Saturday, June 14, 2008

Siri 2: Bediuzzaman Said Nursi – Penyelamat Aqidah Umat

Tahun ini merupakan kali kedua saya memimpin rombongan WADAH & ABIM ke Turki untuk memperingati dan mempelajari perjuangan mempertahankan aqidah umat oleh Bediuzzaman Said Nursi.

Tahun lalu juga dengan kerjasama Hayrat Vakfi (Yayasan Khayrat), satu seminar sehari telah diadakan di Salon Nikah, Eyub Sultan. Memandangkan ini buat pertama kali satu seminar yang melibatkan orang luar dianjurkan oleh Hayrat Vakfi, jumlah kami 30 orang dari Malaysia lebih ramai dari peserta Turki. Suasana politik di Turki tidak menentu sedangkan tokoh yang diseminarkan ialah musuh utama Kamal Ataturk, antara fakor tidak ramai peserta Turki yang berani hadir.

Tahun ini pula, nampaknya Hayrat Vakfi punya keyakinan yang tinggi. Kali ini Simposium Antarabangsa diadakan secara besar-besaran dengan kehadiran penceramah dari Malaysia, Syria, Sudan, Mesir dan lebih dari 600 orang peserta dari seluruh Turki.

Simposium ini diadakan di Cinar Convention Centre, Kisim Esenler, Istanbul. Penceramah dari Malaysia selain saya sendiri ialah Dr Muhammad Nur Manuty, Ustaz Uthman el-Muhammady dan Puan Rossilawaty Sheriff dari Dewan Bahasa dan Pustaka.

Namun demikian, Hayrat Vakfi tidak menjemput media untuk membuat liputan Simposium bagi mengelakkan publisiti di ketika krisis politik antara dua badan Kehakiman dan badan Eksekutif sedang hangat. Inilah realiti Turki yang perlu difahami. Proses kembali kepada Islam masih penuh ranjau dan duri.

Untuk memahami realiti ini anda harus mendekati sejarah perjuangan dua tokoh yang mewarnai sosio-politik Turki hampir seabad yang lalu. Mereka bersaing hebat untuk menentukan halatuju bangsa Turki. Seorang berpegang kepada Islam sebagai penyelamat maruah umat, sedangkan seorang lagi berpendapat Islamlah yang menjadi punca kelemahan dan kehancuran bangsa Turki, lantas harus dihapuskan dan diganti dengan yang lain.

Tokoh Islam yang dimaksudkan ialah Bediuzzaman Said Nursi dan lawannya Mustafa Kemal Ataturk

[+/-] Baca selanjutnya...

Friday, June 13, 2008

Jejak Empayar Uthmaniyyah

Catatan pengalaman rombongan WADAH & ABIM melawat Turki

22 Mei – 1 Jun 2008

Ruangan ini akan mencatatkan pemerhatian saya terhadap perkembangan masyarakat dan sejarah Turki yang pernah menjadi sebuah Empayar selama hampir 800 tahun. Pada 22 Mei – 1 Jun yang lalu saya telah memimpin satu rombongan ahli-ahli WADAH dan ABIM melawat Turki yang mana kita menganjurkan Simposium Bediuzzaman Said Nursi bersama Hayrat Foundation dan juga sama-sama menyambut perayaan 555 tahun pembukaan Kota Istanbul oleh Sultan Muhammad ke-II.

Catatan bersiri ini akan membawa anda menyelami masyarakat Turki yang kaya dengan khazanah sejarah perjuangan dari perspektif seorang aktivis dakwah.

Siri 1 : Solat Subuh di Masjid Beyazit, Istanbul Mengharukan.

