Friday, April 10, 2009

KRISIS POLITIK NEGARA - APA PILIHAN NAJIB?

Najib mewarisi perjuangan bapa
1. Negara telah menempa detik yang bersejarah. Bersejarah kerana buat pertama kali anak seorang mantan Perdana Menteri mewarisi kepimpinan negara. Apakah ini akan menjadi suatu kecenderungan baru dalam politik Malaysia yang mana kepemimpinan politik negara dimonopoli oleh beberapa keluarga yang berpengaruh seperti keluarga Gandhi di India dan Bhutto di Pakistan? Atau ini hanya suatu kebetulan atas usaha gigih sendiri. Kita lihatlah perkembangannya nanti.

Krisis politik berpunca dengan pemecatan Anwar Ibrahim

2. Kita semua maklum bahawa krisis politik dalam negara ini berpunca dari pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO oleh Dr.Mahathir pada 2 September 1998. Ya, sudah lebih 10 tahun berlalu, politik negara umpama dibadai ombak besar. Usaha untuk membunuh kredibiliti Anwar dengan pelbagai cara ternyata gagal walaupun seluruh jentera kerajaan digunakan sepenuhnya. Dr.Mahathir akhirnya berundur, Pak Lah pun berundur juga. Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang yang sangat digeruni apalagi di pentas rakyat. Masyarakat Cina, India, Kadazan kesemuanya melihat Anwar sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat dan boleh menjadi Perdana Menteri yang lebih baik dan adil kepada semua. Ini pandangan akar umbi yang sentiasa dinafikan oleh media perdana. Bagi media perdana, skripnya ialah Anwar Ibrahim pengkhianat negara dan boneka Barat yang harus ditentang habis-habisan demi masa depan negara dan survival orang Melayu.

Orang Melayu bimbang

3. Sempena hari bersejarah ini, pasti Najib mempunyai formula sendiri untuk menangani isu politik Melayu yang sangat gawat melebihi satu dasawarsa ini. Kebimbangan orang Melayu akan keterhakisan kuasa politik semakin ketara dan kuasa ekonomi yang semakin mengecil adalah suatu yang ‘real’. Ianya bukan digembar-gemburkan untuk tujuan tertentu. Suara-suara mengajak Parti Politik Melayu untuk bersatu semakin kuat kedengaran. Perbincangan sulit dan tertutup memang berlaku. Seminar dan Simposium pun dah banyak yang dianjur oleh NGO Melayu yang mulai tumbuh bak cendawan. Kesemuanya menyatakan kebimbangan yang amat sangat.

4. Malah ketika ada saja pertemuan antara pemimpin poltik Melayu, maka isu perpaduan Melayu sentiasa menyusul sebagai bahan perbincangan di kedai kopi. Pertemuan Pak Lah dan Anwar di Hulu Langat atas jemputan Ustaz Mahmud kerana Majlis Tamat Latihan Kerohanian selama 40 tahun juga menjadi perbualan hangat . Malangnya Pak Lah di penghujung riwayatnya sebagai Perdana Menteri. Tiada apa lagi yang dapat dilakukannya.

Pilihan Najib hanya satu

5.Najib sebenarnya hanya ada satu pilihan saja. Sebagai PM baru beliau mempunyai banyak ‘advantage’ untuk melakukan sesuatu yang drastik dan bermakna. Sebagai Perdana Menteri baru, rakyat akan mengambil sikap memberi peluang dan ruang dulu. Sikap tunggu dan lihat inilah memberi beliau sedikit ruang untuk bernafas bagi memikir dan bertindak.

Ikut Legasi Tun Razak

6. Pilihan yang ada bagi beliau ialah untuk menjejaki legasi bapanya, Allahyarham Tun Razak. Selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969 yang menumpahkan darah akibat krisis politik perkauman, Tun Razak telah mengambil strategi kurangkan politiking bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada pembangunan ekonomi dan negara. Jika kita lihat apa yang berlaku sekarang, krisis ekonomi dunia yang melanda menuntut pemimpin, rakyat dan negara untuk memberi keutamaan kepada strategi pemulihan ekonomi. Isu politik harus diselesaikan dengan cara yang matang sesegera yang mungkin.

7. Kita kena akui bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah faktor penting didalam sebarang usaha untuk memulihkan kekusutan politik yang berlaku sejak 10 tahun yang sudah. Hakikatnya kita telah mengambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikannya. Cara membunuh kredibiliti Anwar melalui perundangan dan fitnah ternyata telah ditolak oleh rakyat. Keputusan Pilihanraya Umum ke 12 membuktikannya. Isu Anwar adalah cetusan Dr.Mahathir, bukan Najib. Beliau tidak mempunyai sebarang ‘political baggage’. Pak Lah sebenarnya mempunyai peluang untuk melakukannya, cuma malangnya beliau dibayangi oleh Dr.Mahathir.

8. Anwar Ibrahim harus diterima sebagai entiti politik yang harus dihormati. Pengalaman beliau di dalam kerajaan banyak boleh dimanafaatkan. Menuduh beliau sebagai pengkhianat negara, boneka asing ternyata tidak berfaedah dan tidak dapat diterima oleh rakyat. Biro Tata Negara sudah 10 tahun menjaja isu ini. Hakikatnya, Anwar Ibrahim semakin popular dan masyarakat Cina dan India umumnya melihat beliau sebagai pemimpin mereka sendiri.

Tubuh Kerajaan Perpaduan Nasional Raya

9. Ide menubuhkan ‘Grand National Unity Government’ telah dilontarkan oleh beberapa pihak yang prihatin mengenai krisis politik yang berpanjangan ini. Malah Yang Berhormat Ustaz Abdul Hadi Awang difahamkan begitu berminat dengan ide ini. Bayangkan sekiranya Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bersetuju menubuhkan kerajaan campuran, maka rasanya krisis politik yang berlaku sekarang boleh diredakan. Tumpuan boleh diberikan kepada menangani krisis ekonomi yang melanda.

10. Cuma apa yang diperlukan ialah pemimpin yang berjiwa besar, yang sanggup mengorbankan kepentingan peribadi demi bangsa dan negara tercinta. Tun Razak dikenang sampai sekarang kerana jiwa besarnya menjemput PAS menyertai kerajaan Barisan Nasional. Legasi ini begitu berharga dan harus diteladani. Sekira anaknya pula mengikut jejak langkah ini, rasanya semua pihak akan berbangga dan pastinya gembira. Sepuluh tahun yang gawat akhirnya berpenghujung jua.

11. Bagi setengah pemimpin PAS yang pernah berpengalaman berada dalam kerajaan campuran dulu kemudian ditendang keluar oleh UMNO, pastinya pengalaman tersebut amat pahit untuk dijadikan pengajaran. Kita amat mengerti akan perasaan pesimis tersebut. Namun demikian apa pilihan kita? Generasi sudah berubah! Minda mereka juga telah banyak berubah. Apakah kita nak berterusan mengadu tenaga sampai Pilihanraya Umum ke 13? Rasanya kita kena meraikan juga faktor perubahan generasi di dalam apa jua percaturan politik kita. Malah komen Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang mengharapkan hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ketika Datuk Najib diumumkan sebagai Perdana Menteri adalah merupakan petanda baik kearah merealisasikan ide ini.

11. Terpulanglah kepada Datuk Najib untuk bertindak. Dayung ditangan anda! Peluang datang hanya sekali! Saya mendoakan kebaikan jua untuk agama, bangsa dan negara.

[+/-] Baca selanjutnya...

Thursday, March 19, 2009

ALHAMBRA - MENGENANG KEAGONGAN SILAM, PELAJARI KESILAPAN MALANG, MERINTIS JEJAK GEMILANG!

1. Inilah ungkapan yang boleh saya simpulkan setelah sempat melawat Kota Alhambra, Granada pada 2 – 3 March 2009 yang lalu. Suatu lawatan yang sarat dengan pelajaran bagi yang siapa mahu berfikir. Lawatan yang pertama kali dulu pada 21 Jun 2001, saya begitu kagum dengan keindahan Istana Nasriyyah dan Taman Jannatul ‘Arif atau dalam Bahasa Sepanyol, Generalife. Kagum dengan kehebatan senibena dan ketinggian seni ukir yang tiada tandingan sehingga sekarang. Tanggapan saya berhenti setakat itu. Kagum dan terpesona.

Ingin Membina Syurga di Dunia – Akibatnya Hina di Dunia, Akhirat entah ke mana!

2. Tapi kali ini tanggapan saya berlainan sekali. Ya, pastinya faktor umur dan pengalaman selang 8 tahun banyak mempengaruhi saya dalam menilai sesuatu. Saya kagum, ya masih begitu. Masakan tidak, berada di tengah istana yang serba cantik lagi menawan. Betapa seronoknya para pemerintah dan kaum kerabatnya hidup ketika itu. Desiran air pancur, kenyamanan udara gunung, keheningan suasana sekitar kolam yang berwarna warni dengan bunga yang harum dan mekar. Taman yang hebat dengan berbagai bunga yang tersusun cantik lagi berseri . Air pancur yang berdesiran setiap waktu mencipta ketenangan. Pemandangan kota Granada dan Albaicin jelas kelihatan di bawah umpama seseorang melihat dunia dari kayangan. Ya, pemerintah ketika itu ingin membina syurga di dunia, sedangkan syurga yang sebenar hanya di akhirat. Tidak mungkin membina syurga di dunia, kerana nantinya pasti merana dan hina. Itu lah yang terjadi kepada kerajaan Nasriyyah yang memerintah Andalusia dari 1238 – 1492 iaitu selama 254 tahun. Sesiapa juga yang telah menghuninya, pasti akan hilang semangat jihadnya lantaran keindahan syurga yang tidak mungkin dapat dibina di dunia fana ini.

3. Hakikat ini tercatat dalam sejarah kejatuhan Dinasti Nasriyyah yang terakhir pada 2 Januari 1492 ketika Sultan Muhammad XII atau lebih dikenali sebagai Sultan Boabdil menyerah diri kepada Raja Ferdinand II dari Aragon dan Permaisuri Isabella I dari Castille. Baginda menangis sedih atas peristiwa tersebut ketika meninggalkan Istananya dan melihatnya buat kali terakhir. Tangisannya itu ditegur oleh ibunya yang berkata, "Jangan kamu menangis macam perempuan, sedangkan kamu tidak mampu mempertahankannya sebagai seorang lelaki”.

Andalusia – Pencetus Kebangkitan Tamadun Barat


4. Islam telah mencipta sejarah ketamadunan yang sangat tinggi di Andalusia sejak memerintah selama 780 tahun iaitu dari tahun 712 – 1492M. Stanley Lane-Poole seorang sejarawan telah mengungkap kalimah berikut sebagai gambaran sumbangan besar umat Islam Andalusia kepada Tamadun Barat,

“Art, literature and science prospered as they then prospered nowhere else in Europe…. Mathematics, astronomy, botany, history, philosophy and jurisprudence were to be mastered in Spain, and Spain alone. Whatever makes a kingdom great and prosperous, whatever tends to refinement and civilization,was found in Muslim Spain….”

5. Malah tokoh Saintis dan Falsafah Islam saperti Ibn Rusd (Averroes), Ibn Sina ( Avicenna), Ibn Zuhr (Avenzoar), Al Khawarizmi (Algorizm), Al Razi (Razes) adalah antara tokoh yang menjadi pencetus kepada kebangkitan Eropah atau Rennaisance. Martin Luther (1483 – 1546) yang mencetus Gerakan Pembaharuan Keristian yang diberi nama Protestanism dikatakan pernah belajar di Andalus. Berkat ilmu dari ulama Andalus inilah agaknya memberi inspirasi kepada beliau untuk mencetuskan Reformasi dalam agama Keristian.

SunnatuLlah pasti berlaku

6. Namun demikian sejarah kegemilangan ini berakhir sebaik saja umat Islam Andalus tidak lagi berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar. Pemerintah menjadi zalim, peperangan sesama sendiri kerana kuasa menjadi lumrah, si kaya bertambah kaya dengan pemerasan orang miskin, si miskin semakin terpinggir, pengkhianatan sesama Islam sudah amalan biasa dan berbagai lagi kebejatan akhlak yang amat memualkan berlaku. Maka benarlah firman Allah ta’ala yang bermaksud, "Dan tidak pernah pula Kami membinasakan kota-kota kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman.” (Surah al-Qashash :59).

