Wednesday, April 2, 2008

Kunjungan Hormat Terhadap Menteri Besar Perak

Semalam, 1 April 2008, rombongan kami yang terdiri daripada Pengerusi KBI, Haji Halim Ismail, Pengerusi IS Tech, Haji Haris Abdul Hamid, dan Pengurus Caltech (anak Syarikat KBI), Abdul Manaf Kasmuri telah membuat kunjungan hormat terhadap Menteri Besar Perak, YAB Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di pejabatnya di Ipoh, Perak.

Kami disambut oleh Misbahul Munir yang bertindak sebagai Setiausaha Politik MB dan juga Zulkifli Ibrahim, Pengerusi PKR Perak yang baru dilantik sebagai Pengarah Penerangan Kerajaan Negeri Perak. Kedatangan kami begitu terasa dihargai dan MB telah menyatakan kesediaan untuk mendengar apa juga cadangan-cadangan bagi memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat negeri Perak. Katanya beliau adalah MB untuk negeri Perak bukan untuk orang PAS, atau PKR atau DAP tetapi untuk semua rakyat.

Mandat yang diberi oleh rakyat harus dihargai dengan memastikan dasar-dasar pembangunan adalah pro-rakyat. Pihak KBI telah menyerahkan satu cadangan bagi membantu meningkatkan kemahiran belia dalam bidang automotif. MB berjanji untuk menelitinya dan memberi respon yang positif terhadap cadangan tersebut.