Saya dimaklumkan oleh Abdullah Dogan, ahli Hayrat Vakfi, sebuah yayasan yang berasaskan perjuangan Bediuzzaman Said Nursi bahawa masjid-masjid biasanya penuh dengan jamaah khususnya di waktu subuh di beberapa masjid yang terkenal. Antara yang paling terkenal ialah Masjid Eyub Sultan yang mana setiap waktu, apalagi di waktu cuti, jemaah yang menunaikan solat melimpah ruah umpama solat Jumaat. Saya pernah beberapa kali solat di Masjid Eyub Sultan dan ternyata setiap kali berkunjung, jamaahnya berhimpit-himpit seperti di Mekah. Inilah yang dikatakan barakah sahabat Al Rasul s.a.w. yang terkenal dengan keikhlasan perjuangannya.

Untuk kunjungan kali ini, memandangkan Hotel Hamidiyeh, tempat kami menginap berdekatan dengan Masjid Beyazit yang berhampiran Grand Bazaar yang terkenal, saya mengambil kesempatan untuk bersolat Subuh di Masjid tersebut. Hari Ahad, 25 Mei 2008, waktu Subuhnya jam 3:38pagi. Solat berjemaah bermula jam 4:30pagi bagi membolehkan ramai dapat datang berjamaah.

Memang seperti dijangka, ramai sungguh penduduk Istanbul menunaikan solat Subuh di Masjid ini yang terkenal dengan Imamnya yang mampu berceramah dan berzikir dengan alunan yang sungguh syahdu dan menusuk jiwa. (sila dengar zikir yang sempat divideokan). Namun jemaahnya tidaklah seramai di Eyub Sultan.

Berdasarkan pemerhatian saya yang hampir setiap tahun ke Turki, rakyat Turki semakin menyerlah pegangan agamanya. Apa yang cuba dicabut oleh Ataturk yang mati pada 1938, iaitu 70 tahun dulu ternyata gagal. Malah orang Turki semakin berbondong-bondong kembali kepada menghayati agama Islam.

Kemenangan besar Parti Keadilan dan Pembangunan (Adalat Va Kalkinma Partisi, AKP) di bawah pimpinan Abdullah Gul dan Recep Tayib Erdogan membuktikan rakyat Turki semakin menerima Islam sebagai cara hidup dan menolak faham sekularisme yang dipaksakan oleh Ataturk. Isu pembatalan, pengharaman pemakaian tudung di pejabat kerajaan dan universiti yang mencetuskan krisis perlembagaan di Turki menggambarkan institusi yang masih mempertahankan faham sekular seperti Institusi tentera dan mahkamah sudah semakin tersepit dan panik.

Mereka gagal memaksa rakyat Turki untuk terus mempertahankan faham sekularisme lantas menggunakan peruntukan undang-undang untuk menggulingkan kerajaan popular AKP. Asas demokrasi yang mempertahankan konsep pemisahan kuasa badan legislatif, kehakiman dan eksekutif dilanggar oleh badan kehakiman atas alasan kononya tindakan AKP meluluskan undang-undang membolehkan pemakaian tudung di pejabat Kerajaan dan universiti telah melanggar asas sekularisme negara.

Apa yang menyedihkan saya, dunia Islam sepi membisu, dan barat yang merupakan jaguh demokrasi dan hak asasi hanya membantah umpama melepas batuk ditangga. Dunia barat lebih marahkan tindakan badan Islam di Indonesia yang mendesak kerajaan supaya mengharamkan ajaran Ahmadiyyah, sedangkan pelanggaran demokrasi di Turki yang dahsyat diberi liputan ala kadar. Alahai dunia Islam! Aduhai dunia Barat!


25 Mei 2008, Ahad
Masjid Beyazit, Istanbul

[+/-] Baca selanjutnya...

