Tuesday, September 29, 2009

MENGENANG DATO RAHIM BAKAR (Feb.7 ,1943 – Sept.24,2009)

TERKEJUT

Terkejut di buatnya apabila dimaklumkan bahawa Dato Rahim Bakar telah kembali ke rahmatuLlah pada 24 September yang lalu ketika menunggu saat untuk berbuka puasa sunat enam Syawal di rumahnya di Jalan U Thant.

Dalam kesibukan berziarah di Utara, dari Perlis sampai ke Perak bertemu dengan keluarga sebelah isteri, langsung tak sempat menatap akhbar atau menonton television. Hanya dah sampai Kuala Lumpur, ketika acara Ziarah Hari Raya WADAH, baru berita itu sampai kepada saya. Terkejut, memang terkejut kerana Dato Rahim terlibat secara langsung dalam dua program besar dengan ABIM ketika saya menjadi Presiden ABIM dulu. Melalui dua program ini, saya mengenali beliau secara dekat dan memahami cara kerjanya dan cara fikirnya.

BERSAMA MENGANJUR SYARAHAN PERDANA

Program pertama ialah ketika bersama menganjurkan Syarahan Perdana mengenai Palestin dan Kemanusiaan anjuran Dewan Bahasa & Pustaka dan ABIM pada 8 Mei 2002. Program ini yang mempertemukan Dr.Mahathir dan Ustaz Fadzil Noor adalah suatu peristiwa penting dalam sejarah politik Negara kita. Ianya mendapat liputan secara langsung oleh RTM.

Beberapa bulan sebelumnya, saya bertemu dengan Dato Rahim, ketika itu adalah Pengerusi Dewan Bahasa & Pustaka untuk mengajak Dewan turut sama menganjurkan program ini yang tujuan utamanya ialah untuk membuka jalan bagi dialog dan Muzakarah antara UMNO dan PAS. Suhu politik ketika itu sangat panas, dan saya memikirkan perlu ada sesuatu usaha yang mempunyai impak yang besar bagi memulakan usaha perpaduan orang Melayu. Saya nyatakan pandangan dan hasrat ini kepada beliau.

Impak yang besar perlu melibatkan Presdiden UMNO dan Presiden PAS. Saya nyatakan bahawa saya telah sempat bertemu dengan Dr.Mahathir dan Ustaz Fadzil Noor berbincang mengenai hal ini, dan nampaknya tiada halangan besar dari kedua pihak. Cuma ABIM perlukan sebuah Badan Kerajaan untuk menjadi penganjur bersama bagi memastikan kejayaan program sebesar ini.

Apa yang membanggakan saya ialah respon beliau yang sangat positif dan begitu bersemangat sekali dengan ide ini. Beliau lantas bersetuju tanpa tangguh-tangguh lagi. Memang beliau adalah seorang yang ‘action-oriented’ dan seorang yang tidak takut denga risiko apabila sudah membuat keputusan.

Dalam masa yang relatif singkat, kami bertungkus lumus mengatur strategi bagi menjayakan program yang julung kali diadakan seumpama ini. Kami ke Alor Setar bertemu Ustaz Fadzil Noor, ke PutraJaya bertemu Pak Lah, ketika itu Timbalan Perdana Menteri bagi memastikan setiap perancangan dapat diatur dengan teliti. Dato Rahim menggerakkan seluruh jentera DBP bagi tujuan murni ini.

Alhamdulillah, Majlis Syarahan tersebut berjalan lancar dan mendapat liputan semua akhbar utama dengan kehadiran hampir kesemua pemimpin utama UMNO dan PAS. Saya begitu terharu kerana dapat merasakan ‘mood’ pada malam itu sangat positif kearah perpaduan bangsa. Saya dan Dato Rahim merupakan orang yang paling gembira pada malam itu. Kami saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan senyum yang melebar. Kami bersyukur kerana semuanya berjalan lancar sebagaimana yang dirancang.

PROGRAM ANAK YATIM BANDA ACEH DAN SIGLI

Program yang kedua bersama beliau ialah ketika Tsunami melanda Aceh pada Disember 2004, Dato ketika itu merupakan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan telah bersetuju untuk bekerjasama dengan ABIM bagi membantu dua Dayah (Kalau di Tanah Jawa di panggil Pesantren,di Tanah Melayu di panggil Pondok) anak yatim iaitu satu di Lampeuh Beut, Banda Aceh dan satu lagi di Sigli, hampir dua jam perjalanan dari Banda Aceh. PPZ bersetuju membantu dengan dana berjumlah RM1.2 juta untuk membaiki bangunan, membayar gaji guru dan makan minum para pelajar. Dato Rahim sendiri pergi ke Aceh untuk melihat suasana sebenar pelajar di kedua Dayah tersebut. Kita harus ingat bahawa ketika beliau di sana, Aceh masih lagi belum pulih sepenuhnya dengan serba-serbi kekurangan.

Memang beliau amat teliti tentang penggunaan dana. Beliau sentiasa mengingatkan bahawa dana ini adalah amanah umat yang mesti digunakan dengan penuh bertanggungjawab, telus dan beramanah.

Saya banyak belajar darinya mengenai amanah dan tanggungjawab. Beliau banyak mengkritik para pemimpin yang korup tanpa berselindung dan takut-takut atau bimbang ada orang akan menyampaikan pandangan atau kritikannya.

PEJUANG BANGSA DAN BAHASA

Pengalaman bersamanya walaupun tidak lama, tetapi cukup untuk saya katakan bahawa beliau seorang pemimpin berjiwa rakyat dalam ertikata yang sebenarnya. Beliau seorang yang tegas dan tidak takut untuk mempertahankan kebenaran hatta terpaksa menentang perintah Sultan yang pada pandangannya merugikan kepentingan rakyat. Beliau sanggup menanggung risiko kerana pendiriannya. Sejarah politiknya sebagai Menteri Besar hanya bertahan selama 3 tahun 4 bulan kerana enggan menurut perintah Sultan untuk menambah konsesi balak yang mana kuotanya telah digunapakai seluruhnya.

Walaupun beliau hanya sempat memerintah sebagai Menteri Besar dari Julai 19, 1978 sehingga Nov.7,1981, pemerintahannya tetap dikenang oleh rakyat.

Sebagai pejuang bahasa, beliau adalah antara yang menentang keras pelaksanaan Pengajaran Pelajaran Sains danMatematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang di ilhamkan oleh Dr.Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri. Akibatnya, jawatan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka tidak disambung lagi.

Begitu juga ketika beliau menjadi Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, beliau telah berjaya mengubah caragaya pengurusan PPZ kepada pengurusan korporat. Beliau agak agresif didalam meningkatkan prestasi PPZ sehingga menjadi agensi pungutan Zakat yang paling banyak membuat kutipan zakat di seluruh Negara. Model PPZ telah menjadi ikutan oleh negeri lain.

Apa yang pasti, kalau demi agama, bangsa dan Negara, beliau tidak akan teragak-agak untuk bertindak walau terpaksa menanggung risiko apa jua sekalipun. Itulah yang saya dapat hasil dari pengalaman singkat dengan beliau. AL FATIHAH semoga rohnya sentiasa berada dikalangan kekasih Allah ta’ala jua.




[+/-] Baca selanjutnya...

Monday, September 14, 2009

LETTER OF PROTEST TO PRESIDENT HOSNI MUBARAK

10 September 2009

His Excellency Mr. Muhammad Hosni Mubarak
The President of Egypt

Through

His Excellency Mr. Hani Abdel Kader
The Ambassador of Egypt in Malaysia
No. 12, Lorong Ru
off Jalan Ampang Hilir
55000 Kuala Lumpur


Your Excellency,

LETTER OF PROTEST

The Global Peace Mission (GPM) vehemently condemns the action of the Egyptian police in arresting and subjecting a relief worker, dedicated to humanitarian work in the Gaza, to intense pressure through detention, interrogation, intimidation and privation. The victim is none other than Azlan Muhammad Sharif (Director, Relief & Humanitarian Aids, GPM), who led and coordinated three teams from Malaysia to Gaza. On 2 September 2009 Azlan was detained (for 3 days three nights) and deprived of food and drink, severely beaten and punished, and disallowed to communicate with anyone outside the prison walls.

2. Azlan was subjected to extreme humiliation and hard interrogation tactics, allegedly carried out with the tacit knowledge and cooperation of the CIA and Mossad.

3. The GPM draws attention to the fact that the detainee had in his possession valid documents to prove that he was a bona fide relief worker from a friendly Muslim country that is dedicated to bringing relief and humanitarian assistance to the dispossessed Palestinians in the Gaza area. Being the closest territory available for relief workers seeking entry into the Gaza, his transit in Egypt is not unexpected.

4. It is most strange that Egypt should want to impose such informal and indirect sanctions against a neighbouring state, given her historical ties to a people who, just about 42 years ago, constituted an integral part of its own territory. Today, that territory is under constant bombardment by hostile forces aided and abetted by the superpowers of the West who seek to enhance their geo-political interests in the region. The least that such a powerful and comfortably settled neighbour as Egypt could be expected to do is to merely accommodate and provide passage to those endeavouring to bring humanitarian assistance to the 1.4 million people who have been forced to live in the world’s biggest prison environed and encircled by hostile forces, and totally deprived of the most basic of necessities like food, shelter and medicine.

5. The pathetic scenario in Gaza is that of children pleading for food and hungering for basic education, the sick deprived of medicine and health care, a whole population living on handouts, an economy that struggles to keep the people alive, infrastructures that have been annihilated in wars; and the cream of the nation, her youth and best talents, that are wasting away in vain by the wayside.

6. The relief workers from Malaysia have no aim other than to address these problems that cry for help. They bring nothing with them that can be said to be dangerous. The only arms that they have brought along are alms to be distributed among Palestinian residents in Gaza.

7. Instead of being of help, Egypt has decided to impose privations on these valiant volunteers, and chosen to collaborate with the oppressors.

8. The Global Peace Mission is certainly not an isolated entity that operates in its own right. It is a legitimate vehicle through which the Malaysian government as well as donor institutions and concerned individuals (who look beyond the racial and religious divide), channel their contributions for the benefit of the Gaza residents.

9. In the face of the unfortunate and unwarranted incident that has occurred to Azlan, a dedicated relief worker, we, the Global Peace Mission, hereby demand an explanation for the gross indignities perpetrated against him.

10. We hope that this blatant act of ignominy will not be repeated in any form, to any individual or organization (from any part of the world) – Muslim or otherwise - who come forward to offer help to victims of a regime that has clearly shown to have no regard or sense of pity for human suffering.

Sincerely,




AHMAD AZAM ABDUL RAHMAN
Chairman

Tel : 03-618 7020 Fax : 03-6186 6020

[+/-] Baca selanjutnya...

Friday, April 10, 2009

KRISIS POLITIK NEGARA - APA PILIHAN NAJIB?

Najib mewarisi perjuangan bapa
1. Negara telah menempa detik yang bersejarah. Bersejarah kerana buat pertama kali anak seorang mantan Perdana Menteri mewarisi kepimpinan negara. Apakah ini akan menjadi suatu kecenderungan baru dalam politik Malaysia yang mana kepemimpinan politik negara dimonopoli oleh beberapa keluarga yang berpengaruh seperti keluarga Gandhi di India dan Bhutto di Pakistan? Atau ini hanya suatu kebetulan atas usaha gigih sendiri. Kita lihatlah perkembangannya nanti.

Krisis politik berpunca dengan pemecatan Anwar Ibrahim

2. Kita semua maklum bahawa krisis politik dalam negara ini berpunca dari pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO oleh Dr.Mahathir pada 2 September 1998. Ya, sudah lebih 10 tahun berlalu, politik negara umpama dibadai ombak besar. Usaha untuk membunuh kredibiliti Anwar dengan pelbagai cara ternyata gagal walaupun seluruh jentera kerajaan digunakan sepenuhnya. Dr.Mahathir akhirnya berundur, Pak Lah pun berundur juga. Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang yang sangat digeruni apalagi di pentas rakyat. Masyarakat Cina, India, Kadazan kesemuanya melihat Anwar sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat dan boleh menjadi Perdana Menteri yang lebih baik dan adil kepada semua. Ini pandangan akar umbi yang sentiasa dinafikan oleh media perdana. Bagi media perdana, skripnya ialah Anwar Ibrahim pengkhianat negara dan boneka Barat yang harus ditentang habis-habisan demi masa depan negara dan survival orang Melayu.

Orang Melayu bimbang

3. Sempena hari bersejarah ini, pasti Najib mempunyai formula sendiri untuk menangani isu politik Melayu yang sangat gawat melebihi satu dasawarsa ini. Kebimbangan orang Melayu akan keterhakisan kuasa politik semakin ketara dan kuasa ekonomi yang semakin mengecil adalah suatu yang ‘real’. Ianya bukan digembar-gemburkan untuk tujuan tertentu. Suara-suara mengajak Parti Politik Melayu untuk bersatu semakin kuat kedengaran. Perbincangan sulit dan tertutup memang berlaku. Seminar dan Simposium pun dah banyak yang dianjur oleh NGO Melayu yang mulai tumbuh bak cendawan. Kesemuanya menyatakan kebimbangan yang amat sangat.

