1.0 Menghimbau sejarah, mengenal masalah: Pada 16 Mei
yang baru berlalu, maka genaplah 100 tahun Perjanjian Sykes-Picot yang
termeterai pada 16 Mei 1916 yang telah memecah-belahkan dunia Islam khususnya
Khilafah Uthmaniyyah kepada banyak Negara yang berasaskan konsep asing yang
bertentangan dengan konsep Ummatik iaitu Konsep Negara Bangsa (Nation State). Kesan langsung dari Perjanjian ini ialah
pemecahan dunia Islam menjadi banyak Negara Bangsa yang menjadikan umat Islam
lemah dan berpecah-belah hingga ke hari ini. Perjanjian ini termeterai antara
kerajaan Inggeris, Perancis dan Rusia.
2.0 Kemudian, pada 2 November 1917,
termeterai pula satu lagi perjanjian yang dinamakan Deklarasi Balfour oleh
Kerajaan Inggeris yang menyatakan komitmen dan dukungan kerajaan Inggeris untuk
menubuhkan Negara Israel di bumi Palestin. Sejak itu, Gerakan Zionis menjadi
suatu kuasa besar dibelakang tabir yang menguasai banyak Negara Barat demi
kelangsungan Negara Zionis Israel yang menjadi asbab kepada krisis berpanjangan
di Timur Tengah hingga hari ini.
3.0 Selain itu, satu lagi tarikh penting yang
memberi impak paling besar kepada dunia Islam pada hari ini ialah pembubaran
Sistem Khilafah Uthmaniyyah oleh Mustafa Kemal Ataturk pada 3 Mac 1924. Sultan
Abdul Mecid II, Khalifah Uthmaniyyah ke 37 dan terakhir telah dibuang negeri
beserta keluarga ke Negara Perancis.
Sejak daripada itu, sosio-politik-ekonomi dunia Islam telah beralih
fungsi, dari suatu kuasa besar yang menguasai dunia kepada dunia yang
diperhambakan, lemah dan berpecah belah.
4.0 Antara Mustafa Kemal Ataturk (1881/1938) dan Imam Badiuzzaman Said Nursi (1877/1960): Kedua tokoh penting bangsa Turki
ini hidup sezaman namun antithesis antara
satu sama lain. Imam Badiuzzaman Said Nursi lebih tua empat tahun berbanding
Ataturk dan hidup dua puluh dua tahun selepas kematian Ataturk. Ataturk
menganut fahaman ide kemajuan mesti mencontohi Barat sepenuhnya tanpa kecuali.
Sekiranya Turki ingin maju dan mampu kembali menjadi kuasa besar, falsafah
materialisme dan sekularisme mesti menjadi dasar Negara. Sedangkan Said Nursi
berpandangan sebaliknya. Untuk menjadikan Negara maju, kita harus kembali
menghayati prinsip-prinsip Islam sebagaimana kedatangan Islam yang dibawa oleh
Rasulullah SAW. Kemajuan harus berpaksikan Tawhid mengikut Al-Quran dan Sunnah
Nabawiyyah.
Mustafa Kemal Ataturk |
Imam Badiuzzaman Said Nursi |
5.0 Imam Badiuzzaman Said Nursi dari aktivisme
politik ke Madrasah al-Zahra ke Risalah An-Nur. Sejarah perjuangan Imam
Badiuzzaman Said Nursi mempertahankan aqidah Bangsa Turki sarat dengan pelbagai
fitnah dan mehnah yang mampu dilaluinya dengan penuh sabar dan redha akan
ketentuan ILahi Yang Maha Mengetahui.
Koleksi Risalah An Nur |
Ketika Khilafah Uthmaniyyah berada di ambang kejatuhan, beliau terlibat untuk menyelamatkannya dengan pendekatan aktivisme politik. Beliau berceramah, menulis, mengatur pertemuan politik merata Turki untuk membangkitkan semangat Jihad menentang Penjajahan Kuasa asing. Beliau cuba meyakinkan Khalifah Abdul Hamid II mengenai pendekatan pendidikan model Madrasah al-Zahra yang menggabungkan ilmu agama dan ilmu Sains dan Teknologi untuk Turki kembali bangkit. Malang sekali, usahanya menemui jalan buntu.
Namun beliau tidak pernah mengenal
putus-asa. Ketika awal pemerintahan Kemal Ataturk, beliau mengunakan pendekatan
‘engagement’ dengan kuasa politik
Republik yang baharu tertubuh untuk meyakinkan mereka supaya kembali kepada
prinsip Islam. Sekali lagi, usahanya tidak berhasil. Ataturk tetap kental
dengan fahaman Sekularnya lantas menuduh Imam Badiuzzaman Said Nursi sebagai musuh
Negara dengan menjatuhkan hukuman buang daerah ke sebuah perkampungan terpencil
di Barla, Isparta, pada tahun 1926.
Di Barla, beliau mula menulis Risalah
An-Nur tika menjalani hukuman pengasingan buang daerah selama lapan tahun.
6.0 Membina Generasi Baru, Mencetus Perubahan dengan Risalah An-Nur. Sesungguhnya manusia boleh
merancang, Allah juga merancang. Pasti perancangan Allah yang akan berjaya.
Begitulah hakikat yang berlaku kepada Imam Badiuzzaman Said Nursi. Adapun
tujuan Ataturk menghukum beliau dibuang daerah agar masyarakat Turki melupakan
perjuangan Islam Said Nursi, agar dasar Sekular diterima pakai, namun apa yang
berlaku ialah sebaliknya. Said Nursi tidak berdiam diri dan berputus-asa.
Walau dalam keadaan tertekan dan
ditindas serta diasingkan, beliau mula menulis Risalah An-Nur yang merupakan
tafsir maudhu’i atau bertema yang mengupas kandungan Al-Quran mengikut fasa
perjuangannya bagi menyelamatkan aqidah bangsa Turki. Setiap tulisannya disalin
dengan tangan oleh muridnya dan kemudian disebar ke seluruh Turki secara penuh
kerahsiaan dari pengetahuan pihak berkuasa. Dengan cara ini, ajarannya tersebar
luas walau jasadnya terasing keseorangan di Barla.
Kesan terbesar dari penyebaran Risalah An-Nur ini
ialah rakyat Turki menolak Fahaman Sekular yang cuba dipaksakan kepada mereka
dengan memilih Parti Demokrat sebagai pemerintah kerajaan menggantikan Parti
Rakyat Republikan (Republican People’s
Party) dalam Pilihanraya Kebangsaan tahun
Dan orang-orang (Yahudi yang kafir)
itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula
membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah) Allah sebijak-bijak yang membalas
(dan menggagalkan segala jenis) tipu daya
(Ali Imran 3:35)
Natijahnya, Azan dalam Bahasa Arab
kembali berkumandang setelah lapan belas tahun dilaungkan dalam Bahasa Turki.
Masjid-masjid kembali berfungsi mendirikan solat berjemaah. Begitulah kuasa
Allah SWT, seorang insan yang lemah, dibuang daerah, berseorangan mampu
mengalahkan seorang pemimpin dengan segala kekuatan jentera kerajaannya, berkat
keikhlasan dan kesabaran dalam perjuangan dan keyakinannya yang mutlak kepada
Allah.
7.0 Pendidikan Hakikat Keikhlasan dalam Khidmat Al-Quran (Risalah An Nur).
Metod Pendidikan Risalah An-Nur
menumpu kepada perubahan insan secara individu dengan menanamkan nilai-nilai
unggul yang mulia iaitu keikhlasan, Ukhuwwah dan Khidmat untuk Al-Quran. Misi utama pendidikan Risalah An-Nur ialah
menanamkan ajaran Al-Quran kedalam dada setiap insan, agar syariat Allah yang
Maha Adil akan terlaksana dibumi ini oleh insan yang berperanan sebagai Hamba
Allah dan Khalifah Allah.
“Sesungguhnya
Allah tidak merubah keadaan suatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada
pada diri mereka sendiri.” (QS. ar-Ra’ad [13]: 11)
Keikhlasan:
Imam Badiuzzaman Said Nursi amat menekankan soal keikhlasan di dalam setiap
amal perbuatan kerana hanya nilai inilah sahaja yang di kira sebagai amal
ibadah yang diterima oleh Allah SWT. Nilai keikhlasan inilah juga menjadi
perisai dari gangguan tipu muslihat Iblis sebagaimana yang disebut dalam
Al-Quran,
“Iblis menjawab: "Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka
semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas (mukhlasina) di antara mereka” (Shaad, 38:82-83)
Imam Badiuzzaman Said Nursi
menekankan dalam Kitab Lama’at bab Risalah Ikhlas seperti berikut,
“Wahai saudara-saudara akhiratku,
wahai teman-teman yang mengabdikan diri pada al-Quran !
Ketahuilah dan kalian sebetulnya
mengetahui bahawa ikhlas dalam amal dunia, apalagi amal ukhrawi, merupakan
landasan paling penting, kekuatan paling besar, penolong yang paling maqbul,
sandaran yang paling kukuh, jalan paling singkat menuju kebenaran, seruan yang
paling benar, sarana paling mulia,perangai yang paling utama, serta pengabdian
yang paling murni“ (Al-Lama’at, ms 306).
