Thursday, September 23, 2010

TANGKAPAN ISA TERHADAP PEMIMPIN ABIM – SATU REFLEKSI PERJUANGAN

SIRI 2: BERTEMU RAKAN ABIM DI BLOK PENJARA YANG SAMA

Setelah berehat beberapa ketika, saya terdengar orang membaca Al-Quran di sel sebelah. Mendayu-dayu bunyinya. Tapi suara tu biasa saya dengar. Setelah agak lama mendengar, barulah saya cam. Itu suara Cikgu Halim. Sekarang tahulah di sebelah saya, sel Cikgu Halim.

Sekitar jam 6.30 petang, pengawal menghantar bungkusan makan malam beserta teh ‘o’ melalui tingkap kecil. Alhamdulillah, perut pun dah lapar, elok sangatlah tu… kata di hati. Makanan di penjara, baik makan malam atau tengahari lazimnya ikan rebus masak kari atau ikan goreng, sayur tauge atau kobis. Minum pagi dua keping roti disapu dengan kaya. Itulah makanan penjara. Sedap tak sedap, bila dah lapar, makan aje la… Nak tambah, memang tak ada peluang. Lauk daging, jauh sekali.

Mandi di penjara memang mencabar. Terpaksa mencangkung dalam tandas yang juga bilik mandi pakai gayung. Bagi yang biasa mandi dengan air-panas, memang menyiksakan. Air paipnya sejuk yang amat, terutama di waktu pagi. Tuala ‘Good Morning’ langsung tak membantu untuk mengeringkan badan. Terlalu kecil dan tujuannya hanya untuk menggelap peluh, bukan untuk mandi.

Usai mandi, terus menunaikan solat Maghrib. Nasib baik penjara ini berdekatan dengan Masjid, boleh juga mendengar azan dilaungkan. Rupanya solat ketika susah dan apalagi berada di dalam penjara, memang senang khusyu’. Tenang penuh syahdu, mengharap hanya kepada Yang Esa. Tiada apa yang hendak dikejar. Begitulah resam manusia yang sentiasa lalai dan leka. Doa pun bukan main panjang.

Tak lama kemudian, tiba-tiba terdengar bunyi pintu blok penjara dibuka. Ahhh…tentu ada tahanan baru masuk.. detak hati berkata. Kemudian, muncul wajah Kamaruddin Jaffar di tingkap kecil sel saya. ‘Assalamualaikum’ ucapnya. Saya terkejut dan beristighfar panjang. ‘Astagfirullah! Anta pun kena Sheikh?’ Tergamam seketika. Dalam benak berkata, 'pemimpin ABIM yang dah masuk UMNO pun kena tangkap!’. Gawat ni….

Kami tak dapat menyambung perbualan kerana pengawal penjara terus membawa Kamaruddin Jaffar ke selnya, sebelah sel Halim Ismail. Kamaruddin Jaffar (sekarang Dato’) pernah menjadi bos saya semasa bekerja di Institut Kajian Dasar. Beliau adalah mantan Setiausaha Agung ABIM, mantan Setiusaha Agung PAS dan pernah menjadi Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri Tun Ghaffar Baba. Sekarang beliau adalah ahli Parlimen PAS di Tumpat.

Setengah jam kemudian, sekali lagi pintu besi berdentam. Siapa la pulak kali ni?. Terdengar bunyi orang berjalan menuju ke arah sel saya. Pintu kecil dibuka, dan muncul pula muka Zambry Kadir (Sekarang Dato’ Seri Zambry Kadir, Menteri Besar Perak). ‘Apa khabar Sheikh?‘ katanya kepada saya. ‘Baik! ‘jawab saya dengan perasaan lagi terkejut. Kami memandang antara satu sama lain. Lidah kelu tak terkata. Tak tahu apa nak cakap. Masing-masing memandang penuh makna, cuba memahami apa hikmah sebenarnya disebalik penangkapan ini. Zambry terus dibawa ke selnya pula. Saya jangka pasti sebelah sel Kamaruddin Jaffar.

Saya mulai resah dan bimbang. Apakah semua pemimpin ABIM baik yang masih memimpin atau yang dah bersama Anwar dalam UMNO, semuanya ditangkap? Kalau begitu, nampaknya Dr. Mahathir nak melakukan pembersihan besar-besaran terhadap pemimpin ABIM di mana jua mereka berada. Apakah ABIM akan di haramkan? Persoalan-persoalan ini bermain di kepala. Bimbang, resah, mengharap, sedih. Perasaan ini bermain-main di hati. Di mana Ustaz Siddiq, Ustaz Muhammad Nur Manuty, Cikgu Sidek Baba, Redzuan Othman dan Exco ABIM yang lain. Kena tangkapkah mereka? Persoalan yang tak terjawab. Saya hanya mampu berdoa agar semuanya selamat. Lantas mengambil wudhu’ dan menunaikan solat Isya’ dengan penuh khusyu’ dan tawadhu’.

Malam itu saya cuba melupakan seketika apa yang berlaku dengan melelapkan mata dengan berbantalkan lengan sahaja. Lampu terus menyala menganggu mata yang keletihan. Namun, hasrat tersebut tak kesampaian. Nyamuk menghurung saya tanpa belas kasihan. Saya cuba berselimut seluruh badan, tapi hanya beberapa minit. Panas…. Ya, dalam sel tersebut, mana ada kipas angin. Bila panas, selimut dibuka, nyamuk menggigit. Bila berselubung, panas pula… Begitulah sepanjang malam. Sekejap berselimut, kemudian buka, lepas tu berselimut balik sampai ke siang. Waktu siang pula, labah-labah, semut, lipas, cicak berkeliaran.

