[sempena memperingati 100 tahun Khutbah Damsyik atau Dimashq Asy-Syam (Hutbe-I Samiye’/ Damascus Sermon) oleh Bediuzzaman Said Nursi, 1911-2011]
oleh
AHMAD AZAM ABDUL RAHMAN & RAHMAH HASHIM
Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH), Malaysia
Segala pancaroba dan krisis sosial yang melanda umat manusia di dunia masa kini, di semua peringkat kehidupan, sama ada di kalangan masyarakat tempatan, nasional, serantau atau pun antarabangsa. Kebejatan sosial, kejutan budaya, agitasi politik, krisis alam sekitar, dan ketidaktentuan ekonomi sedang menghantui orang perseorangan, ahli keluarga, komuniti, dan ummat manusia seluruhnya, tidak kira orang Islam atau pun bukan Islam di seluruh dunia. Manusia pada umumnya sedang cuba menggarap punca perubahan radikal dalam persekitaran dunia masa kini. Dalam proses tersebut, masyarakat terpaksa berhadapan dengan 1001 cabaran sosio-budaya, teknologi, politik dan ekonomi abad ke-21 ini.
Konsep ‘keluarga’ yang secara tradisinya amat mudah difahami itu pun sedang dicabar oleh para pelobi hak asasi pada tahap global, termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, supaya merangkumi pasangan homoseksual dan lelaki-wanita yang hidup serumah tanpa nikah, menggalakkan perzinaan dan pembiakan anak-anak luar nikah tanpa rasa segan silu atau bersalah. Institusi kekeluargaan juga semakin goyah disebabkan peningkatan kes-kes keganasan rumah tangga, termasuk keganasan mental dan fizikal, sumbang mahram, gejala sosial yang melibatkan remaja belasan tahun, jenayah juvana, mangsa kemiskinan tegar, keluarga yang porak peranda akibat perceraian ibu bapa, dan jenayah masyarakat khususnya di kalangan kanak-kanak yang terabai dan dahagakan perhatian serta kasih sayang.
Pelbagai penjelasan diberikan untuk menangani krisis umat alaf ketiga ini bergantung kepada perspektif para pakar analisis sosial. Muzaffar Iqbal (2008) menawarkan dua kategori yang luas: Pertama, bahawa Islam bertanggung jawab terhadap keadaan yang begitu buruk dan mendukacitakan masa kini. Kedua, Islam yang telah disisih oleh penganut agama Islam sendiri merupakan punca utama kebuntuan dan kebejatan sosial ummah. Tumpuan utama makalah ini ialah terhadap diagnosis, rawatan dan pembaikpulihan masalah seperti yang disediakan dalam manual kehidupan insan iaitu kitab suci Al-Quran al-Karim, seperti yang dikupas dan disampaikan oleh Bediuzzaman Said Nursi dalam Khutbah Damsyik atau Dimashq Asy-Syam (Damascus Sermon/Hutbe-I Samiye’) di Masjid Umayyad 100 tahun dahulu.
JENIS-JENIS GEJALA SOSIAL
Pada tahun 2004, Jessica Williams telah mengenal pasti 50 jenis masalah yang meracuni dunia pada abad ke-21, dan menamakannya sebagai “50 fakta yang boleh mengubah dunia”. Berikut ialah beberapa statistik yang dipetik dari penulisan beliau:
· Kes Mengandung di kalangan Remaja Belasan Tahun (Teen pregnancy)
Amerika Syarikat dan United Kingdom mempunyai kadar remaja mengandung yang paling tinggi -- 1.25 juta remaja belasan tahun terjebak dalam kes mengandung setiap tahun. Ini bermakna berjuta-juta kanak-kanak luar nikah akan lahir di A.S. dan U.K. setiap tahun.
· Keganasan Rumahtangga
Lebih 12,000 wanita telah terbunuh setiap tahun di Rusia akibat keganasan rumah tangga. Satu sumber menganggarkan bahawa 3 juta wanita menjadi mangsa penderaan fizikal para suami atau pasangan lelaki mereka setiap tahun; satu lagi sumber menganggarkan nisbah satu dalam tiga wanita akan dipukul, dipaksa mengadakan hubungan seks atau dikasari sepanjang hayat mereka.
· Penagihan dadah dan perniagaan dadah haram
Perdagangan dadah secara haram di dunia dianggarkan bernilai kira-kira US$400 bilion, hampir sama dengan industri farmaseutikal yang diusahakan secara halal di dunia. Hampir separuh daripada remaja 15 tahun di Britain telah pernah menyalahgunakan dadah.
· HIV/AIDS
Kira-kira 300 juta manusia di Afrika dilaporkan sebagai HIV positif; dalam setiap 14 saat, seorang anak muda akan dijangkiti virus HIV; dan bahawa menjelang 2050, penyakit ini akan mengorbankan sebanyak 280 juta nyawa manusia.
· Bunuh Diri
Lebih ramai mati setiap tahun akibat membunuh diri berbanding jumlah yang terkorban akibat konflik bersenjata di dunia; bahawa kadar bunuh diri telah meningkat 60 peratus di seluruh dunia antara 1959-2004. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan satu juta kes bunuh diri pada tahun 2000, tidak termasuk sejumlah 10-20 kali ganda kes percubaan membunuh diri. Ia merupakan punca ketiga kematian di kalangan mereka yang berusia 15-34 tahun di seluruh dunia. Negara bekas jajahan Soviet -- Belarus, Kazakhstan, Latvia dan Lithuania – kesemuanya menunjukkan kadar bunuh diri yang amat tinggi.
· Pornografi
Tujuh puluh peratus wayang gambar untuk orang dewasa dihasilkan di Los Angeles, Amerika Syarikat; rakyat Amerika membelanjakan sejumlah US$10 bilion setiap tahun untuk membeli bahan pornografi – iaitu jumlah yang sama dibelanjakan untuk bantuan asing.
· Perbelanjaan Ketenteraan
Setiap jam sehari, dunia membelanjakan lebih US$90 juta untuk kelengkapan tentera dan Amerika Syarikat merupakan Negara yang paling tinggi perbelanjaan untuk ketenteraan di dunia. Pada tahun 2003, belanjawan ketenteraan Amerika Syarikat adalah US$396 bilion, iaitu 33 kali jumlah belanjawan ‘rogue states’ iaitu negara-negara yang dianggap mengancam ketenteraman dunia.
“Fakta-fakta” lain yang dikenal pasti termasuk homoseksualisme dan perkahwinan di antara sesama jantina, pengguguran anak, perceraian, sikap acuh tak acuh atau tidak mempercayai agama, jenayah dan gejala sosial, kemiskinan dan kekurangan zat makanan, sumber galian asli yang semakin berkurangan, dan peperangan. Masalah, dilema dan krisis yang seakan-akan sama, juga dikenal pasti oleh beberapa orang pembentang kertas kerja daripada beberapa organisasi bukan kerajaan dari Negara Islam yang menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Keluarga anjuran Suruhanjaya Wanita, Keluarga, dan Belia, UNIW, di Bandung, Indonesia, pada 7-8 Mei, 2011.
Mengenai tersebar-luasnya budaya songsang homoseksual, Family Watch International (http://www.familywatchinternational.org) telah mendedahkan data berikut:
· Risiko tinggi HIV/AIDS di kalangan para homophili/homoseksual yang terus menerus mengamalkan perlakuan luar tabii tersebut
· Golongan homoseksual merupakan golongan tertinggi dijangkiti penyakit- penyakit akibat hubungan kelamin (STD)
· Lebih sepertiga lelaki dan wanita homoseksual juga terlibat dalam penyalahgunaan dadah
· Empat puluh peratus remaja homoseksual dilaporkan mempunyai sejarah membunuh diri
· Golongan homoseksual lebih cenderung memiliki masalah kesihatan mental berbanding golongan heteroseksual
· Hubungan di antara pasangan homoseksual adalah lebih ganas berbanding perhubungan di antara pasangan heterosexual
· Sikap berat sebelah dan diskriminasi masyarakat tidak menyumbang kepada risiko kesihatan yang meningkat di kalangan homoseksual
Ketika membincangkan keadaan yang amat merunsingkan ini, seorang sarjana Islam terkenal, Seyyed Hossein Nasr, menyatakan pandangan berikut dalam buku beliau “A Young Muslim’s Guide to the Modern World” pada 1994:
It is especially during the last few decades with the generation that grew up after the Second World War, that the sense of the meaninglessness of life and nihilism set in along with distrust of the older generation, opposition to the many hypocrisies which the youth saw in the generation of their parents, the breakup of the family, the loss of the traditional roles of men and women, and their relation with each other and the loss of authority of any kind, not only ethical and spiritual, but even to some extent political.
[Khusus dalam beberapa dekad yang lalu, wujud nihilisme dan tanggapan bahawa kehidupan di dunia ini telah hilang maknanya dalam kalangan generasi yang lahir selepas Perang Dunia Kedua. Perasaan ini disertai dengan rasa syak wasangka dan curiga terhadap generasi lebih tua; belia memprotes kepura-puraan yang dilihat ada pada generasi ibu bapa mereka; berlaku perpecahan keluarga, hilangnya peranan tradisional lelaki dan wanita (dan dalam kalangan mereka masing-masing); dan hilangnya apa juga bentuk adikuasa (bukan sekadar etika dan kerohanian tetapi juga kuasa politik).