7.1 Prinsip Pertama Keikhlasan: Mencari Redha ALlah
“Apabila
Allah Ta’ala sudah redha, biar pun seluruh alam berpaling darinya, tidak
menjadi masalah. Kalau Allah sudah
menerima, biar pun semua manusia menolaknya, tidak akan memberi sebarang kesan
dan pengaruh.
Setelah
Dia redha dan menerima, jika Dia berkehendak dan sesuai dengan hikmah-Nya,
menjadikan manusia menerimanya meskipun tanpa kalian minta.
Kerana
itu, redha Allah sajalah yang seharusnya menjadi tujuan utama dalam pengabdian
pada al-Quran”. (Al Lama’ah ms 307)
7.2 Prinsip Kedua Keikhlasan: Memupuk
Semangat Persatuan dan Kerjasama
“Wahai
para murid Nur serta para pelayan al-Quran !
Kita
semua merupakan bahagian-bahagian dan organ-organ dalam satu tubuh yang layak
disebut dengan insan kamil. Kita semua berperanan sebagai gerigi dan roda yang
sedang merancang kebahagian abadi di kehidupan yang kekal nanti.
Kita
adalah para pelayan dan pekerja dalam sebuah perahu Rabbani yang membawa umat Muhammad SAW ke pantai keselamatan. Iaitu tempat kedamaian.
Kalau
begitu, kita sangat memerlukan adanya persatuan, kerjasama, dan rahsia
keikhlasan akan membina kekuatan jiwa senilai seribu seratus sebelas (1111)
sebagai hasil kerja empat orang.
Ya, jika
tiga angka satu tidak bersatu, nilainya hanya tiga saja. Tetapi jika bersatu
dan bekerjasama, nilainya akan menjadi seratus sebelas (111). Demikian pula
dengan empat angka empat. Kalau masing-masing angka empat (4) ditulis secara
terpisah, totalnya hanya berjumlah enam belas (16). Tetapi jika angka-angka
tersebut menyatu atas dasar ukhuwwah, serta tujuan dan misi yang sama dalam
satu barisan, ia akan senilai empat ribu empat ratus empat puloh empat (4444)”.
(Al Lama’ah ms 309)
7.3 Prinsip Ketiga Keikhlasan: Memupuk
Semangat Ukhuwwah FiLlah
“Dan
mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang
diberikan kepada mereka (orang Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri” (Al-Hasyr
59:9).
Dengan
kata lain, kamu harus mengutamakan saudara-saudara kamu daripada diri kamu
sendiri dalam hal status, kedudukan, penghormatan, perhatian serta hal
kebendaan yang nafsu manusia biasanya tamak dan suka kepadanya. Bahkan dalam
menyampaikan akan hakikat keimanan kepada mukmin yang memerlukan, janganlah
dilakukan secara bersendirian. Lakukanlah secara bersama umpama dalam satu
pasukan atau Jamaah kerana keberkatan usaha murni itu ada di situ. Ini juga
untuk mengelakkan rasa ujub masuk ke dalam diri kamu.
Jika ada
keinginan untuk merebut ganjaran pahala dengan bekerja secara bersendirian,
maka sebetulnya tidak ada dosa dan kerugian di dalamnya, namun hal itu boleh
merosakkan keikhlasan di antara kamu”. (Al Lama’ah ms 311)
7.4 Prinsip Keempat Keikhlasan:
Mengingat Mati, Kematian Zaman dan Kehancuran Dunia.
“Wahai
saudara-saudaraku yang mengabdikan diri pada al-Quran; Sesungguhnya sarana terpenting untuk
mendapatkan keikhlasan dan sebab utama yang berkesan untuk dapat memelihara
keikhlasan tersebut ialah rabithatul maut
(selalu mengingat mati).
“Setiap
jiwa (diri) pasti merasakan kematian” (Ali Imran 3:185)
Panjangnya
angan-angan merosak keikhlasan serta mengantarkan manusia kepada cinta dunia
dan riya’, sementara mengingat mati justeru menjauhkan manusia dari riya’ dan
menjadikan manusia mencapai tahap ikhlas. Yakni memikirkan kematiannya dan
merenungkannya musnahnya dunia, sehingga selamat dari tipu-daya nafsu ammarah “. ( Al Lama’ah ms 312)
Imam
Badiuzzaman Said Nursi di dalam bab Mati telah meluaskan konsep tersebut kepada
kematian zaman lantaran cahaya iman tidak menyinarinya dan kehancuran dunia
yang pasti terjadi bila masa kiamat tiba. Maksud kematian zaman, ialah zaman
kegelapan bila mana manusia tidak lagi hidup mengikut aturan ILahi, lantas
berlakulah kerosakan bumi, pembunuhan, kezaliman serta fasad yang berleluasa.
