Friday, July 8, 2011

SIYASAH O SIYASAH (Komentar bersahaja mengenai politik)

BERSIH 2.0 – AKIBAT PEMIMPIN POLITIK TAK MAHU BERUNDING !!!

Inilah akibatnya apabila pemimpin yang diamanahkan rakyat untuk memimpin tidak mahu berunding secara ‘gentleman’. Apa yang ditakutkan, saya pun tak faham.

Apa salahnya jika PM Najib ajak Anwar sebagai Ketua Pembangkang berunding demi kepentingan Negara yang kita sayangi bersama ini? Mengapa perlu mengambil pendekatan yang amat mengaibkan itu untuk menjatuhkan Anwar?

Saya rasa Anwar tidak akan menolak untuk mencari penyelesaian yang terbaik untuk Negara ini. Seandainya beliau menolak atas alasan apa sekalipun, setelah diajak untuk berunding, saya pasti kredibiliti beliau sebagai seorang ‘statesman’ akan tercalar.

Bagi PM Najib pula, tiada apa yang rugi kalau ajak Anwar untuk berunding. Maksud saya berunding bukanlah dengan satu rundingan semua masalah boleh selesai. Ianya adalah proses yang berterusan sebagai satu mekanisma ‘problem solving’. Malah PM Najib akan lebih kelihatan berjiwa besar sebagaimana arwah ayahnya Tun Razak dulu. Bukankah bapak borek, anak rintik?

Memang BERSIH 2.0 ini dianjurkan oleh NGO. Tetapi semua orang tahu Pakatan Rakyat adalah tulang belakangnya. Dan, orang Melayu yang paling ramai nanti yang akan terlibat.

Isunya sekarang masyarakat Melayu sudah terbahagi kepada dua pihak yang saling bertentangan, antara Parti Pemerintah dan Parti Pembangkang.

Mengapa ianya terjadi begitu rupa? Apakah pernah kita mencari masalah ini ke akar umbinya?

Inilah maksud saya, pemimpin mesti berani berunding secara terus hatta dengan musuh politik sekali pun. Janganlah menggunakan kuasa pemerintahan yang ada untuk mengalahkan musuh politik. Ianya bakal mengundang masalah yang lebih parah. Tindak balas pasti akan berlaku. Nantinya Negara bakal terjerumus ke lembah ‘point of no return’ iaitu kehancuran, anarki dan perang sesama sendiri.

Saya berpendirian hakikat penganjuran BERSIH 2.0 adalah manifestasi kegagalan pemimpin Negara untuk menggunakan saluran perundingan sebagai mekanisma penyelesai masalah.

Perundingan harus dibuat secara terbuka iaitu dimaklumi oleh rakyat, bukan secara sulit. Biar rakyat tahu dan melihat sendiri yang pemimpin politik Negara sedang berunding. Biar rakyat yang menjadi hakim akan keikhlasan pemimpin politik Negara ini. Zaman wayang kulit sudah berlalu. Ini zaman langit terbuka.

No comments: