Friday, September 19, 2008

Imam Warithudeen Muhammad

Imam Warithudeen Muhammad – Pemimpin Islam Amerika Syarikat kembali keRahmatuLlah pada 9 Ramadan 1429/ 9 September 2009


Ketika menerima berita kematian Imam W.D.Muhammad, lantas saya teringat akan lawatannya ke Malaysia atas jemputan ABIM dari 11 – 17 April 1996. Jemputan tersebut sangatlah bersejarah kerana kehadiran Imam adalah untuk menjadi tetamu utama bagi pelancaran Tayangan Perdana Malcolm X . Inilah julung kali ABIM menganjurkan Tayangan Perdana di PWTC.

Malcolm X (1925 -1965) atau nama Islamnya Malik bin Shabazz adalah seorang pejuang kulit hitam di Amerika Syarikat yang karismatik, pengikut ajaran Elijah Muhammad (1897-1975), ayah kepada W.D.Muhammad.

Imam W.D.Muhammad setelah menggantikan ayahnya, mengambil tindakan membetulkan ajaran ayahnya dari menekankan soal ’Black Superiority’ kepada Islam yang murni, iaitu hanya taqwa yang membezakan manusia di mata Allah ta’ala.

Malcolm X pula setelah menunaikan haji, berusaha untuk membetulkan ajaran Elijah Muhammad yang mengakibatkan akhirnya beliau mati syahid ditembak pada 21 Februari 1965.

Sepanjang lawatan Imam di Malaysia, saya ketika itu adalah Setiausaha Agung ABIM menjadi pengiringnya. Saya amat kagum dengan sikap merendah dirinya walaupun seorang pemimpin yang dihormati di Amerika Syarikat.Al-Quran terjemahan Abdullah Yusuf Ali sentiasa bersamanya setiap masa.

Gambar yang dipaparkan di atas adalah kiriman Ghifari al-Mukhtar melalui e-mail yang menjadi jurugambar ketika kami membuat kunjungan hormat kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato Seri Anwar Ibrahim..Gambar ini juga menggamit kenangan saya kepada Arwah Dr.Ahmad Shah yang begitu banyak sumbangannya di dalam perkembangan Islam atas kapasitinya sebagai Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri.

Sama-samalah kita hadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Imam W.D.Muhammad dan Dr.Ahmad Shah Mohd Nor.

[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, September 3, 2008

BUKU BARU DI PASARAN

MEMIMPIN BELIA ISLAM: MENANGANI GLOBALISASI & HEGEMONI

Buku ini yang menghimpunkan lapan ucapan dasar Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia dari tahun 1997 hingga 2005 merupakan rakaman pemikiran dan pengalaman sepanjang menelusuri pahit maung perjuangan dakwah ketika negara di landa krisis politik umat Melayu manakala umat Islam di seluruh dunia pula mulai berhadapan dengan isu terorisme.

Apabila menghimbau semula pengalaman selama lapan tahun memimpin ABIM, saya merasakan diri begitu kerdil di hadapan Allah Ta`ala. Dengan latar belakang pendidikan sekular, saya memimpin sebuah gerakan Islam yang ternama, dengan sejumlah intelektual dan ulama yang tinggi keilmuannya. Perasaan ini wujud kerana merasakan diri tidak layak, tetapi takdir menentukan amanah yang perlu dipikul sama ada suka atau tidak.

