Namanya Cif Inspektor Amran.

Bab Polis Cawangan Khas mengekori suspek memang menarik. Saya teringat waktu pagi 21 September, sebelum penangkapan dibuat, saya lihat beberapa orang lelaki yang tidak dikenali datang ke kaunter pejabat. Saya sempat bertanya salah seorang darinya, ‘Dari mana Sheikh?’ Lantas dijawabnya, ‘Dari ABIM Pahang’. Saya pun terus berlalu tanpa terlintas bahawa mereka itu Special Branch. Mungkin mereka ini ahli baru yang nak mendaftar. Begitulah sangkaan baik saya ketika itu.

Hari pertama, sesi berjalan lancar kerana mereka ingin tahu apa yang saya buat sejak Anwar dipecat pada 2 September sehinggalah tertangkap pada 21 September 1998. Mereka hanya mencatat apa yang saya sebut dengan sekali sekala membuat provokasi agar saya mendedahkan segala-galanya. Mereka ingin tahu siapa-siapa yang terlibat dalam perancangan dan strategi Reformasi.

Sebelum bermula, ketika saya baru masuk bilik interogasi, pegawai berpangkat ASP menunjukkan ‘garang’nya. Dia minta saya berdiri di sepanjang interogasi berlangsung. DSP Shukri cepat membantah dan menegaskan agar saya harus dilayan dengan penuh hormat. Beliau minta saya duduk di kerusi. ASP tersebut terpaksa akur dengan protes. Sikapnya terhadap saya amat negatif dan meyakitkan hati. Soalan-soalannya terhadap saya semasa interogasi penuh dengan tuduhan-tuduhan sinis seolah-olah saya adalah seorang penjenayah yang terlibat di dalam aksi subversif yang mengancam keselamatan negara. DSP Shukri pula pandai mengambil hati saya dengan soalan-soalan yang penuh berhemah dan beradab.

Bila mengingatkan episod ini semula, terasa pula mereka ini seolah-olah berlakon, agar saya terus memberi kerjasama dengan memberi maklumat-maklumat penting dengan sukarela.

Sebelum ditangkap, selalu juga saya mendengar cerita akan siri penyiksaan yang dilakukan polis terhadap OKT untuk mendapatkan pengakuan bersalah dan maklumat penting. Cerita seperti duduk atas bonggol ais, disebat dengan hos getah, disuruh berbogel di bilik berhawa dingin yang dipasang kuat dan bermacam lagi kisah yang menggerunkan. Malah selepas keluar penjara, cerita yang saya terima dari rakan–rakan OKT juga bermacam-macam. Saya bersyukur kerana cerita-cerita gerun apalagi yang mengaibkan tidak berlaku pada saya. Alhamdulillah. Cuma tidak dinafikan tekanan mental akibat siri interogasi yang intensif tanpa mengira masa memang dideritai. Penderaan fizikal memang tidak berlaku.

Memasuki hari kedua, ketiga dan seterusnya, sesi interogasi menjadi bertambah payah dan intensif. Banyak maklumat yang saya beri pada hari pertama dipersoalkan kesahihannya oleh SB. Mereka telah membandingkan maklumat saya dengan Ustaz Mokhtar, Halim dan Saharuddin. Awak jangan cuba menipu Zam! ‘tengking ASP garang tersebut. ‘Kawan awak cakap lain, awak cakap lain!’Jangan buang masa kami’, begitulah bentaknya. Saya tergamam seketika! Masing-masing kami tak tahu maklumat mana yang telah didedahkan… Tingkap sel penjara masing-masing pun dah ditutup selalu. Amat payah untuk berkomunikasi di waktu senggang yang semakin sedikit.

Salah satu taktik SB untuk memujuk OKT supaya bekerjasama dengan mereka ialah dengan memberi tawaran kemudahan asas peribadi. Pendekatan ‘carrot and stick’ sentiasa digunakan. Sekiranya OKT memberi kerjasama yang baik, beberapa keistimewaan akan diberi. Pengawal yang mengiringi saya antara sel penjara dan bilik interogasi sentiasa membisikkan ke telinga saya, ‘Cik Azam, mintalah bantal, selipar, sejadah dan al-Quran pada SB tu!‘Dia akan bagi punya’ katanya lagi. ‘Ada OKT dah dapat semuanya, relaks saja dia’, tambahnya untuk meyakinkan saya.

Esoknya bila pulang dari bilik interogasi, saya terkejut kerana di atas tempat tidur terletak senashkah al-Quran, dan selipar. Saya bingung kerana saya tak pernah membuat sebarang permohonan pun. Namun jauh di sudut hati, bersyukur yang amat kerana al-Quran sudah berada di tangan. Bolehlah menelaah ayat-ayat suci bagi menambah kekuatan spiritual bagi menghadapi ujian berat ini. Terfikir juga di benak saya, apakah saya sudah dianggap memberi kerjasama yang baik untuk mendapatkan keperluan asas ini? Entah lah, saya jadi bingung.

Begitu juga ketika sesi interogasi menjadi tegang, terutama bila saya mempertahankan diri saya dari tuduhan liar berunsur provokatif, tiba-tiba DSP Shukri memberhentikan sesi. Dia tanya saya nak makan apa? Lantas saya berkata dengan nada menduga,’Kalau ada Koey teow baik juga Tuan!’ ‘Minum? ‘tanyanya balik, ‘Teh tarik’ jawab saya pantas. Lantas beliau mengarahkan Cif Inspektor untuk membelinya di Restoran berdekatan. Saya ingat dia ingin mempermainkan saya. Tapi memang benar, dia laksanakan apa yang saya minta. Hati saya bukan main seronok bila ‘melahap’ koey teow panas dan teh tarik panas. Dah lama tak dapat makan sedap macam ni. Makanan lazim di penjara dah tak larat nak makan.

Sambil makan, pihak SB sentiasa mengambil peluang untuk mendapatkan maklumat tambahan dari saya.

[+/-] Baca selanjutnya...

Thursday, September 23, 2010

TANGKAPAN ISA TERHADAP PEMIMPIN ABIM – SATU REFLEKSI PERJUANGAN

SIRI 2: BERTEMU RAKAN ABIM DI BLOK PENJARA YANG SAMA

Setelah berehat beberapa ketika, saya terdengar orang membaca Al-Quran di sel sebelah. Mendayu-dayu bunyinya. Tapi suara tu biasa saya dengar. Setelah agak lama mendengar, barulah saya cam. Itu suara Cikgu Halim. Sekarang tahulah di sebelah saya, sel Cikgu Halim.