Seorang lagi sarjana Islam dan pakar sosiologi terkenal, Akbar S.Ahmed, menghuraikan dengan amat jelas beberapa masalah yang lazim dihadapi manusia hari ini di dalam buku beliau, “Islam under siege” (2003, 158):
The common problems in this shrinking world . . .: drug and alcohol abuse, divorce, teenage violence and crime, ethnic and racial prejudice, the problems of the aged and the poor; the challenge of the growing sense of anarchy and rampant materialism; the sexual debasement of women and children; the depletion of our natural resources and ecological concerns.
[Masalah lazim dalam dunia yang semakin menguncup . . .: penyalahgunaan dadah dan alkohol, keganasan dan jenayah remaja, diskriminasi etnik dan bangsa, masalah golongan tua dan miskin; perendahan maruah kaum wanita dan kanak-kanak; pemupusan bahan-bahan sumber asli dan isu-isu ekologi].
Mengapakah kerosakan-kerosakan masyarakat ini berlaku? Apakah yang silapnya dengan dunia ini? Apakah yang silap dengan kemanusiaan? Adakah terdapat sebarang penawar untuk memulihkan penderitaan manusia dan bencana buatan manusia ini? Apakah cara untuk keluar daripada jurang yang amat dalam ini?
PUNCA UTAMA MENURUT AL-QURAN & HADITH
Sebab dan akibat berlakunya kelemahan manusia dan penyakit sosial ini telah pun dinyatakan secara langsung dan tidak langsung dalam Al-Quran dan Hadith. Di antara punca-puncanya termasuk faktor-faktor luaran dan dalaman berikut:
1. Faktor Luaran – Dominasi Yahudi dan Kristian
Semenjak kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah pada 1924, beberapa faktor luaran telah menyebabkan berlakunya kelemahan dan kemerosotan ummah. Fenomena ini telah diperjelaskan dalam QS Al-Baqarah (2: 120):
وَلَن إِنَّ هُدَى اللّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءكَ تَرْضَى عَنكَ الْيَهُودُ وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللّهِ مِن وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.
2. Faktor Dalaman – Orang Islam Meniru Barat Secara Membuta Tuli
Akibat berada bertahun-tahun lamanya di bawah cengkaman dan penjajahan Barat, terdapat orang Islam yang dijangkiti apa yang disebut oleh Malik Bennabi sebagai ‘colonisibilite’, yang merujuk kepada perwatakan orang Islam yang dijajah Barat dan yang menerima bulat-bulat apa jua cara hidup dan pemikiran penjajah tanpa rasa insaf atau segan silu. Mereka dengan bangganya membuang segala nilai-nilai dan pengajaran Islam, dan menganggapnya tidak relevan, kolot dan ketinggalan zaman. Mereka meniru Barat tanpa harga diri dan tanpa memikirkan kesesuaiannya dengan masyarakat Islam. Fenomena ini sesuai dengan apa yang disebut dalam sebuah Hadith (Sahih Muslim, Bab 3, Buku 34, No.6448), seperti berikut:
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang Engkau maksudkan?” Nabi s.a.w. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka?”
Ibn Khaldun, seorang sejarawan dan ahli sosiologi terkenal, memerhatikan perlakuan pihak yang dijajah dalam buku beliau “Al-Mukaddimah”, m.s.147:
The subjugated person is always infatuated, and imitates the conqueror in his motto, his clothes, his religion and all his conditions and habits as well. The reason is that the human personality always thinks that the power, the priority and the excellence are always with the one who conquered it, so it glorifies him in imitation.
[Orang yang didominasi atau dikuasai selalunya merasa tertawan, dan meniru gelagat penguasa atau penjajah dalam penggunaan cogan katanya, pakaiannya, agamanya, dan kesemua keadaan termasuk juga tabiatnya. Sebabnya ialah kerana sahsiah manusia selalunya menganggap bahawa kuasa, keutamaan, dan kecemerlangan lazimnya wujud pada yang menguasai, maka dia dikagumi dan dijadikan ikutan].
Kesemua penyakit sosial ini mencerminkan semakin merosotnya amalan keagamaan dan kelemahan kerohanian manusia, namun jika kita mengeluh kesah, putus asa dan tidak berhadapan dengan hakikat kebenaran, ia tidak akan dapat mengubah keadaan.
Allah telah menganugerahkan Al-Quran kepada ummah lebih 1430 tahun yang lalu menerusi Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Terdapat surah-surah dalam Al-Quran yang menyeru manusia menggunakan akal: Gunakan daya kecerdasan kamu! Berfikirlah! Rujuk kepada akal dan jiwa! Mengapa kamu tidak fikirkan (kejadian) diri? Apakah mereka tidak memerhatikan…? Al-Quran mempunyai segala penawarnya, tetapi oleh kerana kita asyik melihat ke tempat lain untuk mencari ubatnya, maka krisis dan dilema masyarakat dunia semakin meruncing. Dalam keadaan buta itu pun, kita kerap diingatkan oleh Allah, Pencipta kita, “Jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah” (QS 39: 53).
PENAWAR UNTUK KEMANUSIAAN DARIPADA “KHUTBAH DAMSYIK” BADIUZZAMAN SAID NURSI
Bediuzzaman Said Nursi (1877-1960) sempat menyaksikan kejatuhan dunia Islam dan kelemahan iman umat Islam akibat dijajah dan dipengaruhi sikap kebendaan, ditambah pula dengan pengabaian agama, dan menjadikan sains sebagai kayu ukur materialisme. Said Nursi amat prihatin terhadap penyakit-penyakit sosial yang menimpa manusia, khususnya ummat sezamannya. Dalam Risale-I Nur, beliau menekankan lagi hakikat bahawasanya kebahagiaan tulen hanya boleh dicapai melalui iman dan ilmu pengetahuan mengenai Allah, di dunia dan akhirat. Sebaliknya, perbuatan mengengkari perintah Allah hanya akan menyebabkan kesengsaraan dan penderitaan yang amat sangat, yang lazimnya terserlah melalui ketakpedulian dan perbuatan melarikan diri dari tanggungjawab hidup insan.
Apabila Said Nursi dijemput oleh pihak berkuasa agama Damsyik, Syria, untuk menyampaikan khutbah di Masjid Umayyad pada tahun 1911, beliau bukan hanya berkhutbah kepada hampir 10,000 jemaah (termasuk 100 orang ulama muktabar zaman tersebut) tetapi beliau juga turut meninggalkan suatu warisan bernilai, iaitu khutbah yang mendahului zamannya dan merentasi batasan masa dan tempat.
Dalam Khutbah Damsyik tersebut, Bediuzzaman Said Nursi telah mengenal pasti beberapa penyakit yang merundung dunia Islam dan menawarkan ubatnya daripada “farmasi Al-Quran”. Beliau menyenaraikan enam penyakit merbahaya dan menjelaskan ubat untuk memulihkan setiap satu penyakit yang dianggapnya sebagai iktibar dalam kehidupan masyarakat (Rujuk Jadual 1). Beliau menyeru setiap orang Islam supaya memberikan perhatian berat kepada kebenaran Al-Quran dan membina semula masyarakat berdasarkan batu asas keimanan Islam, supaya ketamadunan manusia benar-benar menjadi ketamadunan tulen.
JADUAL 1: Iktibar dalam kehidupan masyarakat
Jenis Penyakit | Penawar | Petikan daripada Khutbah Damsyik |
Kecewa | Harapan | Masa depan ialah milik Islam dan Islam semata-mata. Dan pemimpinnya ialah kebenaran al-Quran dan kepercayaan . . . Islam dan kebenarannya mempunyai kemampuan sempurna untuk maju, dari segi kebendaan dan perkara-perkara berkaitan moral dan bukan kebendaan. |
Penipuan | Kejujuran | (Masyarakat) hanya boleh diselamatkan melalui kebenaran dan kejujuran. “Sesungguhnya sudah nyata petunjuk daripada kesesatan” (QS 2: 256) iaitu kejujuran. . . . Sesungguhnya, semua yang kamu katakan mesti benar, tetapi (adakala) tidak boleh juga menyatakan segala-gala yang benar. Pada keadaan tertentu lebih baik diam jika (berkata-kata) itu merosakkan. |
Bermusuh-musuhan | Berkasih sayang | Kasih sayang, persaudaraan dan kemesraan adalah asas kepada Islam, dan alat pemersatunya. Mereka yang gemar bermusuhan adalah ibarat anak kecil yang perengus dan mua. Dia mencari alasan, dan menggunakan sesuatu yang tidak penting seperti sayap lalat sebagai penyebab . . . Dia ketepikan sepuluh amalan baik disebabkan satu amalan buruk. |
Berpecah-belah | Bersatu padu | Waktu paling tepat untuk perpaduan Islam baru bermula. Syaratnya kita jangan berikan perhatian kepada kesilapan masing-masing . . . Dengan tidak berusaha langsung dan tidak bekerja ke arah perpaduan Islam dan persaudaraan Islam yang sebenar, telah menyebabkan berlaku banyak kerosakan, dan adalah suatu ketidakadilan kepada kamu. |
Kezaliman | Menjaga martabat | Kepercayaan bermakna tidak menghina orang lain menerusi penindasan serta kezaliman dan menjaga martabat serta maruah mereka, dan . . . tidak merendahkan diri sendiri di hadapan orang yang zalim. |
Individualisme | Syura | Sepertimana seorang individu perlu berunding sesama sendiri, begitu juga Negara dan benua perlu mengamalkan syura. Kerana kebebasan adalah mengikut syari’ah . . . dan keteguhan serta rahmat keimanan yang akan menanggal dan menghapuskan onah dan belenggu kezaliman . . . Banyak peristiwa sejarah menunjukkan bahawa dengan keikhlasan, perpaduan dan syura, sepuluh orang boleh melakukan kerja seribu orang. |
Sumber: Disusun daripada The Risale-I Nur Collection, The Damascus Sermon oleh Bediuzzaman Said Nursi, Sozler Nesriyat San.Tic.A.S., Istanbul, 2004.
Dalam Khutbah Damsyik, Bediuzzaman Said Nursi menjelaskan perihal “hijab yang telah menggerhanakan matahari Islam”, menghalangnya daripada menyinari kemanusiaan pada masa lalu. Dampak paling besar ialah harapan beliau kepada orang Islam dan keyakinan bahawa kebangkitan Islam akan disaksikan tidak lama lagi kerana wujudnya petanda-petanda berikut:
a. Kebaikan ilmu dan ketamadunan telah menghapuskan tiga halangan – kealpaan Eropah, kezaliman mereka, dan sikap tidak bertoleransi dalam agama mereka.
b. Idea kebebasan dan keinginan mencari kebenaran telah mula menghilangkan dua halangan -- dominasi dan kuasa arbitrari pemimpin agama Eropah.
c. Kebangkitan semula Islam telah menghapuskan dua halangan – kepimpinan yang zalim dan kemerosotan akhlak yang berlaku akibat menentang syari’ah.
d. Penentangan terhadap Islam oleh ahli-ahli sains dan falsafah sebaliknya telah menonjolkan mukjizat Al-Qur’an, lalu menggilapkan kebenaran dan menyebabkan mereka menyerah kepada Islam.
Lima puluh tahun selepas Khutbah Damsyik, Said Nursi telah menambahkan Lampiran kepada teks Khutbah Damsyik dalam bahasa Arab:
Manusia abad ke duapuluh ini telah beranggapan bahawa keperluannya yang paling besar ialah kekuatan moral dan kerohanian, ketenangan hati, dan kesabaran. Oleh yang demikian, untuk mereka meninggalkan Islam dan kebenaran agama pada masa ini, yang merupakan penyokong dan pengukuh kekuatan moral, ketenangan dan kebahagiaan yang diperlukan, dan sebaliknya mendapat keuntungan daripada kenegaraan Islam, dengan kegilaan ke arah kebarat-baratan, bergantung kepada salah-bimbingan, pemborosan, dan politik serta diplomasi yang membohong, yang merosakkan dan menghapuskan segala kekuatan moral, ketenangan dan kesabaran, adalah perbuatan yang jauh daripada menguntungkan manusia. Mereka akan menyedari sejauh manakah ini dapat menguntungkan manusia, terutama sekali Negara Islam, dan kemanusiaan. Kebenaran ini akan menyedarkan mereka dari tidur, dan, sekiranya masih ada kesempatan masa di dunia ini, mereka akan kembali patuh kepada kebenaran Al-Quran
Apa yang diramalkan oleh Said Nursi dalam Khutbah Damsyiknya 100 tahun dahulu telah semakin bermakna dalam dekad-dekad pertama alaf ketiga ini.
JATUH BANGUN NEGARA
Jatuh bangunnya Negara telah mengikut satu peraturan seperti yang dihuraikan dengan pelbagai cara dalam Al-Qur’an, tiga daripadanya adalah seperti berikut:
Hari-hari (kemenangan) itu Kami perganti-gantikan di antara manusia dan supaya Allah mengetahui orang-orang yang beriman dan menjadikan sebahagian kamu mati syahid; dan Allah tidak mengasihi orang-orang zalim.
(QS Ali Imran 3:140)
Allah hendak memutuskan urusan yang akan diperbuatNya. Lagi supaya binasa orang yang binasa dengan keterangan dan hidup orang yang hidup dengan keterangan pula. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
(QS Al-Anfaal, 8: 42).
Itulah sunnatullah (peraturan Allah) pada orang-orang yang terdahulu sebelumnya, dan tiada engkau peroleh sunnatullah itu berubah-ubah.
(QS al-Ahzab 33: 62)
Seperti yang diperkatakan oleh Muzaffar Iqbal (2005), tiada sebab mengapa peraturan-peraturan ini perlu diubah dalam abad ke 21 ini semata-mata kerana sebahagian manusia telah membangunkan kapal angkasa dan peluru berpandu. Berdasarkan sejarah, umat Islam akan meningkat naik dalam Kepemimpinan Global apabila mereka mematuhi nilai-nilai kecemerlangan Islam. Terdapat contoh-contoh tauladan yang tidak terkira banyaknya dalam semua bidang kepakaran—perubatan, sains, kejuruteraan, teknologi, falsafah, ketenteraan, pendidikan dsb.
Sejarah juga telah menunjukkan bahawa Tokoh-tokoh Islam Mithali muncul daripada keluarga yang bertaqwa. Rumah memainkan peranan yang paling penting dalam Islam di mana ketaatan dan kepatuhan terpahat kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. Sabda Rasulullah s.a.w. bahawa rumah-rumah yang terdapat bacaan Al-Quran ibarat bintang-bintang yang bergemerlapan untuk para malaikat yang berada di langit. Sebaliknya, apabila orang Islam mengabai dan meninggalkan Islam, maka hilanglah fungsi utama rumah mereka. Terdapat keganasan, pergaduhan, dan penyiksaan yang tidak tertahan berbanding dengan rasa kasih sayang dan pembelaan. Kanak-kanak terdedah kepada risiko yang tidak terkira banyaknya, termasuk hilang kepercayaan terhadap agama Islam. Mereka menjadi lemah dan mudah didominasi oleh orang lain. Untuk membawa perubahan dalam masyarakat Islam, perlu berlaku perubahan dalam aspek moral, spiritual dan material individu yang menjadi anggota masyarakat Islam (Lihat Muzaffar Iqbal, 2008).
http://www.gods-word-first.org/images/persion-empire-map-gif, http://www.princeton.edu/~hum.comp/map2.gif. http://en.wikipedia.org/wiki/Umayyad-Caliphate, http://www.dponline.org/andrew/abbasid_caliphate.ppt, http://cdis.missouri.edu/exec/data/courses/2323/public/lesson01/britishempire.jpg, http://irregulartimes.com/empiregeography.html, http://www.metmuseum.org/toah/hd/crus/hd-crus.htm, http://www.das.ufl.edu/users/oren/INR4204Middleeast.html, http://www.columbia.edu/itc/mealac/pritchett/00maplinks/medieval/mongols/mongols.html, http://www.jewishvirtuallibrary.org/jsource/History/ottomap1580.html
Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. dan Khalifah Ar-Rashidin, Islam berada di bawah pemerintahan Khalifah Umayyah. Khalifah paling terkenal pada zaman tersebut adalah Khalifah Umar ibn Abdel Aziz, seorang khalifah yang zuhud, alim dan berkaliber. Penubuhan kerajaan Khalifah Abbasiyyah benar-benar mewakili revolusi sosial. Ia mengenepikan amalan aristokrasi dan mengamalkan prinsip pemerintahan adil, bertoleransi dan bernilai murni. Puncak kegemilangan kuasa Abbasiyyah adalah di bawah Khalifah Haroun al-Rashid, ketika Baghdad menjadi pusat kecemerlangan kebudayaan dunia. Pada masa itu Eropah tenggelam dalam Zaman Kegelapan. Karya-karya sains dan falsafah diterjemahkan daripada bahasa-bahasa lain ke Bahasa Arab. Sejurus selepas Zaman Keemasan ini, Empayar Arab mulai hancur dan diikuti dengan pencerobohan dan huru hara, termasuk pencerobohan Mongol. Kaum Mongol akhirnya menerima agama Islam dan bersatu di bawah payung keIslaman.
Orang Islam kemudian tercabar oleh Pasukan Salib yang tiba di Timur Tengah pada tahun 1096 yang akhirnya menawan Jerusalem pada 1099; mereka kemudiannya dikalahkan pada tahun 1291.
Turki Uthmaniyyah mula membina kekuatan di Anatolia (Asia Minor) dan beberapa bahagian Eropah sekitar 1293. Kejayaan mereka berpunca daripada kebijaksanaan berorganisasi dan mengeksploitasi kuasa senjata api. Empayar Uthmaniyyah terus berkembang dalam abad ke 16 dan 17 tetapi mulai merosot kegemilangannya apabila British dan sekutunya mulai memecahbelahkan Empayar Uthmaniyyah.
