“Dan di antara manusia ada orang yang
mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Dan Allah Maha Penyantun
kepada hamba-hambaNya”. (Al Baqarah 2:207).
1.0 SEJARAH PERJUANGAN
MUJAHID DAKWAH DAN MUFAKKIR, MUJADDID ABAD 20
Badiuzzaman Said Nursi dianggap
sebagai Mujahid Dakwah, Mufakkir dan Mujaddid abad ke 20 serta penyelamat
aqidah Bangsa Turki oleh ramai Sejarawan Turki mutakhir ini kerana
perjuangannya menyelamatkan aqidah Bangsa Turki dari badai sekularisme yang
melanda Turki setelah robohnya Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924.
Kegigihannya berjuang menyelamatkan
iman Bangsa Turki dengan mengarang Kitab Risalah an-Nur bagi menjawab segala
tuduhan palsu mengenai agama Islam dianggap begitu berkesan sehingga Kerajaan
Turki di bawah kepemimpinan Recep Tayyib Erdogan melalui Parti Keadilan dan
Pembangunan atau AKParti sejak tahun 2002, telah kembali meletakkan Islam di landasan
yang asal dalam pemerintahan Negara.
Apa yang diperjuangkan oleh
Badiuzzaman Said Nursi seperti mempertahankan tulisan Arab Turki Uthmaniyyah,
al-Quran, pakaian menutup aurat bagi wanita Islam, dasar Negara dan luar Turki
yang pro-Islam telah dan sedang dilaksanakan oleh AKParti pada hari ini.
Maka tidaklah keterlaluan jika sekiranya
Badiuzzaman Said Nursi dianggap sebagai salah seorang Mujaddid abad 20
sebagaimana hadith Nabi yang berkenaan dengannya.
Diriwayatkan
oleh Al-Imam Abu Daawud As-Sijistaaniy
rahimahullah :
rahimahullah :
Telah menceritakan
kepada kami Sulaimaan bin Daawud Al-Mahriy, telah mengkhabarkan kepada kami
Ibnu Wahb, telah mengkhabarkan kepadaku Sa’iid bin Abi Ayyuub, dari Syaraahiil
bin Yaziid Al-Mu’aafiriy, dari Abu ‘Alqamah, dari Abu Hurairah –radhiyallaahu
‘anhu-, yang mana aku mengetahuinya dari Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi
wasallam, beliau bersabda, “Sesungguhnya Allah akan membangkitkan untuk umat
ini di setiap awal 100 tahun, seseorang yang akan memperbaharui agama ini.” [Sunan Abu
Daawud 6/349, Daar Ar-Risaalah Al-‘Aalamiyyah]
1.1 Gelaran
Badiuzzaman
Badiuzzaman Said Nursi
lahir pada tahun 1293 Hijrah bersamaan 1877 Masihi di kampung Nurs, Daerah
Khizan di Wilayah Bitlis, Timur Turki.
Beliau diberikan gelaran
Badiuzzaman atau maknanya Keajaiban atau Kekaguman Zaman kerana sejak kecil
ternyata kecerdikannya amat luarbiasa dan kepetahannya berhujjah mampu
mengalahkan sesiapa sekalipun termasuk alim ulama yang jauh lebih dewasa dan
berpengalaman darinya.
Malah ada sejarawan
mengatakan bahawa Said Nursi telah dianugerahkan oleh Allah SWT dengan “photographic mind” iaitu minda yang
mampu merekodkan apajua yang dibaca dan mengingatinya semula sebagaimana
asalnya tanpa sebarang masalah atau tertinggal mana-mana bahagian atau satu
huruf sekalipun.
Ada beberapa insiden
bilamana beliau diuji dengan ulama-ulama terkenal mengenai kitab-kitab agama
yang penting ketika itu, dan bila ditanyakan beberapa soalan berkenaan
kitab-kitab tersebut, beliau mampu menjawabnya tanpa sebarang masalah.
Beliau
juga bukan saja diuji dengan pengetahuan agama Islam, tetapi juga diuji dengan
ilmu sains moden yang sangat popular di kalangan rakyat Turki ketika itu. Pihak
Pemerintah dalam rangka untuk menyaingi kuasa Barat yang semakin dominan di
pentas antarabangsa, telah menggalakkan rakyatnya untuk menggali ilmu sains
moden di Barat.
Tahir
Pasya, Gabenor Wilayah Bitlis, seorang yang meminati bidang ilmu ingin menguji
kehebatan ilmu Said Nursi telah menganjurkan perdebatan antara Said Nursi
dengan Professor Geografi dan Professor Kimia dan Fizik mengenai Islam dan Ilmu
Sains. Professor ini adalah pelajar Turki graduan dari Barat yang memandang
remeh tentang agama Islam yang dianggap sebagai faktor yang melemahkan Bangsa Turki
dan Khilafah Uthmaniyyah.
Apa
yang mengejutkan Tahir Pasya ialah walaupun Said Nursi tidak pernah didedahkan
dengan ilmu Sains moden, Said Nursi tanpa ragu menyatakan kesediaannya dengan
syarat sediakan bahan bacaan mengenai Ilmu Geografi dan Ilmu Kimia dan Fizik
untuk dibacanya dulu sebelum berdebat dengan para Professor tadi. Said Nursi
mengambil masa 24 jam untuk menelaah buku-buku Geografi dan empat hari untuk
membaca buku-buku Kimia dan Fizik sebelum berdebat dengan mereka.
Apabila
perdebatan berlaku, ternyata sekali gelaran Badiuzzaman memang selayaknya
diberi kepada Said Nursi, kerana para Professor tersebut amat terkejut dalam
masa beberapa hari sahaja, Said Nursi telah menguasai ilmu-ilmu yang
diperdebatkan dengan mematahkan apa jua hujjah yang dikemukakan. Kebiasaannya,
seorang pelajar akan mengambil masa paling kurang empat tahun untuk menguasai
sesuatu ilmu.
Sejak
peristiwa perdebatan tersebut, Said Nursi berazam untuk menguasai semua ilmu
Sains moden dengan membaca buku-buku tersebut di Perpustakaan Tahir Pasya
dengan tujuan untuk dakwah dan meyakinkan generasi muda yang terlalu kagum
dengan Barat untuk kembali kepada akar Islam yang telah menjadikan Bangsa
Turki, Bangsa Khalifah. Usahanya begitu berjaya sehingga beliau mampu menguasai
pelbagai ilmu Sains moden seperti Sejarah, Geografi, Matematik, Fizik, Kimia,
Astronomi, Falsafah Moden, Kaji Hayat dan Kaji Bumi.
Sejak
itu Said Nursi, selesa memakai gelaran Badiuzzaman dan dengan paduan ilmu agama
dan sains moden yang telah dikuasainya, beliau telah mengarang Risalah an-Nur,
sebuah Tafsir Al-Quran yang bersifat Maudhu’i yang terasnya menekankan soal
Tauhid, Keesaan Allah SWT.
Kitab
Risalah An-Nur mengandungi 130 risalah yang dibahagikan kepada empat buah kitab
iaitu Sozler (33 risalah), Maktubat (33 risalah), Lamaat (30 risalah) dan
Syualar (15 risalah).
Uniknya
Kitab Risalah An-Nur ini ialah Badiuzzaman Said Nursi mengambil pendekatan Maqasid
al-Quran, tujuan al-Quran diturunkan dengan menggunakan hujjah-hujjah akal dan
perumpamaan–perumpamaan yang mudah difahami oleh generasi yang dipaksa untuk
meninggalkan Islam oleh pemerintah ketika itu.
Penguasaan Badiuzzaman Said Nursi dalam ilmu agama dan Sains Moden juga
adalah antara ciri penting Risalah An-Nur bila mana beliau telah memanfaatkan
panduan ilmu agama dan Sains Moden tersebut dalam menafsirkan ayat mengenai
alam semesta.
1.2 Fasa
Perjuangan Said Lama
Badiuzzaman
Said Nursi membahagikan perjuangannya kepada dua fasa iaitu Fasa Said Lama dan
Fasa Said Baru.
Fasa
Said Lama adalah fasa di mana perjuangannya menumpu kepada perjuangan politik
untuk menyelamatkan Khilafah Uthmaniyyah dari hancur di tangan Para pejuang
Sekularis Turki yang dipelopori oleh Mustafa Kamal Ataturk.
Beliau
telah banyak menulis dan membangkitkan semangat Bangsa Turki untuk bersatu
menentang Penjajahan Barat yang memperalatkan rakyat Turki sendiri bagi
menghancurkan Khilafah Uthmaniyyah dari dalam.
Di
medan politik beliau menyeru agar umat Islam di ambang Zaman Penjajahan kembali
kepada ajaran Quran yang sebenar bagi menangani tiga penyakit besar umat ketika
itu iaitu Kejahilan, Kemiskinan dan Permusuhan.
Bagi
menangani kejahilan umat beliau mencadangkan agar sebuah Universiti ditubuhkan
bagi menggabung ilmu agama dan ilmu sains moden yang beliau namakan Madrasah al
Zahra.
Umat
Islam mesti menguasai ilmu sains moden untuk maju dan juga keluar dari
kepompong kemiskinan. Namun, sains moden harus berpaksikan ilmu tauhid.
Bagi
menangani kemiskinan pula, beliau menegaskan Sains dan Teknologi adalah ilmu
yang amat penting untuk menebuskan kemiskinan umat. Beliau begitu tertarik dengan Modul
Pembangunan Jepun yang hancur selepas Perang Dunia ke Dua dan mampu bangkit
semula dengan cepat melalui penguasaan Sains dan Teknologi.
Uniknya Model Pembangunan Jepun bagi beliau ialah
bangsa Jepun tetap mempertahankan nilai tradisi Jepun dan Bahasa Jepun di
samping menguasai Sains dan Teknologi.
Bagi menangani penyakit permusuhan pula beliau
menyarankan agar semangat kesatuan umat mesti diperkukuhkan supaya Pihak
Penjajah Barat tidak dapat mengadu-domba umat Islam menjadi lemah dan berpecah.
Hadith Nabi
telah menegaskan akan hal ini :
“Perumpamaan orang
beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat merahmati dan di dalam
kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota mengadu
sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dan membantunya dengan berjaga
malam dan demam.” (Hadis Riwayat Muslim)
Namun
perjuangannya untuk menyelamatkan Khilafah Uthmaniyyah ternyata gagal dan akhirnya
runtuh. Beliau yang begitu ikhlas berjuang itu setelah Khilafah Uthmaniyyah
jatuh, kini dianggap sebagai musuh Negara yang perlu dimusuhi oleh Rejim
Pemerintah yang baru.
1.3 Fasa
Perjuangan Said Baru
Badiuzzaman
Said Nursi menganggap Fasa Perjuangan Said Baru ini sebagai fasa terpenting
dalam perjuangannya. Ini
adalah kerana ketika beliau mulai aktif berceramah mengenai agama di Wilayah
Timur Turki di sekitar akhir abad ke 18, beliau terbaca kenyataan Perdana
Menteri Britain ketika itu, William Ewert
Gladstone yang berkata didalam Parliament Britain, “Selagi al-Quran ini masih ada ditangan umat Islam, kita tidak akan
mampu untuk menguasai mereka! Apa yang perlu kita buat dan laksanakan ialah
merampas al-Quran ini daripada tangan mereka. Ataupun kita perlu mendinginkan
umat Islam daripada al-Quran.”
Kenyataan
Gladstone ini telah membakar semangat Badiuzzaman Said Nursi dan lantas
berkata, “Aku akan menisbatkan
(membuktikan) dan memperlihatkan bahawa al-Quran adalah mentari maknawi yang
tidak akan padam dan tidak akan dapat dipadamkan!” Pernyataan azam
Badiuzzaman Said Nursi ini rupanya menjadi kenyataan apabila beliau mulai
secara serius menulis Kitab Risalah
an-Nur ketika menjalani hidup sebagai orang buangan dan musuh Negara oleh
Pemerintah Sekularis yang baru.
Pada
tahun 1925, Badiuzzaman Said Nursi memulakan Fasa Perjuangan Said Baru bila
beliau dibuang daerah ke Barla, Isparta dengan menulis Kitab Risalah an-Nur.
Beliau berada di Barla selama lapan tahun dan di situlah dia menghabiskan
hampir tiga perempat dari Risalah an-Nur yang mengandungi 6,000 perkataan.
Turki
berada di zaman gelapnya apabila Kamal Ataturk mulai melaksanakan Dasar
Sekularisasi secara drastik dan kejam sekali. Pandangan Gladstone dilaksanakan
dengan mengharamkan al-Quran, mengharamkan tulisan Arab Uthmaniyyah,
mengharamkan pakaian tradisi Uthmaniyyah sebagai usaha terancang dan nekad
untuk memutuskan Bangsa Turki dari akar sejarah Islam dan memadamkan warisan
agung Khilafah Uthmaniyyah.
Turki
berada di zaman gelap selama 25 tahun iaitu dari 1925-1950, dan ketka itulah
Badiuzzaman Said Nursi melalui zaman yang begitu mencabar dalam hidupnya.
Beliau telah melalui berbagai penganiayaan, penindasan dan kezaliman
semata-mata kerana pejuangan menyelamatkan aqidah Bangsa Turki dengan penulisan
Risalah an-Nur.
Ketika
berada di penghujung hayatnya, Badiuzzaman Said Nursi telah mencatatkan
pengalaman perjuangannya dengan penuh jujur menggambarkan cahaya keikhlasan
yang begitu menyinar di dalam dirinya.
Katanya,
“Adakah mereka fikir bahawa diriku
begitu penting dan aku hanya berfikir untuk menyelamatkan diriku sendiri? Aku telah mengorbankan seluruh
kehidupan duniaku demi menyelamatkan Iman saudara seIslamku. Sepanjang hayatku lebih 80 tahun ini,
aku tidak mengenali langsung akan nikmat kehidupan dunia ini. Seluruh hidupku ditakdirkan untuk
berjuang di medan perang, meringkuk di dalam penjara, merana di kem tahanan
perang atau berpindah randah membela diriku dari sebuah mahkamah ke mahkamah
yang lain atas tuduhan yang direkacipta terhadap diriku.
Tidak ada penyiksaan dan penderitaan
yang tidak aku lalui. Aku telah dilayan umpama binatang ganas oleh Mahkamah
Tentera, dan dikenakan perintah buang negeri dari satu daerah ke daerah yang
lain umpama orang gelandangan yang tiada nilainya.
Aku telah dikenakan hukuman kurungan
seorang diri (solitary confinement) selama beberapa bulan di penjara negaraku
sendiri. Aku juga telah diracun entah berapa
kali agar aku mati, dan dihina dengan pelbagai cara yang mengaibkan. Adalah menjadi sifat semulajadiku,
pantang dihina dan diaibkan. Pasti akan ku lawan demi mempertahankan maruahku
kalau diperlakukan demikian oleh sesiapa. Semangat Islam dan semangat juangku
tidak mengizinkan akan sebarang penghinaan terhadap diriku.
Aku
tidak akan merendahkan martabat diriku jika diperlakukan demikian. Dengan
segala kudratku, aku akan mempertahankan diriku dengan menampar muka si zalim waima
dia seorang komander yang sangat ganas lagi kejam. Mungkin
aku akan dihumban ke penjara yang paling dahsyat atau kepala aku akan dipenggal
kerana melawan. Itu semua tidak penting dan tidak menakutkan aku pun.
Seandainya
aku mati, maka aku telah berjaya mengikut jejak maqam para syuhada yang telah
mendahului diriku….. Jadi, biarkan apa yang berlaku terhadap diriku. Aku tidak
peduli. Malah aku tidak pun menyumpah seranah akan mereka yang pernah menzalimi
diriku. Sebaliknya, dengan kehendak Allah SWT jua, aku telah dipanjangkan umur olehNya. Terima kasih Ya Allah, kerana itu, Risalah an-Nur telah dapat disiapkan dan dibaca oleh ratusan ribu, malah jutaan manusia.
Aku tidak tahu berapa ramai jumlah sebenarnya……Apa yang pasti begitu ramai manusia yang mendapat manfaat darinya dan dapat diselamatkan Iman mereka. Jika aku mati akibat seksaan kejam yang kulalui, aku hanya dapat menyelamatkan diriku seorang sahaja.(Mungkin aku akan mendapat syurga idamanku).
Aku tidak tahu berapa ramai jumlah sebenarnya……Apa yang pasti begitu ramai manusia yang mendapat manfaat darinya dan dapat diselamatkan Iman mereka. Jika aku mati akibat seksaan kejam yang kulalui, aku hanya dapat menyelamatkan diriku seorang sahaja.(Mungkin aku akan mendapat syurga idamanku).
Tetapi,
dengan terus hidup walau terpaksa melalui pelbagai penyiksaan mental dan
fizikal yang amat pedih dan perit, dengan Risalah an-Nur, aku telah berjaya
menyelamatkan Iman begitu ramai manusia. Oleh itu, jutaan
terima kasih Ya Allah atas takdirMU yang sangat indah ini. (Terjemahan Bahasa Melayu,
Nursi Tarihce-i-Hayat- Isparta Hayati, 604).
1.4 Perjuangan berakhir dengan kemenangan
Allah SWT tidak mensia-siakan perjuangan dan
pengorbanan Badiuzzaman Said Nursi apabila di penghujung hayatnya, beliau telah
diberikan nikmat yang begitu besar, iaitu dapat melihat usahanya untuk
menyelamatkan Iman Bangsa Turki melalui Risalah an-Nur telah berhasil dengan
cara yang luarbiasa.
Dari tahun 1950 hingga 1960, apabila Parti
Demokrat berjaya mengalahkan Parti Republikan yang diasaskan oleh Kamal Ataturk
dalam Pilihanraya Kebangsaan Turki, ruang Islam kembali berkembang di bawah
kepemimpinan Presiden Adnan Menderes. Azan sudah dilaungkan kembali dari Bahasa
Turki ke Bahasa Arab, Risalah an-Nur yang sebelum ini diharamkam sudah boleh
disebarkan dan dicetak seluas yang mungkin.
Walaupun perkembangan Islam terbantut seketika
apabila Pihak Tentera merampas kuasa dan menggantung mati Presiden Adnan
Menderes, namun pada tahun 2002, Islam kembali menyinar dengan kemenangan
politik Parti Keadilan dan Pembangunan dibawah kepemimpinan Recep Tayyib
Erdogan hingga kini. Apa yang diperjuangkan oleh Badiuzzaman Said Nursi mulai
dilaksanakan semula oleh Erdogan dengan cara yang berhikmah.
Badiuzzaman Said Nursi kembali ke Rahmatullah
pada hari Rabu, 23 March, 1960 bersamaan 25 Ramadan 1379 ketika berumur 83
tahun di Urfa, Timur Turki. Hari ini, Risalah an-Nur telah berkembang ke
seluruh dunia dan telah dicetak dengan pelbagai bahasa di samping telah
memperbaharui Iman ribuan umat Islam, dan telah mengIslam ribuan bukan Islam.
Banyak Gerakan Dakwah Turki yang menjadikan
Risalah an-Nur sebagai asas perjuangannya dan di antara ialah Hayrat Vakfi atau
Yayasan Hayrat yang diasaskan oleh murid terbaik kesayangan Badiuzzaman Said
Nursi iaitu Ahmed Husrev Effendi bulan Ogos 1977.
2.0 IMPLIKASI DAKWAH DI MALAYSIA,
IBRAH UNTUK PARA DA’I
IBRAH UNTUK PARA DA’I
2.1 Optimisme dalam perjuangan
Ketika Khilafah Uthmaniyyah berada dipenghujung
hayatnya, Badiuzzaman Said Nursi telah menyatakan, “Masa depan adalah milik Islam, dan hanya Islam” (The Future
shall be Islam’s, and Islam’s alone ).