Sekitar jam 6.30 petang, pengawal menghantar bungkusan makan malam beserta teh ‘o’ melalui tingkap kecil. Alhamdulillah, perut pun dah lapar, elok sangatlah tu… kata di hati. Makanan di penjara, baik makan malam atau tengahari lazimnya ikan rebus masak kari atau ikan goreng, sayur tauge atau kobis. Minum pagi dua keping roti disapu dengan kaya. Itulah makanan penjara. Sedap tak sedap, bila dah lapar, makan aje la… Nak tambah, memang tak ada peluang. Lauk daging, jauh sekali.

Mandi di penjara memang mencabar. Terpaksa mencangkung dalam tandas yang juga bilik mandi pakai gayung. Bagi yang biasa mandi dengan air-panas, memang menyiksakan. Air paipnya sejuk yang amat, terutama di waktu pagi. Tuala ‘Good Morning’ langsung tak membantu untuk mengeringkan badan. Terlalu kecil dan tujuannya hanya untuk menggelap peluh, bukan untuk mandi.

Usai mandi, terus menunaikan solat Maghrib. Nasib baik penjara ini berdekatan dengan Masjid, boleh juga mendengar azan dilaungkan. Rupanya solat ketika susah dan apalagi berada di dalam penjara, memang senang khusyu’. Tenang penuh syahdu, mengharap hanya kepada Yang Esa. Tiada apa yang hendak dikejar. Begitulah resam manusia yang sentiasa lalai dan leka. Doa pun bukan main panjang.

Tak lama kemudian, tiba-tiba terdengar bunyi pintu blok penjara dibuka. Ahhh…tentu ada tahanan baru masuk.. detak hati berkata. Kemudian, muncul wajah Kamaruddin Jaffar di tingkap kecil sel saya. ‘Assalamualaikum’ ucapnya. Saya terkejut dan beristighfar panjang. ‘Astagfirullah! Anta pun kena Sheikh?’ Tergamam seketika. Dalam benak berkata, 'pemimpin ABIM yang dah masuk UMNO pun kena tangkap!’. Gawat ni….

Kami tak dapat menyambung perbualan kerana pengawal penjara terus membawa Kamaruddin Jaffar ke selnya, sebelah sel Halim Ismail. Kamaruddin Jaffar (sekarang Dato’) pernah menjadi bos saya semasa bekerja di Institut Kajian Dasar. Beliau adalah mantan Setiausaha Agung ABIM, mantan Setiusaha Agung PAS dan pernah menjadi Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri Tun Ghaffar Baba. Sekarang beliau adalah ahli Parlimen PAS di Tumpat.

Setengah jam kemudian, sekali lagi pintu besi berdentam. Siapa la pulak kali ni?. Terdengar bunyi orang berjalan menuju ke arah sel saya. Pintu kecil dibuka, dan muncul pula muka Zambry Kadir (Sekarang Dato’ Seri Zambry Kadir, Menteri Besar Perak). ‘Apa khabar Sheikh?‘ katanya kepada saya. ‘Baik! ‘jawab saya dengan perasaan lagi terkejut. Kami memandang antara satu sama lain. Lidah kelu tak terkata. Tak tahu apa nak cakap. Masing-masing memandang penuh makna, cuba memahami apa hikmah sebenarnya disebalik penangkapan ini. Zambry terus dibawa ke selnya pula. Saya jangka pasti sebelah sel Kamaruddin Jaffar.

Saya mulai resah dan bimbang. Apakah semua pemimpin ABIM baik yang masih memimpin atau yang dah bersama Anwar dalam UMNO, semuanya ditangkap? Kalau begitu, nampaknya Dr. Mahathir nak melakukan pembersihan besar-besaran terhadap pemimpin ABIM di mana jua mereka berada. Apakah ABIM akan di haramkan? Persoalan-persoalan ini bermain di kepala. Bimbang, resah, mengharap, sedih. Perasaan ini bermain-main di hati. Di mana Ustaz Siddiq, Ustaz Muhammad Nur Manuty, Cikgu Sidek Baba, Redzuan Othman dan Exco ABIM yang lain. Kena tangkapkah mereka? Persoalan yang tak terjawab. Saya hanya mampu berdoa agar semuanya selamat. Lantas mengambil wudhu’ dan menunaikan solat Isya’ dengan penuh khusyu’ dan tawadhu’.

Malam itu saya cuba melupakan seketika apa yang berlaku dengan melelapkan mata dengan berbantalkan lengan sahaja. Lampu terus menyala menganggu mata yang keletihan. Namun, hasrat tersebut tak kesampaian. Nyamuk menghurung saya tanpa belas kasihan. Saya cuba berselimut seluruh badan, tapi hanya beberapa minit. Panas…. Ya, dalam sel tersebut, mana ada kipas angin. Bila panas, selimut dibuka, nyamuk menggigit. Bila berselubung, panas pula… Begitulah sepanjang malam. Sekejap berselimut, kemudian buka, lepas tu berselimut balik sampai ke siang. Waktu siang pula, labah-labah, semut, lipas, cicak berkeliaran.

Keesokan harinya, saya perasan sel bertentangan dan sebelahnya dah ada orang. Bila pengawal menghantar sarapan pagi melalui tingkap kecil, dia tidak menutupnya kembali. Saya menjengah ke sel bertentangan. Rupanya Saharuddin Badaruddin di situ. Beliaulah yang begitu semangat melaungkan Reforrrmasiiii…. ketika Forum Menanggani Gejala Fitnah anjuran ABIM, PKPIM, JIM dan ASASI pada 6 September 1998 di Pusat Latihan ABIM yang lalu. ‘Macamana anta? Ok?’ ‘Aku tak apa-apa’ jawabnya.

Sebelah aku Ustaz Mokhtar Redzuan! ‘maklumnya kepada saya. Saya lantas berkata dengan sedikit menjerit, ‘ Assalamualaikum Ustaz Mokhtar, anta sihat ke?’ Tanpa diduga dia menunjukkan mukanya di pintu kecil selnya sambil berkata dengan wajah hiba, ‘Ana ok, Sheikh, tapi risaukan anak ana. Dia ada penyakit ‘down syndrome’. Kesian isteri ana nak jaga dia. Ana pun tak berapa sihat.’ Saya cuba menyabarkan Ustaz Mokhtar. Hati saya mulai berasa kesal kerana melibatkan Ustaz Mokhtar dalam Forum yang lalu sebagai Pengerusi Majlis. Andaian saya sekiranya Ustaz Mokhtar tidak dilibatkan, mungkin beliau tidak di penjarakan. Namun itu semua hanya andaian. Namun saya lihat beliau tabah dan redha menghadapi sa’atul usrah (saat getir) ini, Alhamdulillah.