7. Apakah yang boleh kita pelajari dari sejarah ini? Harta, Wanita dan Tahta, 3 TA , apabila sudah menjadi Tuhan menggantikan Allah ta’ala di dalam kehidupan kita, maka bermulalah saat kejatuhan sesuatu bangsa walau sehebat mana sekalipun sejarah keagongannya. Inilah sunnatuLlah yang tidak pernah berubah sebagaimana firmanNya, "Sebagai Sunnah Allah yang berlaku atas orang-orang yang telah terdahulu sebelum (kamu), dan kamu sekali-kali tiada akan mendapati perubahan pada Sunnah Allah.” (Al Ahzab 33:62).

[+/-] Baca selanjutnya...

Saturday, February 21, 2009

MENGENANG EL-HAJJ MALIK EL-SHABAZZ (MALCOM X)

1. Hari ini 21 Februari 2009, genap 44 tahun Malcolm X mati syahid ditembak dengan 15 das tembakan oleh tiga lelaki anggota Nation of Islam ketika memberikan suatu syarahan di Audubon Ballroom, Manhattan, ketika berumor 40 tahun.

2. Malcolm X yang menukar namanya kepada el-Hajj Malik el-Shabazz setelah menunaikan haji dibunuh kerana ingin membetulkan aqidah Nation of Islam dari ‘Black Supremacy’ kepada ‘Supremacy of Islam’.

3. Beliau menyedari bahawa faham kebangsaan yang sempit lagi cauvinis amat bertentangan dengan Islam dan ingin melakukan pembetulan dan pembaharuan. Islam itu tulus dan murni dan setiap tindak tanduk seseorang haruslah kerana Allah ta’ala semata bukan kepada sesiapa apalagi manusia. Dalam hal ini Nation of Islam menganggap Elijah Muhammad, pengasasnya sebagai menyamai seorang Nabi. Inilah yang ingin diperbetulkannya sehingga beliau akhirnya mati syahid. Antara pendirian beliau yang tegas ialah apabila beliau menyatakan,” I am not educated, nor am I expert in any particular field… but I am sincere and my sincerity is my credential”.

4. Malcolm X sangat terkenal kerana kepetahannya berhujjah untuk membangkitkan semangat jati diri masyarakat kulit hitam dari penindasan dan diskriminasi masyarakat kulit putih ketika itu. Sejak beliau menjadi jurucakap Nation of Islam, jumlah ahlinya meningkat secara mendadak dari 500 orang kepada 30,000 ahli. Malah popularitinya begitu tinggi sehingga membayangi pengasasnya sendiri.

5. Namun apabila beliau menyedari bahawa Elijah Muhammad terjebak di dalam perlakuan zina sehingga melahirkan anak luar nikah, maka beliau memprotes kuat dan keluar dari Nation of Islam dan terus menubuhkan organisasi baru, Muslim Mosque Incorporated.

6. Melalui organisasi baru ini beliau mulai mengajar ajaran Islam yang murni dan mengkritik beberapa kesalahan ajaran Nation of Islam. Sekembalinya dari Mekah beliau mulai mempopularkan konsep persaudaraan Islam dan persaudaraan manusia sejagat.

7. Bibit ajaran Islam inilah yang telah menyelamatkan aqidah sebahagian besar pengikut Nation Of Islam yang menyebabkan keputusan dibuat untuk menamatkan riwayatnya.

8. Sumbangan terbesar Malcolm X ialah keberanian beliau menentang sistem penindasan baik dalam apa bentuk sekalipun. Perjuangan kebebasan beliau terungkap di dalam kata-katanya, “Power in defense of freedom is greater than power on behalf of tyranny and oppression, because power, real power, comes from our conviction which produces action, uncompromising action”.

9. Semoga rohnya di rahmati Allah ta’ala jua. Al Fatihah.

[+/-] Baca selanjutnya...

Friday, January 30, 2009

TABIK KEPADA PM ERDOGAN!

1. Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan telah mengejutkan para pemimpin dunia dan korporat apabila meninggalkan Sesi Forum mengenai Gaza di Persidangan Ekonomi Dunia di Davos pada 29 Januari 2009 dalam keadaan marah. Beliau ternyata amat tidak berpuashati dengan moderator Sesi Forum tersebut, David Ignatius, kolumnis Washington Post yang hanya memberi beliau hanya 12 minit untuk menghujjahkan pandangannya mengenai Perang Gaza, sedangkan Presiden Israel, Shimon Peres selama 25 minit. Baginya moderator ternyata berat sebelah dalam penggendalian Forum yang sangat penting tersebut. Beliau juga amat kecewa dengan tepukan gemuruh dari hadirin yang diberikan kepada Shimon Peres walaupun Rejim Haram tersebut telah membunuh 1,300 jiwa rakyat Palestin yang sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak.

2. Tindakan beliau yang keluar Majlis sebelum Sesi Forum tersebut tamat yang mana turut disertai oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki Moon dan juga Setiusaha Liga Arab, Amr Moussa selain Shimon Peres memang mengejutkan semua pihak. Tindakan drastik tersebut memang membuatkan semua orang kaget kerana Sidang Davos lazimnya berjalan dalam suasana serius dan hambar dengan ucapan-ucapan rhetorik dan pemanis kata.

ERDOGAN – PEMIMPIN ISLAM YANG DINANTIKAN?

3. Umum mengetahui bahawa Turki adalah antara negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik yang sangat intim dengan Israel selain Mesir dan Jordan. Tindakan Erdogan mengkritik Israel di hadapan Presidennya sendiri adalah suatu tindakan berani. Ianya menjadi lebih signifikan kerana aksi tersebut dilihat oleh pemimpin dunia, korporat dan media antarabangsa. Ketika dunia Islam terpingga-pingga mencari jalan keluar kepada serangan biadap Rejim Israel, dan Dunia Arab yang lesu dan tak boleh diharap, aksi marah Erdogan tersebut pastinya membangkitkan semangat umat Islam seluruh dunia.

4. Memang umat Islam amat menantikan seorang pemimpin yang berkaliber untuk membawa keluar dunia Islam dari kemelut dalaman yang melanda. Tindakan berani Erdogan telah menangkap imaginasi umat umpama kilat. Sebaik saja beliau mendarat di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, beliau disambut oleh ribuan rakyat Turki yang menyokong tindakannya itu sebagai kemenangan moral dan penyuntik semangat untuk membela keadilan sejagat. Beliau telah ditabal sebagai Pemimpin Dunia Islam oleh rakyat Turki. Rakyat Palestin pastinya menganggap Erdogan sebagai Salahuddin al-Ayubi abad ini. Malah rakyat Arab pula akan berasa malu dengan pemimpin mereka yang sentiasa dalam keadaan ketakutan, dan menjadikan Erdogan sebagai pemimpin mereka.

5. Sebelum ini Hugo Chavez, Presiden Venezuela telah disanjung oleh rakyat Arab kerana tindakan tegasnya memutuskan hubungan diplomatik dengan Isarael. Kemudian wartawan al-Baghdadia TV, Muntadhar al-Zaidi dianggap sebagai hero baru umat Islam kerana membaling kasut kepada Presiden George Bush ketika memberi ucapan perpisahan di Baghdad baru-baru ini. Sekarang giliran Erdogan pula diangkat menjadi penyelamat kepada maruah umat Islam yang telah begitu lama tercemar. Pemimpin Arab, khususnya Hosni Mubarak, Presiden Mesir pasti dah tak relevan lagi malah ramai yang secara terang-terangan mengecap beliau sebagai pengkhianat bangsa Arab kerana kerjasamanya dengan Israel dalam Perang Gaza ini.

6. Perkembangan ini sememangnya amat menarik kerana selama ini, Turki sebelum Erdogan sentiasa dilihat sebagai pro-Barat dan pro-Israel. Setelah aksi berani Erdogan di Davos ini, pastinya hubungan Turki dan Israel akan diuji ketahanannya. Apakah akan berlaku perubahan dasar luar Turki terhadap Israel? Bagaimana reaksi Amerika Syarikat di bawah Presiden Obama? Bagaimana pula reaksi Kesatuan Eropah yang sedang cuba memainkan peranan aktif di Timur Tengah? Kita lihatlah nanti bagaimana perkembangan ini bakal merubah sosio-politik dunia. Pastinya dunia Islam yang semacam ketandusan pemimpin yang berkaliber, menantikan saat-saat ini. Apakah Turki bakal kembali berperanan sebagai Pemimpin Dunia Islam sebagaimana Zaman Khalifah Uthmaniyyah dahulu. Sama-sama kita nantikan.

[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, January 21, 2009

Barack Hussein Obama - Peluang untuk Keamanan Dunia

1. Pemilihan Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke 44 pada 20 Januari yang lalu telah menarik minat banyak kalangan di seluruh dunia. Harapan tentunya amat tinggi untuk Amerika Syarikat memimpin dunia dengan cara yang lebih bertamadun berbanding kaedah perang yang dipelopori oleh Presiden Bush.

2. Darah campuran yang mengalir di dalam tubuhnya menyebabkan orang kulit putih, kulit hitam, orang Islam (kerana bapa dan bapa tirinya berugama Islam), Benua Afrika (bapanya berasal dari Kenya), Indonesia (bapa tirinya), kesemuanya merasa memiliki Obama. Ini tentunya telah menjadikan Obama sebagai tokoh dunia yang sangat popular pada saat ini. Dunia meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada beliau untuk keluar dari kemelut peperangan yang telah menelan jiwa yang cukup banyak.

3. Namun demikian, sebuah negara yang selama ini begitu bermaharajalela melakukan pembunuhan demi pembunuhan iaitu Israel ternyata mulai bimbang. Ini mudah untuk difahami kerana selama ini dokongan Amerika Syarikat yang tidak berbelah bagi terhadap segala tindak-tanduknya yang tidak berperikemanusian terhadap rakyat Palestin mungkin akan berubah. Pendidikan Obama yang tinggi memungkinkan beliau lebih faham dan mengerti akan keadilan sejagat.Sejarah Perjuangan Hak Asasi orang Kulit Hitam di Amerika Syarikat mungkin akan menjadikan beliau lebih mengerti akan keadilan dan hak asasi manusia. Sekiranya beliau meletakkan neraca keadilan sebagai paksi pemerintahannya, maka harapan untuk dunia ini menjadi aman adalah cerah.

4. Namun, sekiranya beliau tunduk kepada tekanan pelobi Zionis yang telah begitu lama mengakar di dalam sistem pemerintahan Amerika Syarikat, maka beliau akan menjadi seorang lagi boneka Zionis dari kalangan Presiden-Presiden sebelum ini.

5. Dunia Islam tidak harus bersikap tunggu dan lihat. Membiarkan pelobi Zionis terus menguasai Presiden Obama adalah suatu yang malang. Sistem Pemerintahan Amerika Syarikat menghalalkan sistem pelobi untuk membantu membuat keputusan negara. Sudah terlalu Zionis menguasai kaedah ini. Rasanya sudah tiba masanya pula untuk Dunia Islam menggunakan kaedah yang sama. Duit minyak yang begitu banyak harus digunakan untuk mendanai Kumpulan Pemikir (Think Tank) yang boleh mempengaruhi Dasar Luar Amerika Syarikat agar lebih adil dan saksama.

[+/-] Baca selanjutnya...

Thursday, January 15, 2009

BAPAK MOHAMAD NATSIR (1908 – 1993): APRESIASI GENERASI KEDUA AKTIVIS ISLAM MALAYSIA

** Artikel yang termuat dalam buku "MOHAMMAD NATSIR BERDAKWAH DIJALUR POLITIK BERPOLITIK DI JALUR DAKWAH" yang diterbitkan sempena Seminar Serantau Memperingati 100 Tahun Pahlawan Nasional Bapak Mohammad Natsir di KUIS pada 10 Januari yang lalu. Seminar adalah anjuran bersama WADAH dan KUIS

Ada tiga insiden yang benar-benar saya ingat, apabila memperkatakan mengenai Pak Natsir, seorang negarawan, pendakwah, intelektual, politikus di Alam Melayu dan Dunia Islam yang sangat saya hormati dan sanjungi.

Rasanya, hampir seluruh warga ABIM yang pernah bersua dengannya atau pernah membaca karyanya mempunyai apresiasi yang sama dengan saya. Ya, seorang tokoh yang amat susah untuk ditandingi. Seorang pendakwah yang amat merendah diri, sopan santun tetapi gigih berdakwah hingga ke hujung hayatnya. Seorang politikus yang Islami yang baginya politik itu untuk tujuan dakwah, bukan untuk mengejar pangkat dan kedudukan. Seorang intelektual yang luas jangkauan ilmunya yang banyak menyiapkan landasan intelektual di dalam pembinaan negara dan bangsa di awal kemerdekaan. Seorang negarawan yang sentiasa sanggup mengorbankan kepentingan peribadi demi kesejahteraan bangsa dan negara. Juga seorang tokoh Islam yang disanjungi Dunia kerana peranan aktifnya memperjuangkan keadilan sejagat tanpa mengira bangsa, negara dan agama.

Begitulah sosok peribadi yang amat payah dicari ganti. Menghargai akan pengorbanan dan perjuangannya, bukan tujuan untuk mengagung-agungkannya. Kalau itu nawaitunya, saya yakin seandai beliau boleh berkata-kata, pasti akan dibantah sekeras-kerasnya. Kita menghargai dan memperingatinya kerana kita amat merindukan akan lahir Natsir-Natsir baru yang bakal meneruskan jejak langkah perjuangannya bagi menebus maruah umat yang telah dirobek-robek ketika ini.

Ya, umat amat memerlukan tokoh-tokoh seperti Pak Natsir. Bukan seorang atau dua. Tapi kalau boleh berpuluh malah beratus Natsir –Natsir baru.INSIDEN PERTAMA – BERTAMU DI RUMAHNYA

Sebagai generasi kedua ABIM, saya memang kerap mendengar nama Pak Natsir dan Dewan Dakwah Islamiyyah disebut di dalam siri perbincangan ABIM terutama ketika menyentuh persoalan dakwah di Indonesia. Bukunya Fiqhud Da’wah sentiasa menjadi rujukan Usrah. Tetapi, orangnya belum pernah ditemui. Gambaran saya mengenai Pak Natsir adalah saperti tokoh-tokoh dakwah antarabangsa yang kerap berkunjung ke Malaysia. Petah berbicara, penampilan yang ‘dominant’ dan agresif.

Tanpa diduga, kesempatan untuk bertemu dengan orang yang selalu disebut-sebut di dalam Usrah akhirnya menjadi realiti. Pada 12 -15 Februari 1989, World Assembly of Muslim Youth (WAMY) menganjurkan ‘Regional Islamic Science Conference for Asia Pacific’ di Hotel Horison, Jakarta. Ketika itu saya bekerja dengan Sdr Kamaruddin Md.Nor yang merupakan wakil WAMY untuk Asia Pasifik, penganjur bersama Persidangan tersebut. Persidangan yang dirasmikan oleh B.J.Habibie, Menteri Riset dan Teknologi ketika itu mengumpulkan para saintis Muslim di Asia Pasifik untuk membincangkan mengenai peranan mereka dalam pembangunan umat Islam.

Memandangkan ramai para saintis dari Malaysia adalah pimpinan ABIM, maka diatur satu pertemuan dengan Pak Natsir di rumahnya di Jalan Cokroaminoto, Jakarta. Almarhum Bang Hussein Umar dan Mazni Yunus dari Dewan Dakwah mengatur pertemuan tersebut setelah usai persidangan.

Saya memang begitu gembira sekali kerana inilah pertemuan yang memang saya nanti-nantikan. Bertemu dengan tokoh dakwah Indonesia yang sentiasa dianggap sebagai ‘orang tua’ ABIM didalam kerja-kerja dakwah.

Seramai 20 orang para Saintis dari Malaysia yang kebanyakannya ahli ABIM bertamu ke rumah Pak Natsir pada waktu yang telah ditetapkan. Saya kaget kerana rumahnya amat sederhana sekali dan apabila Pak Natsir muncul, ketika itu beliau sudah berumur 81 tahun, menyambut kami, ternyata gambaran saya mengenai beliau amat meleset sekali.

Orangnya amat mudah melempar senyuman, berkata dengan lemah lembut tapi teratur, penampilannya begitu sederhana dan bersahaja. Begitu terasa akan keramahan dan kesantunannya. Walaupun sudah berumur 81 tahun, fikirannya tetap bernas dan tajam. Ketokohannya begitu menyerlah.

Setelah bertanya khabar masing-masing, kami terus memulai perbincangan mengenai perkembangan politik dan dakwah di Malaysia, Indonesia dan Dunia Islam amnya. Banyak isu yang disentuh untuk mendapatkan pandangan dan nasihat darinya. Beliau agak optimis dengan perkembangan dakwah diseluruh dunia termasuk di Indonesia. Cabaran itu tetap ada disepanjang zaman, katanya. Ini semua adalah lumrah kepada setiap sosok peribadi yang ingin terjun sebagai pendakwah. Ianya adalah sebagai ujian yang mesti ditempuhi, samada suka atau tidak.

Pertemuan mesra tersebut berakhir dengan makan tengahari. Bagi saya pertemuan tersebut amat penting dan bersejarah bagi hidup saya. Bertemu seorang tokoh besar yang mengabdikan diri seluruhnya di jalan Allah s.w.t. Beliau tidak pernah meminta supaya jasanya dibalas oleh sesiapa. Cukup baginya dengan mardhatiLlah semata.

INSIDEN KEDUA – SEMPAT SOLAT JENAZAH PAK NATSIR

Insiden kedua yang masih segar dalam ingatan ialah apabila menerima berita Pak Natsir meninggal dunia.
Ketika menerima berita dari Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia yang memaklumkan bahawa Pak Natsir telah kembali ke RahmatuLlah pada 6 Februari 1993, kami di Sekretariat ABIM terkejut dan tergamam. Walaupun Pak Natsir jauh di Indonesia, kami di ABIM sentiasa menganggap beliau sebagai ‘orang tua’ yang sentiasa dirujuk dan dihormati. Bila berkunjung saja ke Jakarta, antara acara wajib ialah ke kantor Dewan Dakwah untuk mendapatkan nasihat dari Pak Natsir.

ABIM segera memutuskan agar Presiden ketika itu, Dr.Muhammad Nur Manuty harus mewakili ABIM menghadiri upacara pengkebumian Pak Natsir. Saya ketika itu sebagai Penolong Setiausaha Agung di minta untuk menguruskan penerbangan ke Jakarta dan mengiringi sdr Presiden. Ketika kami sampai di Dewan Dakwah, ternyata begitu ramai rakan-taulan, sahabat handai, kenalan jauh dan dekat yang telah pun sampai untuk sama-sama menyempurnakan solat jenazah untuk tokoh yang banyak berjasa kepada nusa dan bangsa ini. Keadaan benar-benar macet (istilah di Indonesia bagi menggambarkan kesesakan lalu-lintas) di Jalan Kramat Raya tersebut. Hujan pula turun seolah-olah turut bersedih di atas pemergian Pak Natsir. Suasana di Dewan Dakwah terasa begitu sayu sekali. Masing-masing mungkin menghimbau kenangan manis bersama Pak Natsir.

Sebaik sampai di perkarangan Dewan Dakwah, kami segera ke Musolla di tingkat tiga yang telah pun penuh dengan jemaah yang telah bersedia untuk memulakan solat. Alhamdulillah, kami sempat menyelit di antara saf yang begitu rapat untuk sama-sama solat jenazah. Seusai solat, kami pun bersilaturrahmi dengan para pemimpin Dewan Dakwah yang sempat ditemui seperti Pak Anwar Haryono, Bang Hussein Umar dan lain-lain menyampaikan ucapan takziah bagi pihak ABIM yang turut merasai kehilangan ‘orang tua’.

Pak Natsir sesungguhnya telah mewariskan kepada generasi pelanjut perjuangan dakwah ini sejumlah khazanah pengalaman selama selama 85 tahun kehidupannya yang sarat dengan pengorbanan yang amat sukar untuk ditandingi. Beliau adalah seorang mujahid ,sebenar-benar mujahid.

“Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati: bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka, dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka. Bahawa tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati.” (Ali Imran 3:169-170)

INSIDEN KETIGA – MENUNAI WASIAT PAK NATSIR

Adapun insiden ketiga ialah pada awal tahun 2000, iaitu setelah 7 tahun Pak Natsir kembali bertemu Sang Penciptanya, saya dikunjungi oleh Pak Basyir Gani, pimpinan Pesantren Buya HAMKA di Danau Maninjau, PADANG. Pak Basyir adalah ‘orang kuat’ Pak Natsir di Danau Maninjau.

Pak Basyir menyatakan kepada saya bahawa beliau sedang mengusahakan sebuah pesantren di Danau Maninjau yang bertujuan untuk memperingati Buya HAMKA. Danau Maninjau adalah tempat kelahiran Buya HAMKA. Katanya, Pak Natsir pernah mewasiatkan kepada beliau bahawa banyak Pesantren yang menggunakan nama HAMKA, tetapi tidak di tempat kelahiran beliau sendiri di Danau Maninjau. Mengapa tidak diusahakan sebuah Pesantren di Danau Maninjau bagi melahirkan HAMKA-HAMKA baru untuk abad mendatang?

Jadi, kedatangan Pak Basyir Gani ke Pejabat ABIM adalah untuk mengajak ABIM sama-sama merealisasikan wasiat Pak Natsir ini. Mendengar wasiat tersebut dari Pak Basyir, saya lantas bersetuju dan berjanji akan membantu sedaya yang mungkin, walaupun tahu diri bahawa ABIM sendiri sentiasa tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk melaksanakan kerja dakwah yang begitu banyak, di dalam maupun di luar negara.

Sejak perjumpaan tersebut, setiap menjelang 24 Julai setiap tahun (tahun Buya HAMKA meninggal dunia), rombongan ABIM melawat Danau Maninjau untuk memperingati HAMKA di bawah program Jejak Ulama dan juga beramah mesra dengan pimpinan Pesantren dan juga para pelajarnya. Setiap ahli rombongan dimaklumkan mengenai wasiat Pak Natsir tersebut, dan masing-masing menghulur dana yang termampu bagi menambah kemudahan asrama yang tidak mencukupi. Pada tahun 2003, hasil dari sumbangan ahli rombongan, sebuah asrama menelan belanja RM50,000 telah berjaya dibina. Kemudian, Yayasan Takmir Pendidikan ABIM menghantar guru-guru pakar ke sana secara berkala untuk meningkatkan kualiti pengajaran guru di Pesantren.
Bagi saya, adalah menjadi suatu kewajipan untuk menunaikan wasiat seseorang. Apalagi wasiat seorang tokoh yang sangat disanjung dan di hormati saperti Pak Natsir.
APRESIASI AKTIVIS ISLAM MALAYSIA
Bagi saya Pak Natsir adalah tokoh besar yang mendahului zamannya. Kekuatan inteleknya, memungkinkan banyak isu-isu yang melatari perjuangannya ditangani dengan sentuhan intelektualisme yang tinggi. Isu-isu yang menjadi polemik di Malaysia ketika ini seperti demokrasi, negara Islam, sekularisme, perkauman, Islamophobia dan xenophobia telah beliau bahas dengan mendalam ketika Indonesia masih di dalam pembentukan sebagai sebuah negara yang merdeka.

Bagi saya, di dalam suasana politik negara yang sedang mengalami proses ‘rethinking’ dan ‘reconstructing’, setelah Pilihanraya ke 12 yang lalu, pemikiran Pak Natsir amatlah relevan untuk ditelaah dan dikaji oleh setiap ahli politik di Malaysia. Buku beliau ‘Agama dan Negara Dalam Perspektif Islam’ yang merupakan koleksi tulisan beliau sejak tahun 1931 sehingga 1987 adalah merupakan suatu khazanah intektual yang sangat penting untuk pembangunan sebuah negara-bangsa. Berkaitan dengan itu, polemik Negara Islam dan Perlaksanaan Hukum Hudud yang sentiasa hangat diperdebatkan di kalangan Parti-Parti Politik Malaysia sehingga hari ini, harus belajar memanfaatkan pemikiran Pak Natsir keseluruhannya. Kita tidak perlu pergi terlalu jauh ke negara Barat untuk mencari jalan penyelesaian. Pengalaman politik membangun negara –bangsa di Indonesia ternyata jauh lebih realistik untuk kita pelajari di Malaysia. Seeloknya, buku ‘Agama dan Negara Dalam Perspektif Islam’ harus menjadi bahan bacaan wajib dan diwacanakan oleh sesiapa juga yang terlibat di dalam proses pembinaan negara-bangsa yang semakin banyak dipolemikkan di Malaysia ketika ini.