4. Malah ketika ada saja pertemuan antara pemimpin poltik Melayu, maka isu perpaduan Melayu sentiasa menyusul sebagai bahan perbincangan di kedai kopi. Pertemuan Pak Lah dan Anwar di Hulu Langat atas jemputan Ustaz Mahmud kerana Majlis Tamat Latihan Kerohanian selama 40 tahun juga menjadi perbualan hangat . Malangnya Pak Lah di penghujung riwayatnya sebagai Perdana Menteri. Tiada apa lagi yang dapat dilakukannya.

Pilihan Najib hanya satu

5.Najib sebenarnya hanya ada satu pilihan saja. Sebagai PM baru beliau mempunyai banyak ‘advantage’ untuk melakukan sesuatu yang drastik dan bermakna. Sebagai Perdana Menteri baru, rakyat akan mengambil sikap memberi peluang dan ruang dulu. Sikap tunggu dan lihat inilah memberi beliau sedikit ruang untuk bernafas bagi memikir dan bertindak.

Ikut Legasi Tun Razak

6. Pilihan yang ada bagi beliau ialah untuk menjejaki legasi bapanya, Allahyarham Tun Razak. Selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969 yang menumpahkan darah akibat krisis politik perkauman, Tun Razak telah mengambil strategi kurangkan politiking bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada pembangunan ekonomi dan negara. Jika kita lihat apa yang berlaku sekarang, krisis ekonomi dunia yang melanda menuntut pemimpin, rakyat dan negara untuk memberi keutamaan kepada strategi pemulihan ekonomi. Isu politik harus diselesaikan dengan cara yang matang sesegera yang mungkin.

7. Kita kena akui bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah faktor penting didalam sebarang usaha untuk memulihkan kekusutan politik yang berlaku sejak 10 tahun yang sudah. Hakikatnya kita telah mengambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikannya. Cara membunuh kredibiliti Anwar melalui perundangan dan fitnah ternyata telah ditolak oleh rakyat. Keputusan Pilihanraya Umum ke 12 membuktikannya. Isu Anwar adalah cetusan Dr.Mahathir, bukan Najib. Beliau tidak mempunyai sebarang ‘political baggage’. Pak Lah sebenarnya mempunyai peluang untuk melakukannya, cuma malangnya beliau dibayangi oleh Dr.Mahathir.

8. Anwar Ibrahim harus diterima sebagai entiti politik yang harus dihormati. Pengalaman beliau di dalam kerajaan banyak boleh dimanafaatkan. Menuduh beliau sebagai pengkhianat negara, boneka asing ternyata tidak berfaedah dan tidak dapat diterima oleh rakyat. Biro Tata Negara sudah 10 tahun menjaja isu ini. Hakikatnya, Anwar Ibrahim semakin popular dan masyarakat Cina dan India umumnya melihat beliau sebagai pemimpin mereka sendiri.

Tubuh Kerajaan Perpaduan Nasional Raya

9. Ide menubuhkan ‘Grand National Unity Government’ telah dilontarkan oleh beberapa pihak yang prihatin mengenai krisis politik yang berpanjangan ini. Malah Yang Berhormat Ustaz Abdul Hadi Awang difahamkan begitu berminat dengan ide ini. Bayangkan sekiranya Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bersetuju menubuhkan kerajaan campuran, maka rasanya krisis politik yang berlaku sekarang boleh diredakan. Tumpuan boleh diberikan kepada menangani krisis ekonomi yang melanda.

10. Cuma apa yang diperlukan ialah pemimpin yang berjiwa besar, yang sanggup mengorbankan kepentingan peribadi demi bangsa dan negara tercinta. Tun Razak dikenang sampai sekarang kerana jiwa besarnya menjemput PAS menyertai kerajaan Barisan Nasional. Legasi ini begitu berharga dan harus diteladani. Sekira anaknya pula mengikut jejak langkah ini, rasanya semua pihak akan berbangga dan pastinya gembira. Sepuluh tahun yang gawat akhirnya berpenghujung jua.

11. Bagi setengah pemimpin PAS yang pernah berpengalaman berada dalam kerajaan campuran dulu kemudian ditendang keluar oleh UMNO, pastinya pengalaman tersebut amat pahit untuk dijadikan pengajaran. Kita amat mengerti akan perasaan pesimis tersebut. Namun demikian apa pilihan kita? Generasi sudah berubah! Minda mereka juga telah banyak berubah. Apakah kita nak berterusan mengadu tenaga sampai Pilihanraya Umum ke 13? Rasanya kita kena meraikan juga faktor perubahan generasi di dalam apa jua percaturan politik kita. Malah komen Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang mengharapkan hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ketika Datuk Najib diumumkan sebagai Perdana Menteri adalah merupakan petanda baik kearah merealisasikan ide ini.

11. Terpulanglah kepada Datuk Najib untuk bertindak. Dayung ditangan anda! Peluang datang hanya sekali! Saya mendoakan kebaikan jua untuk agama, bangsa dan negara.

[+/-] Baca selanjutnya...

Thursday, March 19, 2009

ALHAMBRA - MENGENANG KEAGONGAN SILAM, PELAJARI KESILAPAN MALANG, MERINTIS JEJAK GEMILANG!

1. Inilah ungkapan yang boleh saya simpulkan setelah sempat melawat Kota Alhambra, Granada pada 2 – 3 March 2009 yang lalu. Suatu lawatan yang sarat dengan pelajaran bagi yang siapa mahu berfikir. Lawatan yang pertama kali dulu pada 21 Jun 2001, saya begitu kagum dengan keindahan Istana Nasriyyah dan Taman Jannatul ‘Arif atau dalam Bahasa Sepanyol, Generalife. Kagum dengan kehebatan senibena dan ketinggian seni ukir yang tiada tandingan sehingga sekarang. Tanggapan saya berhenti setakat itu. Kagum dan terpesona.

Ingin Membina Syurga di Dunia – Akibatnya Hina di Dunia, Akhirat entah ke mana!

2. Tapi kali ini tanggapan saya berlainan sekali. Ya, pastinya faktor umur dan pengalaman selang 8 tahun banyak mempengaruhi saya dalam menilai sesuatu. Saya kagum, ya masih begitu. Masakan tidak, berada di tengah istana yang serba cantik lagi menawan. Betapa seronoknya para pemerintah dan kaum kerabatnya hidup ketika itu. Desiran air pancur, kenyamanan udara gunung, keheningan suasana sekitar kolam yang berwarna warni dengan bunga yang harum dan mekar. Taman yang hebat dengan berbagai bunga yang tersusun cantik lagi berseri . Air pancur yang berdesiran setiap waktu mencipta ketenangan. Pemandangan kota Granada dan Albaicin jelas kelihatan di bawah umpama seseorang melihat dunia dari kayangan. Ya, pemerintah ketika itu ingin membina syurga di dunia, sedangkan syurga yang sebenar hanya di akhirat. Tidak mungkin membina syurga di dunia, kerana nantinya pasti merana dan hina. Itu lah yang terjadi kepada kerajaan Nasriyyah yang memerintah Andalusia dari 1238 – 1492 iaitu selama 254 tahun. Sesiapa juga yang telah menghuninya, pasti akan hilang semangat jihadnya lantaran keindahan syurga yang tidak mungkin dapat dibina di dunia fana ini.

3. Hakikat ini tercatat dalam sejarah kejatuhan Dinasti Nasriyyah yang terakhir pada 2 Januari 1492 ketika Sultan Muhammad XII atau lebih dikenali sebagai Sultan Boabdil menyerah diri kepada Raja Ferdinand II dari Aragon dan Permaisuri Isabella I dari Castille. Baginda menangis sedih atas peristiwa tersebut ketika meninggalkan Istananya dan melihatnya buat kali terakhir. Tangisannya itu ditegur oleh ibunya yang berkata, "Jangan kamu menangis macam perempuan, sedangkan kamu tidak mampu mempertahankannya sebagai seorang lelaki”.

Andalusia – Pencetus Kebangkitan Tamadun Barat


4. Islam telah mencipta sejarah ketamadunan yang sangat tinggi di Andalusia sejak memerintah selama 780 tahun iaitu dari tahun 712 – 1492M. Stanley Lane-Poole seorang sejarawan telah mengungkap kalimah berikut sebagai gambaran sumbangan besar umat Islam Andalusia kepada Tamadun Barat,

“Art, literature and science prospered as they then prospered nowhere else in Europe…. Mathematics, astronomy, botany, history, philosophy and jurisprudence were to be mastered in Spain, and Spain alone. Whatever makes a kingdom great and prosperous, whatever tends to refinement and civilization,was found in Muslim Spain….”