Sekitar jam 10 pagi, saya dibawa pengawal keluar dari sel ke bilik interogasi. Tangan digari dulu, kemudian baru dibawa keluar. Ketika melalui sel hadapan sekali berdekatan pintu keluar Blok Penjara, sempat saya bertanyakan pengawal, 'siapa dalam sel itu?’ Dia lantas menjawab, Kamaruddin Md. Nor!’ Saya bungkam. Kamaruddin Md. Nor adalah pengasas ABIM, orang kanannya Anwar, bos saya ketika bekerja dengan World Assembly of Muslim Youth (WAMY) pada tahun 1987/88. Beliau menyertai UMNO tak lama selepas Anwar masuk UMNO pada tahun 1982. Saya menjengah ke dalam selnya. Beliau sedang tidur di atas simen kepenatan. Tak tergamak membangunkannya, lantas saya berlalu dengan tangan bergari dan bercermin mata hitam (gelap) meraba-raba dengan dipimpin pengawal ke bilik interogasi.

[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, September 22, 2010

TANGKAPAN ISA TERHADAP PEMIMPIN ABIM – SATU REFLEKSI PERJUANGAN


21 SEPTEMBER 1998

SIRI 1

Hari ini genap 12 tahun saya dan teman-teman ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau lebih dikenali sebagai ISA. Kami dituduh mencetuskan huru-hara dan mengganggu ketenteraman awam. Akta ISA ini membolehkan pihak polis menahan sesiapa saja dan ditahan maksima selama 60 hari tanpa dibicara, semata-mata kerana disyaki terlibat dalam kegiatan yang dianggap subversif.

Kami ditahan di pejabat ABIM, ketika itu di Taman Sri Rampai, Setapak sekitar jam 12.30 tengah hari ketika sedang bermesyuarat dengan beberapa pemimpin NGO lain. Perbincangan memfokus kepada post-mortem demonstrasi besar-besaran pada 20 September di Dataran Merdeka dan juga implikasi penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan Roslan Kasim pada malam tersebut. (Sekadar untuk refleksi ingatan, demonstrasi besar-besaran bermula di Masjid Negara dan kemudiannya berarak dan berkumpul di Dataran Merdeka bagi menuntut reformasi akibat daripada pemecatan DSAI sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pemecatan beliau dilihat sebagai tindakan otokratik Dr. Mahathir dalam pemerintahan negara).

Hadir ketika itu ialah Ustaz Mokhtar Redzuan, Timbalan Presiden, Abdul Halim Ismail, Naib Presiden dan Shaharuddin Badaruddin, Setiausaha Agung. Pemimpin NGO lain yang turut hadir ialah Saari Sungib, Presiden JIM dan Mustafa Kamal Maulud, Presiden URUS.

Sedang masing-masing memberi penumpuan penuh pada perbincangan, tiba-tiba beberapa orang pegawai polis berpakaian preman telah menyerbu bilik mesyuarat dan meminta kami menunjukkan kad pengenalan. Saya tidak menjangka polis akan bertindak begitu cepat untuk menahan kami. Memang dalam beberapa hari sebelum ini telah ada desas-desus bahawa pemimpin ABIM akan ditahan di bawah ISA. Saya tidak menghiraukannya kerana yakin bahawa ABIM hanya menyatakan protes. Ternyata salah jangkaan saya.

Saya menjerit kepada polis Cawangan Khas, ‘kalau ye pun, buka lah kasut tu’. Pejabat ABIM memang mempunyai polisi tidak berkasut di dalam pejabat. Saya nampak mereka tergamam seketika, namun selepas itu tidak mempedulikan jeritan saya. Ternyata secara jelas bahawa polis hanya menghendaki pemimpin ABIM sahaja. Saya, Ustaz Mokhtar, Halim dan Shaharuddin ditangkap. Manakala Saari Sungip dan Mustafa Kamal Maulud tidak diganggu.

Keadaan pejabat menjadi agak kelam kabut. Ada staf yang lesap melarikan diri, ada pula yang menangis tergamam. Tapi ada juga yang marah dan bertindak berani melawan polis. Namun terus terdiam apabila digertak polis untuk ditangkap.

Tangkapan kami berempat berlaku dengan cukup pantas. Kecuali saya, semua telah dibawa pulang ke rumah masing-masing untuk digelidah bagi mendapatkan bukti sebelum dibawa ke balai polis. Saya tidak dibawa ke rumah kerana semua bahan yang diperlukan ada di pejabat.Saya dibawa masuk ke bilik pejabat Presiden. Seluruh bilik digelidah. Beberapa buku dirampas. Hingga sekarang buku tersebut tidak dipulangkan. Saya terkejut melihat Cif Inspektor Suhaili yang selalu berhubung dengan saya. Dia memohon maaf kerana terpaksa menjalankan tugas. Saya kata padanya,’ kalau ye pun beritahulah dulu. Saya takkan lari.’ Dia menjawab, ‘Saya pun baru tahu yang nak ditangkap tu saudara’. Saya memang marah ketika itu, kerana selama ini saya sentiasa memberi kerjasama yang baik dengan pihak polis. Bagi saya, ABIM ini badan yang sah di sisi undang-undang. Tidak ada yang perlu ditakutkan.

Lantas saya digari dan dibawa dengan kereta Wira ke Balai Polis Setapak untuk diproses penahanan saya sebelum diserahkan kepada Pihak Penjara. Sementara itu saya mohon untuk melaksanakan solat Zohor. Surau yang ditunjukkan kepada saya itu kelihatan seperti tidak diurus dengan baik. Usai solat, saya diminta menanggalkan semua pakaian untuk diperiksa jikalau ada kecederaan di mana-mana untuk dicatit. Saya protes bila seluar dalampun diminta untuk ditanggalkan. Nasib saya baik, pegawai tersebut akur. Lega sungguh rasanya. Maruah saya sebagai Presiden ABIM harus dipertahankan.

Setelah selesai urusan polis, maka barulah saya diserahkan kepada pihak penjara. Saya dibawa masuk ke dalam van dengan tangan bergari dan disuruh memakai cermin mata hitam bagi mengelakkan saya tahu ke penjara mana saya akan dibawa. Sebelum itu saya diberikan burger McDonald dan minuman sebagai ganti makan tengahari.

BURUNG DALAM SANGKAR

Setelah berpusing-pusing sekitar 40 minit, pegawai pengiring bercakap melalui walkie-talkie. Katanya,’burung dah ada dalam sangkar’. Teringat saya akan buku yang pernah saya baca mengenai nasib tahanan ISA pasal burung dalam sangkar. Agaknya itulah kod untuk memberitahu bahawa OKT – orang kena tahan sudah ditangkap serta sudahpun sampai.

Sebaik tiba di penjara, dengan tangan bergari dan bercermin mata hitam, saya dibawa masuk ke bilik menyimpan pakaian dan barangan peribadi. Saya diminta menanggalkan pakaian dan diganti dengan pakaian penjara warna biru gelap. Semua barangan peribadi seperti dompet, jam tangan, kasut dan lain-lain direkod dan disimpan. Jumlah wang dalam dompetpun dikira. Kebetulan saya menyimpan wang tunai lebih seribu ringgit pada masa tersebut bagi keperluan kontigensi.

Gambar saya berpakaian penjara kemudiannya telah diambil dari pelbagai sudut. Depan, tepi, kiri, kanan, semua difoto. Nombor penjara saya cantik, 188/98. Banyak nombor lapan, mengikut kepercayaan orang Cina, orang itu ada ‘ong’ atau ada tuah. ALlahu a’lam.

Usai urusan mengambil gambar, maka saya digari lagi dan diminta memakai cermin mata hitam. Lalu di bawa dengan berkaki ayam ke sel penjara. 10 minit berjalan dengan dipimpin oleh pegawai pengiring, maka sampailah ke sel saya. Saya diberikan selimut, tuala ‘Good Morning’, berus gigi yang tangkainya telah dipatahkan, baldi kecil dan sabun. Rupanya berus gigi memang sengaja dipatahkan untuk mengelakkan OKT dari mengasahnya untuk dijadikan senjata membunuh diri. Begitu juga tuala ‘Good Morning’ yang hanya sesuai untuk mengelap peluh, dijadikan tuala mandi bagi mengelakkan kejadian menggantung diri. Bantal? Tidak ada.

Sel penjara hanya seluas 5 kaki lebar dan 9 kaki panjang. Ada tandas dengan dinding dan pintu cukup untuk menutup orang mencangkung. Ada katil daripada batu yang disimen setinggi dua kaki,cukup untuk tidur. Tidak ada tingkap, kecuali ruang udara dan lampu ‘bulb’ yang sentiasa terpasang. Inilah tempat tinggal saya sementara melalui proses interogasi yang tidak menentu masanya. Waktu tidur juga pasti tidak menentu.

Setelah masuk sel yang kemudiannya dikunci oleh pegawai penjara barulah saya dapat merasai realiti bahawa saya telah dipenjara. Saya hanya mampu duduk termenung melihat pintu sel yang hanya mempunyai tingkap kecil muat untuk pegawai penjara meninjau dari luar , menghantar makanan dan ubat gigi. Tingkap kecil itu hanya boleh dibuka dan ditutup oleh pegawai penjara. Kalau dibuka, pasti boleh melihat OKT di sel bertentangan. Kalau ditutup, rasanya macam nak pitam. Saya kena penyakit ‘claustrophobia selama beberapa bulan selepas bebas dari tahanan. Penyakit ini ialah bila seseorang berada di dalam bilik tertutup, dia akan berpeluh dan sesak nafas. Inilah yang berlaku pada saya bila naik kapalterbang atau naik lif. Perasaan panik, berpeluh dan sesak nafas akan berlaku sehinggalah kapalterbang mendarat atau keluar dari lif. Kadang-kadang bila masuk bilik yang tiada tingkap pun, saya akan menjadi gelabah. Hanya setelah beberapa bulan barulah penyakit ini pulih sepenuhnya.

[+/-] Baca selanjutnya...

Thursday, August 5, 2010

POLITIK BERWIBAWA MERENTASI GENERASI

Tajuk ini amat penting untuk di bicarakan ketika negara semacam ketandusan pemimpin yang berwibawa. Wibawa bermakna ‘credible’ atau telah diterima pakai dalam Bahasa Melayu sebagai kredibel dan kredibiliti. Pemimpin yang berwibawa bermakna seorang pemimpin yang boleh dipercayai kerana pemikirannya, semangat juangnya dan pengorbanannya untuk rakyat dan umat. Sementara pemimpin tidak berwibawa ialah pemimpin yang tidak boleh dipercayai kerana mementingkan diri berbanding umat, rasuah, banyak janji yang tidak ditepati, hidup penuh dengan kepura-puraan.

Mengapa kewibawaan itu penting untuk pemimpin umat dan negara?

Ianya menjadi penting kerana pemikiran, arahan dan kehendaknya mudah dipatuhi oleh rakyat atau pengikutnya. Rakyat akan mudah bersatu di bawah kepemimpinannya. Mereka tidak akan banyak membantah atau mengkritik apalagi menimbulkan masalah kepada pemimpin. Kesetiaan pengikut sangat kental dengan pemimpinnya. Malah mereka sanggup berkorban apa saja untuk mempertahankan pemimpinnya, sekiranya pemimpin tersebut berhadapan dengan apa jua masalah.

Pemimpin berwibawa akan memberi inspirasi dan teladan kepada generasi mendatang. Pengalaman dan pengorbanannya akan menjadi ikutan sepanjang zaman.

Bagaimana seseorang mendapat wibawanya?

Ada banyak cara untuk seseorang mendapat wibawanya. Ada yang mendapatnya melalui keturunan seperti Keturunan Raja, Keturunan Nabi dan Keturunan Pemimpin. Ada yang mendapatnya melalui jawatan yang dipegangnya seperti jawatan Perdana Menteri, Menteri, Mufti, Hakim dan sebagainya. Ada yang mendapatnya melalui ilmu dan pemikirannya seperti Ulama tersohor atau Intelektual tersohor seperti Sheikh Yusuf Qaradhawi dan Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas. Seterusnya, ada yang mendapatnya melalui sejarah perjuangan dan pengorbanannya sapert Nelson Mandela, Malcolm X dan Mahatma Gandhi. Diantara banyak cara-cara ini, ada satu cara yang susah untuk dinilai secara objektif, iaitu karisma atau aura seorang pemimpin. Seseorang pemimpin sangat berpengaruh terhadap pengikutnya kerana faktor X. Faktor X inilah yang menjadi misteri sampai sekarang. Bagi umat Islam,ianya adalah suatu anugerah yang hanya Dia sahaja yang mengetahui.

Cabaran utama dunia masa kini ialah untuk melahirkan pemimpin politik berwibawa (credible political leader). Ini amat berkait rapat dengan halatuju sesebuah negara yang amat bergantung kepada kualiti pemimpinnya.

NELSON MANDELA (18 Julai 1918 – sekarang)

Banyak contoh yang boleh dibuat dalam kaitan antara kemajuan sesebuah negara dengan kualiti pemimpinnya. Contoh yang paling nyata ialah Nelson Madela, sebagai pemimpin politik berwibawa di Afrika Selatan. Beliau memperjuangkan hak masyarakat kulit hitam agar diiktiraf hak asasi dan hak demokratik sebagai warganegara yang setaraf dengan masyarakat kulit putih. Akibatnya beliau dipenjara selama 27 tahun. Namun perjuangannya tidak pernah luntur sehinggalah akhirnya beliau dibebaskan dan menjadi Presiden Afrika Selatan yang pertama dipilih secara demokratik selama 5 tahun (1994-1999). Beliau menjadi Presiden ketika berumur 76 tahun. Beliau tidak memimpin lama sebagai Presiden kerana menyedari akan faktor usia yang boleh menjejaskan prestasinya sebagai Presiden. Lantas beliau mengundur diri secara sukarela, hidup sebagai seorang negarawan yang disegani dunia.