Meneliti sejarah hidup Pak Natsir, saya boleh merumuskan bahawa keseluruhan hidupnya adalah berpaksikan ummah – ‘ummah-centric’. Beliau memperhambakan dirinya demi ummah yang tercinta. Beliau menolak tawaran biasiswa Belanda untuk meneruskan pendidikan di dalam sistem pendidikan Belanda yang menjanjikan pendapatan lumayan dan status yang tinggi, kerana ingin mengangkat martabat umat melalui pendidikan. Beliau mendirikan Institusi Pendidikan Islam (PENDIS) di Bandung pada tahun 1932 dengan tujuan melahirkan generasi yang berpendidikan moden, tetapi mengakar kefahaman dan penghayatan agamanya. Pengorbanan sebegini sememangnya amat diperlukan terutama bagi mereka yang telah membabitkan diri didalam gelanggang dakwah. Seringkali berlaku, para pendakwah terpaksa membuat pilihan samada memilih kepentingan peribadi atau umat, atau korbankan kepentingan peribadi demi umat tercinta. Pak Natsir memilih jalan mengorbankan cita-cita peribadi demi umat tercinta. Beliau memang tidak kaya di segi material atau kemewahan dunia,tetapi kaya di segi perjuangan dan pengorbanan. Inilah peribadi tauladan yang sekiranya dapat diikuti oleh generasi muda, maka akan ramailah Natsir-Natsir baru yang akan lahir.

Satu hal yang menarik perhatian saya mengenai Pak Natsir ialah beliau tidak mendapat pendidikan formal agama dalam pengertian meraih sarjana dalam bidang pengajian Islam, tetapi kupasannya mengenai agama begitu mendalam . Malah dalam banyak hal, kefahamannya mengenai agama terutama di dalam konteks perubahan sosial dan manhaj da’wah jauh lebih baik dari kupasan mereka yang mendapat pendidikan Islam secara formal. Bacalah bukunya ‘Fiqhud Da’wah’, nanti anda akan mengerti maksud saya.

Menyedari bahawa kekuatan umat amat bergantung kepada kekentalan kesatuan ulama dan intelektual di dalam menangani permasalahan umat, Pak Natsir sentiasa menekankan peri pentingnya kedua golongan ini saling memahami akan kekuatan masing-masing agar persefahaman bertambah mantap dan padu. Oleh kerana itulah agaknya maka slogan ‘Mengulamakkan Intelektual, Mengintelektualkan Ulama’ menjadi dasar penting di dalam Gerakan Dakwah. Malah ABIM mendapat banyak menafaat dari slogan ini sehinggakan kekuatan ABIM sebagai sebuah Gerakan Dakwah yang berpengaruh di Malaysia ialah kerana gabungan kedua kekuatan ini.

Bagi saya terlalu banyak yang boleh diperkatakan mengenai Pak Natsir sebagai apresiasi generasi kedua aktivis Islam di Malaysia. Banyak yang boleh dipelajari dan dicontohi. Walaupun hanya sempat seketika dengan beliau dalam waktu yang sangat terhad, tetapi saya merasakan ketokohan yang Allah ta’ala anugerahkan kepada beliau dapat dirasai oleh generasi mendatang. Buku-bukunya walau ditulis di dalam konteks dan sikon yang berbeza, tetapi banyak ilmu yang dapat digali bagi yang serius ingin mengkaji dan belajar darinya. Pastinya saya akan terus mengkaji dan belajar darinya di setiap kesempatan yang ada. Mudah-mudahan Allah ta’ala menerima kesemua amalannya dan diberi ganjaran syurga yang dijanjikan. Aamin.

[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, January 7, 2009

ENAM SEBAB MENGAPA GAZA DISERANG?

Hari ini sudah masuk hari yang 12, tentera haram Israel menyerang Gaza sebuah penjara seluas 360 km persegi, mempunyai penduduk terpadat di dunia, iaitu seramai 1.5 juta rakyat Palestin. Lebih 500 jiwa terkorban, ramai wanita dan kanak-kanak dan beribu lagi cedera. Pelbagai senjata canggih, kapalterbang buatan Amerika Syarikat, kereta kebal dan kapal perang telah digunakan untuk membunuh pemimpin dan pejuang HAMAS yang hanya bersenjatakan roket buatan sendiri dan senjata ringan.

TAK PERNAH AKUR DENGAN RESOLUSI PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU

Rejim haram Israel sejak tahun 1948 lagi sehingga sekarang tidak pernah memperdulikan kemarahan dunia terhadapnya. Sejumlah 66 Resolusi Bangsa Bersatu mengutuk kekejaman yang dilakukannya terhadap rakyat Palestin tidak pernah diendahkannya. Amerika Syarikat, kononnya juara Demokrasi dunia sentiasa pula menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan sebarang Resolusi yang menggutuk Rejim haram ini.

Umat Islam sebenarnya sudah hilang kepercayaan terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Liga Arab atau apa jua Pertubuhan Antarabangsa yang ujud dewasa ini. Mana tidak, sudah 60 tahun, isu Israel yang tak pernah peduli dengan Undang-Undang Antarabangsa, masih bermaharajalela ,malah semakin angkuh dan sombong.


BERDAMAI DENGAN ISRAEL?

Entah berapa kali Sidang Kemuncak diadakan, satu pun tak menjadi. Setiap kali, Israel yang menggagalkannya. Kali terakhir, inisiatif Arab Saudi yang mana Dunia Islam akan mengiktiraf Israel sekiranya Israel kembali ke sempadan tahun 1967 dan sanggup berkongsi Baitul Maqdis. Kompromi ini sangatlah memedihkan hati umat Islam, apalagi rakyat Palestin kerana terpaksa mengiktiraf Israel, namun ini semua tidak pernah dihargai oleh Rejim Haram ini. Serangan terhadap Gaza pada 27 Disember yang lalu, ketika umat Islam merayakan Awal Muharam 1430 memusnahkan segala harapan untuk berdamai dengan Israel. Rasanya, tiada siapa lagi yang percaya jalan perdamaian dengan bangsa yang sangat degil ini. Angkuh dan sombong!

MENGAPA MENYERANG GAZA ?

Bagi saya, ada enam sebab mengapa Gaza diserang pada waktu ini. Alasan lain boleh ditambah,tetapi rasanya enam sebab ini yang paling menon jol yang perlu kita fahami.

UNTUK MENANG PILIHANRAYA

Pertama, ianya ada kaitan dengan perebutan kuasa di pentas politik negara Israel itu sendiri. Umum mengetahui bahawa tarikh 10 Februari 2009, adalah tarikh pilihanraya umum Israel. Tiga parti terbesar sedang bersaing untuk merebut kuasa politik iaitu Parti Likud yang diketuai oleh Benyamin Netanyahu, Parti Pembangkang yang sedang mendahului, Parti Buruh yang diketuai oleh Ehud Barak yang juga Menteri Pertahanan dan Parti Kadima yang diketuai oleh Tzipi Livni, Menteri Luar.
Nyawa rakyat Palestin di Gaza dijadikan bahan kempen politik oleh Parti Buruh dan Parti Kadima untuk mengalahkan Parti Likud. Ternyata benar sekali percaturan mereka. Setelah 12 hari Gaza bermandikan darah para syuhada’, Parti Buruh dan Parti Kadima mendapat kembali sokongan populariti rakyat Israel.

MELUMPUHKAN HAMAS

Kedua, Israel tidak mampu untuk menghadapi sebuah kerajaan Palestin yang kuat dan berpengaruh. Survival Israel bergantung kepada kelemahan dan konflik dalaman antara Pejuang Palestin. Setelah Yasir Arafat dibunuh kredibilitinya, dan kemudian meninggal dunia, HAMAS tampil sebagai pengganti. Kali ini kekuatan HAMAS begitu menyerlah sehingga mampu melancarkan roket buatan sendiri yang mengancam keselamatan rakyat Israel. Juga kekuatan politik HAMAS begitu menyerlah sehingga mampu mentadbir keseluruhan Palestin walaupun tanpa FATAH. Jadi, Israel terpaksa membunuh keseluruhan pemimpin HAMAS dan juga menghapuskan ancaman roket Qassam HAMAS demi survival negara Israel itu.

MENCARI PENGGANTI ABBAS SEBAGAI BONEKA BARU

Ketiga, Israel terpaksa mencari pengganti Mahmoud Abbas sebagai Presiden Palestin yang tamat tempoh jawatannya pada 9 Januari 2009. Mahmoud Abbas dipilih menjadi Presiden Palestin menggantikan Yasir Arafat pada Januari 2005 untuk selama empat tahun. Setelah itu, pilihanraya memilih Presiden mesti diadakan mengikut Perlembagaan Palestin.

Masalah bagi Israel ialah siapa dia pengganti yang ‘moderat’ seperti Mahmoud Abbas? Kalau mengikut sentimen rakyat Palestin, pengganti yang sesuai ialah dari kalangan pemimpin HAMAS. Ini yang menakutkan Israel. Justeru itu serangan keatas Gaza ialah bagi menghapus pemimpin HAMAS. Mereka telah mencuba membunuh pemimpin utama HAMAS iaitu Khalid Mishaal di Amman, Jordan, tetapi gagal. Tetapi mereka berjaya membunuh Sheikh Yasin, Pengasas HAMAS.
Jadi dengan serangan ini, pilihanraya tidak mungkin dapat diadakan. Alasannya, Palestin dalam keadaan tidak stabil untuk pilihanraya. Maka, Mahmoud Abbas akan terus memerintah sehingga sempat dicipta seorang lagi boneka Yahudi untuk menggantikannya.

MEMULIH MARUAH TENTERA
Keempat, setelah Israel tewas dengan Hizbullah di dalam Perang Lebanon pada tahun 2006, moral tentera Yahudi tersebut amatlah rendah. Maruah mereka sebagai negara ketenteraan yang terkuat di Timur Tengah telah tercalar. Serangan ke atas Gaza adalah untuk menebus maruah tersebut dan juga untuk memulih keyakinan rakyatnya bahawa mereka dalam keadaan selamat.

MENGIKAT OBAMA DENGAN DASAR PRO-ISRAEL

Kelima, Israel mesti memastikan sokongan Amerika Syarikat tetap tidak berbelah bagi terhadap negaranya. Mereka tahu bahawa sebaik saja Amerika Syarikat cuba menjadi orang tengah yang adil di dalam krisis Palestin ini, akan menyebabkan survival negara Israel tersebut terancam. Kemenangan Barack Hussein Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru cukup membimbangkan mereka. Obama seorang yang terbuka dan lebih liberal. Ini adalah kerana bapa dan bapa tirinya adalah beragama Islam. Walau Obama menegaskan bahawa beliau adalah seorang Keristian, pendedahan kepada agama Islam walaupun tidak seberapa ketika beliau masih kanak-kanak lagi, mesti ada kesan terhadap sikap dan perwatakannya.

Justeru itu, bagi mengikat Obama supaya terus dengan Dasar White House sebelum ini, maka serangan ini sebelum Obama menjadi Presiden adalah langkah 'pre-emptive’ yang amat wajar.

BERDAMAI CARA ISRAEL – UJUD NEGARA BONEKA PALESTIN
Keenam, Israel sejak tahun 1948, sememangnya tidak pernah berminat untuk berdamai dengan rakyat Palestin. Amerika Syarikat telah beberapa kali cuba untuk mengadakan Perjanjian Damai. Presiden Jimmy Carter adalah antara Presiden yang sangat serius di dalam usaha perdamaian ini. Perjanjian Kem David adalah usaha beliau yang ikhlas.

Namun, Israel tetap dengan perangainya yang degil, angkuh dan sombong. Kesemua perjanjian damai sentiasa berakhir dengan pencabulan oleh Israel sendiri. Inisiatif yang mutakhir kali ini ialah dari Arab Saudi sendiri. Inisiatif yang memaksa dunia Arab mengiktiraf kewujudan Israel dan sebagai gantinya, Israel kembali ke sempadan tahun 1967, dan Baitul Maqdis menjadi milik bersama, dan mengiktiraf kewujudan negara Palestin. Pelan Damai ini sememangnya perit untuk diterima. Umpama kita terpaksa mengiktiraf perompak yang telah merampas hak kita. Namun demikian demi semangat cintakan perdamaian setelah lebih 60 tahun berbunuhan, dengan berat hati terimalah juga.

Namun, untuk kesekian kalinya, serangan terhadap Gaza telah memusnahkan segala-galanya. Pengorbanan dan sikap tolak-ansur negara Arab langsung tak pernah dihargai oleh Bangsa Yahudi ini. Negara Arab harus tahu diri. Sebarang usaha perdamaian harus mengikut terma Israel. Tanda titik.

7 Januari 2009

[+/-] Baca selanjutnya...