Monday, June 9, 2008

Eyub Sultan

Eyub Sultan

Abu Ayub Al Ansari
Pergimu, memberi hayat
Jihadmu, membangkit semangat
Keikhlasanmu, inspirasi umat

Abu Ayub Al Ansari
Tika hayatmu dihujung senja
Masjid buat bekal ke alam baqa
Engkau memilih jihad menggalang nyawa
Walau kudrat tak sekata
Cintamu kepada Allah mengatasi segala



Abu Ayub Al Ansari
Mati Syahid, keinginanmu
Al Fatih, pembuka Istanbul, mendiri pusaramu
Agar generasi mendatang, terhimbau dengan semangatmu
Eyub Sultan, sebenar Sultan gelaranmu

Sultan di mata umat, mengunjungi masjidmu
Setiap waktu, melimpah ruah kerana kagum denganmu
Eyup Sultan,
Kami datang mengunjungimu
Kagum dan bangga dengan keikhlasanmu
Seandainya dianugerahi secubit ikhlas dari perjuanganmu
Betapa syukurnya kami kepada Penciptamu


Masjid Eyup Sultan, Istanbul, 29/5/08

[+/-] Baca selanjutnya...

Tuesday, June 3, 2008

Muhammad Al Fatih, Pembuka Istanbul

Ya Rabbi, Ya Qawi
Kami datang ke bumi bertuah ini
Penuh harap, mencari erti
Tika umat ternanti-nanti
Ntah bila kan lahir lagi
Sosok pejuang yang imani lagi jihadi
Ntah bila kan lahir lagi
Peribadi Agong, penyelamat maruah
Yang lama dinanti

Ya Rabbi, Ya Izzati
Umat ini menderitai krisis jatidiri
Berpecah, bercakar, berbunuh, berkhianat
Ntah apa lagi
Semua yang Kau larang, jadi hiasan diri
Semua yang Kau haram, lagi diladeni

Ya Rabbi, Ya Maliki
Pemimpin Umat mencabul amanah memerkosa janji
Milik Negara jadi milik peribadi
Bersepah di mana-mana, menyebar fasad
Dan mungkar di sana sini.

Ya Rabbi, Ya Rahmani
Hambamu mohon disayangi
Ampuni dosa-dosa kami
Maafkan kezaliman dan kelemahan kami
Rahman dan Rahim Mu yang kami nanti
Lahirkan di kalangan kami, pemimpin penyelamat maruah diri
Salehuddin Al-Ayubi, Muhammad Al-Fatih
Kau yang dinanti


29 Mei 2008, Khamis
Hadir di Acara Perayaan 555 tahun Pembukaan Kota Istanbul



[+/-] Baca selanjutnya...

Friday, May 16, 2008

Bertemu Dr Zainuddin Jaafar – Mantan Exco ABIM di Brunei

Apabila jadual saya ke Brunei telah pasti, berlegar di kepala saya untuk bertemu dengan Dr Zainuddin Jaafar, Mantan EXCO ABIM ketika saya menjadi Presiden. Beliau mendirikan rumahtangga dengan anak mantan Mufti Brunei.

Beliau ke Brunei setelah tidak lagi menjadi Presiden Kolej Islam Darul Ehsan (KISDAR) yang sekarang telah menjadi Kolej Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Beliau sekarang ini menjadi pensyarah undang-undang di Universiti Brunei Darussalam

Pada bulan Februari yang lalu, Dr Zainuddin telah dikenalpasti menghidap barah paru-paru tahap empat. Begitu banyak berita yang tidak tepat serta khabar angin tersebar mengenai beliau. Malah ada yang mengatakan beliau telah meninggal dunia sedangkan yang meninggal adalah adiknya kerana sakit jantung.

Ketika saya menziarahi beliau, gambaran saya ialah Dr Zainuddin akan terlantar di atas katil dengan badan yang kurus kering. Ternyata bila bertemu, beliau kelihatan sihat, cuma badannya susut sedikit. Beliau boleh berjalan seperti biasa dan mengajar di universiti. Beliau telah menjalani rawatan chemotherapy di Brunei dan alhamdulillah katanya sudah semakin sihat.

Beliau menyatakan penghargaan dan terima kasih di atas doa dan perhatian sahabat handai mengenai kesihatannya.

Kita doakan agar beliau segera sembuh sepenuhnya. Insya Allah.

Bagi sahabat-sahabat beliau yang ingin maklumat lanjut bolehlah berhubung dengan Dr Zainuddin di alamat berikut:


Dr Zainuddin Jaafar
15, Simpang 208
Kg Manggis 2
Tel : (+673) 2332230 / 8655799 (Hp)

[+/-] Baca selanjutnya...