Nelson Mandela adalah contoh seorang ahli politik berwibawa, merentasi generasi. Kepimpinannya menjadi inspirasi dan teladan kepada generasi mendatang. Wibawanya hebat kerana nilai perjuangannya yang kental, sanggup menghadapi sebarang risiko peribadi demi perjuangan bangsa tercinta, sanggup bersara politik awal apabila menyedari kepimpinan tidak lagi berkesan lantaran usia tua. Melihatkan pengorbanan Mandela, rasanya tidak ramai pemimpin politik yang sanggup meneladaninya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebagai langkah untuk mengiktiraf sumbangan Mandela dalam perjuangan keadilan sosial telah mengisytiharkan 18 Julai sebagai ’Mandela Day’. Masyarakat dunia diminta pada hari tersebut untuk mengorbankan 67 minit dari kehidupan mereka untuk melakukan sesuatu kebajikan untuk orang lain, sebagai ingatan simbolik 67 tahun pengorbanan dan perjuangannya untuk bangsanya di Afrika Selatan.

MAHATMA GANDHI (1869 – 1948)

Seorang lagi tokoh politik berwibawa yang boleh dijadikan contoh merentasi generasi ialah Mahatma Gandhi (1869-1948). Beliau terkenal dengan perjuangan kemerdekaan India melalui pendekatan ’non-violence’ atau ’ahimsa”. Pengalaman hidup dan bekerja di Afrika Selatan ketika dasar ’apartheid’ atau dasar diskriminasi terhadap masyarkat kulit hitam masih dilaksanakan, membuatkan beliau begitu bersemangat untuk memperjuangkan kemerdekaan India dari penjajahan British.

Dalam perjuangan kemerdekaannya, beliau dipenjara di atas tuduhan menghasut rakyat untuk memberontak oleh penjajah British pada 1922. Akibatnya Parti Politik pimpinannya, Indian National Congres terpecah dua, satu sanggup bergerak di dalam kerangka Perlembagaan British, dan satu lagi menentang.

Sementara itu perpaduan masyarakat Hindu dan Islam di dalam perjuangan kemerdekaan juga retak sehingga akhirnya mengakibatkan Gandhi mati dibunuh oleh seorang pengikutnya yang tidak bersetuju dengan pendekatan berkompromi demi perpaduan dengan masyarakat Islam pada 30 Januari 1948 ketika berumur 78 tahun.

Ada 3 prinsip hidup Gandhi yang menyebabkan beliau diiktiraf sebagai tokoh politik berwibawa iaitu pertama; perjuangan kebenaran atau ‘satya’, kedua; perjuangan melalui pendekatan ‘non-violence’ atau ‘ahimsa’ dan ketiga; menjalani kehidupan yang amat sederhana dan berpakaian dua helai kain hasil tenunan sendiri yang dipanggil ‘dhoti’ di sepanjang hidupnya.

Perjuangan Gandhi telah menjadi ikutan ramai pemimpin-pemimpin dunia, antaranya Nelson Mandela sendiri. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu malah telah mengisytiharkan, 2 Oktober, hari kelahiran Gandhi sebagai ‘International Day of Non-Violence’.

MALCOLM X (19 MAY 1925 – 21 FEBRUARY 1965)

Seorang lagi tokoh berwibawa merentasi generasi yang wajar diteladani ialah Malcolm X (May 19, 1925 – February 21, 1965) atau juga dikenali sebagai El-Hajj Malik El-Shabazz. Beliau adalah seorang aktivis politik yang memperjuangkan hak asasi masyarakat kulit hitam di Amerika Syarikat.

Semangat kental perjuangannya yang tidak langsung takut dengan sebarang risiko terhadap diri dan keluarganya telah mencetuskan kesedaran yang tinggi di kalangan masyarakat kulit hitam untuk memperjuangkan hak asasi mereka.

Beliau menganut Islam versi Nation of Islam oleh pengasasnya Elijah Muhammad ketika berada di dalam penjara di atas kesalahan jenayah. Setelah dibebaskan, beliau menjadi tenaga terpenting Nation of Islam selama 12 tahun. Perjuangan “Black Supremacy” berakhir bila beliau meninggalkan Nation of Islam, dan menganut ajaran Islam mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selama setahun beliau terpaksa membetulkan faham ‘Black Supremacy” kepada ajaran Islam sebenar yang menganjurkan kasih sayang, kemanusiaan sejagat dan persaudaraan sesama manusia. Perubahan diri beliau amat ketara setelah menunaikan haji di Makkatul Mukarramah. Beliau melihat sendiri betapa umat Islam tak kira bangsa, sama-sama menunaikan ibadah haji, tanpa memperdulikan pangkat dan keturunan. Ajaran Islam yang murni ini menyebabkan penyokong Nation of Islam memusuhinya, lantas membunuhnya dengan 16 das tembakan dari jarak dekat ketika berucap di Audubon Ballroom, Manhattan, New York.

Kewibawaan kepimpinan Malcolm X ialah kerana keberanian beliau untuk memperjuangkan hak asasi masyarakat tertindas dan keberanian beliau untuk membetulkan semula ajaran salah yang telah dipeloporinya, yang mengakibatkan beliau kehilangan nyawanya.

PRINSIP UNGGUL PEMIMPIN BERWIBAWA

Berdasarkan sejarah hidup 3 tokoh ini, kita boleh membuat beberapa rumusan penting bagi mewujudkan budaya politik berwibawa yang boleh diteladani oleh generasi mendatang.

Pertamanya, prinsip ’BERANI kerana BENAR’. Apa yang dimaksudkan dengan prinsip ini ialah setiap pemimpin harus ada keberanian untuk memperjuangkan sesuatu yang diyakini benar. Seorang pemimpin akan hilang wibawanya sekiranya mengambil sikap lepas tangan dan tidak peduli terhadap permasalahan yang dihadapi oleh pengikutnya.

Mandela, Gandhi dan Malcolm X sanggup menghadapi apa jua rintangan demi perjuangan hak bangsanya.

Keduanya SANGGUP menanggung RISIKO. Wibawa seorang pemimpin hanya menyerlah apabila dia sanggup berkorban demi perjuangannya. Pemimpin yang sentiasa mengambil jalan selamat di dalam perjuangannya tidak akan kekal lama apa lagi untuk dikenang rakyat.