KONSEP PERUBAHAN DALAM AL-QURAN
إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum, kecuali jika mereka mengubah keadaan mereka sendiri. Apabila Allah menghendaki kejahatan pada suatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolakkannya dan tidak ada bagi mereka wali, selain daripadaNya”
(QS Ar Ra`ad, 13:11)
PEMBENTUKAN PEMIMPIN ISLAM: MODEL SULTAN MUHAMMAD AL-FATIH
Ketika Sultan Mehmet II memimpin pasukan Turki dalam serangan untuk menawan Constantinople (kini Istanbul) pada waktu subuh 20 Jamadil Awal 857 Hijrah (29 Mei, 1453), ia merupakan titik kemenangan bukan sahaja kepada Turki Uthmaniyyah tetapi juga untuk umat Islam seluruhnya, suatu pencapaian yang dianggap mustahil pada tahun-tahun sebelum pemerintahan baginda. Sultan Mehmet II atau Muhammad Al-Fateh (1432-1481), adalah suri tauladan seorang pemimpin yang memiliki wawasan Ummatik dan misi Al-Quran; seorang tokoh yang berhemah tinggi, berdisiplin dan tidak pernah meninggalkan solat, termasuk solat tahajjud. Sifat-sifat peribadinya tidak berlaku secara spontan tetapi telah dirancang dengan penuh strategi dan berhemah semenjak sebelum kelahiran beliau lagi.
Baginda dibesarkan oleh seorang ayah yang rajin dan berpandangan jauh, iaitu Sultan Murad II, dan dididik sendiri oleh beberapa orang murabbi, termasuk Syeikh Muhammad bin Ismail Al-Kurani dan Sheikh Ak Samsettin (Syamsuddin). Baginda diajar Al-Quran, Al-Hadith, ilmu Fiqh, Linguistik (Bahasa Arab, Parsi dan Turki), dan bidang lain termasuk Mathematik, Astronomi dan Strategi Peperangan. Beliau menguasai pelbagai bahasa dunia termasuk Bahasa Turki, Yunani, Hebrew, Arab, Parsi dan Latin; dan juga berpengetahuan cemerlang dalam teknologi tinggi pada zaman itu.
Dari semenjak kecil lagi, guru-guru baginda telah menekankan hakikat bahawa beliau adalah pemimpin Islam yang disebut dalam Hadith Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan daripada Bishr al-Kath’ami atau al-Ghanawi oleh Ahmad, al-Musnad 14:331 #18859 [daripada Hamza al-Zayn], al-Hakim, al-Mustadrak 4:421-422 [daripada al-Dhahabi], al-Tabarani, al-Mu`jam al-Kabir 2:38 #1216 [daripada al-Haythami 6:218-219], al-Bukhari, al-Tarikh al-Kabir 2:81 dan al-Saghir 1:306, Ibn `Abd al-Barr, al-Isti`ab 8:170 [hadith hasan], al-Suyuti, al-Jami` al-Saghir:
"Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera ….”
(Hadith Riwayat Imam Ahmad)
Apabila Sultan Muhammad Al-Fateh menaiki takhta kerajaan, baginda telah menumpukan masa untuk mengukuhkan Tentera Laut Uthmaniyyah dan menyediakan anggota tentera seramai 250,000 yang terdiri daripada para mujahid yang bersedia untuk berjihad secara rohani, intelektual dan fizikal. Baginda membina armada 400 buah kapal sebagai persediaan menghadapi serangan yang lebih besar. Akhir sekali, beliau sendiri yang memimpin tentera masuk ke kota Constantinople melalui kaedah yang dianggap mustahil tanpa rahmat dan bantuan Allah S.W.T.
KESIMPULAN
Kata-kata Bediuzzaman Said Nursi masih jelas kedengaran walaupun beliau telah meninggalkan kita lebih enampuluh tahun lalu. Kata Bediuzzaman Said Nursi:
Jika anda mahukan kejayaan, patuhilah hukum Allah! Jika tidak anda akan gagal. Hakikat bahawa kesemua Nabi-nabi dan Rasul lahir di negara Islam dan Negara Uthmaniyyah menandakan bahwa agamalah yang menghasilkan kemajuan.
Agama tidak boleh dikorbankan untuk kepentingan dunia ini . . . . Penyakit jantung Negara ialah kelemahan agama; Penyakit tersebut akan pulih apabila agama diperkukuhkan.
Pembawaan masyarakat kita ialah kasih sayang demi kasih sayang, permusuhan demi menentang permusuhan. Yakni, membantu memupuk kasih sayang di kalangan sesama Islam dan menukarkan haluan tentera permusuhan.
Kaedah kita ialah mencontohi akhlak Nabi Muhammad s.a.w. dan mengamalkan semula amalan Rasulullah s.a.w.. Bimbingan kita ialah Syari’ah, dan senjata kita ialah bukti-bukti nyata, dan tujuan kita ialah untuk menegakkan Risalah Allah.