Tiada ucapan yang lebih baik yang boleh diungkapkan selain syukur Alhamdulillah kepada yang Maha Esa. Lapan tahun yang panjang selamat ditempuhi dengan sabar dan tawakal. Pelbagai pengalaman getir telah dirasai hasil tindakan radikal dan berbahaya tetapi kalkulatif. Tindakan radikal dan berbahaya bermaksud membuat keputusan yang melampau dari kebiasaan dengan mengambil risiko yang sangat tinggi, tetapi sarat dengan pertimbangan dan perkiraan yang mendalam. Ini termasuklah pengalaman menangani isu dalam negara terutamanya memimpin gerakan reformasi pada September 1998 sehingga terlempar ke penjara di bawah ISA, menggerakkan ADIL, membantu penubuhan Parti KeADILan Nasional (PKN), dan menggembleng jentera ABIM untuk membantu jentera PKN dalam pilihanraya umum 1999. Sesungguhnya, pengalaman mempelopori Gerakan Reformasi 1998 sangatlah berharga dan membuktikan dasar Non-Partisan yang menekankan kebebasan menentukan sikap politik tanpa terikat dengan mana-mana parti politik sangat relevan demi survival ABIM itu sendiri.

Selain itu, ABIM menggerakkan Agenda Perpaduan Ummah dan berjaya menganjurkan Syarahan Perdana yang mempertemukan Presiden UMNO, Dr Mahathir Mohammad dan Presiden PAS, Ustaz Fadzil Md Nor pada 8 Mei 2002. Sekali lagi ABIM mengorak langkah yang drastik, ketika isu Anwar Ibrahim masih hangat membahang, sentimen anti-Mahathir memuncak, demi ummah dan maslahah, ABIM menyongsong arus, mengajak umat bersatu menghadapi cabaran yang lebih besar iaitu hegemoni Amerika Syarikat. Apabila negara itu melancarkan perang terhadap teroris dengan menyerang Afghanistan pada November 2001, sebagai tindak balas serangan ke atas World Trade Center, New York pada September 11, 2001, ABIM berpendirian bahawa umat mestilah mengukuhkan kesatuan untuk menangani cabaran yang mendatang.

Inilah rakaman peristiwa yang melatari ucapan dasar Presiden ABIM. Mudah-mudahan pengalaman dan sejarah ini menjadi panduan untuk generasi penerus iaitu penyambung mata-rantai perjuangan gerakan tercinta ini. Sebarang perubahan yang hendak dibawa harus mengakar dengan sejarah generasi terdahulu agar kesinambungan perjuangan tidak terputus di tengah jalan.

Dengan penuh takzim, buku Memimpin Belia Islam: Menangani Globalisasi dan Hegemoni ini saya persembahkan untuk anda budiman. Selamat Membaca.

Al Faqir il Allah

Ahmad Azam Abdul Rahman
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ke -5
(1997-2005)


# Buku ini boleh dibeli di kedai buku Blue-T Publication Sdn Bhd di alamat: No. 12, Jalan 3/4C Desa Melawati. Tel: 03-41069119

[+/-] Baca selanjutnya...

Tuesday, August 12, 2008


Terima Kasih Bang Imad

Bang Imad,
Ku ingat sergahmu
Marahmu tiada kompromi
Kalau tauhid dipermainkan
Marahmu tidak kendali
Ada yang diherdik, ada yang dihalau
Hanya kerana soal tauhid
Tak mengikut fahamnya

Begitu engkau cintakan Allah
Maunya semua orang sepertinya
Tika menyebut nama Allah
Kulihat jiwanya bergetar
Tangisnya kerap mencipta suasana hening
Kelas ngaji terhenti
Murid mengerti
Yang merokok
Jangan harap mendapat simpati
Haram hukumnya, tegas, tiada kompromi
Membunuh diri, merosak orang lain

Bang Imad....
Kini kau tiada lagi
Legasi tauhidmu
Bekal abadi
Makan Pahlawan
Engkau disemadi

Doaku,
Engkau pahlawan
Dunia dan akhirat

Al-Fatihah

Kota Kinabalu
1 Syaaban 1429H
3 Ogos 2008

(Wafat 30 Rejab 1429H / 2 Ogos 2008
Dimakamkan di Makam Pahlawan Kalibata, Jakarta)

[+/-] Baca selanjutnya...

Sunday, July 20, 2008

Majlis Silaturrahmi dengan Pimpinan Baru Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia


Pada 17 Julai yang baru lalu, saya telah mengunjungi pejabat Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia di bangunan baru di No 45 Jalan Kramat Raya.

