Sunday, July 20, 2008

Majlis Silaturrahmi dengan Pimpinan Baru Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia


Pada 17 Julai yang baru lalu, saya telah mengunjungi pejabat Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia di bangunan baru di No 45 Jalan Kramat Raya.

Lawatan ini sangat memberi erti yang mendalam kerana pada 17 Julai 1908 iaitu 100 tahun yang lalu Pak Natsir lahir. Pak Natsir adalah salah seorang yang mengasaskan Dewan Dakwah pada tahun 1967.

Saya disambut oleh Bapak Syuhada Bahri, Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyyah menggantikan Allahyarham Bapak Hussin Omar dan juga Sekretaris Umum Abdul Wahid Alwi.

Pertemuan tersebut adalah untuk berkenalan dengan pimpinan baru dan ianya menjadi begitu signifikan kepada saya kerana pada tanggal yang besar ertinya dapat bertemu dengan pimpinan yang baru di tempat yang baru pula. Saya teringat ketika Pak Natsir kembali kerahmatullah pada 17 Februari 2003, Dr Muhammad Nur Manuty, Presiden ABIM ketika itu bersama saya bergegas dari Kuala Lumpur untuk turut hadir di majlis pengkebumian Pak Natsir.

Dalam pertemuan dengan Bapak Syuhada beliau telah menerangkan wawasan beliau sebagai pemimpin Dewan Dakwah. Agenda utama beliau adalah untuk melahirkan 1000 ulama yang kompeten dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan untuk menyantuni ummah dengan misi besar dakwah di seluruh Indonesia.

Daripada 1000 orang ini 100 akan dilatih hingga ke peringkat Doktor Falsafah, 300 orang ke peringkat Sarjana dan 600 orang ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Dewan Dakwah akan mengumpulkan dana mencukupi, mengenalpasti potensi generasi muda untuk dilatih dan juga mengenalpasti universiti yang sesuai bagi tujuan merealisasikan cita-cita murni ini.

Bapak Syuhada begitu optimis sekiranya program ini berjaya maka Dewan Dakwah yang dilahirkan oleh Pak Natsir akan terus berkembang merealisasikan misi dakwah yang murni ini untuk 100 tahun akan datang.

No comments: