Pada 11-13 Mei 2008 yang lalu, saya ke Brunei memimpin rombongan 5 orang ahli Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) yang saya asaskan semasa menjadi Presiden ABIM. Rombongan terdiri daripada Jufitri, Pengerusi GPTD merangkap Exco ABIM, Noryzal Zainal Abidin, Exco ABIM, Najmuddin, Ketua Penyelaras GPTD, Norhelme Zainal Abidin, ahli GPTD juga Penerbit Bebas.
Tujuan lawatan ini adalah untuk membina rangkaian dakwah dengan badan kerajaan dan juga masyarakat tempatan di Brunei. Alhamdulillah kami membuat kunjungan hormat ke Kementerian Hal Ehwal Ugama, Brunei Darussalam pada 12 Mei dan disambut mesra oleh Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Mohiddin, Setiausaha Tetap Kementerian berserta pegawai-pegawainya.
Saya mengambil kesempatan menerangkan mengenai aktiviti GPTD dan perkembangan dakwah di peringkat antarabangsa dan menawarkan kerjasama yang boleh dibuat untuk membina generasi muda yang berfikiran global serta mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Dato Paduka begitu berminat untuk menghantar belia-belia terpilih mengikuti aktiviti dakwah GPTD di Sri Lanka, Australia dan Kemboja.
Pertemuan berlangsung dalam suasana yang begitu mesra dan rasanya kunjungan ini telah berjaya menerangkan peranan GPTD dalam kontek dakwah di rantau Alam Melayu.
Lawatan ke Brunei ini, adalah pertama kali buat saya dan agak menarik, kerajaannya merancang program pembangunannya dengan begitu berhati-hati. Walaupun sumber minyak begitu banyak, tetapi pembangunan ekonominya semacam sengaja di perlahankan agar sesuai dengan pembangunan rakyatnya. Maksudnya biarlah rakyat dapat manfaat dari ekonomi yang dirancang secara bertahap. Di samping itu Sultan Brunei telah melancarkan ideologi negara yang berteraskan Melayu, Islam, Beraja bagi memastikan kedaulatan Melayu mengakar di dalam pembangunan Brunei. Hal ini begitu menarik bagi saya, ketika polemik Ketuanan Melayu masih hangat di Malaysia.
No comments:
Post a Comment