Lawatan ini sangat memberi erti yang mendalam kerana pada 17 Julai 1908 iaitu 100 tahun yang lalu Pak Natsir lahir. Pak Natsir adalah salah seorang yang mengasaskan Dewan Dakwah pada tahun 1967.

Saya disambut oleh Bapak Syuhada Bahri, Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyyah menggantikan Allahyarham Bapak Hussin Omar dan juga Sekretaris Umum Abdul Wahid Alwi.

Pertemuan tersebut adalah untuk berkenalan dengan pimpinan baru dan ianya menjadi begitu signifikan kepada saya kerana pada tanggal yang besar ertinya dapat bertemu dengan pimpinan yang baru di tempat yang baru pula. Saya teringat ketika Pak Natsir kembali kerahmatullah pada 17 Februari 2003, Dr Muhammad Nur Manuty, Presiden ABIM ketika itu bersama saya bergegas dari Kuala Lumpur untuk turut hadir di majlis pengkebumian Pak Natsir.

Dalam pertemuan dengan Bapak Syuhada beliau telah menerangkan wawasan beliau sebagai pemimpin Dewan Dakwah. Agenda utama beliau adalah untuk melahirkan 1000 ulama yang kompeten dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan untuk menyantuni ummah dengan misi besar dakwah di seluruh Indonesia.

Daripada 1000 orang ini 100 akan dilatih hingga ke peringkat Doktor Falsafah, 300 orang ke peringkat Sarjana dan 600 orang ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Dewan Dakwah akan mengumpulkan dana mencukupi, mengenalpasti potensi generasi muda untuk dilatih dan juga mengenalpasti universiti yang sesuai bagi tujuan merealisasikan cita-cita murni ini.

Bapak Syuhada begitu optimis sekiranya program ini berjaya maka Dewan Dakwah yang dilahirkan oleh Pak Natsir akan terus berkembang merealisasikan misi dakwah yang murni ini untuk 100 tahun akan datang.

[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, July 16, 2008

Meninjau Kehidupan Masyarakat Melayu Champa

Pada 2-5 Julai yang lalu, saya mengetuai misi Union of NGOs of The Islamic World (UNIW) ke Kemboja untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan umat Islam di samping membina silaturrahim dengan pimpinan umat Islam dan persatuan Islam yang ada di sana. Turut bersama saya ialah sdr Halimi Abdul Hamid, Penolong Setiausaha Agung WADAH, Sdr Fauwaz Hasbullah, Penolong Setiausaha Agung ABIM, dan Mohd Asri Abdul, mewakili Global Peace Mission. Misi lawatan kali ini adalah atas jemputan YB Ahmad Yahya, Penasihat Kepada Perdana Menteri Kemboja (berstatus Menteri). Ustaz Farid Husein, Pengerusi Cambodian Muslim Intellectual Alliance (CMIA), menjadi pengiring kami di sepanjang lawatan tersebut. CMIA baru sahaja di terima menjadi ahli UNIW.

Penderitaan bangsa Melayu Champa bermula di zaman pemerintahan Regim Khmer Rough yang memerintah Kemboja di antara tahun 1975-1979. Sepanjang tempoh tersebut lebih 100 ribu daripada 500 ribu Bangsa Melayu Champa telah mati dibunuh atau mati kerana kelaparan. 113 Ulama di kalangan mereka telah dibunuh dan hanya 20 orang sahaja terselamat. 132 masjid telah dimusnahkan dan sepanjang 4 tahun pemerintahan Khmer Rough bangsa Melayu Chmpa tidak dibenarkan bersembahyang dan ada ketikanya dipaksa untuk memakan daging babi.