Firman Allah SWT: “Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir membencinya.” ( Surah As-Saff 61:8)
Firman Allah SWT: “Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir membencinya.” ( Surah As-Saff 61:8)
2.2 Perjuangan menuntut pengorbanan
Badiuzzaman Said Nursi memilih untuk
berjuang menyelamatkan Iman manusia dengan mengorbankan seluruh kehidupan
dunianya, dibuang daerah, dipenjara, dihina, diracun serta berbagai lagi
penyiksaan mental dan fizikal tanpa menyesali walau sedetik dari pengalaman
pahit ini. Malah ketika beliau uzur kerana usia yang lanjut beliau masih di
buru oleh Pihak Pemerintah. Hatta, walaupun beliau telah meninggal dunia, Pihak
pemerintah masih memburunya dan ingin memadam pengaruh dakwahnya. Kuburnya di
Urfa digali semula 111 hari kemudian dan ditanam di kubur yang tidak diketahui
hingga hari ini.
Firman Allah SWT: “Boleh jadi kamu tidak menyukai akan sesuatu, tetapi baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, tetapi tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah 2:216)
Firman Allah SWT: “Boleh jadi kamu tidak menyukai akan sesuatu, tetapi baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, tetapi tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah 2:216)
2.3 Perjuangan menuntut kesabaran
Kesabaran adalah kunci kejayaan
bagi sesuatu perjuangan. Perjuangan dakwah menuntut kesabaran ketika datang
ujian kesenangan dan apalagi ujian kesusahan.
Ketika Ataturk menawarkan jawatan penting dalam
kerajaan dengan pakej gaji dan kemudahan yang lumayan kepada Badiuzzaman Said
Nursi untuk tujuan memenangi hatinya agar menyokong Dasar Pembaharuan yang
hendak dilaksanakan, beliau lantas menolaknya kerana tahu jika dia menerimanya
maka perjuangan untuk menyelamatkan iman bangsa Turki akan terkongkong.
Lantas setelah penolakan tawaran itu, maka
bermulalah fasa kehidupan beliau yang sarat dengan penghinaan, kezaliman dan
penyiksaan.
Namun beliau tidak pun mengeluh atau menyesali
takdir. Beliau menghadapinya dengan sabar. Malah beliau menamakan zaman beliau
di penjara sebagai memasuki Madrasah Yusuf, mengambil iktibar dari ibrah Nabi
Yusuf tika dipenjara akibat difitnah.
Firman Alah SWT: “Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” ( Al Baqarah 2:155 )
Firman Alah SWT: “Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” ( Al Baqarah 2:155 )
2.4 Perjuangan berpaksikan Al-Quran,
Ummah dan Akhirat
Ummah dan Akhirat
Badiuzzaman Said Nursi telah menjadikan Al-Quran
sebagai sumber untuk mengarang Kitab Risalah an-Nur, Ummah sebagai mad’u dan
kejayaan hidup di akhirat sebagai matlamat hidupnya.
Firman Allah SWT: “Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan Kitab (Al-Quran) kepada hamba-Nya dan Dia tidak menjadikannya bengkok, sebagai bimbingan yang lurus, untuk memperingatkan akan siksa yang sangat pedih dari sisi-Nya dan memberikan khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan kebajikan bahawa mereka akan mendapat balasan yang baik, mereka kekal di dalamnya untuk selama-lamanya.” ( Al-Kahf 18:1-3 )
Firman Allah SWT: “Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan Kitab (Al-Quran) kepada hamba-Nya dan Dia tidak menjadikannya bengkok, sebagai bimbingan yang lurus, untuk memperingatkan akan siksa yang sangat pedih dari sisi-Nya dan memberikan khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan kebajikan bahawa mereka akan mendapat balasan yang baik, mereka kekal di dalamnya untuk selama-lamanya.” ( Al-Kahf 18:1-3 )
2.5 Tiada kalimah rehat dalam kehidupan dunia
Badiuzzaman Said Nursi menegaskan bahawa bagi orang
yang benar-benar beriman, tiada kalimah rehat bagi kehidupan di dunia. Hidup di
dunia hanyalah untuk berjuang menegakkan kalimah Allah dan menanggani setiap
jua ujian yang datang baik dalam bentuk kesenangan ataupun kesusahan.
