Thursday, January 15, 2009

BAPAK MOHAMAD NATSIR (1908 – 1993): APRESIASI GENERASI KEDUA AKTIVIS ISLAM MALAYSIA

** Artikel yang termuat dalam buku "MOHAMMAD NATSIR BERDAKWAH DIJALUR POLITIK BERPOLITIK DI JALUR DAKWAH" yang diterbitkan sempena Seminar Serantau Memperingati 100 Tahun Pahlawan Nasional Bapak Mohammad Natsir di KUIS pada 10 Januari yang lalu. Seminar adalah anjuran bersama WADAH dan KUIS

Ada tiga insiden yang benar-benar saya ingat, apabila memperkatakan mengenai Pak Natsir, seorang negarawan, pendakwah, intelektual, politikus di Alam Melayu dan Dunia Islam yang sangat saya hormati dan sanjungi.

Rasanya, hampir seluruh warga ABIM yang pernah bersua dengannya atau pernah membaca karyanya mempunyai apresiasi yang sama dengan saya. Ya, seorang tokoh yang amat susah untuk ditandingi. Seorang pendakwah yang amat merendah diri, sopan santun tetapi gigih berdakwah hingga ke hujung hayatnya. Seorang politikus yang Islami yang baginya politik itu untuk tujuan dakwah, bukan untuk mengejar pangkat dan kedudukan. Seorang intelektual yang luas jangkauan ilmunya yang banyak menyiapkan landasan intelektual di dalam pembinaan negara dan bangsa di awal kemerdekaan. Seorang negarawan yang sentiasa sanggup mengorbankan kepentingan peribadi demi kesejahteraan bangsa dan negara. Juga seorang tokoh Islam yang disanjungi Dunia kerana peranan aktifnya memperjuangkan keadilan sejagat tanpa mengira bangsa, negara dan agama.

Begitulah sosok peribadi yang amat payah dicari ganti. Menghargai akan pengorbanan dan perjuangannya, bukan tujuan untuk mengagung-agungkannya. Kalau itu nawaitunya, saya yakin seandai beliau boleh berkata-kata, pasti akan dibantah sekeras-kerasnya. Kita menghargai dan memperingatinya kerana kita amat merindukan akan lahir Natsir-Natsir baru yang bakal meneruskan jejak langkah perjuangannya bagi menebus maruah umat yang telah dirobek-robek ketika ini.

Ya, umat amat memerlukan tokoh-tokoh seperti Pak Natsir. Bukan seorang atau dua. Tapi kalau boleh berpuluh malah beratus Natsir –Natsir baru.INSIDEN PERTAMA – BERTAMU DI RUMAHNYA

Sebagai generasi kedua ABIM, saya memang kerap mendengar nama Pak Natsir dan Dewan Dakwah Islamiyyah disebut di dalam siri perbincangan ABIM terutama ketika menyentuh persoalan dakwah di Indonesia. Bukunya Fiqhud Da’wah sentiasa menjadi rujukan Usrah. Tetapi, orangnya belum pernah ditemui. Gambaran saya mengenai Pak Natsir adalah saperti tokoh-tokoh dakwah antarabangsa yang kerap berkunjung ke Malaysia. Petah berbicara, penampilan yang ‘dominant’ dan agresif.

Tanpa diduga, kesempatan untuk bertemu dengan orang yang selalu disebut-sebut di dalam Usrah akhirnya menjadi realiti. Pada 12 -15 Februari 1989, World Assembly of Muslim Youth (WAMY) menganjurkan ‘Regional Islamic Science Conference for Asia Pacific’ di Hotel Horison, Jakarta. Ketika itu saya bekerja dengan Sdr Kamaruddin Md.Nor yang merupakan wakil WAMY untuk Asia Pasifik, penganjur bersama Persidangan tersebut. Persidangan yang dirasmikan oleh B.J.Habibie, Menteri Riset dan Teknologi ketika itu mengumpulkan para saintis Muslim di Asia Pasifik untuk membincangkan mengenai peranan mereka dalam pembangunan umat Islam.

Memandangkan ramai para saintis dari Malaysia adalah pimpinan ABIM, maka diatur satu pertemuan dengan Pak Natsir di rumahnya di Jalan Cokroaminoto, Jakarta. Almarhum Bang Hussein Umar dan Mazni Yunus dari Dewan Dakwah mengatur pertemuan tersebut setelah usai persidangan.