Islam telah kembali semula, benar seperti yang dikatakan oleh Bediuzzaman Said Nursi 100 tahun dahulu ketika ramai yang ditimpa rasa kehampaan dan kekecewaan yang amat sangat. Pada ketika itu, beliau menyatakan bahawa “masa hadapan kita adalah dalam Islam, dan abad ini akan menjadi abad untuk Islam”. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh sekadar mengangan-angankan dunia yang aman dan harmoni tanpa berusaha mencapainya. Membimbing dan mentarbiyah remaja kita dengan nilai-nilai kesempurnaan Islam adalah satu-satunya cara untuk memastikan Islam akan mendapatkan tempatnya semula dalam dunia ini. Kita memerlukan lebih ramai pemimpin yang mempunyai visi dan misi serta kualiti Sultan Muhammad al-Fateh untuk menaikkan Islam semula ke mercunya yang tinggi.
Sekiranya krisis dunia terus menerus meningkat disebabkan ketaksuban palsu manusia kepada sains dan teknologi, dunia telah pun menyaksikan lebih banyak hasil saintifik dan kemajuan teknologi yang membuktikan kebenaran Al-Quran. Islam sudah menjadi begitu ketara, dan bukti-bukti menunjukkan bahawa penyebaran “sinar cahaya ajaran Al-Quran yang menjadi penawar” sedang disaksikan manusia. Hanya masa yang akan menentukan bila Islam akan kembali mengambil tempatnya yang hak dalam dunia ini; menyerlahkan segala kebenaran Al-Quran, menjadi satu-satunya kaedah untuk menyelamatkan manusia daripada kancah kehidupan yang bergelora dan tidak bermaruah. Kita menunggu dengan harapan.
RUJUKAN
http://cdis.missouri.edu/exec/data/courses/2323/public/lesson01/britishempire.jpg
http://www.columbia.edu/itc/mealac/pritchett/00maplinks/medieval/mongols/mongols.html,
http://www.das.ufl.edu/users/oren/INR4204Middleeast.html
http://www.dponline.org/andrew/abbasid_caliphate.ppt
http://en.wikipedia.org/wiki/Umayyad-Caliphate
http://www.familywatchinternational.org
http://www.gods-word-first.org/images/persion-empire-map-gif
http://irregulartimes.com/empiregeography.html
http://www.jewishvirtuallibrary.org/jsource/History/ottomap1580.html
http://www.metmuseum.org/toah/hd/crus/hd-crus.htm
http://www.princeton.edu/~hum.comp/map2.gif
Akbar S. Ahmad. 2003. Islam under siege: Living dangerously in a post-honor world. Oxford, UK: Polity.
Bediuzzaman Said Nursi. 1911. The Damascus Sermon.
Ibn Khaldun, Mukaddimah.
Israr Ahmad. 2008. Rise and decline of Muslim ummah. http://www.institutealislam.com/rise-and-the-decline-of-muslim-ummah-by-dr-israr-ahmad
Muzaffar Iqbal. 2005. The malaise of the ummah: Diagnosis and solutions. http://usa.mediamonitors.net/content/view/full/14826
Seyyed Hossein Nasr. 1994. A Young Muslim’s Guide to the Modern World. Chicago, Illinois: Kazi Publications.
Williams, J. 2004. 50 Facts that should change the world. New York, New York: Disinformation
[1] Versi Bahasa Inggeris makalah ini bertajuk “The World in Crisis: The Qur’anic Remedy” telah diterbitkan dalam majalah The Pen, 4(12) October-December 2011, m.s. 26-37.
3 comments:
saya telah backlink kan tuan melalui entry etnik rohingya dan penderitaannya
diharap pengalaman tuan menjadi pengajaran kepada yang lain pula. T.kasih
https://acedadotco.wordpress.com
assalamualaikum w.b.t. nama saya adriana bt khirol azizi. mungkin tuan sudah lama tidak membuka blog ini dan mungkin tuan tidak akan langsung membaca komen saya ini. tapi, saya berharap niat yang baik ini dipermudahkan oleh Allah dan sekiranya tuan membaca, saya ingin bertanya satu soalan. saya sebenarnya bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran ke turki. saya kini sedang mengikuti pengajian asasi di universiti islam antarabangsa dalam bidang biological science. Namun, jurusan yang saya ambil itu tidak saya gemari dan saya sejujurnya mahu mengambil bidang sains politik dan bercadang untuk mempelajarinya di turki. jadi tuan, bagaimana boleh saya memohon kerana menurut pembacaan saya di laman web kerajaan turki, biasiswa hanya ditawarkan bermula daripada ijazah dan seterusnya. Seperti yang saya ketahui, arwah ahmad ammar turut belajar di sana dengan hanya menggunakan sijil SPM beliau sahaja. Jadi, bagaimana tuan memohon?
Post a Comment