5. Malah tokoh Saintis dan Falsafah Islam saperti Ibn Rusd (Averroes), Ibn Sina ( Avicenna), Ibn Zuhr (Avenzoar), Al Khawarizmi (Algorizm), Al Razi (Razes) adalah antara tokoh yang menjadi pencetus kepada kebangkitan Eropah atau Rennaisance. Martin Luther (1483 – 1546) yang mencetus Gerakan Pembaharuan Keristian yang diberi nama Protestanism dikatakan pernah belajar di Andalus. Berkat ilmu dari ulama Andalus inilah agaknya memberi inspirasi kepada beliau untuk mencetuskan Reformasi dalam agama Keristian.

SunnatuLlah pasti berlaku

6. Namun demikian sejarah kegemilangan ini berakhir sebaik saja umat Islam Andalus tidak lagi berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar. Pemerintah menjadi zalim, peperangan sesama sendiri kerana kuasa menjadi lumrah, si kaya bertambah kaya dengan pemerasan orang miskin, si miskin semakin terpinggir, pengkhianatan sesama Islam sudah amalan biasa dan berbagai lagi kebejatan akhlak yang amat memualkan berlaku. Maka benarlah firman Allah ta’ala yang bermaksud, "Dan tidak pernah pula Kami membinasakan kota-kota kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman.” (Surah al-Qashash :59).

7. Apakah yang boleh kita pelajari dari sejarah ini? Harta, Wanita dan Tahta, 3 TA , apabila sudah menjadi Tuhan menggantikan Allah ta’ala di dalam kehidupan kita, maka bermulalah saat kejatuhan sesuatu bangsa walau sehebat mana sekalipun sejarah keagongannya. Inilah sunnatuLlah yang tidak pernah berubah sebagaimana firmanNya, "Sebagai Sunnah Allah yang berlaku atas orang-orang yang telah terdahulu sebelum (kamu), dan kamu sekali-kali tiada akan mendapati perubahan pada Sunnah Allah.” (Al Ahzab 33:62).

[+/-] Baca selanjutnya...

Saturday, February 21, 2009

MENGENANG EL-HAJJ MALIK EL-SHABAZZ (MALCOM X)

1. Hari ini 21 Februari 2009, genap 44 tahun Malcolm X mati syahid ditembak dengan 15 das tembakan oleh tiga lelaki anggota Nation of Islam ketika memberikan suatu syarahan di Audubon Ballroom, Manhattan, ketika berumor 40 tahun.

2. Malcolm X yang menukar namanya kepada el-Hajj Malik el-Shabazz setelah menunaikan haji dibunuh kerana ingin membetulkan aqidah Nation of Islam dari ‘Black Supremacy’ kepada ‘Supremacy of Islam’.

3. Beliau menyedari bahawa faham kebangsaan yang sempit lagi cauvinis amat bertentangan dengan Islam dan ingin melakukan pembetulan dan pembaharuan. Islam itu tulus dan murni dan setiap tindak tanduk seseorang haruslah kerana Allah ta’ala semata bukan kepada sesiapa apalagi manusia. Dalam hal ini Nation of Islam menganggap Elijah Muhammad, pengasasnya sebagai menyamai seorang Nabi. Inilah yang ingin diperbetulkannya sehingga beliau akhirnya mati syahid. Antara pendirian beliau yang tegas ialah apabila beliau menyatakan,” I am not educated, nor am I expert in any particular field… but I am sincere and my sincerity is my credential”.

4. Malcolm X sangat terkenal kerana kepetahannya berhujjah untuk membangkitkan semangat jati diri masyarakat kulit hitam dari penindasan dan diskriminasi masyarakat kulit putih ketika itu. Sejak beliau menjadi jurucakap Nation of Islam, jumlah ahlinya meningkat secara mendadak dari 500 orang kepada 30,000 ahli. Malah popularitinya begitu tinggi sehingga membayangi pengasasnya sendiri.

5. Namun apabila beliau menyedari bahawa Elijah Muhammad terjebak di dalam perlakuan zina sehingga melahirkan anak luar nikah, maka beliau memprotes kuat dan keluar dari Nation of Islam dan terus menubuhkan organisasi baru, Muslim Mosque Incorporated.

6. Melalui organisasi baru ini beliau mulai mengajar ajaran Islam yang murni dan mengkritik beberapa kesalahan ajaran Nation of Islam. Sekembalinya dari Mekah beliau mulai mempopularkan konsep persaudaraan Islam dan persaudaraan manusia sejagat.

7. Bibit ajaran Islam inilah yang telah menyelamatkan aqidah sebahagian besar pengikut Nation Of Islam yang menyebabkan keputusan dibuat untuk menamatkan riwayatnya.

8. Sumbangan terbesar Malcolm X ialah keberanian beliau menentang sistem penindasan baik dalam apa bentuk sekalipun. Perjuangan kebebasan beliau terungkap di dalam kata-katanya, “Power in defense of freedom is greater than power on behalf of tyranny and oppression, because power, real power, comes from our conviction which produces action, uncompromising action”.

9. Semoga rohnya di rahmati Allah ta’ala jua. Al Fatihah.

[+/-] Baca selanjutnya...

Friday, January 30, 2009

TABIK KEPADA PM ERDOGAN!

1. Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan telah mengejutkan para pemimpin dunia dan korporat apabila meninggalkan Sesi Forum mengenai Gaza di Persidangan Ekonomi Dunia di Davos pada 29 Januari 2009 dalam keadaan marah. Beliau ternyata amat tidak berpuashati dengan moderator Sesi Forum tersebut, David Ignatius, kolumnis Washington Post yang hanya memberi beliau hanya 12 minit untuk menghujjahkan pandangannya mengenai Perang Gaza, sedangkan Presiden Israel, Shimon Peres selama 25 minit. Baginya moderator ternyata berat sebelah dalam penggendalian Forum yang sangat penting tersebut. Beliau juga amat kecewa dengan tepukan gemuruh dari hadirin yang diberikan kepada Shimon Peres walaupun Rejim Haram tersebut telah membunuh 1,300 jiwa rakyat Palestin yang sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak.

2. Tindakan beliau yang keluar Majlis sebelum Sesi Forum tersebut tamat yang mana turut disertai oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki Moon dan juga Setiusaha Liga Arab, Amr Moussa selain Shimon Peres memang mengejutkan semua pihak. Tindakan drastik tersebut memang membuatkan semua orang kaget kerana Sidang Davos lazimnya berjalan dalam suasana serius dan hambar dengan ucapan-ucapan rhetorik dan pemanis kata.

ERDOGAN – PEMIMPIN ISLAM YANG DINANTIKAN?

3. Umum mengetahui bahawa Turki adalah antara negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik yang sangat intim dengan Israel selain Mesir dan Jordan. Tindakan Erdogan mengkritik Israel di hadapan Presidennya sendiri adalah suatu tindakan berani. Ianya menjadi lebih signifikan kerana aksi tersebut dilihat oleh pemimpin dunia, korporat dan media antarabangsa. Ketika dunia Islam terpingga-pingga mencari jalan keluar kepada serangan biadap Rejim Israel, dan Dunia Arab yang lesu dan tak boleh diharap, aksi marah Erdogan tersebut pastinya membangkitkan semangat umat Islam seluruh dunia.

4. Memang umat Islam amat menantikan seorang pemimpin yang berkaliber untuk membawa keluar dunia Islam dari kemelut dalaman yang melanda. Tindakan berani Erdogan telah menangkap imaginasi umat umpama kilat. Sebaik saja beliau mendarat di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, beliau disambut oleh ribuan rakyat Turki yang menyokong tindakannya itu sebagai kemenangan moral dan penyuntik semangat untuk membela keadilan sejagat. Beliau telah ditabal sebagai Pemimpin Dunia Islam oleh rakyat Turki. Rakyat Palestin pastinya menganggap Erdogan sebagai Salahuddin al-Ayubi abad ini. Malah rakyat Arab pula akan berasa malu dengan pemimpin mereka yang sentiasa dalam keadaan ketakutan, dan menjadikan Erdogan sebagai pemimpin mereka.