Keesokan harinya, saya perasan sel bertentangan dan sebelahnya dah ada orang. Bila pengawal menghantar sarapan pagi melalui tingkap kecil, dia tidak menutupnya kembali. Saya menjengah ke sel bertentangan. Rupanya Saharuddin Badaruddin di situ. Beliaulah yang begitu semangat melaungkan Reforrrmasiiii…. ketika Forum Menanggani Gejala Fitnah anjuran ABIM, PKPIM, JIM dan ASASI pada 6 September 1998 di Pusat Latihan ABIM yang lalu. ‘Macamana anta? Ok?’ ‘Aku tak apa-apa’ jawabnya.

Sebelah aku Ustaz Mokhtar Redzuan! ‘maklumnya kepada saya. Saya lantas berkata dengan sedikit menjerit, ‘ Assalamualaikum Ustaz Mokhtar, anta sihat ke?’ Tanpa diduga dia menunjukkan mukanya di pintu kecil selnya sambil berkata dengan wajah hiba, ‘Ana ok, Sheikh, tapi risaukan anak ana. Dia ada penyakit ‘down syndrome’. Kesian isteri ana nak jaga dia. Ana pun tak berapa sihat.’ Saya cuba menyabarkan Ustaz Mokhtar. Hati saya mulai berasa kesal kerana melibatkan Ustaz Mokhtar dalam Forum yang lalu sebagai Pengerusi Majlis. Andaian saya sekiranya Ustaz Mokhtar tidak dilibatkan, mungkin beliau tidak di penjarakan. Namun itu semua hanya andaian. Namun saya lihat beliau tabah dan redha menghadapi sa’atul usrah (saat getir) ini, Alhamdulillah.

Sekitar jam 10 pagi, saya dibawa pengawal keluar dari sel ke bilik interogasi. Tangan digari dulu, kemudian baru dibawa keluar. Ketika melalui sel hadapan sekali berdekatan pintu keluar Blok Penjara, sempat saya bertanyakan pengawal, 'siapa dalam sel itu?’ Dia lantas menjawab, Kamaruddin Md. Nor!’ Saya bungkam. Kamaruddin Md. Nor adalah pengasas ABIM, orang kanannya Anwar, bos saya ketika bekerja dengan World Assembly of Muslim Youth (WAMY) pada tahun 1987/88. Beliau menyertai UMNO tak lama selepas Anwar masuk UMNO pada tahun 1982. Saya menjengah ke dalam selnya. Beliau sedang tidur di atas simen kepenatan. Tak tergamak membangunkannya, lantas saya berlalu dengan tangan bergari dan bercermin mata hitam (gelap) meraba-raba dengan dipimpin pengawal ke bilik interogasi.

5 comments:

Anonymous said...

menu penjara cukup menginsafkan. sedikit nikmat ALlah tarik supaya hambaNya kembali merintih merayu kepadaNya. menu itu juga selalu dihidangkan dalam tamrin2 kita :-)

saya juga terkesan dengan remark En. Din semasa penggulungan Ijtimak Harakiy 1 lalu. Dia memikirkan siapa yang akan menandatangani cek untuk bayar gaji staf2 ABIM kalau pimpinan kanan sudah disumbat ke dalam ISA.

Ahmad Azam said...

Hisyam,
Persiapan mental dan rohani sangat penting bagi menghadapi sa'atul usrah. Ramai yang bungkam ketika sa'atnya datang. Biarlah pengalaman sedikit ini mengajar kita betapa pentingnya Tarbiah Ruhiyyah dalam Jamaah kita.

MAN ANA? said...

benar-benar menyentap hati bila membaca ayat demi ayat, baris demi baris. mata terpaku pada nama Ustaz Mokhtar Redzuwan.

beliau adalah Pengarah Pusat Islam, UNISEL sewaktu saya belajar di sana.saya pernah mendengar kisah ini daripada beliau sdr.

seringkali beliau berpesan agar sentiasa menyumbangkan bakti kepada umat.

ketokohan dan kredibiliti beliau seringkali menjadi bahan tohmahan dan ejekan org lain.

beliau tetap utuh dgn pendirian dalam menjalankan dakwah di bumi UNISEL.

coretan ini semoga menjadi pedoman buat semua dalam menjalankan amanah dari Allah.

terima kasih En.Azam.

Ahmad Azam said...

Ustaz Mokhtar Redzuan banyak menyumbang di segi Tarbiah di mana juga beliau berada. Itu kekuatannya yang sering disalahfahami oleh ramai termasuk kadang-kadang kalangan sahabat sendiri. Saya tetap menghargai sumbangannya.

Putera Aliif Al'Ain Jasni said...

assalammualaikum w.r.t

Banyak yg perlu sy pelajari dari Tn Hj... Membuatkan sy b'fikir seketi akan situasi tersebut... waktu tu sy darjah 4 & turut ikuti ramapt krisis kewangan mata wang mahupun kes anuar ibrahim... memang mengejutkan kerna kini sy b'peluang b'temu pemimpin ABIM yg ditahan waktu itu yakni Tn Hj... Tn Hj, moga Tn Hj t'golong hamba2 NYA yg muliakan & d limpahi rahmat dlm tegakkan syiar Islam...