Saya memang begitu gembira sekali kerana inilah pertemuan yang memang saya nanti-nantikan. Bertemu dengan tokoh dakwah Indonesia yang sentiasa dianggap sebagai ‘orang tua’ ABIM didalam kerja-kerja dakwah.

Seramai 20 orang para Saintis dari Malaysia yang kebanyakannya ahli ABIM bertamu ke rumah Pak Natsir pada waktu yang telah ditetapkan. Saya kaget kerana rumahnya amat sederhana sekali dan apabila Pak Natsir muncul, ketika itu beliau sudah berumur 81 tahun, menyambut kami, ternyata gambaran saya mengenai beliau amat meleset sekali.

Orangnya amat mudah melempar senyuman, berkata dengan lemah lembut tapi teratur, penampilannya begitu sederhana dan bersahaja. Begitu terasa akan keramahan dan kesantunannya. Walaupun sudah berumur 81 tahun, fikirannya tetap bernas dan tajam. Ketokohannya begitu menyerlah.

Setelah bertanya khabar masing-masing, kami terus memulai perbincangan mengenai perkembangan politik dan dakwah di Malaysia, Indonesia dan Dunia Islam amnya. Banyak isu yang disentuh untuk mendapatkan pandangan dan nasihat darinya. Beliau agak optimis dengan perkembangan dakwah diseluruh dunia termasuk di Indonesia. Cabaran itu tetap ada disepanjang zaman, katanya. Ini semua adalah lumrah kepada setiap sosok peribadi yang ingin terjun sebagai pendakwah. Ianya adalah sebagai ujian yang mesti ditempuhi, samada suka atau tidak.

Pertemuan mesra tersebut berakhir dengan makan tengahari. Bagi saya pertemuan tersebut amat penting dan bersejarah bagi hidup saya. Bertemu seorang tokoh besar yang mengabdikan diri seluruhnya di jalan Allah s.w.t. Beliau tidak pernah meminta supaya jasanya dibalas oleh sesiapa. Cukup baginya dengan mardhatiLlah semata.

INSIDEN KEDUA – SEMPAT SOLAT JENAZAH PAK NATSIR

Insiden kedua yang masih segar dalam ingatan ialah apabila menerima berita Pak Natsir meninggal dunia.
Ketika menerima berita dari Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia yang memaklumkan bahawa Pak Natsir telah kembali ke RahmatuLlah pada 6 Februari 1993, kami di Sekretariat ABIM terkejut dan tergamam. Walaupun Pak Natsir jauh di Indonesia, kami di ABIM sentiasa menganggap beliau sebagai ‘orang tua’ yang sentiasa dirujuk dan dihormati. Bila berkunjung saja ke Jakarta, antara acara wajib ialah ke kantor Dewan Dakwah untuk mendapatkan nasihat dari Pak Natsir.

ABIM segera memutuskan agar Presiden ketika itu, Dr.Muhammad Nur Manuty harus mewakili ABIM menghadiri upacara pengkebumian Pak Natsir. Saya ketika itu sebagai Penolong Setiausaha Agung di minta untuk menguruskan penerbangan ke Jakarta dan mengiringi sdr Presiden. Ketika kami sampai di Dewan Dakwah, ternyata begitu ramai rakan-taulan, sahabat handai, kenalan jauh dan dekat yang telah pun sampai untuk sama-sama menyempurnakan solat jenazah untuk tokoh yang banyak berjasa kepada nusa dan bangsa ini. Keadaan benar-benar macet (istilah di Indonesia bagi menggambarkan kesesakan lalu-lintas) di Jalan Kramat Raya tersebut. Hujan pula turun seolah-olah turut bersedih di atas pemergian Pak Natsir. Suasana di Dewan Dakwah terasa begitu sayu sekali. Masing-masing mungkin menghimbau kenangan manis bersama Pak Natsir.

Sebaik sampai di perkarangan Dewan Dakwah, kami segera ke Musolla di tingkat tiga yang telah pun penuh dengan jemaah yang telah bersedia untuk memulakan solat. Alhamdulillah, kami sempat menyelit di antara saf yang begitu rapat untuk sama-sama solat jenazah. Seusai solat, kami pun bersilaturrahmi dengan para pemimpin Dewan Dakwah yang sempat ditemui seperti Pak Anwar Haryono, Bang Hussein Umar dan lain-lain menyampaikan ucapan takziah bagi pihak ABIM yang turut merasai kehilangan ‘orang tua’.

Pak Natsir sesungguhnya telah mewariskan kepada generasi pelanjut perjuangan dakwah ini sejumlah khazanah pengalaman selama selama 85 tahun kehidupannya yang sarat dengan pengorbanan yang amat sukar untuk ditandingi. Beliau adalah seorang mujahid ,sebenar-benar mujahid.

“Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati: bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka, dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka. Bahawa tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati.” (Ali Imran 3:169-170)

INSIDEN KETIGA – MENUNAI WASIAT PAK NATSIR

Adapun insiden ketiga ialah pada awal tahun 2000, iaitu setelah 7 tahun Pak Natsir kembali bertemu Sang Penciptanya, saya dikunjungi oleh Pak Basyir Gani, pimpinan Pesantren Buya HAMKA di Danau Maninjau, PADANG. Pak Basyir adalah ‘orang kuat’ Pak Natsir di Danau Maninjau.

Pak Basyir menyatakan kepada saya bahawa beliau sedang mengusahakan sebuah pesantren di Danau Maninjau yang bertujuan untuk memperingati Buya HAMKA. Danau Maninjau adalah tempat kelahiran Buya HAMKA. Katanya, Pak Natsir pernah mewasiatkan kepada beliau bahawa banyak Pesantren yang menggunakan nama HAMKA, tetapi tidak di tempat kelahiran beliau sendiri di Danau Maninjau. Mengapa tidak diusahakan sebuah Pesantren di Danau Maninjau bagi melahirkan HAMKA-HAMKA baru untuk abad mendatang?

Jadi, kedatangan Pak Basyir Gani ke Pejabat ABIM adalah untuk mengajak ABIM sama-sama merealisasikan wasiat Pak Natsir ini. Mendengar wasiat tersebut dari Pak Basyir, saya lantas bersetuju dan berjanji akan membantu sedaya yang mungkin, walaupun tahu diri bahawa ABIM sendiri sentiasa tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk melaksanakan kerja dakwah yang begitu banyak, di dalam maupun di luar negara.

Sejak perjumpaan tersebut, setiap menjelang 24 Julai setiap tahun (tahun Buya HAMKA meninggal dunia), rombongan ABIM melawat Danau Maninjau untuk memperingati HAMKA di bawah program Jejak Ulama dan juga beramah mesra dengan pimpinan Pesantren dan juga para pelajarnya. Setiap ahli rombongan dimaklumkan mengenai wasiat Pak Natsir tersebut, dan masing-masing menghulur dana yang termampu bagi menambah kemudahan asrama yang tidak mencukupi. Pada tahun 2003, hasil dari sumbangan ahli rombongan, sebuah asrama menelan belanja RM50,000 telah berjaya dibina. Kemudian, Yayasan Takmir Pendidikan ABIM menghantar guru-guru pakar ke sana secara berkala untuk meningkatkan kualiti pengajaran guru di Pesantren.
Bagi saya, adalah menjadi suatu kewajipan untuk menunaikan wasiat seseorang. Apalagi wasiat seorang tokoh yang sangat disanjung dan di hormati saperti Pak Natsir.
APRESIASI AKTIVIS ISLAM MALAYSIA
Bagi saya Pak Natsir adalah tokoh besar yang mendahului zamannya. Kekuatan inteleknya, memungkinkan banyak isu-isu yang melatari perjuangannya ditangani dengan sentuhan intelektualisme yang tinggi. Isu-isu yang menjadi polemik di Malaysia ketika ini seperti demokrasi, negara Islam, sekularisme, perkauman, Islamophobia dan xenophobia telah beliau bahas dengan mendalam ketika Indonesia masih di dalam pembentukan sebagai sebuah negara yang merdeka.

Bagi saya, di dalam suasana politik negara yang sedang mengalami proses ‘rethinking’ dan ‘reconstructing’, setelah Pilihanraya ke 12 yang lalu, pemikiran Pak Natsir amatlah relevan untuk ditelaah dan dikaji oleh setiap ahli politik di Malaysia. Buku beliau ‘Agama dan Negara Dalam Perspektif Islam’ yang merupakan koleksi tulisan beliau sejak tahun 1931 sehingga 1987 adalah merupakan suatu khazanah intektual yang sangat penting untuk pembangunan sebuah negara-bangsa. Berkaitan dengan itu, polemik Negara Islam dan Perlaksanaan Hukum Hudud yang sentiasa hangat diperdebatkan di kalangan Parti-Parti Politik Malaysia sehingga hari ini, harus belajar memanfaatkan pemikiran Pak Natsir keseluruhannya. Kita tidak perlu pergi terlalu jauh ke negara Barat untuk mencari jalan penyelesaian. Pengalaman politik membangun negara –bangsa di Indonesia ternyata jauh lebih realistik untuk kita pelajari di Malaysia. Seeloknya, buku ‘Agama dan Negara Dalam Perspektif Islam’ harus menjadi bahan bacaan wajib dan diwacanakan oleh sesiapa juga yang terlibat di dalam proses pembinaan negara-bangsa yang semakin banyak dipolemikkan di Malaysia ketika ini.

Meneliti sejarah hidup Pak Natsir, saya boleh merumuskan bahawa keseluruhan hidupnya adalah berpaksikan ummah – ‘ummah-centric’. Beliau memperhambakan dirinya demi ummah yang tercinta. Beliau menolak tawaran biasiswa Belanda untuk meneruskan pendidikan di dalam sistem pendidikan Belanda yang menjanjikan pendapatan lumayan dan status yang tinggi, kerana ingin mengangkat martabat umat melalui pendidikan. Beliau mendirikan Institusi Pendidikan Islam (PENDIS) di Bandung pada tahun 1932 dengan tujuan melahirkan generasi yang berpendidikan moden, tetapi mengakar kefahaman dan penghayatan agamanya. Pengorbanan sebegini sememangnya amat diperlukan terutama bagi mereka yang telah membabitkan diri didalam gelanggang dakwah. Seringkali berlaku, para pendakwah terpaksa membuat pilihan samada memilih kepentingan peribadi atau umat, atau korbankan kepentingan peribadi demi umat tercinta. Pak Natsir memilih jalan mengorbankan cita-cita peribadi demi umat tercinta. Beliau memang tidak kaya di segi material atau kemewahan dunia,tetapi kaya di segi perjuangan dan pengorbanan. Inilah peribadi tauladan yang sekiranya dapat diikuti oleh generasi muda, maka akan ramailah Natsir-Natsir baru yang akan lahir.

Satu hal yang menarik perhatian saya mengenai Pak Natsir ialah beliau tidak mendapat pendidikan formal agama dalam pengertian meraih sarjana dalam bidang pengajian Islam, tetapi kupasannya mengenai agama begitu mendalam . Malah dalam banyak hal, kefahamannya mengenai agama terutama di dalam konteks perubahan sosial dan manhaj da’wah jauh lebih baik dari kupasan mereka yang mendapat pendidikan Islam secara formal. Bacalah bukunya ‘Fiqhud Da’wah’, nanti anda akan mengerti maksud saya.

Menyedari bahawa kekuatan umat amat bergantung kepada kekentalan kesatuan ulama dan intelektual di dalam menangani permasalahan umat, Pak Natsir sentiasa menekankan peri pentingnya kedua golongan ini saling memahami akan kekuatan masing-masing agar persefahaman bertambah mantap dan padu. Oleh kerana itulah agaknya maka slogan ‘Mengulamakkan Intelektual, Mengintelektualkan Ulama’ menjadi dasar penting di dalam Gerakan Dakwah. Malah ABIM mendapat banyak menafaat dari slogan ini sehinggakan kekuatan ABIM sebagai sebuah Gerakan Dakwah yang berpengaruh di Malaysia ialah kerana gabungan kedua kekuatan ini.

Bagi saya terlalu banyak yang boleh diperkatakan mengenai Pak Natsir sebagai apresiasi generasi kedua aktivis Islam di Malaysia. Banyak yang boleh dipelajari dan dicontohi. Walaupun hanya sempat seketika dengan beliau dalam waktu yang sangat terhad, tetapi saya merasakan ketokohan yang Allah ta’ala anugerahkan kepada beliau dapat dirasai oleh generasi mendatang. Buku-bukunya walau ditulis di dalam konteks dan sikon yang berbeza, tetapi banyak ilmu yang dapat digali bagi yang serius ingin mengkaji dan belajar darinya. Pastinya saya akan terus mengkaji dan belajar darinya di setiap kesempatan yang ada. Mudah-mudahan Allah ta’ala menerima kesemua amalannya dan diberi ganjaran syurga yang dijanjikan. Aamin.

1 comment:

Ciptaan Terhebat said...

Encik Azam, saya pernah menganjurkan program Kepimpinan Islam bersama MPLU, TUDM di De Palma Sepang, kalau Encik Azam masih ingat, Encik Azam hadir sehari selepas pembentangan dari Cikgu Sidek. Penulisan yang membakar semangat saya sebagai anak muda dalam ABIM. Saya berharap agar dapat terus istiqamah untuk mewujudkan jiwa yang sentiasa ummatic-centric. Terima kasih.