5. Sebelum ini Hugo Chavez, Presiden Venezuela telah disanjung oleh rakyat Arab kerana tindakan tegasnya memutuskan hubungan diplomatik dengan Isarael. Kemudian wartawan al-Baghdadia TV, Muntadhar al-Zaidi dianggap sebagai hero baru umat Islam kerana membaling kasut kepada Presiden George Bush ketika memberi ucapan perpisahan di Baghdad baru-baru ini. Sekarang giliran Erdogan pula diangkat menjadi penyelamat kepada maruah umat Islam yang telah begitu lama tercemar. Pemimpin Arab, khususnya Hosni Mubarak, Presiden Mesir pasti dah tak relevan lagi malah ramai yang secara terang-terangan mengecap beliau sebagai pengkhianat bangsa Arab kerana kerjasamanya dengan Israel dalam Perang Gaza ini.

6. Perkembangan ini sememangnya amat menarik kerana selama ini, Turki sebelum Erdogan sentiasa dilihat sebagai pro-Barat dan pro-Israel. Setelah aksi berani Erdogan di Davos ini, pastinya hubungan Turki dan Israel akan diuji ketahanannya. Apakah akan berlaku perubahan dasar luar Turki terhadap Israel? Bagaimana reaksi Amerika Syarikat di bawah Presiden Obama? Bagaimana pula reaksi Kesatuan Eropah yang sedang cuba memainkan peranan aktif di Timur Tengah? Kita lihatlah nanti bagaimana perkembangan ini bakal merubah sosio-politik dunia. Pastinya dunia Islam yang semacam ketandusan pemimpin yang berkaliber, menantikan saat-saat ini. Apakah Turki bakal kembali berperanan sebagai Pemimpin Dunia Islam sebagaimana Zaman Khalifah Uthmaniyyah dahulu. Sama-sama kita nantikan.

[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, January 21, 2009

Barack Hussein Obama - Peluang untuk Keamanan Dunia

1. Pemilihan Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke 44 pada 20 Januari yang lalu telah menarik minat banyak kalangan di seluruh dunia. Harapan tentunya amat tinggi untuk Amerika Syarikat memimpin dunia dengan cara yang lebih bertamadun berbanding kaedah perang yang dipelopori oleh Presiden Bush.

2. Darah campuran yang mengalir di dalam tubuhnya menyebabkan orang kulit putih, kulit hitam, orang Islam (kerana bapa dan bapa tirinya berugama Islam), Benua Afrika (bapanya berasal dari Kenya), Indonesia (bapa tirinya), kesemuanya merasa memiliki Obama. Ini tentunya telah menjadikan Obama sebagai tokoh dunia yang sangat popular pada saat ini. Dunia meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada beliau untuk keluar dari kemelut peperangan yang telah menelan jiwa yang cukup banyak.

3. Namun demikian, sebuah negara yang selama ini begitu bermaharajalela melakukan pembunuhan demi pembunuhan iaitu Israel ternyata mulai bimbang. Ini mudah untuk difahami kerana selama ini dokongan Amerika Syarikat yang tidak berbelah bagi terhadap segala tindak-tanduknya yang tidak berperikemanusian terhadap rakyat Palestin mungkin akan berubah. Pendidikan Obama yang tinggi memungkinkan beliau lebih faham dan mengerti akan keadilan sejagat.Sejarah Perjuangan Hak Asasi orang Kulit Hitam di Amerika Syarikat mungkin akan menjadikan beliau lebih mengerti akan keadilan dan hak asasi manusia. Sekiranya beliau meletakkan neraca keadilan sebagai paksi pemerintahannya, maka harapan untuk dunia ini menjadi aman adalah cerah.

4. Namun, sekiranya beliau tunduk kepada tekanan pelobi Zionis yang telah begitu lama mengakar di dalam sistem pemerintahan Amerika Syarikat, maka beliau akan menjadi seorang lagi boneka Zionis dari kalangan Presiden-Presiden sebelum ini.

5. Dunia Islam tidak harus bersikap tunggu dan lihat. Membiarkan pelobi Zionis terus menguasai Presiden Obama adalah suatu yang malang. Sistem Pemerintahan Amerika Syarikat menghalalkan sistem pelobi untuk membantu membuat keputusan negara. Sudah terlalu Zionis menguasai kaedah ini. Rasanya sudah tiba masanya pula untuk Dunia Islam menggunakan kaedah yang sama. Duit minyak yang begitu banyak harus digunakan untuk mendanai Kumpulan Pemikir (Think Tank) yang boleh mempengaruhi Dasar Luar Amerika Syarikat agar lebih adil dan saksama.

[+/-] Baca selanjutnya...