Bagi ahli al-Quran, pendokong Risalah An Nur, menyedari akan hakikat ini, maka
timbullah perasaan keikhlasan untuk menjadi penyelamat dan pemberi cahaya
dengan siraman nur ILahi.
Begitu
juga dengan kesedaran akan hakikat hari kiamat yang pasti tiba, bakal
menimbulkan keikhlasan yang sempurna kerana kehidupan abadi yang bahagia hanya
akan dikecapi dengan keikhlasan berkorban dan berjuang dengan cahaya al-Quran,
Risalah An Nur.
8.0 DARIHAL PERKARA YANG MEROSAKKAN KEIKHLASAN.
Imam Badiuzzaman Said Nursi amat
menyedari bahawa untuk mencapai hakikat keikhlasan dalam khidmat Risalah An
Nur, mempunyai banyak rintangan dan cabaran.
Mungkin saja nawaitu di permulaan khidmat amat murni, segalanyanya
mutlak kerana Allah SWT, namun di tengah
jalan bila kejayaan mulai dikecapi, maka duniawi datang menerpa dalam bentuk
pulangan kewangan yang banyak, dalam bentuk infaq dan sadaqah serta derma dari
orang ramai.
8.1 Duniawi merosak amal: Keinginan untuk memperolehi keuntungan material dan
mengharapkannya, bakal menyegarkan nafsu ammarah yang membibitkan benih-benih
persaingan merebut keuntungan duniawi sesama sendiri. Bila hal ini terjadi,
maka merosak keikhlasan, mengotori kesucian pengabdian, bahkan menghilangkan
keuntungan duniawi itu sendiri.
Imam Badiuzzaman Said Nursi
menasihatkan agar jangan sekali-kali merosakkan ukhuwwah dan persahabatan serta
kerjasama demi mengejar duniawi.
Beliau
berkata, “Wahai saudara-saudarku! Kalau keuntungan besar di atas
diperolehi dari adanya persatuan dan persefahaman dalam urusan duniawi, lalu
betapa besar pahala yang diperolehi atas amal-amal ukhrawi! Betapa besar
ganjaran yang terpantul dari kerja kolektif pada cermin masing-masing! Kamu
akan memperolehi laba besar tersebut. Laba besar tersebut tentu saja tidak
boleh dihapus dengan kedengkian dan ketiadaan ikhlas”. (Al Lama’ah ms 317).
Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
“Demi
Allah. Bukanlah kemiskinan yang aku khawatirkan menimpa kalian. Akan tetapi aku
khawatir ketika dibukakan kepada kalian dunia sebagaimana telah dibukakan bagi
orang-orang sebelum kalian. Kemudian kalian pun berlomba-lomba dalam
mendapatkannya sebagaimana orang-orang yang terdahulu itu. Sehingga hal itu
membuat kalian menjadi binasa sebagaimana mereka dibinasakan olehnya.” (HR.
Bukhari dan Muslim).
8.2 Cinta kedudukan (Hubbul Jah): “Penghalang ikhlas yang kedua
adalah membiarkan nafsu ammarah bissu’
bersikap ego, mencari pangkat dan kedudukan agar menjadi perhatian manusia,
serta senang kepada sanjungan orang kerana motivasi ingin terkenal dan
popular. Di samping merupakan penyakit
kejiwaan yang kronik, ia juga merupakan pintu menuju syirik yang samar, iaitu
riya’ dan ujub yang akan menghancurkan keikhlasan”. (Al Lama’ah ms 317)
8.3 Hajamat as-Sitt (Enam Serangan) :
Dalam menerangkan penghalang ikhlas yang ketiga, Imam
Badiuzzaman Said Nursi merujuk kepada Bab Enam Serangan Iblis bagi melunturkan
semangat murid Risalah An Nur di dalam Kitab Mektubat, Surat yang ke-29
sebagaimana berikut:
- Serangan pertama ialah Iblis menyerang dengan pendekatan memujuk iaitu dengan umpanan hidup senang, berkedudukan dan kemuliaan agar murid Risalah An Nur lupa akan perjuangan memartabatkan al-Quran.
- Serangan kedua ialah dengan menanamkan ketakutan dalam diri dengan penderitaan hidup yang berpanjangan hingga boleh membawa kepada kematian.
- Serangan ketiga ialah menanam sifat tamak akan ganjaran dunia dan melupakan ganjaran ukhrawi.
- Serangan keempat ialah menimbulkan semangat kabilah dan assabiyyah supaya murid Risalah An Nur berpecah atas dasar semangat perkauman.
- Serangan kelima ialah menimbulkan perasaan hasad dengki sesama sendiri.
- Serangan keenam ialah membibitkan sifat malas atas alasan kesibukan urusan hidup duniawi.
9.0 KHATIMAH
Imam Badiuzzaman Said Nursi meninggal
dunia pada 25 Ramadan 1379H bersamaan 23 March 1960 di Urfa, Isparta. Beliau
telah meninggalkan suatu warisan Islam dalam bentuk tafsiran al-Quran bersifat
maudhu’i yang dinamakan Risalah An Nur.
Kitab ini dianggap sebagai penyelamat aqidah bangsa
Turki dari dasar pemerintahan yang sekularistik, materialistik dan atheistik.
Method dakwah Imam Badiuzzaman Said
Nursi ialah menerangkan hakikat Iman bersumberkan al-Quran dengan pendekatan
Maqasidiy, iaitu menjawab persoalan mengapa Islam, Iman dan Al-Quran bagi
menentang faham anti Islam.
Bagi beliau, pendekatan ‘generational change’ atau perubahan
generasi adalah pendekatan terbaik bagi menanggani badai anti Islam yang
melanda Turki ketika itu.
Berkat kesabaran dan pengorbanan
beliau dalam menyelamatkan aqidah Bangsa
Turki, bibit-bibit Iman tersebut telah mulai tumbuh mekar menjadi pohon yang
rendang yang sedang menaungi Negara Turki sekarang.
Ajaran beliau telah menjadi sebuah
Gerakan dakwah yang hebat dan tersusun. Banyak Gerakan Dakwah yang berkembang
berasaskan ajaran Kitab Risalah An Nur di Turki sekarang.
Namun sebelum beliau meninggal dunia,
beliau sempat menunjukkan murid terbaiknya, Ahmed Husrev Altinbasak sebagai
penggantinya. Demi menjadikan penyebaran Risalah An Nur agar lebih tersusun,
beliau telah menubuhkan Hayrat Vakfi atau Yayasan Hayrat pada tahun 1974.
Kemudiannya setelah meninggal dunia pada tahun 1977 di Isparta, pemimpin ketiga
Yayasan Hayrat hingga sekarang ialah Said Nuri Erturk.
Satu hal yang menarik dari pemikiran
dakwah Imam Badiuzzaman Said Nursi ialah peri pentingnya pendidikan Islam dan
Sains Moden disepadukan. Ini adalah bagi mengelakkan pelajar bidang Sains Moden
menjadi kufur dan pelajar bidang agama menjadi jumud dan taksub.
Selain itu, Imam Badiuzzaman Said
Nursi sentiasa menekankan soal Fiqh al Awlawiyyat (Faham Keutamaan), Fiqh al
Waqi’ (Faham Realiti) dan Fiqh al Muwazanah (Faham Pertimbangan Untung Rugi) di
dalam mendidik anak muridnya.
Banyak lagi mutiara ilmu yang belum
digali dari khazanah Risalah An Nur ini. Semoga catatan umum ini bakal
mencetuskan kajian yang lebih mendalam mengenai pemikiran dan perjuangan Imam
Badiuzzaman Said Nursi oleh generasi mendatang.
Ahmad Azam Abdul Rahman
Presiden, Wadah Pencerdasan Umat
Malaysia
Merangkap Timbalan Setiausaha Agung,
Union of NGOs of the Islamic World
(UNIW)
18 Mei 2016
Rujukan:
1. Al-Matsnawi An-Nur Menyibak
Misteri Keesaan Ilahi, Badiuzzaman Said Nursi Penerbit Anatolia.
2. Beduizzaman SAID NURSI
Letters 1928-1932, Sukran Vahide, Sozler Publication. 2001
3. Al-Lama`at Membumikan
Inspirasi Ilahi, Badiuzzaman Said Nursi, RISALAH NUR. 2014
4. Lima Risalah, Biro Kajian
Ilmiah Altinbasak, Penerbitan Altibasak. 2014
5. Risalah Hasyir, Biro Kajian
Ilmiah Altinbasak, Penerbitan Altibasak. 2014
Dibentangkan di Konvensyen Pendidikan Badiuzzaman Said
Nursi
24 Mei 2016 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul
Ridzuan
Anjuran Jabatan Agama Islam Perak dengan kerjasama Hayrat Foundation (Turkey)
No comments:
Post a Comment