Beliau terus menulis Risalah an-Nur tanpa mengira
keadaan yang dilaluinya. Ketika perang melawan Rusia dalam Perang Dunia
Pertama, beliau telah menulis Kitab “Isyaaratul I’jaz”, dalam penjara, ketika
sesi perbicaraan dalam Mahkamah, ketika menderita kesejukan musim salji, beliau
tetap terus menulis tanpa henti.
Firman Allah SWT: “Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui.” (Al-Ankabut 29:64)
Firman Allah SWT: “Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui.” (Al-Ankabut 29:64)
2.6 Responsif kepada cabaran zaman,
bukan reklusif atau apati (apathetic)
bukan reklusif atau apati (apathetic)
Badiuzzaman Said Nursi sentiasa
responsif kepada permasalahan umat. Ketika Khilafah Uthmaniyyah berada di
ambang kejatuhan, beliau membantu dengan mempelopori agenda kesatuan umat dan
menyeru agar Khalifah kembali kepada semangat dan ajaran al-Quran.
Ketika Ataturk melaksanakan Dasar Sekularisasi
Turki, beliau menentang keras dengan Risalah an-Nur walaupun terpaksa
menghadapi hukuman penjara dan penyiksaan.
Ketika Parti Demokrat melawan Parti Republikan
Ataturk dalam Pilihanraya Kebangsaan Turki pada tahun 1950, beliau mengarahkan
anak muridnya untuk membantu dan menyokong Parti Demokrat sehingga menang dan
menubuhkan Kerajaan.
Firman Allah SWT:“Kamu (Umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (karena kamu) menyuruh (berbuat) yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” (Ali ‘Imran 3:110)
Firman Allah SWT:“Kamu (Umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (karena kamu) menyuruh (berbuat) yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” (Ali ‘Imran 3:110)
2.7 Kemenangan hakiki milik Allah,
manusia hanya berusaha
manusia hanya berusaha
Walaupun Badiuzzaman Said Nursi disekat dan dihalang
untuk menggembangkan Risalah an-Nur dengan menggunakan segala instrumen Negara
dari mempengaruhi rakyat jelata, namun bila Allah berkehendak, tiada kuasa yang
mampu menghalangnya.
Risalah an-Nur makin berkembang dan terus memberi
manfaat kepada pengukuhan Iman umat Islam di seluruh dunia, walaupun
Badiuzzaman Said Nursi telah lama meninggalkan kita.
Firman Allah SWT: “Dan tiada kemenangan itu, selain dari Allah Yang Maha Perkasa Maha Bijaksana“. (Ali ‘Imran 3:126)
Firman Allah SWT: “Dan tiada kemenangan itu, selain dari Allah Yang Maha Perkasa Maha Bijaksana“. (Ali ‘Imran 3:126)
Al-Faqir il Allah
Ahmad Azam Ab Rahman
10 Ogos 2015M /
25 Syawal 1436H
Rujukan:
1. Badiuzzaman dan Dakwah Risalah an-Nur,
Biro Kajian Ilmiah Altinbasak, Penerbitan Altibasak. 2011
2. Badiuzzaman Said Nursi, Sukran Vahide, Sozler Publication.
1992.
3. Badiuzzaman Said Nursi, Abdul Latip Talib, PTS Litera Utama
Sdn.Bhd. 2012.
Dibentangkan di
Konvensyen Pemikiran Badiuzzaman Said Nursi
13 Ogos 2015 di
Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan
Anjuran Bersama Jabatan Agama Islam Perak &
Jabatan Mufti Negeri Perak
1 comment:
Great article,this is really informative and meaningful We at Property Hunters shifted this service to a level much higher than the broker concept. you can see more details like this article Properties For Sale in The pearl Qatar
Post a Comment