Melayu Champa Perlukan Bantuan

Kami telah dibawa melawat masjid dan sekolah agama di Siem Reap iaitu di Kg. Thom dan Kg. Chhnang untuk bertemu dengan penduduk kampung dan melihat sendiri keadaan pendidikan dan ekonomi mereka. Ternyata kehidupan mereka tersangat daif dan ketika kami sampai di perkampungan mereka, seluruh penduduk kampung turun menyambut, lelaki, perempuan, tua, muda termasuk kanak-kanak dengan pakaian yang cukup daif menceritakan masalah-masalah mereka dari segi guru yang tidak mendapat gaji, masjid yang separuh siap, sekolah yang tidak sempurna sehinggalah kepada pendapatan yang sentiasa tidak mencukupi.

Wajah-wajah yang mengharap membuatkan kami rasa serba salah kerana tidak dapat memberikan apa-apa yang mereka harapkan kecuali janji dan harapan untuk membantu di misi yang akan datang.

Lantaran kemiskinan bangsa Melayu Champa sudah kehilangan jatidiri mereka. Ada beberapa orang tua yang masih mampu berbahasa Melayu walaupun sukar difahami maksud sebenarnya. Cuma yang membanggakan walaupun keadaan mereka yang serba daif, agama Islam menjadi faktor penting dalam kehidupan mereka. Cuma malangnya masalah ketiadaan guru agama yang berkelayakan maka kualiti kefahaman agama mereka sangatlah rendah. Malah di Kampung Chhnang yang kami lawati, masyarakat di sana masih mengamalkan fahaman syirik dan tahyul dan hanya bersembahyang sekali seminggu.

Saya juga berkesempatan bertemu dengan mahasiswa-mahasiswa Islam Kemboja. Mereka ini adalah sekumpulan kecil remaja Islam yang telah mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tinggi. Masih ramai remaja yang ketinggalan dari segi pendidikan lantaran kemiskinan.

Itulah penderitaan yang dilalui oleh mereka. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membangunkan semula masyarakat tersebut supaya mereka dapat berdiri di atas kaki sendiri dan menjadi rakyat Kemboja yang berjaya dan progresif.

Bantuan dari Rakyat Malaysia

Memang diakui telah ramai rakyat Malaysia mewakili pelbagai persatuan telah menghantar bantuan ke Kemboja. Ada yang telah berjaya melaksanakan program ibadah korban setiap tahun yang melibatkan perbelanjaan ratusan ribu ringgit. Ada yang menghantar bantuan makanan, baju terpakai. Ada juga yang menghantar bantuan kewangan untuk baik pulih masjid, madrasah dan lain-lain. Malah di Kg Chhnang, Syarikat Naza telah membina sebuah kompleks tahfiz yang lengkap dengan asrama dan rumah guru untuk melahirkan tahfiz dan tahfizah di kalangan Melayu Champa.

Malah ketika dalam perjalanan pulang, kami bertemu dengan satu rombongan guru-guru dari Terengganu yang melaksanakan misi kemanusiaan di bawah anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu. Selain daripada menghantar bantuan seperti pakaian dan dana, mereka berhasrat meningkatkan kualiti sekolah di sana.

Bantuan Jangka Masa Panjang

UNIW telah berbincang mengenai perkara ini dengan YB Osman Hassan yang merupakan Timbalan Menteri Buruh dan Vokasional merangkap Penasihat kepada Perdana Menteri Kemboja di samping YB Ahmad Yahya. Ternyata mereka berdua memang mengalu-alukan akan inisiatif ini dan merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas komitmen rakyat Malaysia untuk membantu pembangunan semula bangsa Melayu Champa.

Umumnya simpati orang ramai terhadap penderitaan Bangsa Melayu Champa sangatlah tinggi dan memberangsangkan. Cuma yang menjadi cabaran kepada semua pihak ialah bagaimana untuk menyelaras bantuan-bantuan yang begitu banyak ini supaya ianya lebih terancang dan bersifat jangka panjang. Rasanya jika bantuan ini dapat dirancang secara sistematik di bawah satu agensi atau badan penyelarasan maka saya yakin bantuan-bantuan yang begitu banyak ini akan dapat ditingkatkan dari hanya bersifat semerta dan sementara kepada sesuatu yang bersifat jangka panjang.

Sehubungan itu, adalah menjadi harapan saya agar kita sama-sama dapat membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu Champa yang jauh ketinggalan dalam serba serbi bidang kehidupan.

[+/-] Baca selanjutnya...

Tuesday, June 24, 2008

Wasiat Walid – Jadilah Insan yang Ummatik

Minggu lalu 20-22 Jun, saya mengendalikan satu program untuk para Nuqaba’ Kolej MARA Banting (KMB). Kolej ini menempatkan pelajar lepasan SPM yang mendapat keputusan terbaik untuk persiapan belajar di luar negara. Pelajar terpilih akan dipersiapkan dengan latihan akademik serta psikologi selama 2 tahun sebelum berlepas ke luar negara.
Apa yang menarik di KMB ialah di samping penekanan kepada kecemerlangan akademik, penekanan aspek agama juga tidak diabaikan. KMB telah melaksanakan sistem usrah sebagai kaedah menambah kesedaran agama di kalangan pelajar. Beberapa pelajar akan dipilih untuk menjadi Naqib dan Naqibah bagi mengetuai atau menyelaras usrah-usrah ini.

Beberapa bulan sebelum ini Ustaz Sulor Tohiron, Pegawai Agama KMB menghubungi saya untuk mengendalikan kursus kepada para Nuqaba supaya sistem usrah dapat berjalan dengan berkesan dan dapat melahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan tinggi akal budinya.

Tanpa berfikir panjang, saya jawab setuju. Bagi saya sejak terlibat di dalam usrah se awal 1978 (30 tahun yang lalu) ketika baru masuk sebagai pelajar Diploma Pentadbiran Awam Institut Teknologi MARA (ketika itu), hidup saya berubah 360 darjah. Dari seorang pelajar yang sangat pasif, rendah diri, pendiam dan pemalu, melalui latihan usrah, saya telah berubah sehingga menjadi Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar pada tahun 1980/81. Sejak itu saya tidak pernah menoleh ke belakang. Ketika menyambung pelajaran di Amerika Syarikat, saya menjadi Presiden ABIM Amerika Utara di samping Amir MISG Indiana State University. Balik ke Malaysia, dipilih menjadi Exco ABIM Pusat sehinggalah menjadi Presiden ABIM ke-5 selama 8 tahun dari tahun 1997 – 2005. Teman sekolah di St John Institution (1973-1977), ramai yang terkejut, hairan melihat perubahan terhadap diri saya.

Melalui usrah, saya mengerti tentang amanah dakwah yang diwajibkan kepada setiap umat Islam. Dakwah bukan kerja khusus para ustaz dan ustazah atau alim ulama. Dakwah adalah perintah Allah Ta`ala kepada setiap umat Islam. Cuba fahami surah Ali Imran 3:110 yang bermaksud “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maaruf , dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah” Ayat ini berbicara mengenai khayra ummah yang dikaitkan dengan syarat melaksanakan amar ma`ruf nahi mungkar. Faktor motivasi dan pendorongnya ialah beriman kepada Allah Ta`ala seutuhnya.

Kembali kepada kursus para Nuqaba tadi, saya telah diberi gelaran “Walid” oleh mereka. Sejak terlibat di dalam melaksanakan amanah dakwah selama 30 tahun, setiap kali kursus dakwah yang saya kendalikan, berbagai gelaran yang diberikan peserta kepada saya. Saya mengatakan saya bukan ustaz, kerana tidak pernah mengikuti pendidikan agama secara formal. Saya terdedah kepada Islam melalui kaedah pendidikan tidak formal iaitu usrah. Pendidikan sepanjang hayat.

Namun demikian, ramai yang selesa memanggil saya ustaz, ada juga Sheikh, Maulana, Hoja dan macam-macam lagi.