Brunei Darussalam –Negara Melayu Islam Beraja

Pada 11-13 Mei 2008 yang lalu, saya ke Brunei memimpin rombongan 5 orang ahli Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) yang saya asaskan semasa menjadi Presiden ABIM. Rombongan terdiri daripada Jufitri, Pengerusi GPTD merangkap Exco ABIM, Noryzal Zainal Abidin, Exco ABIM, Najmuddin, Ketua Penyelaras GPTD, Norhelme Zainal Abidin, ahli GPTD juga Penerbit Bebas.

Tujuan lawatan ini adalah untuk membina rangkaian dakwah dengan badan kerajaan dan juga masyarakat tempatan di Brunei. Alhamdulillah kami membuat kunjungan hormat ke Kementerian Hal Ehwal Ugama, Brunei Darussalam pada 12 Mei dan disambut mesra oleh Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Mohiddin, Setiausaha Tetap Kementerian berserta pegawai-pegawainya.

Saya mengambil kesempatan menerangkan mengenai aktiviti GPTD dan perkembangan dakwah di peringkat antarabangsa dan menawarkan kerjasama yang boleh dibuat untuk membina generasi muda yang berfikiran global serta mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Dato Paduka begitu berminat untuk menghantar belia-belia terpilih mengikuti aktiviti dakwah GPTD di Sri Lanka, Australia dan Kemboja.

Pertemuan berlangsung dalam suasana yang begitu mesra dan rasanya kunjungan ini telah berjaya menerangkan peranan GPTD dalam kontek dakwah di rantau Alam Melayu.

Lawatan ke Brunei ini, adalah pertama kali buat saya dan agak menarik, kerajaannya merancang program pembangunannya dengan begitu berhati-hati. Walaupun sumber minyak begitu banyak, tetapi pembangunan ekonominya semacam sengaja di perlahankan agar sesuai dengan pembangunan rakyatnya. Maksudnya biarlah rakyat dapat manfaat dari ekonomi yang dirancang secara bertahap. Di samping itu Sultan Brunei telah melancarkan ideologi negara yang berteraskan Melayu, Islam, Beraja bagi memastikan kedaulatan Melayu mengakar di dalam pembangunan Brunei. Hal ini begitu menarik bagi saya, ketika polemik Ketuanan Melayu masih hangat di Malaysia.


[+/-] Baca selanjutnya...

Wednesday, April 2, 2008

Kunjungan Hormat Terhadap Menteri Besar Perak

Semalam, 1 April 2008, rombongan kami yang terdiri daripada Pengerusi KBI, Haji Halim Ismail, Pengerusi IS Tech, Haji Haris Abdul Hamid, dan Pengurus Caltech (anak Syarikat KBI), Abdul Manaf Kasmuri telah membuat kunjungan hormat terhadap Menteri Besar Perak, YAB Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di pejabatnya di Ipoh, Perak.

Kami disambut oleh Misbahul Munir yang bertindak sebagai Setiausaha Politik MB dan juga Zulkifli Ibrahim, Pengerusi PKR Perak yang baru dilantik sebagai Pengarah Penerangan Kerajaan Negeri Perak. Kedatangan kami begitu terasa dihargai dan MB telah menyatakan kesediaan untuk mendengar apa juga cadangan-cadangan bagi memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat negeri Perak. Katanya beliau adalah MB untuk negeri Perak bukan untuk orang PAS, atau PKR atau DAP tetapi untuk semua rakyat.

Mandat yang diberi oleh rakyat harus dihargai dengan memastikan dasar-dasar pembangunan adalah pro-rakyat. Pihak KBI telah menyerahkan satu cadangan bagi membantu meningkatkan kemahiran belia dalam bidang automotif. MB berjanji untuk menelitinya dan memberi respon yang positif terhadap cadangan tersebut.

[+/-] Baca selanjutnya...