Ketiganya, BUAT bagai di KATA. Maknanya seorang pemimpin akan dinilai berwibawa sekiranya segala tuturkatanya dikota dengan tindakan dan perbuatan. Ramai pemimpin hilang wibawa apabila rakyat mengetahui banyak kenyataan mereka dan janji-janji yang tidak dikota.

Keempat; AKHLAK MULIA, ETIKA DIJAGA. Pemimpin yang sarat dengan skandal, tidak akan diterima rakyat.

Kelima, PEMIMPIN UMMATIK. Pemimpin yang mengutamakan kepentingan umat, mengatasi kepentingan diri. Hatta, sekiranya demi kepentingan umat, pemimpin itu sanggup kehilangan jawatan, asal umat terbela dan terpelihara. Apa yang malang, ramai pemimpin yang sanggup melakukan apa saja, hatta mengadai maruah umat, demi mempertahankan jawatan atau kuasa.

Kesimpulannya, Politik wibawa ialah politik bersifat ummatik, pemimpinnya juga bersifat ummatik, sanggup berkorban segalanya demi perjuangan tercinta. Hanya pemimpin begini yang berwibawa yang bakal dikenang oleh generasi mendatang sebagai sumber inspirasi dan teladan yang perlu dicontohi.



Dibentangkan pada 1 Ogos 2010 di Program Sabah Youth National Forum (SYNF) 2010

bersama ahli-ahli panel berikut:

YBrs. En Azman Ruslan, Ketua Pemuda UMNO Sabah

YB Datuk Jahid Jahim, Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS)

YB Pang YUK Ming, Naib Presiden, Liberal Democratic Party (LDP)

[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, March 17, 2010

BUKU WAJIB BACA BAGI PEJUANG REFORMASI !


Memahami hubungan elit politik pribumi dan elit bisnes Cina Asia Tenggara

1. Ketika di KLIA menuju ke balai berlepas ke Mauritius pada 6 Mac yang lalu, saya singgah ke Kedai Buku NATION untuk mencari kalau-kalau ada buku yang baik untuk dibaca semasa penerbangan selama 7 jam. Memang sudah menjadi tabiat saya, mencari buku-buku baru atau yang dah dibeli tapi tak sempat, lalu membacanya dalam penerbangan. Tak banyak gangguan. Boleh membaca, berfikir dan merenung akan iktibar dan pengajaran darinya.

2. Saya tertarik dengan sebuah buku yang dipamerkan di Cashier yang bertajuk,’ Asian Godfathers:Money and Power in Hong Kong and Southeast Asia’ karya Joe Studwell. Dalam benak saya, baik juga diketahui siapa dia yang dimaksudkan dengan ‘Godfather’, bagaimana operasinya, kehidupannya dan manipulasinya untuk kekal sebagai yang paling berkuasa dibalik tabir. Lantas membelinya tanpa tangguh walaupun ianya terbitan tahun 2007.

3. Buku ini memaparkan betapa nasib 500 juta penduduk, ditentukan oleh hanya 50 buah keluarga yang sangat berpengaruh yang menguasai pelbagai industri dan perniagaan dari perjudian, pembalakan, hartanah, perkapalan, gula, tepong, perbankan. Ianya cuba menjawab 3 soalan, pertama; bagaimana mereka berjaya menguasai ekonomi Asia Tenggara? Kedua; apakah sumbangan mereka kearah pembangunan dan kesejahteraan ekonomi rantau ini? Ketiga; mengapa mereka masih berpengaruh, malah bertambah kaya, walaupun setelah melalui krisis kewangan Asia 1998?

4. Kalimah ‘Godfather’ digunakan oleh penulis merujuk kepada seorang ketua yang sangat berpengaruh dan berkuasa tetapi sentiasa diselubungi rahsia dan misteri. Tindakannya selalu di balik tabir. Penuh rahsia dan teka-teki. ‘Godfather’ merujuk sejarah Mafia di Itali dan Amerika Syarikat. Malangnya, saya tidak menjumpai terjemahan yang tepat di dalam Bahasa Melayu kerana ketiadaan persamaan sejarah Mafia tadi.

5. Mengikut kajian Nomura Research Institute pada tahun 1993 mengenai penguasaan saham di Asia Tenggara, penguasaan elit bisnes Cina sangatlah dominan berbanding jumlah penduduktempatan. Kita lihat data berikut untuk lebih jelas:

Indonesia - 3.5% dari jumlah penduduk menguasai 73% saham

Malaysia - 29% dari jumlah penduduk menguasai 61% saham

Filipina - 2% dari jumlah penduduk menguasai 50% saham

Singapura - 77% dari jumlah penduduk menguasai 81% saham

Thailand - 10% dari jumlah penduduk menguasai 81% saham

Walaupun data ini sudah agak lama, tetapi kedudukan penguasaan elit bisnes Cina masih tidak berubah, malah mungkin semakin bertambah.

6. Kedatangan masyarakat Cina ke Alam Melayu khususnya adalah kesan dari warisan penjajahan Barat. Mereka digunakan untuk tujuan perniagaan penjajah dalam konteks melaksanakan dasar pecah dan perintah. Selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua, terdapat situasi ‘vacuum’ dalam pemerintahan dan perniagaan lantaran British mengambil masa agak lama untuk kembali memerintah. Lantas, situasi ini diambilalih sepenuhnya oleh masyarakat Cina menguasai dan mengambilalih kesemua sektor perniagaan penjajah. Inilah sejarah penguasaan masyarakat Cina yang hampir mutlak di Asia Tenggara. Joe Studwell menegaskan saperti berikut : “ …the Second World War presaged a seismic shift in the business landscape in south-east Asia,because it displaced European and American interests for an extended period……….When the Europeans returned to Thailand,they found that major industries,especially in the commercial and financial sectors,that they had previously controlled were now dominated by either the Chinese or Indians.” (ms 22-23)

7. Semasa zaman penjajahan, elit bisnes Cina bekerja rapat dengan Penjajah British dan Belanda. Selepas zaman penjajahan, hubungan tersebut beralih kepada elit politik pribumi, menggantikan penjajah. Hubungan erat elit politik pribumi dan elit bisnes Cina ini lah yang mewarnai sosio-ekonomi-politik Asia Tenggara sehingga hari ini. Tiada sebarang perubahan di segi stuktur masyarakat yang baru merdeka. Apa yang berlaku ialah peranan aktor ekonomi yang berubah.

8. Sejak pasca merdeka, hubungan simbiotik elit pribumi dan elit bisnes semakin mengakar dan amat sukar untuk di gugat. Masing-masing saling memerlukan untuk survival dan kepentingan diri. Bukan untuk rakyat. Elit politik memberi lesen , kontrak dan konsesi kepada elit bisnes, sementara balasannya, dana akan diberikan untuk menjamin kuasa elit politik dalam pemerintahan. Projek besar akan di monopoli oleh elit bisnes bagi menjamin dana yang besar untuk menampung aktiviti elit politik. Begitulah yang berlaku di Asia Tenggara tanpa kecuali.

9. Bagi menjamin hubungan ini berkekalan dan semakin kental, elit bisnes akan menjaga kepentingan keluarga elit politik yang ditajanya. Gambaran lebih jelas seperti berikut,” When political leaders – or their families – travel abroad, the tycoons’ homes, hotels and staff are at their disposal. Ananda Krisnan,whose attention to the private lives of politicians and their children is legendary, maintains a private jet, a huge yacht and homes inSwitzerland,Australiaand London. There is also no shortage of remunerated directorships for those who need to be kept happy.”(ms 75)

10. Saya mengatakan buku ini sepatutnya menjadi bacaan wajib bagi setiap pejuang reformasi kerana ianya memaparkan mengenai struktur masyarakat yang didominasi oleh kelompok elitis iaitu elit politik dan elit bisnes yang akan mempertahankan status quo dengan apa cara sekali pun. Ianya juga mendedahkan akan gejala 3K (Kroni, Korupsi, Kolusi) sebagai prasyarat untuk mengekal kuasa. Reformasi yang bermakna akan gagal sekiranya struktur sosio-ekonomi-politik tidak dirombak. Nama nama saperti Lim Kok Thay (anak Lim Goh Tong) pemilik Kasino Genting Highland, Ananda Krishnan, Vincent Tan, ketiga-tiganya pemilik syarikat judi akan terus mendominasi dunia korporat di Malaysia. Ini adalah kerana sektor judi ternyata merupakan penyelamat ketika berlaku Krisis Kewangan khususnya di tahun 1998. Kedua; hubungan mereka dengan elit politik tersangatlah erat, saling menyokong antara satu dengan lain.

Timbul persoalan, di mana perginya tokoh korporat Bumiputra yang di bina oleh Daim Zainuddin?

Studwell mengatakan antara sebab mengapa tokoh korporat Bumiputra saperti Halim Saad dan Tajudin Ramli gagal menghadapi badai Krisis Kewangan 1998 adalah kerana ketiadaan sektor judi untuk menjamin kecairan syarikat-syarikat mereka. Polemik ini tercetus baru-baru ini di laman maya menyentuh persoalan yang sama. Apakah syarikat judi menjadi faktor kejayaan atau kegagalan elit bisnes Bumiputra?

11. Buku ini juga menyentuh akan kecenderungan beberapa elit bisnes Asia Tenggara kepada Gerakan Keristian Evangelical dalam rangka menampilkan wajah spiritual dan kemanusiaan mereka. Antaranya Khoo Kay Peng pemilik MUI yang merupakan rakan niaga tokoh Evangelis Amerika Syarikat, Pat Robertson dan keluarga Yeoh pemilik YTL di Malaysia dan keluarga Riady pemilik Kumpulan Lippo di Indonesia. Mereka adalah penganut ‘born again Christian’ yang sangat agresif di dalam menggembangkan ajaran Keristian.(ms50-51)

12. Studwell membuat rumusan di dalam buku ini seperti berikut, “There is little doubt that godfather economics have been the agent for much of the increased poverty and inequality in south-east Asia……….None the less, the godfathers – so many of whom have recovered their fortunes – were only the agents of this calamity. REAL RESPONSIBILTY RESTS WITH THE POLITICIANS WHO ALLOWED GOD FATHER ECONOMICS TO EXIST IN THE FIRST PLACE.” (ms 180).

[+/-] Baca selanjutnya...

Friday, March 5, 2010

HAFAL LIRIK BOLEH MENANG RM 1 JUTA, HAFAL QURAN BAGAIMANA?

1. Termenung dibuatnya bila membaca ruangan hiburan akhbar Sinar Harian bertarikh 1 March 2010. Tajuknya, “Hafal lirik boleh menang RM1 juta”. Begitulah tingginya nilai penggiat dunia hiburan di negara ini. Malah kalau dilihat perkembangan industri hiburan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tawaran hadiah yang cukup lumayan diberikan kepada para peserta yang ingin masuk ‘Kelab Penghibur, Penyanyi, Pelakon, Pelawak’. Program Realiti seperti Akademi Fantasia, ‘One in a Million’, Raja Lawak, adalah antara program yang merangsang generasi muda ke arah dunia hiburan yang rasanya sudah sampai ke tahap berlebihan.

2. Kita bandingkan pula dengan pengiktirafan terhadap para pendakwah, penghafal al Quran, aktivis sosial, intelektual, pelajar cemerlang? Pemenang Anugerah Perdana Maulidur Rasul 1431 H, Professor Dato’ Dr.Mahmood Zuhdi bin Abdul Majid di hadiahkan RM50,000 beserta sijil penghargaan dan plak. Sementara 5 lagi pemenang Tokoh Maulidur Rasul mendapat RM22,000 beserta sijil dan plak. Semalam pula, Perdana Menteri telah melancarkan insentif khas sebanyak RM2000 setiap bulan sepanjang hayat kepada Johan Tilawah al-Quran Antarabangsa sejak 1961.

3.Memang tidak tepat untuk dibuat perbandingan di segi ganjaran wang, kerana industri hiburan didokong oleh sektor swasta, sedangkan aktiviti kemasyarakatan dan keilmuan didokong oleh kerajaan. Motivasi seorang ilmuan adalah ilmu, bukan wang. Namun, bayangkan sekiranya seorang ilmuan diberi hadiah RM1 juta. Apakah dia akan membeli rumah berharga RM1 juta atau digunakan untuk memperkasa ilmu umat? Berapa banyak manfaat yang akan dinikmati oleh rakyat? Begitu juga kepada para pendakwah, rasanya dia akan gunakan dana tersebut untuk meningkatkan lagi kerja dakwahnya. Kalau artis pula, tak perlulah dihuraikan di sini. Bacalah dalam ruangan hiburan yang melambak di akhbar-akhbar.

3. Namun, apakah pihak swasta boleh melakukan apa juga yang mereka mahu asalkan boleh mendapat keuntungan?. Apa yang pasti budaya hedonistik semakin menular dalam masyarakat akibat terlalu banyak program hiburan berkelas rendah yang dilambakkan kepada masyarakat. Gejala sosial semakin tenat dan parah. Gejala seks bebas di kalangan remaja semakin lumrah. Kes rogol dan ragut juga sudah semacam tak terkendali lagi. Siapakah yang menanggung kos sosial dan kos menangani jenayah ini? Bukankah kerajaan? Mana dia tanggungjawab sosial pihak swasta?

4. Saya berpendirian, pihak kerajaan mesti tegas di dalam mengawal rancangan hiburan di media massa, baik media cetak,internet dan eletronik. Hiburan yang berlandas kebudayaan kebangsaan harus diutamakan. Hiburan yang menanamkan semangat patriotik,semangat perjuangan, semangat kesukarelaan harus di garap. Membiarkan pihak swasta berleluasa menaja program hiburan tanpa batas dan tanpa landasan falsafah yang mantap, hanya menguntungkan pihaknya saja, sedangkan kerajaan yang terpaksa menanggung kos sampingannya. Umpama membuat untung atas kehancuran umat.

5. Saya pernah menegur seorang penerbit muda di sebuah syarikat TV Swasta akan hal ini. Jawapannya mudah, program serius bernuansakan agama, susah mendapat penaja dan iklan. Syarikat terpaksa hidup dengan iklan. Inilah dilemma kami.

6. Rasanya Dato’ Rais Yatim kena lihat perkara ini secara mendalam.Kepada Dato’ Jamil Khir, mengapa tidak anugerah Tokoh Ma’al Hijrah dan Maulidur Rasul tahun hadapan dinaikkan ke RM1 juta supaya setanding dengan Juara Hafal Lirik?

WaLlahu a’lam.

[+/-] Baca selanjutnya...

Monday, March 1, 2010

Temui Abon’go Malik Obama

1. Saya sempat menemui Malik Obama sewaktu menghadiri Sidang Dakwah Afrika di Khartoum pada 10-11 Februari yang lalu. Ketika Majlis perasmian baru bermula, tiba-tiba seorang berbangsa Afrika tinggi lampai duduk di sebelah saya. Saya bertanya, "Where are you from? I am Ahmad Azam from Malaysia.” Dia lantas menjawab,” Malik from Kenya.”

2. Ketika ucapan perasmian yang disampaikan oleh Field Marshal (Bersara) Abdul Rahman Suar Dahab yang juga Pengerusi Munazzamat Dakwah, mengalu-alukan hadirin, baru saya tahu yang duduk sebelah saya adalah antara tetamu jemputan, Abon’go Malik Obama, 52 tahun yang merupakan abang tiri Presiden Amerika Syarikat , Barack Hussein Obama, 49 tahun.

3. Menurut Malik, ayahnya mempunyai 3 orang isteri dan beliau adalah dari isteri yang pertama ‘Kezia, dan anak yang paling tua. Datuknya adalah di antara generasi awal Islam di Kenya. Beliau agak rapat dengan Presiden Barack Obama. Malah beliau menjadi ‘best man’ kepada Barack ketika perkahwinannya, dan begitu juga sebaliknya ketika beliau berkahwin, Barrack menjadi ‘best man’. Malik juga adalah antara tetamu yang hadir pada majlis Pengisytiharan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke 44.

4. Didalam Majlis tersebut, Malik diberi kesempatan untuk berucap. Saya agak teruja dengan ucapannya yang menyatakan kesyukuran yang tak terhingga kerana dipilih Allah ta’ala menjadi seorang Islam. Beliau juga bersyukur kerana adiknya, Presiden Barack Obama telah terpilih menjadi Presiden kepada sebuah negara yang paling berkuasa di dunia buat masa ini. Ini semua adalah kehendak Allah ta’ala jua. Beliau hanya mengharapkan kebaikan jua dari segala ketentuan Allah ta’ala ini. Beliau berharap hadirin semua dapat berdoa agar adiknya dapat memerintah dengan adil demi kesejahteraan dunia seluruhnya. Beliau juga amat berharap agar Sidang Dakwah ini dapat memberi perhatian kepada perkembangan Islam di Kenya.

5. Selepas Perasmian, saya tidak lagi berkesempatan bersamanya kerana sentiasa di kerumuni oleh ramai orang yang ingin bergambar dengannya. Di kesempatan lain beliau sempat berbisik dengan saya, 'since my brother becomes the President of USA, I am tired of smiling’.

6. Pertemuan saya dengan Malik telah membuatkan saya terfikir. Presiden Barack Obama mempunyai akar sejarah keturunan Islam yang agak kuat. Ayahnya seorang Islam, ayah tirinya juga seorang Islam dari Indonesia. Walaupun Media Barat cuba menggambarkan keIslaman mereka berdua hanyalah nominal, tetapi hakikatnya Presiden Obama terdedah kepada Islam sejak kecil. Beliau berdarah campuran Afrika dan Caucasian. Keluarga besar beliau di Kenya ada yang Islam, dan ada yang Keristian. Rasanya dengan kepelbagaian latarbelakang ini adalah juga suatu kekuatan yang harus dimanfaatkan ketika dunia berhadapan dengan krisis hegemoni Barat terhadap dunia Islam.

7. Umumnya, pendapat umat Islam mengenai kePresidenan Obama terbahagi kepada 3. Pertama bersikap pesimis, iaitu Obama hanyalah wajah luaran AS yang diplomatik, tetapi hakikatnya beliau hanyalah alat Zionis yang mencengkam nadi Rumah Putih. Pendapat kedua bersikap optimis, iaitu Obama, walaupun mempunyai banyak kekangan untuk melakukan sebarang perubahan, tetapi masih ada kuasa Presiden yang boleh di pakai asalkan sistem pelobi dapat digunakan oleh Dunia Islam. Kalau Zionis menggunakannya, mengapa tidak kita? Pendapat ketiga bersikap tunggu dan lihat. Obama rasmi menjadi Presiden AS ke 44 pada 20 Januari 2009. Apakah perubahan telah berlaku sebagaimana yang di janjikan? Kalau ya, kita sokong, kalau tidak, kita bangkang.

8. Saya berpendirian bahawa adalah jauh lebih baik sekiranya kita bersikap proaktif dengan kerajaan Obama sekarang. Kita telah bersikap pesimis sebelum ini, tetapi nyata sekali keadaan kita tidaklah lebih baik. Kegagalan Obama untuk melakukan perubahan seperti di Afghanistan, Iraq dan Iran adalah lantaran sistem pelobi tidak kita kuasai. Sistem inilah yang menjadi pembentuk dasar luar AS. Berapa banyak negara Islam yang memahami sistem pelobi ini untuk mempengaruhu dasar luar AS? Buku terbaik dan berterus terang yang wajib di baca untuk memahami sistem pelobi ini ialah ‘The Israel Lobby and US Foreign Policy’ ditulis oleh John J.Mearsheimer dan Stephen M.Walt. Berdasarkan buku ini, sudah timbul kegelisahan di kalangan para academia dan pembuat dasar AS akan tindakan keterlaluan pelobi Zionis dalam mempengaruhi dasar luar AS terutama terhadap dunia Islam. Mereka berpendapat, dasar luar AS harus lebih seimbang demi masa depan AS itu sendiri. Nah!, apa yang ditunggu lagi oleh Dunia Islam.

[+/-] Baca selanjutnya...