Walid! Inilah gelaran yang tak pernah saya terima. Lazimnya Walid adalah panggilan bapa oleh anak terutama dari keturunan Arab Melayu. Wah! Terkedu saya kerana buat pertama kali baru terasa dah tua. 21 Jun, adalah hari lahir saya yang ke 48 tahun. Waktu mengendalikan sesi ceramah, saya merahsiakannya. Dah tua! Malu pula nak meraikan hari lahir. Esoknya pula, ketika acara penutup program, para fasilitatior membuat kejutan dengan membeli kek untuk meraikan peserta, Faizah yang menyambut hari ulang tahun kelahiran ke 19, pada 22 Jun. Rahsia saya terbuka apabila Wan Azizah pegawai saya di Future Global Network memaklumkan hari lahir saya adalah semalam. Peserta kursus menjadi riuh dan beramai-ramai menyanyikan lagu selamat hari lahir secara spontan. Walid dan anak buahnya memotong kek dalam suasana terharu dan gembira. Di dalam kursus selama tiga hari dua malam tersebut, dengan dibantu oleh enam orang fasilitator, saya menggunakan kaedah “Master Trainer” yang mana saya melibatkan peserta secara interaktif dan intensif. Saya bergerak dari meja ke meja bertanya soalan, menguji kefahaman, dan mengusik mana-mana peserta yang leka dan mengantuk. Saya gunakan lagu-lagu ketuhanan oleh kumpulan Nasyid, Rock dan Rap untuk membantu ingatan para peserta mengenai perkara penting di dalam sesi saya. Saya ulang-ulang Tesbihat iaitu Asma Ul Husna yang popular di Turki untuk memantapkan kefahaman tauhid, serta untuk menambahkan rasa cinta kepada Allah Ta`ala . Kaedah ini memang memenatkan kerana menggunakan tenaga, fikiran yang maksimum. Lebih memenatkan lagi, kerana saya bila berceramah sentiasa dengan nada yang tinggi dan bersemangat.

Namun demikian, walaupun penat, tetapi berbaloi. Saya puas dan gembira bila melihatkan wajah-wajah peserta di akhir kursus begitu ceria, gembira seolah-olah mereka mendapat suatu ilham atau ilmu yang sangat berharga. Nampak semangat mereka berkobar-kobar untuk menjadi Naqib dan Naqibah yang cemerlang.


Kepada anak-anak seramai 61 orang (60 bakal doktor, 1 bakal jurutera) Walid ingin berpesan. Walid ingin berwasiat.

Jadilah insan yang ummatik
Ikutilah jejak Al Rasul
Patuhilah syarat Al Falah

Jangan hanya mementingkan diri
Jangan bakhil ilmu dan kasih sayang
Sayangilah untuk disayangi
Redhailah untuk diredhai
Syukurilah untuk dirahmati
Pasti Allah mengasihi, Wallahi.

Kepada Sdr Shaharuddin dan Cikgu Muslimin terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman peribadi mengenai usrah sebagai wahana dalam pembentukan khayra ummah.

Kepada 6 orang Fasilitator, Sdr Shakir, Helmi, Muhammad Huzaifah, Najmudin, Maria dan Norasarina, terima kasih kerana membantu menjayakan program ini.

[+/-] Baca selanjutnya...

Thursday, June 19, 2008

Said Nursi, Muslim advocate of Non-Violence

Berikut adalah kertas kerja yang saya bentang di International Symposium on Risalah-i-Nur & Bediuzzaman pada 24 Mei 2008, Istanbul, Anjuran Hayrat Foundation, UNIW, WADAH & ABIM.

Ironically Muslims all over the world are being labeled as “terrorists” and “violent” despite their being supposedly the epitome of peace and non-violence. Understandably, what prompted such a rash of derision against Muslims could be alluded to virtual envy by their detractors whose exploits would pale in comparison to Muslim achievements in peace advocacy in various aspects of the human endeavour.
Untuk selanjutnya:
http://docs.google.com/Doc?id=dc6wpwbg_3cd4grrhc

[+/-] Baca selanjutnya...